Unsur Syiah dalam Novel ‘Sebongkah Batu Di Kuala Berang’ – Bahagian 3

Sambungan dari artikel lalu. Untuk membaca Bahagian 1 klik di sini, dan Bahagian 2 klik di sini.

PERKARA 5 : Sejarah Islam Di Perlak Dan Acheh, Sejauh Mana Kebenarannya?

Di dalam novel Sebongkah Batu di Kuala Berang (SBKB), Faisal Tehrani (FT) telah mengutarakan hujah berkaitan kedatangan Islam ke Nusantara, dan setiap kali menceritakan perihal sejarah ini, beliau berkali-kali mengulangi bahawa Islam yang datang itu dari Parsi dan bermazhab Jafari. Beliau menyamakan Parsi dengan mazhab Jafari kerana Parsi (Iran) pada hari ini merupakan sebuah Negara Syiah aliran Syiah Imamiyah yang juga dikenali sebagai Syiah Imam 12, yang mengagungkan Imam Abu Jaafar as-Sodiq. Namun, hubungan antara Syiah Imamiyah dengan Imam Abu Jaafar as-Sodiq dan Mazhab Jafari yang asli masih boleh dipertikaikan. Dalam mengembangkan aliran Syiah Imamiyah, puak Syiah seringkali berselindung di sebalik nama mazhab Jafari bagi mengaburi mata masyarakat khususnya umat Islam aliran ahli sunnah wal jamaah.

Perlu saya tegaskan bahawa FT berselindung di sebalik nama mazhab Jafari sebagai suatu bentuk taqiyah. Apa yang beliau maksudkan sebagai Mazhab Jafari itu sebenarnya ialah ajaran Syiah Imamiyah dan ini dapat dikesan antaranya ketika FT menyebut tentang Sunan Ampel memakai serban berwarna hitam sebagai tanda beliau golongan ahlul bait (SBKB m/s 122). Untuk pengetahuan pembaca, pengkategorian sebegini hanya terdapat dalam fahaman Syiah, di mana Syiah mengatakan bahawa serban hitam hanya boleh dipakai oleh golongan ahlul bait dan para imam berketurunan ahlul bait, manakala imam yang bukan berketurunan ahlul bait memakai serban berwarna putih.

Harus difahami di sini, saya tidak menyentuh aspek fiksyen mimpi Sofea berkaitan perbualannya dengan Sunan Ampel. Saya hanya menyentuh bagaimana gambaran FT tentang Sunan Ampel menjurus kepada Syiah. Selain itu, saya juga tidak menafikan Sunan Ampel sebagai berketurunan ahlul bait, tetapi tindakan FT mengunapakai formula Parsi = Syiah/ Mazhab Jafari dan ahlul bait/ Alawiyah = Syiah/ Mazhab Jafari; adalah suatu pendekatan simplistik, tidak ilmiah dan mengelirukan pembacanya. Mungkin boleh juga dikatakan sebagai penipuan halus.

Ya, benar Sunan Ampel berketurunan ahlul bait. Nama sebenar beliau ialah Ahmad Rahmat Allah bin Ibrahim Zayn al-Akbar (Sharif Awliya) bin Jamal al-Din al-Husayn (Maulana Jumadil Kubra) dan salasilah ini bersambung kepada Sharif Alawi bin Imam Muhammad Sahib Marbat yang menetap di Hadramaut. Amat jelas sekali Sunan Ampel adalah seorang yang beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan sudah pasti tidak memakai serban hitam seperti yang sengaja digambarkan oleh FT.

Sekarang mari kita lihat sejarah kemasukkan Islam di Perlak dan Aceh mengikut pensejarahan FT.

HALAMAN 52, 53 DAN 86

FT menulis, gelombang besar kedatangan Islam  ke Nusantara adalah antara kurun ke 7-11 masihi. Beliau mengaitkan dengan perpindahan pendukung keluarga Nabi Muhammad s.a.w dari Timur Tengah ke rantau lain selepas berlaku penindasan oleh Bani Umaiyah pada tahun 674 masihi. Beliau seterusnya dengan pantas mengaitkan dengan Mazhab Jafari dan Imam Abu Jaafar as-Sadiq.

Tulisan di halaman 52-53 bersinambungan dengan halaman 86 di mana FT mendakwa pemimpin-pemimpin Jafari yang dimaafkan membawa diri hingga ke Perlak Sumatera dan Ali bin Muhammad bin Jaafar as-Sadiq dinikahkan dengan Puteri Makhdum Tanshuri. Kisah pernikahan inilah yang berkait tulisan FT di halaman 53, perihal pemerintahan pertama Perlak bermula pada 1 Muharram 225H bermula dengan Sultan Maulana Abdul Aziz Syah yang dikatakan bermazhab Jafari.

HUJAH

Saya tidak bersetuju bila FT menyatakan Islam berkembang ke Nusantara akibat penindasan Bani Umaiyah. Kita tahu Saidina Muawiyah bin Abu Sufyan sendiri mempunyai hubungan yang rapat dengan Saidina Hasan dan Hussin. Perlu diingat juga, Khalifah Umar Ibnu Aziz adalah antara khalifah Bani Umaiyah. Justeru, tindakan FT menisbahkan secara umum pada Bani Umaiyah adalah kurang cermat, sebaliknya ia wajar disebut secara rinci. Lagikan pula, tindakan menyamakan Alawiyah dengan Syiah adalah tidak tepat. Ini kerana sejumlah besar Alawiyah dan pengikut mereka tidak bersetuju dengan Syiah. Saidina Ali r.a, Saidina Hasan dan Husayn juga menolak Syiah. (Ini mungkin akan saya jelaskan nanti).

Di mukasurat 76, FT ada menyebut tentang pandangan Habib Alwi Thahir, bekas Mufti Johor yang berpendapat Islam masuk ke Sumatera di zaman pemerintahan Khalifah Uthman Ibnu Affan r.a. Ingin saya terangkan di sini, nama sebenar beliau ialah Syed Alwi Thahir al-Haddad yang juga adalah seorang Alawiyah. Anehnya, mengapa FT menyembunyikan nama ‘Syed’ dan ‘al-Haddad’ yang menandakan beliau juga seorang dari keturunan ahlul bait? Mengapa FT tidak mahu mengangkat pandangan ahlul bait ini? Adakah kerana beliau seorang Sunni dan bukannya Syiah?

Bukankah pendapat Syed Alwi al-Haddad amat signifikan dengan catatan al-Dimasyqi, seorang pakar geografi Arab di dalam kitabnya menyebut pendakwah muslim pertama tiba ke Nusantara ialah pada zaman Khalifah Uthman Ibnu Affan. Malah, pemerintahan Bani Umaiyah pula telah menghantar sekurang-kurangnya 17 misi gerakan dakwah ke Nusantara.

Tulisan FT tentang Islam di Perlak yang masuk melalui Mazhab Jafari menerusi perkahwinan Ali bin Muhammad bin Jaafar as-Sadiq berdasar sumber lokal telah lama dipertikai kesahihannya oleh para sejarahwan. ‘Teori Syiah’ FT ini mungkin sekali kerana beliau merujuk tulisan S.Q Fatimi, Aboe Bakar Atjeh dan Mahyudin Yahya. Namun adalah tindakan yang tidak cermat bilamana mendakwa golongan Alawiyah yang berhijrah dari Hadramaut, Champa dan China sebagai Syiah. Walhal jika dirujuk kepada para Alawiyah yang ada hingga ke hari ini, sudah pasti teori Syiah itu bertentangan dengan hakikat kesahihan yang terdapat pada para Alawiyah.

Pandangan mereka berhubung perkara ini sebenarnya telah dipengaruhi pandangan Snouck Hurgronje, seorang orientalis Belanda yang sangat memusuhi Islam. Hurgronje dan T.W Arnold amat bersungguh membawa teori Islam di Nusantara berasal dari Parsi-India dan puak Syiah. Para orientalis ini berkeras dalam menolak sejarah kedatangan Islam yang dibawa oleh masyarakat Arab dan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Hingga kini, tidak ada bukti kukuh yang dapat dipegang menunjukkan wujudnya kuasa politik Islam di Perlak pada abad ke-3H/ ke-9 Masihi (tahun 200H–299H/ 800M-899M), jauh sekali dikuasai Syiah.

Berhubung perkahwinan Ali bin Muhammad bin Jaafar as-Sadiq dengan Puteri Makhdum Tanshuri, ia adalah cerita dari mulut ke mulut masyarakat lokal, berkemungkinan besar rekaan orang-orang Syiah sendiri. Ceritera tersebut telah dikisahkan turun temurun hingga akhirnya ‘dipercayai’ oleh masyarakat setempat.

Di dalam kitab Umdat al-Talib fi Ansab Ali bin Abi Talib tidak pernah mencatat tentang penghijrahan Ali bin Muhammad ke Perlak selain ke Basrah dan al-Ahwaz, dan beliau juga telah meninggal dunia serta dikebumikan di Baghdad..!!!

Manakala Hasan Muarif Ambary dalam tulisan bertajuk ‘Menemukan Peradaban Jejak Arkeologis dan Historis Islam di Indonesia’ (m/s 56), menafikan kewujudan kerajaan awal Perlak berdasarkan kajian arkeologi beliau mengenai Islamisasi di Indonesia.

HALAMAN 54

Di halaman ini, FT menyatakan bahawa Sultanah Nahsariah yang bermazhab Jafari telah berkahwin dengan Malik Mustafa yang bermazhab Syafie. Perdana Menteri ketika itu ialah Bakui Ahmad Permala, seorang penganut Mazhab Jafari.

FT seterusnya menyebut, Malik Mustafa menggilai anak kandungnya sendiri. Perkara itu ditentang oleh 44 orang ulama. Malik Mustafa dikatakan telah memancung alim ulama dan menyebabkan perbalahan besar dengan Perdana Menteri Bakui Ahmad Permala.

HUJAH

Benarkah dakwaan FT ini? Seolahnya mahu mengangkat Bakui Ahmad Permala sebagai hero pujaan.

Berdasarkan laporan M. Yunus Jamil, Syiah Ismailiyah Batiniyah telah muncul dalam kerajaan Pasai ketika pemerintahan Ratu Nihrasiah Rawangsa Khadiyu, disebabkan beliau melantik Ariya Bakui Ahmad Permala yang merupakan seorang penganut Syiah Ismailiyah sebagai Perdana Menteri (Mangkubumi). Ariya Bakui dikatakan berperwatakan kejam khususnya terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurut A.Hasjmy, Ariya Bakui telah menggunakan kedudukannya untuk mengembangkan ajaran Syiah dan menindas Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan mengeluarkan perintah supaya membunuh kira-kira 40 orang ulama Sunni. Beliau sangat komited menyebarkan fahaman batiniyah/ panteisme yang berasal dari ajaran Syiah.

Ariya Bakui pada waktu itu berhasrat untuk mengahwini anak kandungnya sendiri, dan perkara tersebut dibantah oleh para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Demi untuk menghalalkan nafsu kebinatangannya, beliau mengeluarkan arahan bunuh ke atas ulama-ulama Sunni. Maka tercetus peperangan di antara rakyat Pasai beraliran Sunnah dengan Ariya Bakui (Syiah). Akhirnya Ariya Bakui berjaya dikalahkan dan dibunuh oleh Malik Mustafa, suami kepada Ratu Nihrasiah yang berfahaman Ahli Sunnah. Malik Mustafa juga ialah ketua gerakan rakyat Pasai saat itu. Kerajaan Pasai kemudiannya telah digabungkan dengan kerajaan Aceh semasa pemerintahan Sultan Husein Syah.

Jelas dapat kita lihat, pelbagai fakta sejarah diselewengkan oleh FT bertujuan mengangkat golongan Syiah dan memadam hakikat sejarah serta kebenaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jelas juga FT membawa fahaman Syiah dengan berselindung disebalik nama Mazhab Jafari sepertimana yang sering dilakukan oleh penganut Syiah Imamiyah.

Artikel ini bersambung lagi ke Bahagian 4 yang akan memfokus kepada Batu Bersurat Terengganu.

Unsur Syiah dalam Novel ‘Sebongkah Batu Di Kuala Berang’ – Bahagian 2

Artikel berikut adalah sambungan dari Unsur Syiah dalam Novel ‘Sebongkah Batu Di Kuala Berang’ – Bahagian 1.

PERKARA 4

Sebongkah Batu Di Kuala Berang m/s 55

Pada halaman 55, Faisal Tehrani (FT) menulis dialog seperti berikut :

“Secara umumnya masyarakat ahlus sunnah wal jamaah di Nusantara dirujuk sebagai tasyayyu’ hasan atau golongan ahlus sunnah wal jamaah yang berkecenderungan moderat kepada pengikut Jafari.

Ini kerana asasnya ahlus sunnah wal jamaah memiliki kecintaan yang sama dengan golongan Jafari kepada keluarga Nabi Muhammad dan kebencian yang sama kepada musuh-musuh ahlul bait dalam dinasti Umayah yang melakukan kezaliman ke atas rakyatnya sendiri. Sikap tasyayyu’ hasan ini bukanlah sesuatu yang baru dan adalah sikap asas kelompok tasawuf, sufi dan kumpulan tarekat ahlus sunnah wal jamaah yang berkongsi guru spiritual dengan pendukung Jafari. Ya, seperti Imam Jaafar as-Sadiq.”

HUJAH

Sikap tasyayyu’ tidak ada dalam ajaran ahli sunnah wal jamaah. Justeru, adalah tidak adil untuk FT meletakkan tasyayyu’ sebagai pegangan ahli sunnah wal jamaah. Tidak pernah ditemui dalam mana-mana kitab ulama sunni yang menyebutkan tasyayyu’ sebagai ajaran Islam. Fahaman tasyayyu’ tidak wujud dalam tasawuf, sufi dan tarekat ahli sunnah wal jamaah.

Tasyayyu’ sebenarnya merupakan sebahagian dari ajaran Syiah, maka sekali lagi tulisan FT boleh membawa fitnah kepada ahli sunnah wal jamaah.

Tiada dapat dinafikan Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi dari Yaman sebagai pengasas ajaran Syiah. Bibit kelahiran ajaran Syiah dan asal usul prinsipnya lahir pada tangan puak-puak Syiah Saba-iah melalui pengakuan kitab-kitab muktabar Syiah sendiri yang mengatakan bahawa Abdullah ibn Saba’ adalah orang yang pertama menzahirkan cacian ke atas Abu Bakar, Umar dan Uthman  r.a. Ibnu Saba’ juga adalah orang yang mula-mula melahirkan caci cela terhadap para sahabat, menyatakan wajib bagi Ali r.a menjadi imam; dan Ali adalah orang yang diwasiatkan oleh Nabi s.a.w untuk menjadi imam. Ini merupakan asas tasyayyu’ seperti yang dipegang oleh tokoh-tokoh Syiah. (rujuk : ‘Membendung Pengaruh Syiah di Malaysia’; Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Malaysia; 2011; hal. 1-2) 

Kefahaman asing melalui konsep tasyayyu’ meresap dan digunakan sebagai suatu helah bagi pihak yang berkehendak untuk menghancurkan Islam. Mereka terdiri dari golongan mulhid, munafiq dan thaghut.

Ibnu Saba’ adalah orang yang pertama menyatakan bahawa asal usul fahaman tasyayyu’ adalah berdalilkan nas, wasiat dan raj’ah. Tokoh-tokoh Syiah terdahulu seperti al-Qummi, al-Naubakhti dan al-Kasyi merujuk kepada prinsip-prinsip ini ketika membentangkan pendapat ibnu Saba’ yang kemudiannya menjadi antara sumber prinsip-prinsip Syiah. (rujuk : ‘Membendung Pengaruh Syiah di Malaysia’; Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Malaysia; 2011; hal. 2) 

Terdapat persamaan dari aspek prinsip pemikiran antara Yahudi dan Syiah. Prof. Ahmad Amin mengatakan  “fahaman tasyayyu’ terdapat dalam ajaran Yahudi pada prinsip al-Raj’ah. Golongan Syiah berkata : ‘Sesungguhnya neraka adalah haram ke atas puak Syiah kecuali sedikit dari mereka.’, sebagaimana ajaran Yahudi mengatakan, ‘kami tidak akan sekali-kali disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari tertentu…” (lihat al-Baqarah : ayat 80). Konsep tasyayyu’ juga terdapat di dalam sebahagian ajaran Nasrani yang menyatakan bahawa kaitan al-Imam dengan ALLAH ialah seperti perkaitan al-Masih dengan ALLAH”. (Lihat : Ahmad Amin, Fajar al-Islam, halaman 276).

Prinsip tasyayyu’ juga mempunyai kaitan dengan masyarakat Parsi yang asalnya merupakan penganut Zoroastrianisme/ Majusi. Mereka telah biasa menganggap raja mereka sebagai suci. Dengan pandangan ini mereka melihat Saidina Ali dan keturunannya. Ramai di antara orang-orang Parsi yang memeluk Islam tanpa membersihkan pegangan yang mereka warisi dari nenek moyang dan perkara inilah yang mempengaruhi pemikiran mereka, seterusnya dikembangkan dalam fahaman Syiah.

Syeikh Muhammad Abu Zuhrah berkata “Kami percaya bahawa Syiah telah terpengaruh dengan pemikiran Parsi lampau tentang kerajaan dan pewarisan. Persamaan di antara fahaman Syiah dan sistem Raja Parsi adalah jelas. Yang menyokong pendirian ini ialah kebanyakkan golongan Syiah terdiri daripada penduduk Parsi pengikut-pengikut Syiah yang paling awal adalah dari Parsi”. (rujuk : Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, Jld.1. Halaman 38)

Pengaruh Parsi terdapat dalam banyak riwayat Syiah mazhab Imam Dua Belas seperti mengkhususkan Salman al-Farisi r.a secara berlebihan melebihi tahap kemanusiaan. Sebagai contoh tercatat riwayat palsu di dalam kitab mereka bertajuk Rijal al-Kashi (halaman 6-7) yang menyebutkan “…Salman adalah salah seorang pengikut Syiah, kerana mereka inilah puak-puak Syiah diberi rezeki, dengan sebab mereka inilah, puak Syiah diberi pertolongan dan melalui mereka juga, puak-puak syiah mendapat hujan…”

Sesetengah pengkaji juga mengatakan bahawa ajaran Syiah merupakan takungan bagi ajaran dan akidah yang datang dari Asia Purba seperti ajaran Buddha dan lain-lain (rujuk : Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, Jld.1. Halaman 37). Prof. Ahmad Amin berkata “Di bawah fahaman tasyayyu’, terdapat konsep perpindahan roh”.

Untuk pengetahuan pembaca, konsep perpindahan roh dalam ajaran Hindu dikenali sebagai reinkarnasi Hindu. Tidak jauh berbeza dengan konsep Brahma iaitu tuhan menyatu dalam diri manusia.

Sekiranya kita kembali meneliti hujah saya bermula dari PERKARA 2-3 dalam Bahagian 1 dan ditambah dengan hujah bagi PERKARA 4 di atas, bukankah kian jelas menunjukkan ajaran Syiah bersifat sinkretisme? Lantas mengapa FT sengaja mengaitkan kejahilan tasyayyu’ dengan ahli sunnah wal jamaah?

Andai benar ianya ada dalam tasawuf, sufi dan tarekat sunni, maka perlu dibuktikan apakah ada terdapat fahaman tasyayyu’ dalam kitab-kitab tasawuf sunni seperti Quut al-Qulub (Abu Talib al-Makki), Ihya’ Ulumuddin (al-Ghazali) dan kitab al-Hikam (Ibnu Atthailah al-Iskandari).

Artikel ini bersambung ke Bahagian 3.

Unsur Syiah dalam Novel ‘Sebongkah Batu Di Kuala Berang’ – Bahagian 1

Pengharaman novel ‘Sebongkah Batu Di Kuala Berang karya novelis terkemuka Faisal Tehrani mula hangat diperkatakan di media elektronik menerusi blog, facebook dan twitter. Ramai yang tidak bersetuju dengan pengharaman itu. Sehingga artikel ini di tulis, belum ada kenyataan rasmi dari pihak Keselamatan Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkaitan hal tersebut. Namun cakap-cakap dikalangan orang awam kian tersebar.

 Ramai yang mempersoal dan menyalahkan  tindakan pengharaman tersebut dengan alasan “Membaca buku tidak boleh menjadi sesat”.  Ini adalah satu alasan dangkal kerana banyak ajaran sesat sebenarnya turut disebarkan melalui penulisan buku dan kitab-kitab bagi mendapatkan pengaruh contohnya seperti ajaran Hakikat Insan Hassan Laksamana, al-Arqam, Syiah, fahaman liberal dan Qadiyani. Tindakan pengharaman ke atas sesuatu penulisan juga bertujuan menjaga akidah umat dari sebarang dakyah yang boleh menggugat ketenteraman seterusnya membawa kepada pelbagai perbalahan atau perpecahan. Buku ‘Satanic Verses’ tulisan Salman Rushdie antara bahan cetak yang telah diharamkan di negara-negara Islam.

Sebelum terus menulis, perlu rasanya dikatakan di sini bahawa saya juga pernah membaca/ meminati karya-karya Faisal Tehrani (selepas ini akan ditulis dengan singkatan FT) seperti 1515, Tuhan Manusia, Bila Tuhan Berbicara, Detektif Indigo, Bedar Sukma Bisu dan lain-lain. Paling saya minati pastinya Advencer Si Peniup Ney dan Tuhan Manusia.

Idea FT berkaitan perlunya filem bernafas Islami yang menjadi latar dalam Sebongkah Batu Di Kuala Berang (SBKB) adalah suatu idea yang baik. Benar bahawa kita kekurangan filem bergenre Islam yang benar-benar Islami. Yang ada kebanyakkannya adalah filem cinta atau tahyul yang menjadikan Islam sebagai TEMPELAN semata. Bagaimanapun, meneliti isi novel SBKB, amat wajar jika ianya diharamkan oleh pihak berwajib. Hal ini akan saya tunjukkan pada perenggan-perenggan berikut.

PERKARA 1

Sebongkah Batu Di Kuala Berang m/s 6

 Di muka 6, FT telah menulis dialog “Seperti kata Prof. Budriz, orang Islam sudah perlu berhenti membina masjid. Yang perlu kita bina sekarang, meski menggunakan wang zakat sekalipun adalah membikin filem bagi membalas serangan kebudayaan Barat dan juak-juaknya…”

HUJAH

Berhenti membina masjid? Saya hairan bagaimana seorang penulis yang pernah dikenali sebagai novelis Islami berlatar belakang pengajian syariah sanggup mengutarakan dialog sedemikian rupa. Nampaknya jika menuruti saranan FT, masjid dan surau tidak perlu lagi kita bina biarpun kawasan tersebut merupakan bandar baru/ kawasan perumahan baru. Demikian juga dengan pembinaan sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT)/ universiti. Infrastruktur pendidikan kita bina, tetapi masjid dan surau tidak perlu ada.

Kos perfileman bukanlah murah, apatah lagi untuk menggunakan wang zakat bagi membiayai pembikinan sesebuah filem. FT sendiri dalam halaman 3 SBKB memberi contoh sekitar RM700,000. Andai diguna untuk membiayai sesebuah filem, kos sedemikian banyak hanya diguna untuk perfileman dalam konteks bayaran pelakon, pelbagai kos pengambaran termasuk penginapan serta makan minum artis dan krew dan publisiti.

Bayangkan berapa ramai golongan daif dan papa yang boleh dibantu oleh pihak pengurusan zakat dengan wang sebanyak itu. Jumlah sebesar itu juga lebih sesuai digunakan untuk menanggung pengajian pelajar-pelajar miskin yang cemerlang seperti mana yang dilaksanakan pada masa ini.

Apakah wajar puluhan atau ratusan ringgit wang zakat diguna untuk membayar para pelakon? Tidakkah itu suatu kezaliman, bilamana wang zakat diberi pada individu yang tidak berhak apatah lagi menambahkan kemewahan para artis, sedang ramai lagi insan berhak yang memerlukan.

PERKARA 2

Sebongkah Batu Di Kuala Berang m/s 22-23

Muka surat 22, “Benar. Kehadiran Islam menguatkan aspek sinkretisme sebelum ini malah menjadikannya bertambah rencam. Apa yang terjadi ialah kemasukan Islam di Nusantara tidak mengubah bentuk kebudayaan kita. Ini berlaku kerana sebahagian ajaran Islam yang datang ke sini memang dicampuradukkan dengan doktrin-doktrin lain seperti Jabariah, Hinduisme, unsur-unsur Zarathustra, Budhhisme dan sebagainya. Di pihak lain, Islam Nusantara yang bercampur ini menyesuaikan diri dengan kepercayaan yang sudah lama bertapak di sini.”

HUJAH

Pernyataan di atas jelas menunjukkan novelis ini dipengaruhi pandangan sejarawan orientalis yang sentiasa mahu menutupi kejayaan dakwah Islam. Tuduhan sinkretisme, bahawa Islam yang datang dicampuraduk dengan ajaran Jabariah, Hinduisme, unsur-unsur Zarathustra, Budhhisme dan sebagainya adalah satu fitnah liar ke atas agama Islam, para ulama dan pendakwah Islam silam yang berusaha menyebarkan agama suci ini.

Menerusi SBKB, FT mahu mengangkat Syiah Imam 12 (FT mengguna nama Mazhab Ja’fari) di Iran (Parsi) sebagai kononnya pendakwah Islam sebenar. Namun, lupakah FT hakikat bahawa Zarathustra (zoroastrianisme) itu ialah agama asal penduduk Parsi?

PERKARA (3)

Petikan dialog di halaman 23-24 :

Sebongkah Batu Di Kuala Berang m/s 24

Syarifah terus mencungkil kesegaran ilmu dan idea Prof. Iman, “Tetapi Islam yang mula-mula tiba ialah Islam sufi?”

“Betul. Justeru, sinkretisme ini menjadi bertambah rencam kerana adalah dipercayai kehadiran Islam ke Nusantara dibawa oleh ahli sufi dan ulama tasawuf. Terdapat beberapa persamaan dalam ilmu tasawuf dengan kepercayaan-kepercayaan lampau penghuni rantau ini. Persamaan-persamaan tertentu dalam ilmu tasawuf dengan kepercayaan lampau penghuni rantau ini telah memudahkan penerimaan Islam, juga dalam masa yang sama mengukuhkan sinkretisme.

Beberapa aspek dalam tasawuf yang melampau seperti konsep zuhud turut diamalkan oleh sami-sami Buddha,….”

“Kelemahan Islam yang dibumbui sufisme  dan diwarnai sinkretisme ini?”

“Dakwah dan kehadiran Islam menerusi ahli tasawuf ini menyebabkan islam tertumpu kepada hal-hal ubudiyah atau ibadat sahaja serta menyebabkan pengabaian banyak aspek lain. Maka pendakwah Islam kurang berjaya mengubah pandangan hidup dan cara hidup masyarakat Melayu tradisional kepada yang lebih murni yang dikehendaki Islam sebenar…”

HUJAH

Saya berpendapat dialog yang diketengahkan oleh FT ini membawa kepada fitnah ke atas ilmu tasawuf, seterusnya menyebabkan golongan yang tidak memahami tasawuf, menjauhinya. Intipati dan pengamalan tasawuf amat berbeza dengan ajaran Hindu, Buddha, dan lain-lain. Timbul persoalan, apakah FT tidak tahu perbezaan antara tasawuf sebenar (tasawuf sunni) dengan tasawuf falsafi yang merupakan ajaran sesat berbentuk sufi palsu. Atau adakah beliau sengaja tidak mahu membezakannya?

Tasawuf sunni meru­pa­kan intipati ajaran Islam yang dihubungkaitkan dengan rukun Islam, Iman dan Ihsan. Ia bukan sekadar ubudiyah seperti yang dicatat FT dalam SBKB, tetapi tasawuf sunni merangkumi ilmu tauhid, adab, dan pembentukan insan berakhlak mulia (akhlakul karim). Tidakkah untuk mengisi politik, ekonomi dan sebagainya memerlukan insan yang sedemikian rupa?

Sheikh Imam Junaid Al-Baghdadi r.a. (wafat 297 H) mengatakan bahawa: “makna tasawuf ialah, menggunakan setiap akhlak yang sunni (bertepatan dengan sunnah) dan meninggalkan setiap akhlak yang danni (rendah dan buruk)” (An-Nasrah An-Nubuwwah, Sheikh Mustofa Al-Madani m/s 22)

Pemikir Islam kontemporer, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menyebut “Tasawuf yang tulen sesungguhnya telah banyak berjasa dalam mengukuhkan iman serta kepercayaan Muslimin sewaktu kekabutan dan kekeliruan dan kezaliman memerangkap Ummah dalam jeratannya. Tasawuf telah menetaskan adab ke dalam jiwa Muslim, dan telah menghiasi tamadun dan diri muslim dengan kesusasteraan ruhani yang luhur murni bagai bingkisan mewah dengan keindahan yang seni-seni tiada bertara.” (‘Risalah Untuk Kaum Muslimin’ halaman 176)

Permasalahan sebenar ialah pada tasawuf falsafi. Golongan sufi palsu inilah yang telah mencemar nama baik tasawuf. Aliran sufi palsu telah mencampuradukkan pelbagai ajaran animisme, hinduisme, Buddha dan zoroastrianisme lantas menghiasinya dengan perkara-perkara berkaitan Islam. Maka membiaklah ajaran-ajaran batiniyah dalam masyarakat.

Artikel ini bersambung di Bahagian 2…. klik di sini.

Tazkirah SJ : ‘Ketuanan Melayu: Antara Konsep dan Isu’

Artikel berikut hendaklah dibaca tanpa sentimen politik kepartian.
Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis

Pendahuluan:

Sebagaimana telah dijelaskan, konsep ketuanan Melayu bukanlah suatu ungkapan yang tidak ada pengertiannya, tetapi mengandungi makna yang besar. Apabila seseorang menyeru ke arah menolak konsep ketuanan Melayu dan semangatnya seumpama seseorang yang mempunyai sebuah rumah lalu mengisytiharkan rumah tersebut bukan miliknya lalu diberikan kepada sesiapa yang menginginkannya secara percuma. Bahkan, isu itu lebih dari sekadar itu sahaja.

Ia sememangnya melibatkan isu yang lebih luas dalam konteks negara Malaysia ini terutamanya melibatkan institusi beraja di tanah Melayu (atau Malaysia) ini yang bertanggungjawab menjaga agama dan keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera yang merupakan penduduk asal di Malaysia.

Para ulama’ Nusantara bersemangat mempertahankan ke”nusantara”an mereka dengan gelaran merujuk kepada tanah asal masing-masing (seperti Al-Fathani, Al-Falambani, Al-Banjari, Al-Bantani, Al-Jawi, Al-Fadani, Al-Filfilani, Al-Kalantani dan sebagainya) di samping menulis kitab-kitab agama dalam tulisan Jawi membuktikan semangat ini perlu terus dipertahankan melalui segenap konsep yang dapat dimanfaatkan untuk tujuan tersebut.

Ketuanan Melayu bukan semata-mata isu politik sehingga sesetengah pihak mengaku sedang menjuarai agenda mempertahankannya sedangkan sebahagian yang lain cuba menghancurkannya atas dasar ianya adalah agenda politik sesetengah parti bersemangat kebangsaan. Ukurannya adalah ilmu dan falsafah umumnya, sebelum emosi dan situasi khusus yang bersifat cabang di sekitarnya.

Teras Mencintai Tanah Air

Islam sangat menjaga dan meraikan unsur fitrah dalam diri manusia. Antaranya, termasuklah kecintaan kepada tanah air yang menjadi fitrah dan tabiat murni dalam diri mereka. Bahkan, merasa betapa tanah air tercinta sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia adalah suatu yang mengalir dalam kemanusiaan manusia.

Rasulullah s.a.w. menzahirkan rasa kecintaan terhadap tanah air Baginda s.a.w. yang tercinta, iaitu bumi Makkah, sebagaimana dalam sabda Baginda s.a.w. ketika keluar berhijrah meninggalkan bumi Makkah tersebut:

ما أطيبكِ من بلد ، وأحبَّكِ إليَّ ، ولولا أن قومي أخرجوني منكِ ما سكنتُ غيركِ ” .

Maksudnya: Alangkah indahnya engkau (wahai Makkah) selaku tempat kediaman dan engkaulah yang paling ku cintai. Andai bukan kerana kaumku mengeluarkanku daripadamu, nescaya aku tidak akan mendiami di mana-mana tempat selainmu”.

[Hadis riwayat Imam At-Tirmizi, no: 3926]

Islam: Antara Keluasan Ajarannya dan Pengiktirafan Fungsi Perbezaan Dalam Masyarakat

Ramai orang membincang sesuatu isu secara terpisah sehingga akhirnya membuat kesimpulan yang tidak menyeluruh. Begitulah yang berlaku dalam menilai ajaran Islam dan pedomannya dalam sesuatu permasalahan dan isu. Ajaran Islam mengajar tentang keluasan ajarannya yang menjangkau perbezaan bangsa dan sempadan daerah, namun dalam masa yang sama tidak menafikan hikmah di sebalik perbezaan bangsa yang menghuni d sesuatu tempat tersebut.

Ketika Allah s.w.t. menyebut tiada beza di sisi Allah s.w.t. antara mana-mana kaum melainkan dengan takwa, namun Allah s.w.t. masih menjelaskan wujudnya fungsi perbezaan kaum tersebut yang perlu dihayati. Dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu.”

(Al-Hujurat: 13)

Ayat ini menjelaskan sebahagian fungsi perbezaan antara jantina dan bangsa adalah untuk saling mengenali dengan ciri-ciri keistimewaan mereka yang tersendiri. Antara ciri-ciri keistimewaan masing-masing adalah tanah asal mereka itu sendiri yang akhirnya akan disentuh secara lebih terperinci selepas ini. Jadi, seseorang tidak dapat menolak kepentingan ciri-ciri keistimewaan dalam kelainan antara sesama bangsa yang berbeza dalam pada menetapkan keluasan ajaran Islam. Ia adalah dua perbahasan yang berbeza tetapi tidak terpisah.

Penduduk Tempatan dan Penduduk yang Berhijrah dalam Mafhum Al-Qur’an

Kita perlu melihat konteks penduduk “tempatan” dan mereka yang berhijrah dari sesebuah tanah air asal menuju ke sesuatu tempat yang baru dalam neraca dan panduan murni Al-Qur’an Al-Karim. Allah s.w.t. berfirman:

(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (agama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

[Surah Al-Hasyr: 8-9]

Dalam ayat ini menceritakan tentang dua golongan Islam yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. iaitulah orang-orang Muhajirin dan orang-orang Anshar. Allah s.w.t. menjelaskan betapa orang-orang Muhajirin yang berhijrah dari kampung halaman mereka menunjukkan Islam meraikan sudut sejarah bagi sesuatu kaum yang berhijrah dari sesuatu tempat menuju ke sesuatu tempat yang lain.

Begitu juga, ayat seterusnya menceritakan tentang orang-orang Anshar yang “mendiami” negeri Madinah lalu mengasihi para muhajirin yang berhijrah ke negeri “mereka” (iaitu negeri orang-orang Anshar). Allah s.w.t. tidak menghilangkan nisbah orang-orang Anshar sebagai tuan kepada kediaman mereka sendiri dengan menisbahkan negeri tersebut kepada mereka.

Ayat ini mengajar kita bagaimana berinteraksi dengan isu bangsa dan tempat kediaman dengan melihat sejarah sesuatu bangsa yang sudah memegang pemerintahan di sesuatu tempat dengan bangsa yang berhijrah lalu menghuni di tempat orang lain. Biarpun Saidina Rasulullah s.a.w. memimpin orang-orang Islam secara umumnya, namun kepimpinan tempatan seperti negeri Madinah kepada orang-orang Anshar, negeri Makkah kepada para pembesar Quraisy dan sebagainya.

Jadi, ayat ini menjelaskan bagaimana mengiktiraf ketuanan bangsa kepada sesuatu tempat adalah sesuatu yang diamalkan dalam Al-Qur’an walaupun tanpa istilah-istilah ketuanan dan sebagainya. Pun begitu, tetap sahaja, maksud ketuanan sesuatu bangsa iaitu kepimpinan tempatan bagi sesuatu bangsa yang memimpin di tempat mereka tersebut diraikan dalam ajaran Islam.

Persekitaran Istilah Ketuanan Melayu

Definisi Ketuanan Melayu selalunya sekitar “Bangsa Melayu sebagai bangsa asal Tanah Melayu (Malaysia) selain bangsa pribumi yang lain”.

Dalam wikipedia menyebut:

“Ketuanan Melayu ialah kontrak sosial yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia. Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.”

Dr. Mohd Ridhuan Tee berkata:

“Ketuanan Melayu hanya satu istilah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu adalah bangsa asal negara ini, selain orang asli. Atas kefahaman ini, maka saya dapat menerima istilah ini tanpa prejudis, apatah lagi untuk mempertikaikan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang, berasal dari Yunan dan Indonesia.”

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

Istilah Ketuanan (As-Siyadah)

Sesetengah orang yang cuba menolak konsep ketuanan hanya kerana tidak mampu memahami isu bahasa dengan baik. Ada yang mendakwa konsep ketuanan (ketuanan Melayu sebagai contoh) menyebabkan bangsa-bangsa lain adalah hamba kerana lawan bagi tuan adalah hamba. Anggapan begini adalah suatu anggapan yang lahir daripada kejahilan terhadap keluasan sesuatu istilah.

Dalam bahasa Arab, perkataan as-sayyid (tuan) tidak menyebabkan selain daripada orang yang dipanggil as-sayyid adalah hamba-hamba kepada as-sayyid tersebut. As-Sayyid atau tuan adalah suatu ungkapan untuk menghormati seseorang yang mempunyai kedudukan dan kepimpinan.

Istilah tuan hanya merujuk kepada hamba jika istilah tuan itu dinisbahkan kepada seseorang untuk tujuan menjelaskan status kehambaan orang yang dinisbahkan tersebut. Seperti contoh, tuan si A, boleh membawa maksud tuan kepada si A tersebut sedangkan si A adalah hamba kepada tuan tersebut.

Tetapi, jika dikatakan tuan kepada sesuatu bangsa, tempat dan sebagainya, tidak menyebabkan selain “tuan” adalah hamba. Mengapa mengelirukan orang-orang sekeliling dengan kekeliruan diri sendiri? Lihatlah dalam Kamus Dewan Edisi Kedua dalam menjelaskan maksud kalimah “tuan”:-

1 panggilan bagi orang lelaki yg berpangkat atau yg patut dihormati: ~ hakim. 2 panggilan bagi wanita bangsawan (spt puteri raja): ~ puteri. 3 kata ganti nama diri bagi orang lelaki atau orang perempuan yg di­lawan bercakap: ~ hendak ke mana? 4 yg empunya; pemilik: Siapa ~ kedai ini? 5 orang tempat seseorang meng­hambakan diri; lw hamba: ~ saya baru saja keluar. ~ rumah a. pemilik rumah. b. orang yg meraikan tetamu. tuan-tuan sekalian orang yg hadir dlm sesuatu keramaian, majlis dll: Saya mengucapkan berbanyak-banyak te­rima kasih atas kerjasama ~. bertuan ada tuannya atau ada pemiliknya; mem­­­punyai penguasa: Rumah ini belum ~ lagi. bertuankan menerima atau mengakui seseorang sbg tuan. menuani berlaku sbg tuan terhadap (sesuatu atau seseorang); menguasai; memiliki. menuankan menjadikan sbg tuan; memanggil tuan kpd orang yg dilawan berbicara. ketuanan hak memerintah; kekuasaan: Kublai Khan mendesak Singhasari menerima ~ Mongol. pertuanan 1 golongan bangsawan. 2 pemerintahan. dipertuan dimuliakan. Yang di-Pertuan Agong ketua negara Malaysia.

Maksud tuan dalam kalimah ketuanan Melayu yang difahami umum sudah semestinya merujuk kepada maksud yang keempat iaitu bangsa Melayu sebagai pemilik asal tanah Melayu ini.

Ketuanan sendiri dalam Kamu Dewan Edisi Keempat menyebut:

“hak menguasai dan memerintah sebuah (negeri, daerah, dll), kedaulatan:”

Jadi, di mana salahnya istilah “ketuanan” Melayu ini melainkan pada salah faham sesetengah pihak atau di sisi mereka yang cuba mengelirukan masyarakat umum. Benarlah kata Dr. Mohd Ridhuan Tee:

“Penggunaan istilah ketuanan Melayu tidak langsung menggambarkan hubungan antara ‘tuan’ dengan ‘hamba’ sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu.”

[Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm]

Ketuanan Melayu dan Perlembagaan

“Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu — kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia.”

Maksudnya, ketuanan Melayu berkait rapat dengan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong (Raja Melayu) menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia yang dirujuk sebagai Bumiputera. Dalam ungkapan perlembagaan, ianya disebut sebagai Artikel 153 Perlembagaan Malaysia sedangkan dalam kontrak sosial, ianya disebut sebagai ketuanan Melayu.

Ramai orang tidak faham ungkapan ini secara menyeluruh akhirnya membuat kesimpulan betapa ketuanan Melayu membawa kepada pengabaian terhadap kaum-kaum lain. Jika kita rujuk secara dekat dalam artikel 153 ini, apa yang disebut adalah berkenaan dengan menjaga “kedudukan keistimewaan” Bumiputera. Ia tidak menafikan aspek “menjaga” hak-hak kaum lain kerana pengkhususan tanggungjawab penjagaan dalam artikel tersebut lebih merujuk kepada kedudukan keistimewaan yang khusus kepada Bumiputera.

Jadi, penjagaan terhadap “kedudukan keistimewaan” secara khusus bagi sesuatu bangsa yang menjadi penduduk asal Malaysia tidak menafikan penjagaan “hak-hak” setiap kaum secara umum. Apa yang berbeza adalah, sesetengah kaum mempunyai hak dan sesetengah kaum yang lain (penduduk asal) mempunyai hak dan kedudukan keistimewaan. Itu sahaja.

Antara Ketuanan Islam dan Ketuanan Melayu

Sudah tentulah, setiap istilah perlu kepada definisinya yang sesuai dengan penggunaannya yang tepat dalam bahasa yang digunakan. Istilah ketuanan dalam bahasa Melayu sendiri merujuk kepada:-

- hak memerintah; kekuasaan [Kamus Pelajar]
- hak menguasai dan memerintah sebuah (negeri, daerah, dll), kedaulatan [Kamus Dewan Edisi Empat]

Jika kita menisbahkan kalimah “ketuanan” kepada kalimah Islam bererti kita bermaksud bahawa Islam mempunyai hak memerintah dan mempunyai kekuasaan. Padahal, Islam adalah agama yang menjadi panduan dalam urusan kehidupan manusia secara menyeluruh, tetapi tidak pula mempunyai “hak memerintah” sebagaimana yang dimaksudkan oleh kalimah ketuanan itu sendiri. Perkataan hak sendiri merujuk kepada individu, bukan kepada sesebuah agama.

Sedangkan, ketuanan Melayu pula merujuk kepada “hak memerintah” (atau sekurang-kurangnya merujuk kepada “penduduk asal di tanah Melayu”), bagi bangsa Melayu di Malaysia. Sudah pasti kalimah ketuanan Melayu dan ketuanan Islam berbeza kerana afraad (individu-individu) yang terkandung dalam dua kalimah tersebut berbeza sama sekali.

Jika disebutkan kalimah “ketuanan Islam”, maka ianya tidak merujuk kepada konsep mempertahankan “hak keistimewaan bangsa Melayu sebagai penduduk asal Malaysia di samping Bumiputera yang lain” sebagaimana ianya terkandung dalam kalimah Ketuanan Melayu, kerana ketuanan Islam akan merangkumi bangsa selain Melayu dan Bumiputera yang telah memeluk Islam. Ia tidak salah dari sudut ajaran Islam tetapi tidak juga sampai kepada maksud sebenar fungsi istilah “ketuanan Melayu” yang berkait rapat dengan artikel 153 dipertahankan dalam Perlembagaan.

Istilah “ketuanan Islam” juga tidak bersifat mani’e untuk merujuk kepada semangat sebenar di sebalik artikel 153 ini bahkan sebaliknya, isitilah “ketuanan Melayu” lebih merangkumi maksud ketuanan Islam secara tidak langsung kerana dalam takrif Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan adalah:-

Orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Tanah Melayu atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Tanah Melayu atau Singapura. [Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia]

Penutup Ringkas: Hak dan Keistimewaan Bumiputera

Tan Sri Prof. Khoo Kay Kim berkata:

“Memandang dari sudut kuota pula, kita seharusnya tidak menafikan hak kuota Bumiputera yang mempunyai banyak kelebihan dalam pelbagai aspek kerana mereka rakyat beraja. Kerajaan memang diasaskan oleh orang Melayu yang masyarakatnya terdiri dari dua kelas iaitu kelas yang memerintah dan kelas yang diperintah.”

[Majalah Milenia, September 2010, m/s: 19].

Ketika membincangkan tentang ketuanan Melayu, kita membincangkan tentang “tanah Melayu” yang lebih dikenali sebagai Malaysia ketika ini. Ia tentang penduduk asal, kerajaan asal, pentadbiran asal dan bangsa pembangun tamadun asal di tanah bernama Malaysia tersebut. Ia sudah pasti tidak terpisah daripada Islam bahkan Islam sendiri adalah panduan terbaik dalam membentuk sebuah konsep terbaik berkaitan ketuanan Melayu ini.

Wallahu a’lam….

Maahad al-Zaytun : Panji ‘Tak Lagi’ Gumilang

Oleh: Raihan

Jakarta, FaktaPos.com
– Dua kali mengkir dari panggilan Mabes Polri, Pimpinan Pondok Pesantren Al Zaytun, Panji Gumilang, justru mengerahkan ribuan pendukungnya. Panji,  kembali “absent” pemeriksaan dengan alasan sakit. Ia mengalami gejala penyakit jantung.  Kondisi kesehatan, tersangka pemalsuan dokumen akta pendriian Yayasan Pesantren Indonesia , belum membaik. Keterangan itu berdasarkan hasil pemeriksaan terakhir dokter poliklinik di Pondok Pesantren Al Zaytun, yang dipimpinnya.

Meski tak memenuhi panggilan polisi, tapi simpatisan dan pendukung Panji Gumilang,  yang mengatasnamakan Masyarakat Indonesia Membangun (MIM), Kamis (14/07) mendatangai Bareskrim Polri. MIM merupakan organisasi yang anggotanya terdiri dari alumnus dan orang tua santri Al Zaitun, menuntut penghentian kasus yang menjerat Panji Gumilang, dan membebaskan orang kepercayaannya, Abdul Halim, yang ditahan sejak awal Juli lalu. Massa juga meminta Polri merehabilitasi nama baik Panji yang sudah berusia 65 tahun itu.

Massa yang menggelar aksi longmarch, menyusuri jalanan ibukota itu, membentangkan spanduk berisi pesan “Hentikan Pendzaliman Terhadap Pimpinan Pondok Pesantren Al-Zaytun, Panji Gumilang” dan “Berikan Pengasuh Pondok Pesantren Al-Zaytun Keadilan dan Jangan Terus Difitnah karena Mereka sedang Mengemban Amanah Bangsa dan Negara, Mendidik dan Mencerdaskan Bangsa”. Entah apa yang dimaksud dengan pendzaliman dan fitnah yang dimaksud pengunjukrasa.

Panji Gumilang menjadi tersangka kasus pemalsuan dokumen dan dijerat pasal  263 dan 266 KUHP tentang pemalsuan surat . Panji terancam hukuman 7 – 8 tahun penjara. Panji dilaporkan, Mantan Menteri Negara Islam Indonesia (NII), Imam Supriyanto karena merasa bahwa dalam surat pengunduran dirinya tersebut terdapat tanda tangan palsu.Selain pemalsuan, Panji juga dilaporkan dengan tuduhan maker, terkait dengan NII Komandemen Wilayah IX. Namun, pengusutan kasus maker belum ada perkembangan.

Laporan Imam tidak dapat dianggap remeh. Sebagai mantan menteri NII, Imam tahu betul sepak terjang Panji Gumilang. Alasan sakit memang salah satu cara menghindari dari pemeriksaan. Karena saat diperiksa sebagai saksi, Panji Gumilang, masih segar bugar. Bahkan Ia menegaskan akan memberikan semua keterangan atas tuduhan itu. Namun setelah di periksa 13 jam dan ditetapkan sebagai tersangka, Panji tak bisa lagi mengelak.

Upaya mengerahkan massa , semakin menunjukan Panji Gumilang patut diperhitungkan. Massa yang tumpah ruah di lapangan Bhayangkara, Mabes Polri datang bukan tanpa perintah. “Ketaatan” mereka, membuktikan Panji Gumilang, memiliki power. Sebagai seorang pimpinan pesantren, Panji tidak banyak bergaul dengan ulama. Bahkan Al Zaytun boleh dibilang sangat “tertutup”. Pesantren yang berdiri di Indramayu, Jawa barat itu, tak ubahnya tangsi militer. Setiap tamu yang datang harus menjalani prosedur pemeriksaan, mirip saat berkunjung ke komplek militer. Aturan itu jelas berbeda dari Pesantren pada umumnya.

Panji Gumilang dilantik Adah Djaelani menjadi ketua NII KW IX pada 1993. Panji, saat itu dikenal dengan sebutan Abu Toto Abdus Salam. Selain nama Abu Toto, Panji Gumilang juga memiliki sederet nama alias, diantaranya Abu Bakar Alias Prowoto alias Abu Maariq. Dalam dokumen yang ditemukan Forum Ulama Umat Indonesia, jelas disebutkan keterlibatan Panji Gumilang terkait kegiatan makar. Bahkan dokumen itu juga mencatat konflik internal antara Panji Gumilang dengan perwira militer NII KW IX hingga peta wilayah negara NII. Tak ada salahnya Polisi menyelidiki laporan mantan menteri NII, Imam Supriyanto,  dengan dokumen FUUI, yang sempat terbengkalai.

Panji Gumilang yang disapa santrinya dengan sebuta Syekh itu, tak perlu sakit jika merasa benar, dan tidak memalsukan dokumen akta pendirian YPI. Sikap menghindar dari pemeriksaan, dengan alasan sakit, seperti tersangka korupsi lainnya, secara tidak langsung menunjukan kepada public, bahwa ia bersalah. Panji pun kini tak  Gumilang. (nov)

sumber : http://www.faktapos.com/content/fakta-analisa/9657-panji-qtak-lagiq-gumilang.html