RSS

Perlunya Rujukan Muktabar Untuk Memahami Al-Quran

23 Feb

Dalam surah al-Baqarah ayat 121, ALLAH berfirman yang bermaksud “Dan mereka yang KAMI berikan al-Kitab mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barangsiapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi.”

Berhubung dengan golongan “yang membaca al-Kitab dengan bacaan yang sebenarnya,” Abdullah ibn Masud berkata, “Demi ALLAH, maksud membaca al-Kitab dengan bacaan yang sebenarnya adalah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana yang diturunkan ALLAH, tidak mengubah kalam TUHAN dari tempatnya serta tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul.” (1)

Al-Quran mempunyai disiplin & metodologi pentafsiran yang tersendiri. Mengikut sahabat Abdullah ibn Abbas, seperti yang diriwayatkan oleh Imam ibn Jarir, tafsiran al-Quran mempunyai empat wajah.

Pertama, tafsiran yang difahami oleh masyarakat arab kerana ia adalah bahasa mereka.

Kedua, tafsiran yang dapat difahami oleh semua orang tanpa pengecualian (kerana ia menyentuh perkara asas).

Ketiga, tafsiran yang hanya diketahui oleh para ulama, dan

Keempat, tafsiran yang tidak diketahui oleh sesiapapun kecuali ALLAH s.w.t.

Apabila perincian suatu ayat tidak diperoleh daripada al-Quran, sunnah perlu dirujuk bagi memahami maksudnya. Contohnya , berhubung dengan ayat 238 surah al-Baqarah yang bermaksud “peliharalah segala solatmu dan peliharalah solat wustha,” Imam Ahmad meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud, “Kita telah disibukkan dari melakukan solat wustha iaitu solat asar.” Hadis ini menerangkan maksud solat wustha adalah solat asar.

Sekiranya al-Quran & Sunnah sudah dirujuk tetapi maksud suatu ayat masih belum jelas, kita perlu merujuk pada perkataan sahabat-sahabat Nabi terutamanya keempat-empat Khalifah ar-Rasyidin, Abdullah ibn Masud dan Abdullah ibn Abbas kerana mereka lebih mengetahui al-Quran berbanding orang lain. Mengenai sahabat Abdullah ibn Abbas, Rasulullah pernah mendoakan doa khas untuk beliau yang bermaksud, “Ya ALLAH, mantapkanlah ilmu agamanya dan ajarkanlah kepadanya ilmu takwil al-Quran.” Berhubung dengan kelebihan sahabat Abdullah ibn Masud, Masruq pernah meriwayatkan pernyataan beliau yang bermaksud, “Demi ALLAH, tidak diturunkan suatu ayat al-Quran melainkan aku mengetahui untuk siapa ia diturunkan dan di mana ia diturunkan.” Hal ini disebutkan di dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim oleh Imam ibn Kathir.

Salah satu contoh tafsiran sahabat Nabi adalah berhubung dengan ayat 185 surah al-Baqarah. Ayat ini menjelaskan al-Quran diturunkan khusus pada bulan Ramadhan sedangkan semua orang mengetahui al-Quran diturunkan secara berperingkat dalam pelbagai bulan selama lebih kurang 23 tahun. Menurut sahabat Abdullah ibn Abbas seperti yang dinukilkan dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim oleh Imam Ibn Kathir, al-Quran diturunkan secara keseluruhannya di Baitul Izzah yang terletak dilangit dunia, pada malam al-Qard (rujuk surah al-Qard ayat 1) pada musim Ramadhan, sebelum diturunkan sedikit demi sedikit kepada Rasulullah s.a.w.

Apabila perincian maksud masih belum diperoleh walaupun selepas merujuk kepada perkatan sahabat-sahabat Nabi, kita perlu memanfaatkan pendapat ulama tabiin kerana mereka adalah anak murid kepada sahabat-sahabat Nabi.Antara individu yang menonjol dalam bidang tafsir adalah anak-anak murid Abdullah ibn Abbas iaitu Imam Mujahid, ‘Atha bin Rabah, Ikrimah dan Said bin Jubair. Seorang lagi tokoh adalah Imam Masruq bin Masud (2).

Disamping itu, pandangan-pandangan ulama selepas tabiin juga boleh dimanfaatkan. Antara mereka adalah Sufyan bin Uyainah, al-Kalbi, Muhammad Ishak, Muqatil bin Sulaiman dan al-Waqidi.

Pentafsiran al-Quran yang berlandaskan pandangan akal semata-mata tanpa merujuk saluran yang muktabar adalah diharamkan. Ini berdasarkan hadis Nabi yang bertaraf hasan, diriwayatkan oleh at-Tirmizi, an-Nasai & Abu Daud yang bermaksud :

“Sesiapa yang mentafsirkan al-Quran dengan menggunakan akal semata-mata ataupun berdasarkan sesuatu yang tidak difahaminya, sila ambil tempatnya dalam neraka.”

Rujukan :

- (1) Al-asas fit Tafsir, jilid 1 hal.230

- (2) Tafsir al-Quran Al-Azim, Ibn.Kathir, Drul Fikr; jilid 1, hal.3-5

- Bahan Berdakwah, Dr.Daniel Zainal Abidin.

About these ads
 
 

5 responses to “Perlunya Rujukan Muktabar Untuk Memahami Al-Quran

  1. nak tau

    10/08/2010 at 2:03 am

    susah jugak ya nak belajar Al-Quran,nak baca kitab Allah kena baca kitab manusia dulu.

    “Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?” Al-Qamar 17

    “Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah;” toha 2

    ayat ni macamana nak tafsir.

     
    • suarajagat

      10/08/2010 at 2:29 pm

      saudara nak tau..

      susah jugak ya nak belajar Al-Quran,nak baca kitab Allah kena baca kitab manusia dulu.

      Penjelasan SJ :
      siapa kata susah atau perlu membaca kitab manusia terlebih dahulu?
      Apa yang dimaksudkan di sini ialah untuk memahami tafsiran al-Quran, perlulah mengikut disiplin keilmuan yang telah ditetapkan oleh para sahabat r.a, tabi’en, tabi’ut tabi’en dan para ulama tafsir yang mengikuti mereka. Ini adalah bertujuan agar kefahaman kita tidak tergelincir dari landasan yang betul.

      Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, para sahabat Baginda sendiri sering merujuk dan meminta penjelasan dari Ibnu Abbas r.a dan Ibnu Mas’ud r.a untuk memahami sesuatu tafsiran ayat atau asbabun nuzul. Demikian juga para tabi’en yang menjadikan mereka tempat rujukan. Ini kerana kedua-dua mereka adalah sahabat Rasulullah yang sangat fakih/mendalam pengetahuannya tentang isi kandungan al-Quran al-karim.
      Kerana itu juga mereka di rujuk ketika proses pembukuan al-Quran.

      Ayat 17 surah al-Qamar yang diulang sebanyak 4 kali dalam surah tersebut dan ayat ke-2 surah Toha yang anda kepilkan di atas merupakan antara ayat yang sering cuba diselewengkan maksudnya oleh golongan anti-hadis mahupun golongan yang membuat pentakwilan sendiri.

      Mereka sering menjadikan ayat tersebut sebagai hujah/justifikasi bagi membolehkan penafsiran al-Quran di buat oleh mereka sendiri.

      Ayat tersebut sebenarnya merupakan penegasan ALLAH Ta’ala tentang pentingnya mengambil pengajaran dari kisah para anbiya’ yang di nyatakan dalam al-Quran khususnya sebagaimana yang disebut dalam surah al-Qamar.

      Ayat tersebut juga adalah penegasan tentang pentingnya untuk mempelajari al-Quran..mempelajari di sini bukanlah bermaksud baca dan terus boleh faham serta takwil sendiri..tetapi maksud mempelajari di sini merangkumi kefahaman bahasa arab, balaghahnya, nahu dan sharaf, qira’at, asbabun nuzul, usul fiqh, ilmu tadabbur, nasikh dan mansukhnya.
      Dengan mendalami ilmu-ilmu inilah, maka umat Islam akan dapat mengambil pelajaran/ intipati al-Quran. Apatah lagi bagi masyarakat Ajam (bukan Arab) seperti kita. Hal ini adalah supaya tidak berlaku kekeliruan dalam penafsiran disebabkan bahasa yang berbeza. Justeru, untuk memahami al-Quran tidak boleh dilihat terus kepada kitab terjemahan al-Quran berbahasa melayu tetapi perlulah meneliti istilah bahasa arab dan konteks penggunaan istilah tersebut oleh masyarakat arab.
      Melalui ilmu2 inilah para ulama mampu berijtihad dan menetapkan tentang hukum sesuatu perkara/masalah yang timbul pada masa terkemudian, yakni perkara yang tidak timbul atau berlaku/ wujud di waktu zaman Rasulullah s.a.w.

      maka, untuk mentafsir ayat 17 surah al-Qamar, perlulah juga meneliti firman ALLAH dalam Surah Ad-Dukhaan 44:58,(maksudnya) ”Sesungguhnya Kami mudahkan Al Qur’an itu dengan bahasamu (bahasa Arab) supaya mereka mendapat pelajaran.”

      Imam as-syafiee r.h.m berkata :
      “Tidaklah boleh untuk sesiapapun berijtihad sehingga ia menjadi alim dengan sunnah-sunnah, perkataan-perkataan Salaf, persepakatan masyarakat dan perbezaan pandangan di kalangan mereka dan mahir bahasa Arab.”

       
      • nak tau

        13/08/2010 at 9:06 pm

        terima kasih atas penjelasan tuan…

         
  2. iman

    12/07/2012 at 3:53 pm

    muktabar ape?

     
    • suarajagat

      12/07/2012 at 5:07 pm

      Ulama’ muktabar ialah ulim ulama’ besar contohnya seperti Imam Abu
      Hanifah, Imam Syafei, Imam Malik dan Imam Ahmad Ibnu Hanbal yang
      mengasaskan mazhab Hanafi, Maliki, Syafei dan Hanbali di dalam bidang
      feqah dan usul feqh. Contohnya Imam Ibnu Kathir di dalam bidang penafsiran
      al-Quran. Begitu juga Imam Bukhari, Mulim, Ibnu Majah yang mempelopori
      bidang Hadith begitu juga Imam al Maturidi dan Al-Asyai’rah di dalam
      bidang tauhid atau dikenali sebagai ilmu kalam. Semuanya termasuk di dalam
      kelompok ulama ahli sunnah wal Jamaah.
      Justeru, perkataan ulama (kata jamak – plural) bagi Alim (Orang yang
      tahu/pakar di dalam apa jua bidang pengkhususan masing2) . Justeru
      perkataan ulama’ merujuk kepada orang yang pakar di dalam pengkhususan
      agama sahaja.

      sumber : http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/questions/view/21163

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 153 other followers

%d bloggers like this: