RSS

Risiko hantar anak belajar di Indonesia

17 Jul

Pada Hemat Saya
Oleh Zulkiflee Bakar
(Wartawan Utusan)
REPUBLIK Indonesia sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai paling banyak pesantren atau pondok pengajian agama. Malah negara itu juga popular dengan kewujudan para kiai dan ulama yang sering kali dikagumi oleh sebahagian besar umat Islam di negara ini.

Oleh itu tidak hairanlah, jika ramai ibu bapa di Malaysia begitu berminat untuk menghantar anak mereka belajar di pesantren di Indonesia dengan harapan ia akan memberikan pendidikan agama yang lebih baik.

Bagaimanapun dalam keadaan sekarang, ibu bapa seharusnya menghentikan keghairahan mereka itu kerana hakikatnya terdapat terlalu banyak kesan sampingan. Sepanjang tiga tahun bertugas di Indonesia, penulis berkesempatan untuk mengunjungi pelbagai pesantren yang menempatkan pelajar-pelajar Malaysia.

Apa yang dikhuatirkan oleh penulis ialah terdapat kecenderungan di kalangan pelajar Malaysia yang begitu taksub kepada kepimpinan pesantren mereka. Malah ada di kalangan pelajar kita yang menganggap pemimpin mereka itu bertaraf wali dan mampu memenuhi apa sahaja hajat dengan hanya satu sentuhan sahaja.

Perkara ini bukanlah rekaan, dalam satu tinjauan di sebuah pesantren di Tasik Malaya tahun lalu, penulis dipelawa oleh seorang pelajar Malaysia yang berasal dari Selangor untuk meminta `air azimat’ daripada pemimpin pesantren tersebut.

Pelajar itu mendakwa, pemimpin berkenaan tidak pernah melakukan dosa dan ramai orang percaya bahawa dia mempunyai kemampuan untuk menyembuhkan pelbagai penyakit atau memenuhi hajat seseorang hanya dengan menyentuh air yang diserahkan kepadanya.

Selain itu, penulis juga dipelawa untuk sembahyang sunat di kubur bapa kepada pemimpin pesantren itu kerana dikatakan keramat.

Apa yang dipaparkan ini hanya contoh kecil sahaja tetapi jika dikaji ia adalah satu kecenderungan yang cukup bahaya bagi pelajar kita yang rata-ratanya masih berusia bawah 17 tahun.

Penulis juga pernah menemui beberapa pelajar Malaysia yang berusia sekitar 14 hingga 15 tahun yang sudah belajar hampir tiga tahun di pondok pengajian agama di Indonesia.

Selain taksub kepada pemimpin mereka, pelajar-pelajar kita juga enggan bercuti di tanah air kerana menganggap lebih tenteram berada di pondok pengajian mereka – walaupun tempat itu terletak ibarat kata orang Kedah `di hulu banat’.

Semua keadaan ini berlaku kerana terdapat di kalangan ibu bapa yang menganggap pengajian agama Islam di Indonesia adalah lebih baik.

Bagi mereka, walaupun di Malaysia juga terdapat sekolah agama atau pondok pengajian tetapi ia tidak sebaik di republik tersebut.

Justeru mereka berlumba-lumba menghantar anak mereka ke republik berkenaan tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada mereka.

Penulis tidak menafikan bahawa di Indonesia memang terkenal dengan perkembangan dan pusat pengajian agama Islam tetapi ia tidak bermakna semuanya benar. Di Indonesia juga terdapat pesantren-pesantren yang mengajar ajaran-ajaran yang jika dikaji bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Malah pihak berkuasa Indonesia sendiri menyedari hal itu tetapi mereka tidak berupaya melakukan apa-apa kerana tidak ada peruntukan khas di negara tersebut untuk menghalang perkara berkenaan.

Selain itu, majoriti kumpulan fanatik agama termasuk kelompok jihad di Indonesia wujud hasil daripada gerakan oleh mereka yang berasal dari pesantren-pesantren.

Oleh itu berdasarkan kepada keadaan ini sudah tiba masanya kerajaan Malaysia mengkaji dengan serius untuk membentuk satu peraturan atau syarat yang menetapkan bahawa ibu bapa hanya menghantar anak mereka belajar agama di pondok pengajian atau universiti yang diiktiraf sahaja.

Pada masa ini adalah jelas bahawa tidak ada satu pun pesantren Indonesia yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Namun semua ini tidak dipertimbangkan oleh ibu bapa kerana mengetahui bahawa kerajaan tidak berhak menghalang mereka untuk menghantar anak mereka belajar di pesantren di Indonesia.

Keadaan ini jika dibiarkan, ia ibarat kita sedang mengimport pelbagai risiko dari segi perkembangan Islam ke Malaysia. Ia disebabkan adalah tidak mustahil jika pelajar-pelajar Malaysia yang dididik secara tidak benar di Indonesia membawa ajaran yang bertentangan dengan Islam ke negara ini.

Pelbagai peristiwa yang berlaku di negara ini yang berkaitan dengan fanatisme kelompok Islam boleh dijadikan bukti di mana apabila disiasat latar belakang mereka atau ajaran yang terlibat, ia berasal dari Indonesia.

Keadaan seperti itu tidak boleh dianggap remeh kerana ia boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada ketenteraman dan keselamatan negara terutama dari segi kesucian agama Islam. Beberapa usaha harus dilakukan oleh kerajaan bagi menarik semula minat ibu bapa untuk menghantar anak mereka belajar di sekolah agama di dalam negara.

Kewujudan sekolah agama yang lebih banyak serta mengenai syarat yang mudah untuk memasuki sekolah tersebut merupakan jalan terbaik bagi mengatasi masalah ini.

Program untuk memberikan maklumat yang lebih banyak kepada ibu bapa berhubung kewujudan sekolah agama terbaik di negara ini juga harus dipertingkatkan.

Ini kerana berdasarkan pandangan beberapa ibu bapa yang menghantar anak mereka ke Indonesia, mereka berpendapat di Malaysia tidak ada sekolah atau pondok pengajian yang terbaik seperti di Indonesia.

Pandangan serong seumpama ini tidak harus dibiarkan kerana hakikatnya negara kita mempunyai banyak sekolah agama yang mempunyai kredibiliti dan lebih baik daripada pondok pengajian agama di negara berkenaan.

Adalah diharapkan pada masa depan, melalui usaha bersungguh-sungguh Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan, budaya menghantar anak belajar agama ke Indonesia akan dapat dihapuskan.

arkib berita :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0427&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_02.htm&arc=hive&arc=hive

About these ads
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 154 other followers

%d bloggers like this: