RSS

Ahli Sunnah Wal Jamaah (bhg.4) : Memperkukuh Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

17 Feb

Secara kebetulan artikel yang sangat berguna telah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia. Setelah meneliti isi kandungannya yang ringkas dan padat, SJ berpendapat artikel tersebut wajar disiarkan di blog ini sebagai bahan hebahan dan pengetahuan semua pihak.

Oleh SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my

GOLONGAN ulama mempunyai kedudukan tinggi dalam agama Islam. Justeru, mereka sentiasa dihormati oleh masyarakat. Dengan perkembangan semasa yang semakin mencabar dalam dunia Islam dan pembangunan ummah, tanggungjawab mereka kini semakin berat dalam menyuluh lampu hidayah kepada umat.

Lebih-lebih lagi hari ini, kita melihat cabaran umat sangat kritikal sifatnya sama ada dalam bentuk fizikal iaitu politik, sosial, ekonomi dan sebagainya, mahupun dalam bentuk pencemaran pemikiran seperti fahaman sekularisme, liberalisme, pluralisme dan aliran yang tidak selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Bukan sahaja hambatan ini akan merugikan dan memundurkan umat tetapi juga menyebabkan perpecahan daripada pelbagai sudut jika tidak ditangani sewajarnya.

Justeru, ulama dan ilmuan Islam perlu menggerakkan usaha menangani permasalahan ini ke arah kekuatan dan kesatuan ummah.

Dengan itu, penganjuran Multaqa Ulama dan Ilmuan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) Johor, Majlis Agama Islam Johor dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru pada 4 Februari lalu amat signifikan bagi merungkai permasalahan dan menggariskan tindakan ulama dan ilmuan bagi meningkat dan memartabatkan lagi Islam dan ummah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan multaqa berkenaan menyifatkannya sebagai satu wadah penting bagi memperkasa kesatuan ummah.

Beliau kemudian membacakan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud:

Dan demikianlah pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) ‘umat pertengahan’ (umat yang adil dalam erti kata, pertengahan pembawanya, tidak melampau dan tidak keterlaluan dalam menganuti kepercayaan, demikian juga akhlak dan amalannya, sama-sama dipandang dan dikenal pasti, dipelajari dan diusaha laksanakan meliputi hal ehwal dunia dan akhirat atau duniawi) supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan supaya Rasulullah SAW pula akan menjadi orang yang menerangkan perbuatan kamu…

Dalam konteks penyatuan umat Melayu, Muhyiddin berpendapat, ia berteraskan kekuatan akal dan rohani agar kefahaman dipandu oleh pandangan luhur, hikmah dan sederhana sebagaimana ditekankan oleh ulama silam seperti Nuruddin al-Raniri, Hamzah Fansuri dan Syeikh Daud al-Fatani yang mencetus perubahan hidup dalam masyarakat yang berpaksikan akidah Islam sebenar.

Selain memperkukuhkan perpaduan umat, beliau berkata, antara cabaran semasa yang perlu didepani oleh para ulama dan ilmuan Islam ialah menangani isu-isu semasa seperti kalimah Allah dan memupuk keharmonian kaum serta agama dalam masyarakat majmuk negara ini.

Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr. Uthman El Muhammady ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Perpecahan Menghakis Pengaruh Kekuatan Islam’, berkata, perpecahan akan turut menghakis pengaruh umat dan sebab itu penting pegangan ASWJ dipertahankan untuk menyatupadukan umat hari ini.

Ia selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:

Berpegang teguhlah semua kamu kepada tali agama Allah dan jangan bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu sewaktu kamu bermusuh-musuhan antara sesama kamu kemudian Ia menyatukan hati kamu maka dengan nikmat Allah, jadilah kamu bersaudara; kamu berada di jurang neraka, kemudian Allah selamatkan kamu daripadanya; demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu supaya kamu mendapat hidayat.”

Dr. Uthman berkata, umat Islam di negara ini berpegang teguh kepada ASWJ sejak dahulu dan mereka memahami ajaran Islam dengan akidah, fiqh, akhlak dan sejarah secara seragam dan menjadi unsur penyatuan yang kuat.

Disebabkan itu, pegangan akidahnya adalah akidah ulama tauhid, Imam Abu Hassan al-Asy’ari (324H) manakala pegangan fiqh dan usul fiqh adalah mengikut mazhab Imam Shafie manakala tasawuf dan akhlak pula mengikut Imam al-Ghazali.

Syeikh Imam Nawawi dalam kitab fiqhnya, Nihayah al-Zain menyimpulkan bahawa pegangan ASWJ adalah dalam mengikuti imam-imam tersebut, kata Dr. Uthman.

Dalam konteks dunia Melayu dan nusantara, keseragaman fahaman ini turut diperjelaskan dalam kitab al-Mustafid oleh Syeikh Abd. al-Rauf al-Fansuri, kitab Mir al-Tullab terjemahan Fath al-Wahhab, kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Arsyad al-Banjari, kitab Kashf al-Litham oleh Zain al-Abidin al-Fatani, kitab Furu’ al-Masail oleh Syeikh Daud al-Fatani dan seterusnya.

Begitu juga dalam bidang akidah, ia dijelaskan dalam kitab Bidayah al-Hidayah, kitab al-Durr al-Thamin oleh Syeikh Daud al-Fatani, kitab Aqidah al-Najin oleh Syeikh Zain al-Abidin al-Fatani, kitab Hidayah al-Mutafakkirin oleh Tuan Guru Hussein Kedah dan seterusnya.

Selain itu, bidang tasawuf pula diterangkan dalam kitab Hidayah al-Salikin oleh Syeikh Abd. al-Samad al-Falimbani, kitab Sayr al-Salikinnya, kitab Minhaj al-Abidin oleh Syeikh Daud al-Fatani, kitab Kanz Minan Syarah Hikam Abu Madyan oleh Syeikh Daud al-Fatani dan Hikam huraian Tok Pulau Manis.

Pegangan ASWJ ini mengukuhkan perpaduan dan terjauh daripada unsur bantah membantah sebagaimana yang dilarang oleh Allah SWT dalam surah al-Anfal, ayat 46 yang bermaksud:

Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu gentar dan hilang kekuatan, dan bersabarlah, sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar.”

Dr. Uthman berkata, elemen-elemen yang merosakkan persepaduan ilmu dalam Ahli Sunnah itu akan hilang jika berlaku bantah membantah dalam fahaman agama dengan memasukkan ke dalam kalangan kita unsur pecah belah seperti tuduh menuduh bidaah akibat terpengaruh dengan aliran Wahhabiah yang kononnya atas nama salaf, yang turut menuduh serong terhadap sahabat-sahabat Nabi dan imam-imam ahli Sunnah.

“Jalan orang-orang mukminin ini mengikut apa yang diterangkan oleh Imam Shafie adalah jalan ijmak, sebagaimana misalnya yang dinyatakan dalam tafsir al-Baidawi dan al-Qurtubi dan lainnya itu diterima oleh ulama kemudian dalam ASWJ,” jelas beliau.

Sebab itu, katanya, ahli sunnah dilarang mengeluarkan pandangan yang menyalahi ijma ulama atas alasan mahu mencari ‘alternatif’ dalam pendekatan. Dan ahli ilmu pula diwajibkan mengetahui ijmak supaya ia tidak melanggarnya dalam huraian keilmuannya.

Dalam menghadapi ancaman fahaman sekularisme, liberalisme dan pluralisme yang berakar dari Barat pula, Profesor Dr. Sidek Baba berkata, dakyah-dakyah fahaman itu boleh ditepis apabila umat Islam mendapat ilmu dan kefahaman Islam sebenar.

Sebagai contoh, katanya, pengaruh gerakan antihadis dan fahaman Islam Aminah Wadut kini semakin lemah dan tidak dapat pergi ke mana.

Apapun, pembentangan kertas kerja Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad yang membentangkan tajuk ‘Ke Arah Memperkasakan Kesatuan Ummah di Malaysia: Peranan Ulama ASWJ’ adalah cukup menarik.

Kertas kerja beliau dibahagikan kepada tajuk kecil iaitu (1) Siapa al-Salafu al-Soleh, (2) Kemunculan Muktazilah, (3) Lahirnya mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, (4) Fitnah Wahabiyyah dan (5) Ulasan pendapat ulama, Sheikh Yusuf al-Qaradawi.

Bagi beliau, berdasarkan sejarah dan perkembangan umat Islam dari zaman ke zaman, kemunculan fahaman tersasar daripada arus perdana ASWJ akibat daripada sikap ekstrem, melampau dan tiada kesederhanaan.Antaranya, golongan Khawarij, Qadariyyah, Jabariyyah, Muktazilah, fahaman tasybih, zindiq, jahmiyyah, mesyubbihah dan mu’attilah yang sebahagian fahaman itu dipengaruhi ilmu kalam falsafah Yunani, Rumawi dan Parsi.

Namun, Mohd. Nakhaie berkata, aliran tersebut khususnya Muktalizah menjadi lemah dengan peranan besar ulama tauhid Imam Abu Hassan al-Asy’ari (bermazhab Imam Shafie) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (bermazhab Imam Hanafi).

Dengan sumbangan dua ulama tersebut maka berakhir ajaran Muktazilah lalu membawa kelahiran ASWJ yang merupakan manhaj bagi memahami pegangan akidah, syariah, kerohanian salafusolehin iaitu tiga kurun pertama setelah kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Namun, pada masa yang sama, terdapat juga aliran serpihan di luar arus perdana yang membentuk fahaman Wahabiyyah yang pada asalnya bertujuan menghapuskan amalan-amalan khurafat dan bidaah di kawasan tertentu tetapi bertukar ekstrem, mengelirukan dan menimbulkan perpecahan.

Fahaman itu kononnya mahu dikenali sebagai salafi, namun sebenarnya sifat fahaman itu lebih gemar membicarakan tentang ayat-ayat mutasyabihat, cepat menghukum bidaah dan sesat, menolak sebahagian ilmu tasawuf dan sebagainya.

Antara fitnah yang dilakukan Wahabiyyah adalah menggunakan nama ulama-ulama besar seperti Imam Shafie, Imam Abu Hanifah dan Abu Hassan al-Asya’ri sebagai orang yang berfahaman seperti mereka.

“Lebih dahsyat lagi mereka meminda dan menokok tambah kitab-kitab lama yang diulang cetak oleh mereka dan disesuaikan dengan kefahaman mereka. Ini terjadi kepada kitab al-Ibanah fi usul al-Dinayah karangan Abu Hassan al-Asya’ri,” katanya.

Malah, Mohd Nakhaie berkata, telah disahkan oleh ulama seperti al-Muhadith al-Musnid Mahmud Sa’id Mahdud dalam kitab Raf’ul Minarah bahawa sebahagian kitab al-Azkar karangan Imam Nawawi telah dipadamkan manakala terdapat hadis-hadis diselewengkan atas nama hendak memelihara kesucian Islam dan mencegah bida’ah.

Apapun, seruan ulama tersohor, Yusuf al-Qaradawi boleh dijadikan kesimpulan iaitu umat Islam di negara ini disaran mempertahankan jati diri keislamannya dengan berpaksikan mazhab Shafie dan berakidahkan mazhab al-Asy’ariyyah bagi menghalang kemasukan pemikiran asing dari luar yang boleh memecahbelahkan perpaduan.

Untuk membaca artikel sebelumnya iaitu ASWJ (bhg.3) sila klik di sini.

About these ads
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 151 other followers

%d bloggers like this: