RSS

Racun Liberal Dalam Umat Islam

15 Jun

Gejala penyimpangan pemikiran secara intelek dalam masyarakat nusantara bukanlah suatu perkara baru. Di negara Malaysia, ia kian menular secara halus dan senyap manakala di Indonesia, penyimpangan ini telah lama merosakkan dan memecahbelahkan masyarakat.

Semuanya bermula sekembalinya Dr. Harun Nasution dari Kanada lalu menjawat jawatan rektor di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Syarif Hidayatullah di Jakarta. Beliau telah melontarkan pandangan-pandangan yang meresahkan umat Islam melalui bukunya ‘Islam Ditinjau dari Berbagai Aspek’. Buku yang sarat dengan kecelaruan fikiran itu telah ditetapkan menjadi teks wajib bagi mahasiswa IAIN seluruh Indonesia kerana posisi Harun sebagai rektor mendominasi keadaan. Harun mengajar umat Islam khususnya IAIN untuk bersikap ‘kritis’ terhadap Islam. Tidak menerima apa sahaja daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w apatah lagi pendapat para ulama.

Bagi Harun, kandungan al-Quran di pandang menurut keadaan (conditional) dan kedaerahan (regional). Baginya, apabila umat Islam ingin maju mengejar kejayaan, umat Islam harus bersikap kritis kepada ajarannya, membuang konsep-konsep yang dianggap tidak sesuai dengan zaman ini walaupun ia bersifat mapan (thawabit) dan berasal dari nas-nas yang qath’iy.

Pemikiran Harun diteruskan oleh Nurcholish Madjid (Cak Nur). Bezanya, cara pendekatan Cak Nur lebih canggih, halus dan memukau kerana disusun dengan lebih kemas serta penuh gaya ilmiah.

Jika diamati doktrin yang dilontarkan oleh Cak Nur, Jaringan Islam Liberal (JIL), anti-hadis dan NII KW9 pimpinan AS Panji Gumilang adalah selari dengan Mohammed Arkoun, Dr. Hasan Hanafi, Taha Hussein, Rasyad Khalifah dan Ali Abdul Raziq.

Dr. Rasyad Khalifah seorang tenaga pengajar Fakulti Bahasa Arab di Universiti al-Azhar pernah membuat kejutan apabila menolak sunnah (hadis) sebagai dalil hukum, meniru gaya Mahmud ar-Rayya (penulis buku ‘Adha’ ‘Ala al-Sunnah al-Muhammadiyyah). Setelah diselidiki, ternyata virus ingkar sunnah itu memang wujud di dalam disertasi kedoktorannya. Al-Azhar mengambil tindakan drastik memecat Rasyad serta menarik balik ijazah al-Azhar yang diperolehinya.

Beberapa tahun yang lalu, pensyarah Universiti Cairo, Dr. Naser Abu Zayed telah menghina nas-nas al-Quran, sunnah Rasulullah s.a.w, mencaci Imam Syafiee, mengajak kebebasan berfikir, mengecam sifat kebergantungan kepada teks, menyebar faham sesat tentang zat ALLAH, menyerang al-Azhar dan membela kemurtadan Salman Rusydie. Akibatnya, Naser Abu Zayed dihukum sebagai murtad dan dibawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, Hasan Hanafi yang menyebar faham Marxisme dan liberal-sekular menggunakan istilah al-Yasar al-Islami. Beliau telah membawa idea-idea yang menggugat aqidah, keimanan kepada wahyu dan pendewaannya terhadap rasionalisme.

Ini adalah sebahagian daripada tokoh-tokoh yang membawa gagasan liberal ke dalam umat Islam. Namun menghairankan, pada hari ini mereka di anggap jaguh oleh sesetengah pihak dengan menamakan mereka sebagai pembaharu, neo-modernis dan substansialis. Sementara itu, pihak yang berpegang kepada kefahaman Islam yang mapan dan konkrit di tuduh sebagai konservatif dan pencetus terorisme. Tuduhan-tuduhan ini dibuat untuk menutup usaha para ulama mempertahankan aqidah dan syariat.

Mungkin, inilah kebenaran kata-kata Prof. Dr. Ismail al-Faruqi bahawa pengajian Islam di institusi pengajian tinggi Barat tidak pernah luput dari misi Zionis dan Kristian. Beliau merupakan pakar yang sudah matang dalam dunia persilatan orientalis.

Dalam tulisan terakhirnya sebelum mati syahid di tembak oleh agen Zionis, Faruqi menasihati para sarjana muslim agar tidak melanjutkan pengajian Islam di Barat. Subjek-subjek yang dikaji di sana sengaja difokuskan kepada faham-faham sesat dalam pemikiran Islam seperti Muktazilah, Khawarij, Ismailiyyah, Inkarsunnah dan aliran-aliran tasawuf yang menyeleweng. Semua itu mereka rangkumkan dalam sebuah disiplin ilmu yang dinamakan ‘Filsafat Islam’.

Akhirnya, lahirlah anak-anak didik orientalis dan missionaries yang menjadi duri dalam daging kepada umat Islam untuk menentang ajaran Islam, memperlekehkan sumber hukumnya dan menghina para ulama.

Semua ini berlaku dek kerana termakan racun manis liberalisme Barat.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: