RSS

‘Rasul Melayu’ Dipenjara 10 Tahun, Denda RM16,500 Dan 6 Sebatan

22 Oct

SHAH ALAM, 21 Okt (Bernama) — Ketua ajaran sesat “Rasul Melayu”, Abdul Kahar Ahmad Rabu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad turut memerintahkan Abdul Kahar, 59, dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Baharu dekat sini, pada enam bulan terakhir pelaksanaan hukuman penjara itu.

Mahkamah memerintahkan agar hukuman bagi kelima-lima kesalahan itu dijalankan secara berasingan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 16 Sept lepas.

Abdul Kahar dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam kali sebatan bagi tuduhan di bawah Seksyen 7 iaitu menjelaskan doktrin palsu dengan menyatakan bahawa sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar sahaja dan ibadah Haji sekarang ini adalah sia-sia dan merugikan.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi kesalahan mengisytiharkan diri sebagai Rasul Orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam, mengikut Seksyen 8 (a).

Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi tuduhan di bawah Seksyen 10 iaitu mempersendakan dengan perkataan amalan yang berhubung dengan Agama Islam iaitu menyatakan: “Sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran ini adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang tonggek dan membebel seorang-seorang.”

Bagi tuduhan di bawah Seksyen 12 iaitu menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari dan melanggar arahan Mufti, Abdul Kahar dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM3,000 atau setahun penjara.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi tuduhan di bawah Seksyen 13 iaitu menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu mengaku dirinya Rasul yang diutuskan oleh Allah untuk orang Melayu, menyatakan bahawa sembahyang lima waktu tidak wajib, memadai hanya melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran dan menyatakan bahawa ibadah Haji itu tidak perlu ditunaikan di Mekah serta boleh dikerjakan di mana-mana sahaja di bumi Allah.

Abdul Kahar yang tidak bekerja didapati melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang, Ampang, Gombak, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005.

Sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman, Abdul Kahar yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan tenang manakala anggota keluarganya yang turut hadir di mahkamah dilihat menangis teresak-esak sambil berpelukan.

Hakim Abu Zaky yang mengambil masa hampir dua jam membacakan penghakiman setebal 55 muka surat berkata, dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah perlu melihat kepada keseriusan kes seperti itu yang semakin berleluasa pada masa ini selain mengutamakan kepentingan awam.

Beliau berkata mahkamah juga perlu mempertimbangkan hukuman yang boleh mencegah dan memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga masyarakat Islam supaya tidak melakukan kesalahan yang serupa.

“Mengenai dakwaan tertuduh bahawa dia jahil dan tidak berpendidikan tinggi, mahkamah berpendapat tertuduh tidak seharusnya menyebarkan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam dan mahkamah percaya tertuduh adalah seorang dewasa yang waras dan boleh berfikir.

“Pada umur 59 tahun, tertuduh sepatutnya tunjukkan kematangannya, namun tindakan tertuduh amat sukar diterima oleh mahkamah lebih-lebih lagi tertuduh beragama Islam sejak lahir, mempunyai keluarga dan sepatutnya sebagai ketua keluarga kena jalankan tanggunjawab seperti memastikan keluarga tunaikan solat lima waktu, tetapi sebaliknya tertuduh telah persenda ajaran Islam dan isytihar diri sebagai Rasul Melayu,” katanya.

Tindakan tertuduh bukan sahaja satu penghinaan kepada agama Islam tetapi juga kepada ajaran Nabi Muhammad S.A.W, katanya.

Mengenai pengakuan Abdul Kahar bahawa dia sudah bertaubat atas perbuatannya itu, beliau berpendapat tertuduh hanya menyatakan keinsafannya selepas ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

“Mahkamah juga berpendapat pihak pembelaan gagal mengemukakan bukti dokumen akujanji (menyatakan bahawa dia telah insaf dan bertaubat) yang ditulis sendiri oleh tertuduh, lahir dari hati tertuduh sendiri dan tanpa paksaan dari mana-mana pihak,” katanya.

Mengenai rayuan pihak pembelaan terhadap pelaksanaan hukuman sebat, Hakim Abu Zaky berkata sejak akhir-akhir ini sering timbul polemik dan kekeliruan di kalangan masyarakat yang menyamakan hukuman sebatan jenayah syariah sama dengan sebatan jenayah sivil.

“Sebatan syariah tidak zalim sama sekali kerana ia diibaratkan seperti denda yang dikenakan oleh seorang guru kepada muridnya dan ibu bapa kepada anak yang bertujuan untuk mengajar,” katanya.

Beliau berharap tertuduh gunakan peluang di pusat pemulihan kelak untuk bertaubat, mendalami agama Islam dan perbaiki diri.

Pihak pendakwaan diwakili Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abd Hamid dan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Muhamad Nazri Basrawi dan Zusyarafain Md Yusof manakala peguam syarie Norazmi Mohd Arif mewakili tertuduh.

Sumber : BERNAMA

 

2 responses to “‘Rasul Melayu’ Dipenjara 10 Tahun, Denda RM16,500 Dan 6 Sebatan

  1. mohdy2k

    15/12/2009 at 4:19 pm

    Ramai yg kata rasul kahar nie gila..
    Kalau rasul kahar gila, maka kenapa dia kena penjara?
    Mahkamah syariah adalah untuk orang Islam, maka ada ke orang gila yang diterima masuk Islam? (Diorang tak belajar kat sekolah rendah ke?)

    Siapa? yang mengaku dia rasul, senang2 boleh dapat pengesahan gila lebih2 lagi by majority – all round except by God,,.

    BY GOD;

    ‘MAKA KELAK KAMU AKAN MELIHAT DAN MEREKA PUN AKAN MELIHAT, SIAPA DI ANTARA KAMU YANG GILA.’ (Al? Quran, Al Qalam : 5 – 6)

     
    • SUARAJAGAT

      16/12/2009 at 10:19 am

      Ramai orang mengatakan hj.kahar gila bukan bermaksud dia benar-benar gila. Contoh mudah kalau ada yang kata “penat gila aku kerja hari ni..” bukanlah bermaksud dia gila..tetapi dia terlalu penat.

      Walaubagaimanapun dalam kes hj.kahar, beliau mengaku dirinya rasul dalam keadaan sedar dan waras. Oleh yang demikian keputusan mahkamah syariah memenjarakan beliau adalah tepat.

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: