RSS

Pengikut Belum Tampil

29 Oct

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

ahmadshahrul@hmetro.com.my

 

PUTRAJAYA:   Belum ada pengikut setia ketua ajaran sesat Haji Kahar tampil di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memberi penjelasan mengenai ajaran sesat yang diamalkan sebelum diminta melakukan taubat nasuha jika diperlukan. Malah, walaupun ketua ajaran sesat itu yang mendakwa dirinya Rasul Melayu itu dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara, denda dan enam sebatan, tetapi pengikutnya tidak memberikan sebarang maklum balas.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohamad Khusrin Munawi, berkata Jais masih menanti kehadiran pengikut Abdul Kahar Ahmad Jalal itu, tetapi sehingga kini tidak ada yang tampil. Mohamad Khusrin berkata, pihaknya memang tidak meletakkan sebarang tempoh kepada pengikut ajaran terbabit tampil untuk diberikan penjelasan mengenai kemungkinan amalan tidak benar yang dilakukan.

“Apa yang penting, kita mahu mereka tampil untuk siasatan bagi menentukan sama ada wujud aspek penyelewengan yang dilakukan sepanjang menjadi pengikut Haji Kahar.

“Kita tidak akan memaksa mereka, tetapi berharap mereka dapat tampil segera supaya dapat diberikan bimbingan dan jika didapati tidak mempunyai kaitan, tidak ada sebarang tindakan yang akan dikenakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini pengikut Haji Kahar selepas ketua ajaran sesat itu dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, baru-baru ini.

Sebelum ini, Jais sudah menahan anak lelaki Haji Kahar selepas menunjukkan isyarat lucah kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Abu Zaky Mohammad, selepas hakim itu menjatuhkan hukuman terhadap bapanya.

Lelaki itu ditahan penguat kuasa Jais di luar mahkamah dan bakal didakwa berkaitan usaha menyebarkan ajaran bapanya melalui Internet.

Mengulas isu itu, Mohamad Khusrin berkata, pengikut yang didapati terbabit dengan ajaran itu akan diberi proses pemulihan akidah bagi memperbaiki pegangan mereka.

Menurutnya, ia adalah prosedur biasa yang digunakan terhadap sesiapa saja yang dikesan menjadi pengikut ajaran sesat.

“Kita menyedari ia bukan sesuatu yang mudah untuk memastikan mereka tampil kerana ia lebih kepada keikhlasan mereka sendiri untuk mendapatkan penjelasan.

“Memang kita ada senarai mereka yang dipercayai menjadi pengikut Haji Kahar, tetapi Jais memberikan peluang kepada mereka ini tampil secara sukarela supaya dapat diberikan penjelasan.

“Mereka akan dibenarkan pulang jika Jais mendapati tidak wujud sebarang aspek yang boleh mengaitkan mereka dengan ajaran sesat itu dan apa yang pasti mereka tidak perlu bimbang,” katanya.

Ketika ditanya perkembangan terkini anak lelaki Haji Kahar yang ditahan selepas disyaki mengembangkan ajaran bapanya melalui Internet, Mohamad Khusrin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci terhadap pembabitan ‘anak muda’ lingkungan 30-an terbabit

Beliau berkata, siasatan terhadap lelaki itu menjurus kepada kaitannya dengan penyebaran ajaran Haji Kahar yang dilaku menggunakan Internet.

“Oleh itu, kita sedang mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mengesan kewujudan risalah ajaran sesat Haji Kahar yang dikaitkan dengan lelaki terbabit.

“Kita memerlukan sedikit masa untuk menyiasat sebelum mengambil keputusan mendakwa anak ketua ajaran sesat itu atau sebaliknya,” katanya.

 

SJ : Semalam juga tersiar laporan akhbar ini :

Artis tidak perlu ‘panas’

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

 

PUTRAJAYA: Golongan artis tempatan sama ada lelaki atau wanita yang dikesan selesa dengan kegiatan maksiat dan pegangan pelik ajaran tertentu tidak perlu marah jika ada pihak berusaha membimbing mereka semula ke jalan kebaikan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata artis tempatan sepatutnya tidak perlu bimbang atau panas jika ada pihak yang mahu memberikan nasihat atau teguran kerana ia lebih kepada mahu mereka kembali menjadi artis berakhlak dan bermaruah.

Beliau berkata, tidak ada gunanya artis wanita itu mempunyai rupa paras cantik, tetapi maruah mereka digadaikan dengan melakukan kegiatan tidak bermoral termasuk selesa dengan gejala bersekedudukan, minum arak dan berzina.

“Sebenarnya, umat Islam termasuk masyarakat artis perlu ada panduan hidup yang sebaik mungkin supaya dapat menikmati kehidupan bahagia ketika muda hingga ke usia warga emas.

“Tetapi, apa yang saya lihat, ada artis sama ada lelaki atau wanita, glamor hidup pada waktu muda tetapi melarat dan tidak dipedulikan apabila diri sudah diketepikan dari kerjaya seni.

“Keadaan ini boleh dikaitkan dengan sikap dan kegiatan artis terbabit yang selesa dengan kehidupan glamor pada waktu muda sehingga lupa melakukan persediaan hari tua,” katanya, semalam.

Mohd Nakhaie berkata, artis wanita terutama yang ada rupa perlu menjaga maruah supaya menjadi ikon yang benar-benar memiliki nilai murni dan wajar menjadi model kepada masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, apa yang mengecewakan, artis wanita yang cantik sekarang terlalu sedikit memiliki budi pekerti dan tahu menjaga harga diri.

“Keadaan itu berpunca daripada pengetahuan cetek artis berkenaan mengenai agama selain terpengaruh dengan ajaran atau pegangan pelik tertentu yang sebenarnya membawa mereka ke lembah kehinaan.

“Apa yang mereka lakukan ini lebih condong kepada dipengaruhi nafsu sehingga tidak tahu menggunakan akal yang diberikan Allah dengan sebaik mungkin.

“Kumpulan artis ini lebih gemar duduk dalam kehidupan maksiat sehingga tidak membenarkan atau marah apabila ada pihak yang cuba menegur atau menasihati mereka,” katanya.

Beliau diminta mengulas kemelut segelintir artis tempatan yang terbabit ajaran sesat sehingga ada yang membenarkan bersekedudukan, berzina dan meneguk minuman keras selain mempermudahkan Islam untuk kepentingan mereka.

Kegiatan terbabit didedahkan penceramah dan pengacara rancangan ilmiah, Akhil Hayy berdasarkan perbualan dan pertemuan dengan beberapa artis yang dikenal pasti turut menyampaikan ajaran pelik itu kepada artis lain terutama artis baru dan yang gemar melakukan perbuatan tidak bermoral.

Bagaimanapun, teguran Akhil itu menimbul rasa kurang selesa termasuk penyanyi rock Ahmad Azhar Othman atau Awie yang memberi amaran supaya penceramah berstatus ustaz itu menghentikan usaha tarbiah terhadap artis tempatan selain mencermin diri sendiri dahulu.

 

 

 

 

 

VS

 

 

 

 

 

 

 

Mengulas lanjut isu berkenaan, Mohd Nakhaie berkata, artis yang ada maruah dan berakhlak tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran atau pegangan sesat yang cuba dibawa artis lain yang sebenarnya sudah selesa dengan kehidupan hina mereka.

Malah, beliau berkata, artis yang terbabit dengan ajaran sesat akan terus membawa mereka ke lembah penuh kehinaan kerana mengikut ajaran bertentangan dengan al-Quran dan hadis.

“Oleh itu, golongan artis perlu membuka minda dan menggunakan akal supaya tidak terpengaruh dengan ajaran sesat artis tertentu yang sebenarnya boleh merosakkan masa depan mereka.

“Jadilah, artis yang memilik budi pekerti tinggi, ada harga diri dan mematuhi peraturan sebenarnya kerana ia selari kecantikan rupa paras yang diberikan Allah,” katanya.

Menurutnya, artis yang menjadi ikon masyarakat tetapi memiliki maruah yang terlalu rendah sebenarnya menyumbang kepada kerosakan institusi masyarakat Islam di negara ini.

//

 

sumber : Harian Metro

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: