RSS

Tazkirah SJ : BERISTIQAMAH DALAM BERAMAL

29 Jan

petikan dari : http://blogs.udm.edu.my/drkuzaki.

Di antara sifat terpuji yang menjadi perhiasan wajib orang-orang Mukmin yang bertakwa kepada Allah ialah beristiqamah dalam beramal soleh. Sehubungan itu, Allah taala berfirman dalam surah Hud, ayat 112 yang bermaksud: Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran (bertaubat) mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Jelas daripada mafhum ayat al-Quran tersebut, istiqamah membawa maksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendiriannya yang asal, tidak berganjak dan juga tidak mundur ke belakang biar selangkah jua pun. Biar apa pun yang terjadi dan apa yang bakal dihadapinya, pendiriannya yang asal tetap dipertahankan walaupun nyawa dan jasadnya akan menjadi bahan pertaruhan. Yang penting baginya, pendiriannya untuk menjayakan cita-citanya yang suci akan tercapai dan berjaya juga akhirnya.

Perlu diinsafi bahawa beristiqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh sesiapa pun jua biarpun lidah yang tidak bertulang ini begitu petah melafazkannya ke seantero dunia. Ini kerana istiqamah sebenarnya sedikit sebanyak menuntut pengorbanan yang penuh tulus dari seseorang muslim dan kadangkala jasadnya, hartanya dan nyawanya sekali akan menjadi pertaruhan demi menjayakan cita-cita Islam. Situasi seumpama inilah yang telah ditunjukkan oleh generasi Rasulullah SAW iaitu para sahabat yang tetap teguh dalam perjuangan mereka menegakkan Islam ketika itu .

Selain daripada beristiqamah mempertahankan kebenaran dan kepercayaan yang bertakhta di jiwa sanubarinya, seorang Muslim juga dituntut supaya beristiqamah melaksanakan segala perintah Allah dan juag menjauhi segala larangan-Nya. Beristiqamah dalam mengerjakan amalan soleh yang dianjurkankan Islam merupakan amalan yang amat afdal dan disukai di sisi Allah taala. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Amalan yang paling disukai di sisi Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan (istiqamah) biarpun sedikit. ( Hadis riwayat Bukhari)

Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitab Hidayah al-Mursyidin pula menegaskan bahawa istiqamah itu ialah satu keadaan konsisten atau beriltizam dalam menuruti sunnah yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah, berakhlak dengan akhlak yang diredai Allah taala dan sikapnya serta tindakannya jauh daripada pengaruh hawa nafsu. Sebab itulah orang yang dikuasai oleh hawa nafsu, mata hatinya akan menjadi buta. Akibatnya, dia tidak dapat membezakan antara yang sunnah dengan yang bid’ah dan  yang baik dengan yang buruk. Bahkan yang sering terjadi adalah sebaliknya, perkara bid’ah dianggap sunnah, sunnah pula dikira sebagai bid’ah, yang salah dikatakan benar dan yang benar dikira salah pula.

Yang paling menggerunkan lagi, apabila seseorang manusia kalah dalam perjuangan memerangi hawa nafsu, mala petaka yang besar akan berlaku. Ini kerana hawa nafsu mampu mengubah ibadah seseorang hamba itu kepada Allah taala yang Maha Esa kepada kepada ibadah kepada hawa nafsu yang sentiasa cenderung mengarahkan manusia ke arah kesesatan dan kebatilan.

Justeru, seorang Muslim yang bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya ialah seorang Muslim yang sentiasa menjunjung segala titah dan perintah Allah pada sepanjang masa dan ketika tanpa memilih untuk beramal pada bulan-bulan atau hari-hari tertentu. Padanya, setiap detik, masa dan hari yang berlalu amat berharga baginya untuk memperbanyakkan amalan soleh sebagai bekalan dan persediaan sebelum menghadap Allah pada hari akhirat kelak. Seorang Muslim yang beristiqamah akan merebut setiap peluang dan kesempatan yang mendatang tanpa berlengah-lengah kerana ingatannya sentiasa segar dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa hidup kamu sebelum datangnya masa mati kamu; masa sihat kamu sebelum datangnya masa sakit kamu; masa lapang kamu sebelum datangnya masa sibuk kamu; masa muda kamu sebelum datangnya masa tua kamu dan masa kaya kamu sebelum datangnya masa miskin kamu. (Hadis riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)

Sehubungan itu, seorang Muslim yang bertakwa sentiasa perihatin dan peka dalam segala perlaksanaan amalan solehnya demi meraih ganjaran yang disediakan oleh Allah taala, lebih-lebih lagi ganjaran berlipat ganda pada bulan-bulan tertentu seperti bulan Muharam, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal dan Zulhijah. Pada bulan-bulan tersebut, seorang Muslim yang beristiqamah akan melipatgandakan amalannya berbanding pada hari-hari biasa dan berusaha untuk meraih kelebihan, keistimewaan dan ganjaran yang terhampar sepanjang bulan-bulan tersebut.

Keadaan seumpama ini samalah seperti tawaran jualan murah, diskaun dan “mega sale” yang dipromosikan secara besar-besaran pada bulan-bulan tertentu di seluruh pusat membeli belah dan kedai sehingga berupaya menarik dan memikat perhatian ramai manusia supaya tidak melepaskan peluang membeli barangan murah yang dijual dalam tempoh tersebut. Kalaulah seseorang manusia boleh bersifat bijaksana dalam hal-hal keduniaan, maka dalam hal ukhrawi pula orang yang paling bijaksana ialah orang yang dapat mengawal hawa nafsunya dan bermuhasabah diri serta beramal soleh untuk hari kemudian. Orang yang bijaksana di sisi Allah ialah seorang Muslim yang memanfaatkan segala kesempatan, peluang, masa dan nikmat untuk beribadat kepada Allah demi meraih keredaan-Nya dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Amat malang juga ada sebahagian umat Islam yang hanya beramal pada bulan-bulan yang istimewa sahaja dan tidak meneruskan pula amalan-amalan soleh tersebut pada bulan-bulan yang lain. Bila hadirnya Ramadan, dia akan berpuasa dan melakukan amalan-amalan yang dianjurkan sepanjang bulan tersebut dengan peuh tekun , tetapi setelah berlalunya Ramadan, dia seolah-olah “merdeka” daripada segala amalan soleh. Ini menunjukkan betapa iman dan amalnya adalah bermusim sebagaimana bermusimnya buah-buahan pada bulan-bulan tertentu. Amalan seumpama ini tidak disukai oleh Allah dan juga bukan merupakan sifat seorang Muslim yang bertakwa dan beristiqamah.

Rasulullah merupakan qudwah terbaik sebagai seorang hamba Allah yang bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya. Rasulullah sentiasa beramal soleh pada sepanjang masa dan ketika, hatinya tidak pututs-putus mengingati Allah, lidahnya sentiasa basah dengan zikir kepada Allah dan segala tindak tanduk serta pergerakannya sentiasa memantulkan nilai-nilai kebajikan dan kebaikan. Begitu juga generasi para sahabat yang berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah muncul sebagai generasi terbaik dan contoh dalam segala lapangan hidup.

Pendek kata, sifat istiqamah merupakan sifat yang terpuji di sisi Allah taala sehingga ia mengangkat darjat ketakwaan seseorang Muslim dan martabat umat Islam sebagai generasi terbaik dan contoh kepada umat lain. Oleh itu, amatlah wajar sifat istiqamah menjadi suatu perhiasan wajib bagi setiap Muslim agar dia beroleh kejayaan, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

 
Leave a comment

Posted by on 29/01/2010 in 2. Tazkirah SJ

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: