RSS

Isu kalimah Allah: Mahkamah mahu SIB, KDN berunding

06 Mar

sumber : utusan malaysia online

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Mac – Mahkamah Tinggi di sini memberi peluang terakhir kepada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk berunding bagi menyelesaikan tuntutan berhubung perintah larangan mengimport bahan terbitan Kristian yang mengandungi kalimah Allah.

Hakim Datuk Aziah Ali sehubungan itu menetapkan 30 April ini sebagai tarikh akhir untuk mengetahui status perundingan ke arah penyelesaian oleh kedua-dua pihak tersebut.

Tarikh berkenaan ditetapkan oleh Hakim Aziah di kamar beliau dengan kehadiran peguam Bobby Chew dan Lim Heng Seng yang mewakili SIB ketika sebutan kes itu hari ini.

Turut hadir dalam prosiding itu ialah Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama dan kedua.

Bobby ketika dihubungi memberitahu, sekiranya perundingan menemui jalan buntu, barulah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) akan menetapkan tarikh perbicaraan.

Menurutnya, mahkamah menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan mereka yang terlibat meneliti sama ada kes tersebut dapat diselesaikan di luar mahkamah.

”Jika penyelesaian tidak berhasil sehingga tarikh tersebut, mahkamah akan menetapkan tarikh baru untuk mendengar permohonan SIB bagi mendapatkan kebenaran mencabar keputusan KDN menerusi prosiding semakan kehakiman,” jelas Bobby.

Pada 10 Disember 2007, Presiden SIB, Jerry W.A. Dusing @ Jerry W. Patel, 56, dan SIB yang beralamat di Kota Kinabalu, Sabah memfailkan permohonan tersebut terhadap responden pertama dan kedua dengan mengemukakan sebanyak 22 tuntutan.

Antara yang dipohon adalah perintah untuk membatalkan keputusan menteri yang enggan membenarkan pengimportan empat buah tajuk bahan penerbitan Kristian dan menahan penyerahan dua buah tajuk bahan penerbitan yang lain.

Selain memohon perintah supaya menteri tersebut mengembalikan penerbitan itu, pemohon menuntut perisytiharan bahawa penggunaan istilah Allah dalam terjemahan kitab Injil sama ada versi bahasa Malaysia, bahasa Indonesia dan dalam semua penerbitan bahan keagamaan, adalah menjadi hak mereka.

Pemohon turut memohon perisytiharan bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua agama diamalkan dengan aman dan damai oleh pemohon yang mendakwa berhak menggunakan perkataan Allah.

Ia membabitkan bahan cetakan, diterbitkan bukan sahaja di gereja malahan di sebarang lokasi atau bangunan dalam pengamalan agama mereka walaupun bahan dan penerbitan itu mengandungi perkataan Allah.

Pemohon juga memohon perisytiharan bahawa keputusan membenarkan penggunaan Alkitab oleh penganut agama Kristian hanya di gereja-gereja dan tidak di tempat lain adalah bercanggah dengan hak perlembagaan, batal dan tidak sah.

Permohonan dikemukakan atas alasan pihak responden telah melakukan kesilapan apabila gagal mengambil kira bahawa penggunaan perkataan Allah oleh agama Kristian adalah mendahului kedatangan Islam.

Pemohon juga memberi alasan, terjemahan kitab Injil versi bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia telah digunakan oleh penganut agama Kristian di negara ini sejak dahulu lagi.

Dusing dalam afidavit sokongannya mendakwa Penyelia Pelajaran Kanak-Kanak dan salah seorang kakitangan SIB, Kinambo Gaduan telah membawa tiga kotak bahan pelajaran bagi kanak-kanak beragama Kristian.

Bahan tersebut dakwa Dusing, milik SIB untuk dibawa pulang ke Kota Kinabalu pada 15 Ogos 2007.

Namun pemohon mendakwa, bahan-bahan penerbitan itu telah ditahan oleh pegawai kastam ketika Kinambo yang dalam penerbangan dari Surabaya, Indonesia telah transit di Terminal Kos Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Dakwanya, berdasarkan sepucuk surat dari KDN bertarikh 10 September 2007 kepada SIB ada menyebut bahawa pengimportan penerbitan Kristian yang mengandungi perkataan Allah, Baitullah, solat dan Kaabah adalah dilarang untuk edaran di negara ini.

Surat yang sama juga dakwa Dusing, menyatakan bahawa penerbitan itu boleh menimbulkan kekeliruan dan kontroversi di kalangan masyarakat negara ini.

 
Leave a comment

Posted by on 06/03/2010 in Kalimah ALLAH

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: