RSS

Tazkirah SJ : Berjihad Memerangi Rasuah

30 Apr

Sudah agak lama SJ tidak membuat posting baru di blog ini berikutan kesibukan tugas harian serta memenuhi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Malah beberapa isu berkaitan ajaran sesat dan kes-kes seperti isu ‘air liur’ tidak sempat untuk dibicarakan di blog. Akhirnya, saya dapat menarik nafas, membuka dan melihat blog SUARAJAGAT yang dipenuhi pelbagai komen dari pembaca. Ampun dan maaf kerana lambat menyiarkannya.

Bersempena Hari Pekerja, saya nukilkan sebuah artikel yang mungkin sekali berkait rapat dengan cabaran tugas seharian :

Mutakhir ini isu rasuah seringkali dibicarakan. Bila saja kita menyebut tentang amalan rasuah, seringkali masyarakat akan menuding jari kepada penjawat-penjawat awam. Namun antara sedar atau tidak, masalah rasuah sebenarnya turut banyak berlaku di dalam sektor swasta.

Amalan rasuah bukan sekadar terhad dalam soal urusan bisnes sahaja, namun ianya semakin menular sehingga berlakunya ‘politik wang’ bagi merebut jawatan termasuk juga bagi tujuan menyebarkan fitnah ke atas parti politik yang tidak sealiran.

Beberapa simpulan bahasa yang memberi makna rasuah seperti “Tumbuk rusuk”, “Makan suap” dan juga ungkapan under counter payment, duit kopi dan sebagainya. Perkataan rasuah berasal dari perkataan Arab yang berbunyi “al-risywah”. Dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. Di negara ini dari segi undang-undang, semua perbuatan ‘memberi dan menerima suapan’ adalah merupakan sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Membanteras gejala rasuah di dalam masyarakat adalah satu jihad sosial yang sangat utama demi keadilan yang dituntut oleh ALLAH s.w.t.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Pemberi rasuah dan penerima rasuah masuk neraka.

Firman ALLAH di dalam al-Quran bermaksud

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (al-Baqarah :188)

Rasulullah saw pernah mengutus seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Rawahah ke Khaibar untuk melakukan penilaian dan pembahagian hasil tanaman buah kurma kerana Rasulullah saw telah menetapkan bahawa hasil tanaman kurma tersebut mestilah dibahagi kepada dua bahagian : Setengah daripadanya untuk Kaum yahudi dan setengah lagi diberikan kepada kaum muslimin.

Apabila Abdullah sedang sibuk menjalankan tugasnya , maka datanglah orang-orang yahudi membawakan kepadanya pelbagai hadiah dari barang-barang perhiasan dan sebagainya serta berkata kepada Abdullah :

“Perhiasan ini untuk kamu wahai Abdullah, Maka ringankanlah kami dan berikanlah kepada kami hasil kurma itu lebih dari separuh,” Lalu dijawab oleh Abdullah menjawab, “Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, “Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!” (Imam Malik : al-Muwattha’ : 1450)

Selain itu Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda maksudnya;

“Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)”

(HR Abu Daud)

ALLAH s.w.t telah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud: “Mereka suka sekali mendengar perkataan yang dusta lagi sangat suka makan yang haram (seperti wang sogokan dan sebagainya)”.

Hadis Nabi s.a.w ada menyatakan (maksudnya) :

“Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang memberi sogokan dan orang yang menerima sogokan dalam soal hukum menghukum” (Riwayat Abu Daud & Tirmizi).
Ibnu Mas’ud telah mentafsirkan ayat di atas seperti berikut: “Sogokan (rasuah) dapat berlaku pada tiap-tiap sesuatu, barangsiapa yang telah memberi sesuatu pemberian dalam sesuatu pembelaan kepada seseorang supaya pembelaan itu dapat mengembalikan yang hak atau dapat menolak kezaliman (aniaya) lantas diterimanya maka pemberian itu dinamakan sogokan juga.”

Ada yang memberi alasan mengenai sesetengah menggunakan pengaruh wang untuk mendapat jawatan dengan niat yang kukuh iaitu untuk membangunkan masyarakat dan negara. Padahal niat yang baik tidak boleh menghalalkan kaedah atau perbuatan yang tidak baik. Lebih-lebih lagi merasuahkan orang untuk mendapat jawatan. Islam menetapkan niat dan perbuatan mesti betul iaitu kerana ALLAH. Kalau kita ikhlas untuk membantu masyarakat tanpa niat yang serong insya-ALLAH, ALLAH akan tolong orang-orang yang ikhlas.

Rasulullah sendiri pernah ditawarkan perempuan cantik, jawatan tinggi dan harta kekayaan, oleh musyrikin Quraisy agar berhenti dari berdakwah ke jalan ALLAH. Namun Nabi tetap tegas menjawab bahawa Baginda tidak akan meninggalkan agama Islam sekalipun matahari di letakkan di tangan kanannya dan bulan di tangan kirinya. Demikian kentalnya iman Rasulullah s.a.w untuk tidak terlibat dengan gejala rasuah yang menjijikkan itu. Itulah jawapan yang amat tepat. Itulah juga cara Nabi menutup mulut orang yang cuba hendak merasuahkan Baginda.

Gejala rasuah bukan sekadar merosakkan iman tetapi juga membawa kepada kerosakkan akidah.

Akhirul kalam, SJ mengingatkan diri sendiri dan sidang pembaca sekalian untuk  teguh dan utuh dalam menunaikan tanggungjawab serta senantiasa menjalani kehidupan yang bersih, lantas menjadi umat yang siddiq, amanah, tabligh dan fatonah.

Selamat Hari Pekerja dan teruslah maju, berdedikasi, beramanah. Wassalam.

 
Leave a comment

Posted by on 30/04/2010 in 2. Tazkirah SJ

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: