RSS

Flotila Gaza Diserang Israel : 19 Nyawa Terkorban

01 Jun

Kita pastinya sedih dan marah bila bantuan kemanusiaan yang ingin disalurkan kepada masyarakat Palestin diserang oleh tentera pengganas Israel. Pembunuhan yang dilakukan oleh tentera Israel ibarat perkara biasa seolah-olah nyawa manusia tiada harganya.

Saya yakin, suatu hari nanti, bumi Palestin akan berdiri kembali sebagai sebuah kota Islam… Semoga perjuangan mereka mendapat keberkatan dari Ilahi. Dan semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh 19 aktivis yang terkorban. Al-Fatihah…

BAITULMAQDIS 31 Mei – Sekurang-kurangnya 19 terkorban dan 30 lagi cedera apabila komando Israel hari ini menyerang flotila yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin dalam misi bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza, setelah mendakwa mereka menghadapi tentangan tidak disangka-sangka ketika menaiki kapal tersebut.

Sebuah badan amal Turki menyatakan bahawa kebanyakan mangsa yang maut terdiri daripada rakyat negara itu.

Kedua-dua belah pihak memberi maklumat berbeza-beza tentang apa yang berlaku dengan rejim Zionis mengarahkan semua maklumat berhubung mangsa yang cedera atau terbunuh dalam operasi kejam itu dihalang daripada disebarkan.

Berita terkini yang diperolehi menerusi khidmat pesanan ringkas daripada konvoi Life Line for Gaza (LL4G) dari Malaysia menyatakan bahawa satu daripada enam kapal dalam misi itu, Mavi Marmara telah diserang oleh helikopter tentera Israel pada pukul tujuh pagi waktu Mekah (kira-kira pukul 12 tengah hari waktu Malaysia).

Persoalan masih berlegar mengenai nasib penerima anugerah Nobel Keamanan 1976, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland Utara dan ahli Parlimen Eropah yang juga bangsa Yahudi yang terselamat dari Holocaust, Hedy Epstein, 85.

Sementara itu, nasib wartawan Malaysia dari saluran Astro Awani, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latip masih belum diketahui, namun enam lagi rakyat Malaysia lain berada dalam keadaan selamat.

‘Flotila Pembebasan’ itu menuju ke Gaza dalam misi untuk menarik perhatian dunia mengenai kepungan selama tiga tahun rejim Zionis ke atas wilayah Palestin itu selepas pergerakan Hamas mengambil alih kuasa di sana.

Kumpulan kapal itu mula menuju Gaza dari perairan antarabangsa Cyprus pada pukul tiga petang (pukul lapan malam tadi waktu Malaysia), dengan harapan dapat memasuki perairan Gaza pada waktu siang,

Enam jam selepas bertolak, tiga bot peluru berpandu Israel meninggalkan bandar Haifa untuk memintas flotila itu.

“Amat menjelikkan bila mereka naik ke atas kapal dan menyerang orang awam. Kami adalah orang awam,” kata jurucakap pergerakan Free Gaza, Greta Berlin yang menganjurkan flotila itu.

Hamas hari ini turut menyeru negara-negara Arab dan umat Islam ‘bangkit’ mengadakan protes di hadapan Kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah tindakan pasukan tentera laut rejim Zionis Israel itu,

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk serangan itu dan menyifatkannya sebagai ‘pembunuhan besar-besaran’ sementara Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa menyifatkan ia sebagai ‘jenayah’ ke atas misi kemanusiaan.

Moussa juga meminta mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil oleh badan yang dianggotai 22 negara Arab itu terhadap ‘tindakan pengganas’ Israel ke atas flotila bantuan antarabangsa itu.

Flotila tiga kapal kargo dan tiga kapal penumpang itu mengangkut 10,000 tan bahan bantuan dan 700 aktivis yang dilarang oleh rejim Zionis seperti simen dan bahan-bahan pembinaan lain.

Ini adalah kali kesembilan pergerakan Bebaskan Gaza cuba membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak Ogos 2008.

Israel membenarkan kapal seumpamanya masuk lima kali tetapi telah menarik balik kebenaran itu daripada memasuki perairan Gaza sejak serangan ketenteraan Zionis ke atas Gaza pada Disember 2008 hingga Januari 2009. – AFP/AP/Utusan

 
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: