RSS

Teguran Dr. Ridhuan Tee Tentang Isu ESQ

25 Jul

Artikel di bawah telah di tulis oleh Dr.Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang membahaskan tentang isu-isu semasa yang hangat ketika ini iaitu tentang kisah penyatuan UMNO dan PAS. Dalam artikel tersebut beliau turut menyentuh tentang ESQ dan bahayanya. Selamat membaca.

JANGAN MEMBUANG MASA

Mingguan Malaysia, 25 Julai 2010

Ayat berbunyi “saya bangga menjadi orang Cina” dalam artikel minggu lepas sengaja disalahfahamkan oleh sekutu ultra kiasu dengan mengatakan saya seorang yang bongkak dan tidak bersyukur. Saya tidak mahu terlibat dalam kancah memperbahaskan istilah kerana ia membuang masa. Masih banyak isu besar yang perlu diberikan perhatian terutama masa depan agama dan umat Islam. Mesej saya jelas, selama ini saya dituduh lebih Melayu dari Melayu. Kata-kata ini mungkin betul jika dilihat dari sudut perlembagaan. Penegasan sedemikian jelas supaya pembaca faham apa yang ingin saya sampaikan.

Nampaknya sekarang, setiap bait perkataan yang ditulis akan dijadikan senjata untuk menjatuhkan seseorang. Inilah budaya politik kampong yang perlu dihindari, hanya kerana kita tidak sekapal, kita akan cari dan korek kelemahannya sehingga kita tidak dapat bernafas. Buat betulpun salah, buat salah lagilah salah. Pokoknya, mereka mahu kita mengalah atau duduk diam tanpa berbuat apa-apa.

Nasihat saya, kalaupun kita tidak suka batang tubuh seseorang itu, jangan ditolak kesemuanya. Ini bukan cara hidup Islam. Islam tidak sama sekali menolak kebaikan, hatta jika ianya datang daripada Yahudi sekalipun. Hari ini, kebanyakan ilmu dan alat sains teknologi dikuasai oleh Yahudi, adakah kita perlu menolak rekaan dan ciptaan Yahudi, hanya kerana kita benci kepada Yahudi? Jika begitu keadaannya, kita terpaksa tolak teknologi perkomputeran yang telah pelopori oleh Yahudi. Hari ini, suka atau tidak, kita terpaksa menggunakan teknologi tersebut sebab kita tidak ada pilihan. Masa kita banyak terbuang bercakaran sesama sendiri, sedangkan orang lain sibuk berfikir dan mencipta sesuatu bagi tujuan menggapai bintang.

Inilah sikap yang membelenggu umat Islam. Justeru, saya sememangnya tidak ada masa untuk membalas kecaman picisan yang dilakukan. Lagipun membahaskan isu remeh-temeh tidak membangunkan minda. Sama juga isu pertemuan antara mufti Perak dengan pemimpin PAS yang dikatakan pernah berlaku sebelum ini. Kenapa kita perlu membuang masa memperbahaskan isu ini? Tidakkah kita boleh menarik nafas lega dan berkata Alhamdulillah, sekurang-kurangnya masih ada insan yang berhati mulia, mengambil inisiatif untuk menyatupadukan umat Islam. Kenapa pula ada golongan yang mahukan orang ini seperti ini dipecat sebagaimana yang disarankan oleh sesetengah pemimpin fanatik PAS?

Apakah mereka yang berhati mulia ini telah melakukan dosa atau maksiat kerana bertemu dengan mufti Perak? Tidakkah ia merupakan kerja-kerja para anbiya yang perlu diteruskan? Inilah dilema yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Mereka lebih rela bekerjasama dan berkawan dengan orang yang jelas menentang Islam daripada mereka yang masih ada hati kepada Islam. Janganlah terlalu bersangka buruk dengan umat Islam. Mereka tetap saudara kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyelamatkan mereka.

Apakah MCA, DAP dan Gerakan tidak pernah bertemu untuk membincangkan masa depan mereka? Jawapannya, mereka kerap kali berjumpa melalui platform Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO. NGO-NGO mereka boleh dikatakan saban hari dan saban minggu bertemu dan bermesyuarat untuk menuntut hak dan memperkasakan jati diri mereka. Kenapa kita tidak boleh bertindak seperti mereka? Adakah wajar kita mengheret mufti terlibat sama dalam perpecahan dan pertikaian ini sehingga keluar bahasa-bahasa yang tidak bersopan terhadap mufti tersebut? Ingatlah, perpecahan kita sudah sampai ke tahap yang amat parah. Umat Islam berpecah dalam semua bidang dan kategori.

Jika terbawa-bawa sehingga ke peringkat agamawan, apakah lagi faktor yang akan menyatukan kita nanti. Kita selalu bercakap dan berhujah dengan membawa ayat-ayat Al-Quran yang berbunyi, hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali Allah, jangan kamu berpecah-belah. Hari ini kita begitu tergamak mengecam mufti terbabit hanya kerana niat sucinya untuk melihat umat Islam bersatu.

Saya tidak pernah melihat dan mendengar orang bukan Islam mengecam ketua agama mereka seperti sami dan paderi, kecuali jika mereka melakukan perkara yang tidak baik. Mereka juga tidak pernah bergaduh atau berkelahi di dalam rumah ibadat mereka seperti mana kita berantakan dalam masjid dan surau hanya kerana mahu merebut kuasa dan jawatan. Jika kuasa dan jawatan tersebut, boleh menjadikan kita kaya raya tidak mengapa juga. Ini tidak, keadaan masjid surau sama sahaja, ibarat hidup segan mati tak mahu. Akhirnya, masjid surau tidak bergerak, tidak diimarahkan. Kita rela melihat masjid surau ‘mati’ begitu sahaja daripada dikuasai oleh ‘orang lain’.

Cuba kita bandingkan dengan institusi keagamaan orang lain, begitu meriah sepanjang masa. Setiap tahun wajah bangunan mereka berubah. Semakin besar, tinggi dan cantik. Terus bertambah, tidak langsung berkurang. Apa yang saya lihat mereka amat menghormati institusi agama. Apa kata agamawan mereka, itulah yang diikuti tanpa dikecam atau dihina. Hari ini, kita sudah sampai ke tahap, bukan hanya mengecam, tetapi menghina dan sanggup merendah-rendahkan mereka. Apa yang kita dapat?

Jika adapun perbezaan pendapat sesama agamawan, tidakkah kita boleh meraikan? Misalnya, jika Mufti Wilayah Persekutuan berkeras dengan keputusannya mengenai program ESQ yang sedang hangat diperkatakan hari ini, hormatilah hak mufti. Jangan dipaksa mereka untuk mengubah warta tersebut melalui pengaruh kuasa politik dan sebagainya. Ia hanya akan menghancurkan tahap kebebasan sesebuah badan berkuasa agama di dalam negara kita. Cukuplah kita berpecah dalam segala bidang, jangan ditambah pula dengan soal bidang kuasa setiap negeri. Negara kita cukup unik, berbanding negara lain, kita mempunyai 14 mufti setiap negeri. Jika muftipun berpecah, bersorak gembiralah lagi ultra kiasu, kerana umat Islam berpecah bukan hanya ke akar umbi, malah terbawa-bawa kepada agamawan yang amat dihormati oleh masyarakat.

Sekadar memetik pandangan beberapa sahabat yang mengatakan, pihak ESQ pula tidak boleh mendabik dada dengan mengemukakan bukti sokongan ulama Indonesia dan senarai panjang mereka. Jika mereka ingin terus bertapak kukuh, mereka perlu memberi respon yang baik dan ilmiah kepada kontroversi itu, bukan hanya sekadar menyatakan “kami ada penasihat Syariah”, “kami ada senarai ulama Indonesia yang menyokong”, “ulama Singapura” dan sebagainya.

Bagi menyelamatkan keadaan, saya yakin Penasihat Syariah ESQ sedang bekerja kuat untuk menulis bahan ilmiah ini dengan bijak. Buatlah kajian dan siasatan secara rapi. Janganlah membuang masa membincangkan perkara yang agak ‘remeh’. Saya yakin kita masih boleh membezakan mana dia yang betul, mana dia yang salah. Jangan sampai yang salah dikatakan betul, yang betul dikatakan salah. Jika ini yang berlaku, perpecahan kita sudah ibarat barah, menunggu masa untuk hancur dan saat kematiannya.

Pada masa sama, penggunaan ESQ perlu dibuat dengan berhati-hati dan dibahaskan secara akademik. Kita tidak boleh bertindak membabi-buta dan terlalu taksub dengan ESQ. Kerana dalam Islam kita ada Q (Quotient) lain yang lebih mantap seperti Quranic Quotient (QQ) atau Tawhidic Quotient (TQ). Sudah tentu QQ dan TQ lebih jelas maknanya daripada ESQ.

Emotional Spiritual Quotient (ESQ) dipelopori oleh pasangan Yahudi yang bernama Danah Zohar (2000), berlatarbelakangkan pendidikan fizik, falsafah, teologi dan psikologi, dan suaminya, Ian Marshal, seorang psikitrik. Pasangan yang telah memeluk agama Buddha ketika mereka berada di Nepal, membincangkan panjang lebar mengenai ESQ yang dikaitkan secara langsung dengan agama Buddha.

Mereka cuba menjawab persoalan yang berkait rapat berhubung nilai dan makna dalam kehidupan. Pada mereka, Spiritual Quotient (SQ) mampu membawa manusia pada tahap yang lebih baik berbanding kecerdasan Intelligence Quotient (IQ) dan Emotional Quotient (EQ). SQ juga mampu memecahkan kebuntuan makna dan nilai perlakuan manusia kepada suatu penjelasan yang lebih luas dan holistik.

Persoalan yang ingin dijawab melalui SQ adalah bagaimana dan apa? kepada kenapa? Zohar turut mengkritik cara hidup orang barat yang keterlaluan sehingga menjadikan hidup tidak ada hala tujuan. Zohar mahukan penghayatan ESQ agar kehidupan menjadi lebih bermakna. Ini berdasarkan kepada cara hidup barat yang sering berada dalam dilema ‘tidak pernah puas’. Malah ada yang keliru dan bingung dengan kehidupan sehingga sanggup memilih kematian sebagai penyelesaian, sedangkan mereka mempunyai IQ yang tinggi, mempunyai aset yang melimpah ruah. Justeru, menurut Zohar lagi, IQ yang hebat tidak cukup, tanpa disertai dengan EQ dan SQ.

Zohar juga berpendapat bahawa SQ tidak semestinya mempunyai hubungkait dengan agama. Seorang Atheis juga boleh mempunyai kekuatan spiritual. Mereka lebih mempercayai naluri dan jiwa mereka sendiri. Keyakinan pada nilai-nilai spiritual bergantung kepada apa sahaja kita dipercayai. Bagi mereka, agama merupakan suatu aturan atau sistem yang dibebankan secara luaran. SQ tidak ada hubungan dengan budaya mahupun nilai. SQ mampu mencipta agama tetapi agama itu tidak bergantung kepada SQ.

Di sinilah silapnya ESQ yang dibawa oleh Danah Zohar dan bahayanya ke atas umat Islam. Jika kita perhatikan di dalam penulisan tersebut, mengapa golongan Athies dan Humanis ini mempunyai nilai spiritual yang tinggi, sedangkan mereka langsung tidak mempercayai konsep ketuhanan? Jika benar mereka mempunyai nilai spiritual yang tinggi, apakah perspektif mereka terhadap agama? Inilah persoalan yang masih belum terjawab.

Terus terang, saya pernah dijemput secara percuma untuk menghadiri wacana program ini. Ada kekuatan dan ada kelemahan. Malahan saya pernah mencadangkan beberapa perkara agar perlu diberikan perhatian. Malangnya ia tidak diendahkan. Sikap inilah saya fikir yang mungkin mencetuskan kontroversi. Pada saya, apa-apa perkarapun, bawalah berbincang. Jangan terlalu dipublisitikan. Ia hanya membuka pekung di dada. Imej agama kita semakin tercalar. Begitu juga dalam konteks UMNO dan PAS. Banyak tenaga dan masa dihabiskan untuk membincangkan perkara yang tidak sepatutnya dibincangkan. Sedangkan orang lain sibuk memperkasakan anak bangsa dengan mendesak dan menuntut hak mereka. Kita pula lain ceritanya. Masalah akar banyak lagi yang tidak selesai, yang ranting pula datang bertimpa-timpa.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

nota kecil SJ : Saya berpandangan adalah lebih elok sekiranya Panel Syariah ESQ meletakkan jawatan dan menjauhi ESQ serta lebih memahami dan menghormati kajian, juga siasatan yang telah dilaksanakan oleh pihak SS Mufti Wilayah, Panel Kajian Aqidah JAKIM dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Ini kerana ESQ kini berada dalam kedudukan syazz, mendatangkan keraguan dan was-was.

Tarikh perlantikan Panel Syariah ESQ adalah pada September 2009, sedangkan keputusan fatwa Penyelewengan ESQ telah dibuat lebih awal dari tarikh tersebut iaitu pada Ogos 2009. Malah kajian berkaitan ESQ dibuat sepanjang tahun 2008-2009. Apakah jika hari ini al-Arqam/ Rufaqa’/ Global Ikhwan melantik panel syariah, maka secara automatik fatwa terdahulu terbatal? ‘Rasul Melayu’ pun dah letak jawatan, tapi kenapa masih dikenakan hukuman? Mengapa fatwa tentangnya tidak terbatal? Fikir-fikirkan…

kenyataan Mufti Wilayah ini juga mempunyai asas yang kukuh : http://www.muftiwp.gov.my/v1/doc/KENYATAAN_BERHUBUNG_DENGAN_FATWA_ESQ.pdf

selamatkanlah akidah umat Islam, bukan sekadar selamatkan air muka sendiri. Wallahu’alam.

 
27 Comments

Posted by on 25/07/2010 in 6. Cut & Paste, ESQ 165 sesat?

 

27 responses to “Teguran Dr. Ridhuan Tee Tentang Isu ESQ

  1. Iranis

    25/07/2010 at 4:54 pm

    Salam, SJ. Cepat betul update…..tahniah atas usaha anda menjadi pengantara maklumat kepada para pembaca blog yang tak sempat nak baca paper.

    Sebenarnya saya terfikir perkara yang sama seperti yang tercatat di nota kecil SJ sejak panel Syariah ESQ membuat kenyataan dalam sidang media baru-baru ini bahawa mereka telah menyemak buku utama ESQ dan didapati “tiada penyelewengan akidah seperti didakwa pihak tertentu”.

    Saya selalu menekankan tentang tarikh pelantikan panel mereka, salah seorang panel dalam bidang akidah hanya dilantik sehari sebelum tarikh pewartaan. Dan kenyataan media keluar tak berapa lama sahaja lepas itu. Sedih dan kasihan bukan kerana soal kredibiliti, tetapi nampak sangat ulama yang baik, yang positif dengan program yang kononnya untuk dakwah telah dipergunakan.

    Seperti yg berlaku pada Dr. Ridhuan Tee, beliau pernah mencadangkan beberapa perkara kepada pihak ESQ, tetapi tidak diendahkan, begitu juga di Indonesia. Sebelum Mufti WP memfatwakannya, sudah ada ulama di sana yang menegur, tetapi juga tidak diendah (rujuk web nahimunkar). Hanya setelah fatwa dikeluarkan, barulah pihak mereka tergesa-gesa, terburu-buru melantik panel syariah dan berjanji dengan penambahbaikan. Bayangkan jika berterusan tidak ada mana-mana pihak yang membuat keputusan tegas, berulangkali berbincang, hanya dzanni sahaja keputusan, bagaimana keadaan dan akibat jangka masa panjang? Sedangkan soal akidah, kena jazam, tak boleh ada syak langsung.

     
    • suarajagat

      25/07/2010 at 5:49 pm

      terima kasih Iranis..
      ucapan tahniah itu sewajarnya ditujukan kepada sahabat SJ yang memaklumkan ttg artikel terbabit kepada saya.

      Apapun, artikel ini dapat menambahkan lagi kefahaman kita tentang pentingnya memahami secara jelas tentang akidah Islam.

      Perenggan berikut cukup memberi satu penegasan tentang ideologi ESQ yang sebenarnya adalah atheis dan free thinker :

      Zohar juga berpendapat bahawa SQ tidak semestinya mempunyai hubungkait dengan agama. Seorang Atheis juga boleh mempunyai kekuatan spiritual. Mereka lebih mempercayai naluri dan jiwa mereka sendiri. Keyakinan pada nilai-nilai spiritual bergantung kepada apa sahaja kita dipercayai. Bagi mereka, agama merupakan suatu aturan atau sistem yang dibebankan secara luaran. SQ tidak ada hubungan dengan budaya mahupun nilai. SQ mampu mencipta agama tetapi agama itu tidak bergantung kepada SQ.”

       
  2. nur iman

    27/07/2010 at 1:01 am

    Assalamu’alaikum wbt,

    Saya setuju sangat dengan Dr Ridhuan Tee didalam artikelnya yang tertera diatas.

    Saya juga setuju dengan SJ yang menyarankan supaya seluruh Panel Syariah ESQ meletakkan jawatan dan menghormati semua Kajian yang dibuat olih pihak yang berwajib. (Apakah mereka bolih menunjukkan bukti bahawa mereka telah buat kajian yang sama teliti?).

    Rakyat Malaysia ada 27 juta orang; kenapakah begitu banyak tenaga pakar Mufti dan bekas Mufti di tumpukan untuk memuaskan sekelumit rakyat yang menyokong esq? Berapa juta kah rakyat Malaysia yang bertugas dengan esq, sehingga nak ‘jaga sangat periuk nasi mereka??”

    apakah rakyat bayar cukai pendapatan untuk dihabiskan membantu sebuah syarikat yang diasaskan diluar Malaysia??? Yang telah pun mengutip puluhan juta duit rakyat Malaysia apabila syarikat Malaysia dan juga Departmen Kerajaan menghantar pekerjanya mengikuti training esq. Yang telah pun diisytihar meragukan dan bolih membawa kesesatan???

    apakah tidak ada lagi masalah murtad?
    apakah sudah selesai masalah buang bayi??
    apakah umat Islam sudah terdidik baik???
    apakah tiada masalah lain yang perlu ditangani olih Mantan Mufti-Mufti ni (takkan bila pencen, tak nak kisah dengan ummah lain, nak jaga kepentingan koporat semata-mata???)

    apakah benar esq telah memperbaiki akhlak??? bolihlah diukur dengan hanya penggandaan IBADAH semata-mata walaupun AQIDAH lari dari asas??? Ingatlah, Allah tidak akan menerima ibadah orang yang aqidahnya tersesat, walau sebanyak mana pun ibadah mereka.

    Apakah umat Islam sudah lupa dengan sejarah pendakwah Kristian Belanda yang bernama Snook Cronje, yang telah berjaya memperdays barisan ulamak Aceh, sehingga beliau terlantik sebagai Imam Besar. Hasil kajiannya, beliau berjaya membantu Belanda menumpaskan Kerajaan Islam Aceh. (Saya tidaklah menuduh sesiapa, TETAPI UMAT ISLAM perlu berhati-hati)

    apakah ada bukti ILMIAH esq telah memperbaiki prestasi syarikat-syarikat dan kakitangan Kerajaan???

    Kalau tidak, kenapakah agensi Kerajaan terus menerus mencurahkan wang rakyat???

    Mungkin kerana ‘catharsis’ pada hari ketiga itu ada unsur “PUKAU”: ia digunakan olih pakar psaikaitris untuk membuat pesakit lupa kesedihan yang amat sangat, tragedi, yang berlaku dalam hidup mereka. Teknik: mula-mula dikosongkan dulu fikiran mereka, kemudian diisi dengan lain-lain ingatan yang menyukakan hati mereka.

    Saya harap pihak yang masih menyokong ESQ menkaji dengan dalam semua hujah-hujah yang telah kami sediakan disini, fikir sedalam-dalam, demi kepentingan ummah; fikirkan kepentingan anak-cucu kita.

    Ambillah iktibar dari pengharaman Arqam: kerana proses pengharaman memakan masa yang terlalu lama, terlalu ramai pengikutnya, yang hidup diluar ‘mainstream’ ummah, ramai yang tidak dapat keluar dari kepompong pemikiran ‘Abuya’ sehingga rata-rata anak-anak mereka tidak mendapat pendidikan yang tinggi, dan tidak dapat membuat sumbangan yang bermakna kepada negara dan ummah.

    wallaahu a’lam.

    Nur Iman.

     
    • Azlin

      30/07/2010 at 11:02 am

      Bismillahirrahmanirrahim. Sdr/i. Sudahkah anda menghadiri kursus ini sepenuhya? Daripada penulisan sdr nampaknya sangat berbeza dari kefahaman orang2 yang telah hadir penuh selama 3 hari. Penutup untuk kursus ini diakhiri dengan berdoa yang biasa kita baca hari2. Tidak masuk akal langsung untuk mengatakan kursus esq 165 terlari dari akidah.

      Namanya pun kursus, bukanlah ia sesi ceramah agama atau perdebatan. Sesiapa yang positif tentangnya dan berubah kepada kebaikan, alhamdulillah. Setakat ini belum ada satupun usaha sebegini dibuat oleh mana2 badan kerajaan atau swasta di negara kita. Cuba kita sepakat tubuhkan satu. Sdra/i yang bijak pandai memberi komentar jangan tunggu lama2 kerana andalah yang kami harapkan menjadi pelopor.

       
    • Azlin

      02/08/2010 at 5:11 pm

      Macamana kami nak setuju dengan sdr Nur iman. Pemahaman sdr ttg kursus esq amat terbalik dgn apa yg kami dptkan dalam kursus. Saya akan tetap menekankan bahawa ia adalah kursus motivasi yang merujuk kpd qur’an dan hadith. Ia menjuruskan kita menjaga diri agar TIDAK terkeluar dari landas2 Islam. Juga ia mendekatkan Islam kepada orang2 yang tahu Islam hanya pada nama.

      Sebagai orang Islam, saya berbangga dengan insan yang bernama Ary Ginanjar (jangan termuntah pulak) kerana dia dengan begitu berani dan terang terangan boleh mengajak orang masuk Islam dan terang terangan pulak memberitahu ugama selain Islam itu salah walaupun ada peserta agama lain dalam kursus ini. Ini memberi motivasi kepada saya sehinggakan sesekali saya berani mengikut langkahnya mengajak kawan saya (bukan agama islam) mendalami pengetahuan ttg Islam.Jadi di mana silapnya motivasi Ary Ginanjar ini sedangkan Rasulullah saw sendiri pun menghantar surat pada pembesar2 di zaman baginda mengajak masuk Islam.( Masuk atau tidak itu cerita lain, yang penting kita berani sampaikan). Marilah kita sama2 menambah koleksi insan2 yang Allah anugerahkan bakat untuk membangunkan syiar Allah ini. Tak payahlah kita asyik mencari jalan hendak ‘membunuhnyaaaa’ sahaja. Tak ada faedah.

      Ary sibuk mengajak orang masuk Islam kita sibuk menuduh dia merosakkan Islam dan salah akidah. Bertindaklah sebenar-benar ATAS NAMA ALLAH, hantarkan surat kepada Ary, beritahu di mana salah silapnya SECARA JUJUR. Kita sama2 mencari kebenaran. Dan janganlah kita menganggap Ary Ginanjar begitu bodoh dan tidak berpengetahuan ugama (@cetek ugama). Kalau tidak masakan beliau dapat mencetuskan satu ‘fenomena’. Ustaz sajakah yang boleh bercerita tentang Islam, manakala kita hanya jadi pak turut yang bising lagi bingit! Jangan begitu.

      Masalah besar lain yang menghantui ramai orang2 kita lagi ialah mengira kantung orang lain. Saya tak nafikan pada peringkat awal saya juga terkejut dengan harga kursus ini tetapi setelah melihat kpd preview terus hilang masalah RM dlm kepala saya. Selama ini banyaklah juga sudah saya berhabis duit utk perkara2 yang ntah apa2, jadi untuk mengeluarkan sedikit peruntukan ke arah ini taklah menjadi masalah pada orang yang memang ada sdikit kelapangan kewangan. Yang tak ada duit tak payah pegi kursus ni, tapi jangan buat tanggapan ianya salah. Tunggu orang hantar atau pergi saja ke masjid2 atau surau2. Menangislah awak2 kat sana bersama2 dengan imam yang berceramah tu. Kat negeri Arab banyak yang macam tu. Kat sini cerita yang sedihpun digarapkan jadi bahan ketawa, supaya tak boring dan tak ngantuk!

      Buat pengetahuan sdr Nur iman, pada 15hb march 2010 yang lalu saya mengikuti rombongan umrah bersama ESQ TOURS. Tiada pulak kami melakukan ibadah2 terlebih atau terkurang dari apa yang kita pelajari dari guru2 ugama kita. Sama saja. Yang pasti lain adalah perasaannya. Kami bukan sahaja tersentuh dan menangis di makam rasulullah saw malah turut menangis semasa di Bukit Uhud mengenangkan perjuangan para sahabat (Ya Allah jadikan hati2 kami ini spt hati2 para sahabat..ampunkan kami ya Allah). Berbakat betul trainer2nya dianugerahkan Allah hingga membuatkan kami teresak-esak di sana. Spt terbayang2 para sahabat berjuang dan berdarah2 mempertahankan rasulullah. Di sini saya ingin menyoal apakah persamaannya ESQ yang difahami oleh Danah Zohar dengan ESQ 165 yang dinamakan oleh Ary Ginanjar. Sebenarnya ESQ 165 bukan Ary Ginanjar punya tapi ia adalah kepunyaan kita semua umat Islam. ESQ 165 adalah salah satu bentuk PERJUANGAN ISLAM DI WAKTU/ZAMAN KITA.

      Allahuwa’lam.

       
      • Iranis

        02/08/2010 at 10:46 pm

        ESQ 165 kepunyaan umat Islam? Nampaknya ajaran Islam dianggap memerlukan konsep ESQ agar ia menjadi “The Way of Life” bagi kaum Muslimin. Padahal sejak lama dulu, para ulama Islam sudah menyebut agama ini sebagai Minhajul Hayah (metode kehidupan manusia). Ingat! Agama, BUKAN spiritualisme.

        Apakah persamaannya ESQ yang difahami oleh Danah Zohar dengan ESQ 165 yang dinamakan oleh Ary Ginanjar? Jawapan tlh ada dl tulisan Dr Ridhuan Tee, SPIRITUALISME. Prof. Dr. Gay Hendrick dan Kate Ludeman: “In the global market in future, you will find saint mystics or sufis in the big corporation or modern organization, not in the viharas, monasteries, synagogues, temples, church, mosque.” Inilah yang tertera pada pengantar buku ESQ.

        Di kulit buku ESQ, terang-terangan Danah Zohar mendokong tulisan Ary. Tak jelaskah lagi? Seorang Yahudi beragama Budha boleh menyokong tulisan yang menyebut Rukun Iman dan Islam? Kenapa? Teliti semula tulisan Dr. Ridhuan Tee. Ucapan di luar secara lisan boleh berubah-ubah mengikut keadaan, tempat dan masa. Tetapi idea yang terakam di dalam penulisan tidak boleh diubah. Itulah bukti yang lebih kukuh.

        “Menangislah awak2 kat sana bersama2 dengan imam yang berceramah tu. Kat negeri Arab banyak yang macam tu. Kat sini cerita yang sedihpun digarapkan jadi bahan ketawa, supaya tak boring dan tak ngantuk!”

        Masya Allah! Adakah ini pemahamannya terhadap pelajaran dan pengajaran Islam? Kalau tak menangis, tak ada zauq, tak berkesan, tak dapat ilmu? Pembelajaran bukan untuk menangis. Belajar untuk dapat ilmu. Dengan ilmu, kita takutkan Allah, dengan ilmu kita cintakan Allah dan Rasul. Iman dan Islam terjaga sepanjang masa dengan ilmu bukan dengan emosi. Majlis ilmu bukan untuk mencetus emosi dan menangis. Adakah hidayah dan keinsafan itu mesti datang dari pembangkit emosi? Dengan kehadiran fasilitator yang berbakat? Dengan alunan muzik latar? Periksa hati sendiri bila ustaz dan ulama mengajar, tak rasa dapat apa-apa.

         
  3. nur iman

    27/07/2010 at 1:23 am

    Assalamu’alaikum wbt,

    http://orgawam.wordpress.com/2007/09/21/snouck-hurgronje/

    Saya hanya ingin mengingatkan sejarah: sila lawat link ini. umat Islam perlu waspada setiap masa.

    wallaahu a’laam.

    Nur Iman.

     
    • suarajagat

      27/07/2010 at 11:13 am

      terima kasih nur iman

       
  4. Azlin

    03/08/2010 at 2:44 pm

    Bismillahirrahmanirrahim. Sdr Iranis. Berjuang bersungguh2 nampaknya sdr nak bawa kami2 kepada jalan yang lurus dan benar. Terima kasih.

    Setiap ayat akan di ekori. Macam ni bahaya nih. Nak kena hati-hati betul sebab kita sangat diperhatikan! Inilah manusia memang suka memberi pendapat samada untuk kebenaran atau kepuasan. Saya pun begitu juga. Namun saya akui saya sangat cetek ilmu dalam banyak hal, rela dihentam supaya menjadi lebih kuat dan kental.

    Menangis? Memang lain rasanya perasaan CINTA ALLAH, CINTA RASULULULLAH dengan air mata berbanding dengan mata yang kering bila disebut nama Allah dan rasulnya. Sedangkan para sahabat pun menangis, jadi apakah kita hendak memperlekehkan orang2 yang menangis kerana ALLAH ini. Ia bukannya dibuat2. Memang ajaib, bila kita gembira, sedih, air mata keluar dan sekarang ada tambahan lagi, RASA CINTA boleh membuatkan air mata keluar tanpa kata-kata. Subhanallah. Training ESQ banyak memainkan peranan ini. Di masjid bukan kita tak menangis, cuma ditahan2 kerana malu pada jemaah lain. Saya ingin cadangkan agar imam2 berilah ceramah dengan penuh perasaan dan kreatif agar kita sentiasa menjadi rindu dengan program atau ceramah yang diberi. Dan tak lupa, ajar dan suruhlah jemaah menangis kerana kebenaran…Aduh bahagianya… Tangisan dan air mata memang satu medium penyampaian yang baik.

    Belajar untuk dapat ilmu, betulla tu, sebab tu la kita di hantar ibu bapa belajar sampai berbelas tahun ke sekolah untuk dapat ilmu. Masalahnya, dahulu kita banyak belajar ILMU FAKTA. Memang seronok bila seseorang tu dianugerah IQ tinggi. Straight ‘A’ semua subject. Rasa bangga menguasai diri. Mata pelajaran Agama Islam pun di hafal dan di catat dengan pemfaktaran, maka A1 juga subject agama. Masalahnya… SEMBAHYANG pun TIDAK! (Janganlah sdr Iranis menidakkan hal ini). Perkara ini BERLAKU DALAM KELUARGA SAYA! (Ini betul2, ini bukan main2..) Sangat menyedihkan.

    Cari ilmu dimasjid2 dan kelas2 agama?

    Kalau dah sembahyang pun tidak, nak jejak tangga masjid bila masa? Itulah sebabnya perlu di adakan satu bentuk dakwah yang boleh menarik minat masyarakat umum mengenali agamanya sendiri dahulu. Kursus ESQ hanya memperkenalkan ASAS agama Islam sahaja. Selepas pada itu terpulang pada individu itu sendiri hendak asah bagaimana. Bagi yang ada sedikit tenaga @ energy spt sdr Iranis bawa2lah saudara yang baru bertatih ini (ini realiti..). Itu kan yang di ajar dlm trining… kasih sayang. Kot ya kita tak sependapat, takkan sampai hati sdr nak lihat saya masuk neraka?! Apalagi kalau yang degil bagai nak rak tu adik beradik kita sendiri. Tak sanggup saya.

    Yang baik dari ALLAH, yang kurang itulah saya. Mohon maaf.

     
  5. nur iman

    04/08/2010 at 3:12 am

    assalamu’alaikum wbt,

    sdri azlin yang dihormati,

    memanglah orang suka pergi esq berbanding surau dan masjid…kerana kat hotel kan???bagaikan pergi panggung wayang setiap hujung minggu..sudah tentu masjid akan kalah dari segi itu!!! tapi kan banyak ayat Qur’an dan hadis berkenaan kelebihan iktikaf dimasjid; tak ada hadis berkenaan kelebihan duduk kat hotel semata-mata.

    apakah saudari benar-benar menangis kerana insaf atau kerana mendengar orang lain menangis melalui microfon yang disediakan.

    rata-rata kawan yang sudah ta’sub dengan esq akan mengulang-ulang re-charge….bukannya pergi masjid dan surau mencari ilmu. pergi esq hanya dapat spiritual, spiritual, spiritual….

    saya merujuk kepada sebuah buku karangan Nazzwardi Abu Bakar Aly terbitan JAKIM bertajuk: Muqaddimah Pengajian Islam, muka 9:
    “Jika kita renungi kandungan al Qur’an, kita akan dapatii al Qur’an mengandungi pelbagai hukum yang kesemuanya t

     
    • suarajagat

      04/08/2010 at 6:26 pm

      Salam…Nur iman, anda mungkin ter’klik’ post comment secara tidak sengaja.

      oleh yg demikian, SJ harap anda dpt membuat komen bagi menyambung ayat yang tergantung ini.

      pada komentar lain, diharap tunggu sehingga Nur Iman melengkapkan komen beliau terlebih dahulu. Kemudian barulah membalas/reply.

      TQ.

       
  6. Azlin

    05/08/2010 at 9:51 pm

    Nur iman(sedap namanya) yang juga dihormati.

    Suka saya membahasakan diri saya akak.

    Akak ni hotel(kursus esq) pegi, masjid pun pegi, ceramah ustaz/ustazah tu pun pegi jugak. Pokoknya mana2 yang mendatangkan faedah dan boleh tambah ilmu sikit2 tu, pegilah bila ada kelapangan waktu. Maklumlah kita cuma orang biasa2 saja. ESQ training kata ‘folower’.

    Akak ni kaya air mata. Tengok cerita sedih menangis, dengar cerita sedih menangis, baca cerita sedih menangis, ikut training ESQ?… lagilah menangis. 2,3 hari lepas kawan anak (form 5) meninggal accident, menangis jugak. Kat masjidil haram imamnya pun suka menangis, dah kitapun terikut menangis sama. Walaubagaimanapun ketawa akak boleh tahan jugak…Kesimpulannya, menangis, ketawa memang fitrah perasaan. Nak kata insaf atau tidak hanya Allah sajalah yang menilai…Nur iman tak suka menangis ye? Air mata ni macam sampah dalam dada.. bila kita buang.., lapaaangg.

    Re-charge?, hah, bukan kata pegi saja, sponsor orang lagi (jangan mare..),sekarang ni pun dok kumpul duit lagi nak sponsor orang2 yang ada dalam ‘senarai’ kat kepala ni. Puas hati kalau tengok orang berubah ke arah positif. Berceritapun banyak ingat syurga neraka saja. Maklumlah kita ni orang2 yang banyak dosa. Betul akak ada terbaca pendapat seorang yang mengatakan ESQ ni untuk orang2 bermasalah, tapi kehadiran orang2 berpengaruh dalam bidang agama sangat membantu ke arah motivasi dan memberi semangat/sokongan untuk peserta yang jahil dan tersesat.

    Kita juga memainkan peranan. Akak tak kira orang nak kata taksub ke, apa ke kerana niat dalam hati semua dah bijak pandai cakap HANYA ALLAH YANG TAHU.

    Nak menjemput ni….Persembahan dari Beberapa Mualaf Alumni ESQ di Meru,Kelang.

    Tajuk : Why I choose Islam
    Hari : Sabtu 14hb.August

    Tel: 019-7786404 (Kak Lin)
    ….maaf ye SJ, akak tak tunggu Nur iman habiskan ayatnya…

     
    • suarajagat

      06/08/2010 at 12:46 pm

      Azlin..
      saya approved komen anda kerana terdapatnya info terkini.

      Bagaimanapun saya cukup tidak suka bila mereka yang memberi komen di sini tidak beradab dan tidak menghormati syarat/panduan/permintaan yang telah SJ tetapkan. Telah banyak kali saya tegur tentang hal tersebut kepada para pembaca sejak lebih setahun blog ini beroperasi.
      Orang yang tidak beradab adalah biadab..dan kebiadaban bukan akhlak Rasulullah s.a.w.
      Layakkah orang yang biadab mengaku diri sebagai umat Muhammad s.a.w?
      Di mana letaknya Islam, Iman dan Ihsan dalam kebiadaban?

      Kalian pembaca tidak perlu menjawab soalan2 saya ini di sini. Fikirkanlah dan jawablah sendiri…

       
  7. nur iman

    06/08/2010 at 7:19 am

    Assalamu’alaikum wbt,

    Maafkan saya kerana tidak dapat menghabiskan artikel diata kerana masalah internet.

    walaubagaimanapun, sila lihat komen saya kepada “Komen Tambahan Ustaz Aizam berkenaan esq” didalam blog ini juga, berkenaan petikan dari buku yang tersebut.

    Wallaa’hu a’lam.

    Nur Iman.

     
  8. Azlin

    06/08/2010 at 1:55 pm

    Sdr SJ yang empunya blog,

    Mintak maaf banyak2. Berderau darah saya terkene buah biadap sebijik. Padan muka… sayalah. Selamat menyambut Ramadhan. Maaf lagi sekali…

    HANYA MANUSIA BIASA YANG TAK TERLEPAS DARI DOSA…

     
    • suarajagat

      06/08/2010 at 2:26 pm

      saya terima permohonan maaf anda.
      yang penting jangan ulangi lagi..

      peringatan ini untuk semua pembaca dan follower SJ.
      TQ.

       
  9. nur iman

    08/08/2010 at 12:33 pm

    salam,

    saya nampak ada konflik dalam peribadi pak ary dan juga puan azlin sendiri:

    -pak ary mengajar Angel principle: jangan suka bercerita apa kebaikan kita jika kita yakin Malaikat ada dan sentiasa mencatit. Nak, pak ary bercerita panjang bagaimana beliau menambah ibadahnya ketika dituduh sebegini

    -begitu juga puan azlin bercerita berapa banayak puan sponsor kekawan pergi esq, dll seperti diatas.

    itulah bila ajaran seseorang lari dari apa yang telah di ajar olih Rasulullah saw bersumberkan wahyu dari Allah swt.

    ajaran selain dari itu tidak dapat diamalkan dengan istiqamah kerana ia bersumber minda sendiri dan ideologi free-thinker.

    saya harap puan azlin renungkan masak-masak.

    wallaahu a’laam.

     
  10. shera

    01/09/2010 at 10:10 pm

    salahkah kalau menangis krn mengingati allah dan rasullulah, masalah besar sangat ke?? Bukankah airmata itu boleh memadamkan api neraka, lainlah kalau menangis disebabkan peserta af ke atau msian idol ke yg terkeluar. Hormatilah hak org lain yg boleh menangis krn esq ini.

     
    • suarajagat

      02/09/2010 at 9:20 am

      saudari/puan shera,
      pihak penyelidik dan fatwa tidak mempertikaikan persoalan menangis.
      masalah yang wujud adalah disebabkan penyelewengan akidah yang dilakukan oleh Ary Ginanjar melalui ESQ.

       
  11. Shera

    02/09/2010 at 3:04 pm

    “memanglah orang suka pergi esq berbanding surau dan masjid…kerana kat hotel kan???bagaikan pergi panggung wayang setiap hujung minggu..sudah tentu masjid akan kalah dari segi itu!!! tapi kan banyak ayat Qur’an dan hadis berkenaan kelebihan iktikaf dimasjid; tak ada hadis berkenaan kelebihan duduk kat hotel semata-mata.

    apakah saudari benar-benar menangis kerana insaf atau kerana mendengar orang lain menangis melalui microfon yang disediakan.

    rata-rata kawan yang sudah ta’sub dengan esq akan mengulang-ulang re-charge….bukannya pergi masjid dan surau mencari ilmu. pergi esq hanya dapat spiritual, spiritual, spiritual….”

    Saya qoute kata2 nur iman di atas ni. Jgnlah keterlaluan menuduh org yg pegi re-charge ke esq ni seperti yg anda gambarkan. Apakah anda boleh membaca setiap isi hati orang yg pergi ke esq itu, sehingga anda boleh semudah itu menuduh begini. Janganlah kerana hendak menegakkan sesuatu yang anda yakini dan anda seolah-olah ingin menang, anda dengan sewenang-wenangnya menuduh org sebegitu.

    Yakinlah hanya tuan empunya diri dan Allah sahaja yg tahu isi hati seseorang. Janganlah kerana anda tak sependapat dgn kawan2 yg anda dakwa taksubkan esq, jadi anda mudah mengeluarkan tuduhan sebegini. Ingatlah kalau tuduhan anda tersilap, bukan pahala yg anda dapat, tapi ……… tak perlulah saya teruskan ayat saya kerana saya rasa anda lebih arif (saya katakan begini kerana dari tulisan anda di atas, saya rasa anda ni org yg bijak pandai tentang agama) dari saya tentang bab pahala dan dosa ini.

     
  12. ummihassan

    02/09/2010 at 7:13 pm

    salam…

    memanglah sangat baik menangis kerana mengingati Allah dan RasulNya. memang tiada masalah. malahan dituntut dan disukai Allah.

    tapi yang menjadi masalahnya bila kita berbangga2 dan menjaja2 tentang tangisan kita tu…
    bukan setakat itu, kita seperti cuba membuktikan pulak yg ESQ itulah yg (dan satu2nya) dapat membuatkan kita menangis bila mendengar nama Allah atau nama RasulNya, bukan terbit dari hati yang mendapat taufik dan hidayah dari Allah diatas kehendak Allah…
    lebih teruk lagi, kita seakan memburuk2an (mencaci?) imam2 dan pendakwah2 (ulamak?) yang selama ini berusaha menyebarkan ajaran Allah dan RasulNya yg benar dek kerana imam2 dan pendakwah2 tersebut ‘tidak pandai’ untuk membuatkan kita menangis…

    nampaknya macam ESQ ni dalam diam, turut mengajar supaya kita bermegah2 kerana kita (yang pernah mendapat latihan ESQ) saja yang mampu menangis atau bergetar hati tatkala mendengar nama Allah atau RasulNya…

    Wallahua’llam

     
  13. shera

    04/09/2010 at 11:42 pm

    pn umi, nauzubillah saya takut membaca tuduhan anda di atas. Di bulan yg mulia ni ditambah dgn 10 malam terakhir ni, saya rasa lebih elok saya diam dari terus menjawab seolah-olah saya provoke puan utk lebih celupar lagi. Maaf zahir batin

     
    • suarajagat

      05/09/2010 at 1:52 pm

      terima kasih ummi dan shera…
      pandangan ummi jika dilihat sepenuhnya bukanlah satu tuduhan..
      ia harus dilihat sebagai satau pandangan dan pendapat.
      dari pengamatan saya, pihak ESQ suka menggunakan perkataan tuduhan utk memberi negatif effect pada pihak yg pro-fatwa, sehinggakan hasil dapatan kajian dan penyelidikan selama 2 tahun oleh pihak berkuasa juga disebut oleh mereka sebagai tuduhan.

       
      • ahmad

        10/10/2010 at 1:57 am

        Assalamualaikum,
        Sedikit analisa..kebanyakan komentar melalui blog-blog yang saya sempat baca yang ada membicarakan soal aqidah kursus ESQ dan pegangan/fahaman pengasasnya..terdapat dua (2) alasan konsisten yang tidak “menerima” fatwa Mufti WP iaitu bekas peserta kursus ESQ atau disebut “alumni ESQ” rata-ratanya begitu yakin sekali bahawa

        (1) mereka percaya seolah-olah hanya kursus motivasi mengenai kerohanian atau disebut “sentuhan qalbu” oleh TV9 seperti ESQ atau kaedah penyampaian pengasasnya/kadernya sebagai “catalist”/”cahaya”/”hidayah” untuk mereka sedar/insaf mengingati tuhan..itu bagi kategori alumni yang jahil..bagi yang memang dah lebai/alim menganggapnya seperti ***** sekadar untuk meningkatkan prestasi ibadahnya. KEADAAN ini menyebabkan seolah-olah sistem pendidikan islam yang formal di negara ini samada disekolah, kolej atau universiti, atau yang tidak formal seperti didikan/asuhan keluarga,masyarakat sekeliling, program-program ilmu di masjid/surau telah gagal atau tidak berkesan untuk mereka yang jahil/labai/alim tersebut sedar/insaf untuk mengingati tuhan/pertingkatkan ibadah; dan

        (2) menjadikan testimonial alumni ESQ mengikut ketokohan peribadi seseorang yang “public figure”..tak kiralah samada dari golongan ustaz/mufti/bekas mufti/ketua atau bekas ketua pihak berkuasa agama, pakar motivasi/keagamaan thru program TV atau pun artis..hanya untuk menilai samada kursus ESQ/pengasasnya sesat atau sebaliknya dan bukan kualiti huraian/hujahnya atau ringkasnya ketokohan ilmunya walaupun mereka tahu golongan tersebut “popular” dalam program TV yang hanya banyak membicarakan soal ibadah..

        kesian sungguh individu yang berusaha menegur/menasihat dari sudut aqidah.
        RINGKASNYA mereka ambil mudah..janji amalan ibadah semakin baik..cukup..walaupun dari sudut aqidahnya “out”..sedangkan mereka tahu (sebab mereka itu semua sekolah) dalam soal aqidah..ragu-ragu/was-was pun..perlu dijauhi..inikan pulak dah ada fatwa! Oleh yang demikian, dicadangkan semua alumni ESQ yang “public figure” dari golongan ahli agama dan lain-lain Mufti/ahli agama yang belum jadi alumni ESQ perlu mengelak dari memberi komen/diminta memberi komen yang “against” fatwa Mufti WP dan panel syariah ESQ (dalam bahasa yang sopan)..perlu mengundur diri..sebab di negara ini sudah ada fatwa..kena hormat, walaupun hanya 1 dari 14.
        Wassalam.

         
  14. aku_ke

    27/12/2010 at 1:13 pm

    Pn Azlin, saya angkatan 37. Saya rasa, kita dokan je lah mereka dpt mengikuti ESQ dan merasainya sendiri… Moga-moga merekah dapat hidayah dan kita doakanlah untuk mereka…
    Perjuangna kita ini sikit sangat berbanding dgn sahabat …

    Salam 165

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: