RSS

Isu ESQ : Pandangan Dr. Ismail Ibrahim

28 Jul

Artikel berikut merupakan pandangan peribadi Dr. Ismail Ibrahim berhubung isu fatwa ESQ 165 yang hangat dibicarakan ketika ini. Dr. Ismail Ibrahim adalah Presiden Pertama Majlis Ulama Malaysia, Bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan. Beliau kini merupakan Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, UKM.


BILA MUFTI SESAMA MUFTI BERCANGGAH: ORANG ISLAM KELIRU.

Kehadiran banyak orang Mufti di Malaysia membawa kesan negatif dan positifnya. Positifnya kerana fatwa yang dikeluarkan tidak hanya menjadi monopoli seorang mufti sahaja, kerana mufti yang lain akan berpeluang mengeluarkan fatwanya yang berbeza, dan pada ketika itu, maka terbukalah peluang untuk para mufti yang ramai itu berdialog sesama mereka untuk diselaraskan.

Negatifnya ialah apabila mufti sesama mufti bercanggah pandangan dan masing-masing mengeluarkan fatwa yang berbeza-beza serta berkeras mempertahankannya, maka orang awam akan menjadi keliru, fatwa manakah yang betul dan fatwa manakah yang sejajar dengan ajaran Islam untuk semua rakyat, bukan hanya untuk sebuah negeri sahaja seperti fatwa tentang ajaran Esq yang baru diterbitkan, iaitu fatwa Mufti Wilayah Persekutuan yang mengharamkan ajaran tersebut di Wilayah Persekutuan, sedangkan mufti di Negeri lain menghalalkannya atau mengharuskannya.

Negara kita terlalu kecil untuk menerima banyak fatwa, dan agama Islam yang berkaitan dengan prinsip dan fundamental ajarannya adalah satu sahaja, maka kenapakah harus terdapat beberapa fatwa yang berbeza? Sepatutnya Majlis Fatwa Kebangsaan telah dapat menyelaraskan fatwa ini di peringkat kebangsaan supaya hanya satu fatwa sahaja yang dikeluarkan untuk seluruh umat Islam di negara kita.

Perselisihan pendapat dan pandangan tentang beberapa isu ijtihad atau   Furu’ iaitu isu cabang yang bukan isu asas usul dan fundamental tidaklah menjadi masalah, sekiranya masalah itu tidak bercanggah dengan nas dan dalil yang terang dan nyata. Tetapi apabila terdapat dua fatwa yang bertentangan sama sekali,dari segi haram atau sebaliknya, maka keadaan ini tentulah terdapat salah silapnya di mana-mana yang perlu diselesaikan.

Mufti Wilayah Persekutuan telah memberikan 10 sebab mengapa ajaran ini adalah haram, dan 10 sebab itu dikatakan sebagai perkara yang menyeleweng dari ajaran Islam yang tulin, maka ajaran yang menyeleweng itu adalah mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam, satu situasi yang amat serius dan besar implikasinya kepada keimanan umat Islam.

Fatwa itu haruslah diteliti oleh umat Islam dalam laman web Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, iaitu fatwa yang telah diwartakan di bawah seksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993.

Laman web Esq pula banyak mengemukakan “pandangan” dan “fikiran” dari para lepasan (alumani) “kursus” ini, termasuk para Mufti yang pernah mengikutinya, iaitu dalam bentuk sokongan terhadap “konsep” dan “pendekatan” ini yang dikatakan amat berkesan.

Dalam era teknologi maklumat dan global ini, maka media letronik seperti TV tentunya memainkan peranan yang besar dalam memperomosikan sesuatu mesej atau ajaran yng hendak dijalankan oleh sesebuah organisasi atau badan itu, termasuklah kursus esq ini yang telah dikemukakan di dalam kaca TV.

Namun orang tidak melihat sbarang kesalahan dalam kaedah pendekatan kursus ini dan kesan yang diperolehinya dari ledakan emosi dan teriak tangis yang menjelma ketika

menghadiri latihan ini yang dikatakan boleh menimbulkan keinsafan dan penyesalan bagi mereka yang mahu insaf dan kembali ke jalan yang benar.

Mungkin sepintas lalu, hal ini tidak menjejaskan akidah dan syariah, tetapi seperti yang pernah disuarakan juga oleh beberapa orang pengkeritik sosial dan agama, hal ini mungkin agak bercanggah dengan etika dan nilai-nilai moral kerohanian Islam, kerana pengajaran agama dan promosinya telah terlalu berat kepada konsep dan pendekatan dunia konsumarism atau kepenggunaan, dan terlalu dikomersilkan untuk tujuan kebendaan. Hal ini merupakan satu “trend” dunia korporat zaman ini, dan matlamatnya ialah keuntungan kebendaan.

Tetapi itu pun mungkin tidak menyentuh akidah dan syariah secara serius, kerana selain daripada program ini, maka program yang lain yang berunsurkan agama dan Islam sendiri telah banyak sekali menurut jejak Barat dalam pendekatannya, iaitu seperti program “realiti TV” yang diceduk bulat-bulat oleh program agama di TV kita sendiri dari model “American idol” “Akademi Fantasia” dan sebagainya.

Bagaimana pun hal ini bolehlah diperdebatkan dengan lebih meluas lagi, kerana masing-masing mempunyai pandangannya sendiri, pro dan kontranya. Pronya apakah salahnya kita meniru Barat untuk tujuan keagamaan kita? Kontranya apakah kesannya peniruan Barat secara total seperti program realiti tv ini? Apakah program seperti ini mempunyai tujuan ikhlas untuk mengembangkan agama dan ajaran Islam yng seharusnya dilakukan mengikut kaedah tradisi agama dalam pengajaran bersemuka, talaqqi,musyafahah, memberi ijazah dan ilmu dengan latih tubi dalam majlis ilmu yang penuh kyusuk dan qudus, terutamanya program reality tv ini terdedah kepada penamatan peserta pada

setiap minggu yang tidak mempunyai asas dalam tradisi pengajaran ilmu Islam.

Kembali kepada kursus esq, maka saya rasa pihak yang berkuasa negara sepatutnya segera mengambil tindakan yang tegas sebelum umat Islam bertambah keliru dengan percanggahan fatwa dari pihak otoriti agama, iaitu para mufti.

Saya cadangkan supaya semua aktiviti yang melibatkan latihan kepimpinan esq ini digantungkan buat sementara waktu di seluruh negara. Dan dalam masa yang tersebut, pihak yang berkuasa agama haruslah mengambil tindakan bagi menyelesaikan beberapa isu dan ciri yang berhubung dengan akidahdan syariah seperti yang dikemukakan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan itu. Sesi dialog dan muzakarah hendaklah diadakah yang melibatkan semua pihak sarjana dan pemikir agama dan bukan agama di seluruh negara, supaya satu pandangan yang seimbang dan betul dapat ditemui, dan akhirnya hujah-hujah yang menyakinkan dapat dikemukakan kepada khalayak ramai umat Islam di negara kita yang amat keliru pada masa kini tentang hukum yang sebenarnya dalam isu ini.

Umat Islam yang telah pun banyak mengalami kekeliruan dengan fatwa para mufti yang tidak bertauliah dan ahli politik yang taksub selama ini, tidaklah seharusnya ditambah kekeliruan mereka berganda-ganda lagi dengan fatwa daripada para mufti sendiri.

sumber : http://profismail.blogspot.com/2010/07/bila-mufti-sesama-mufti-bercanggah.html


 
2 Comments

Posted by on 28/07/2010 in ESQ 165 sesat?

 

2 responses to “Isu ESQ : Pandangan Dr. Ismail Ibrahim

  1. Iranis

    28/07/2010 at 7:18 pm

    “Saya cadangkan supaya semua aktiviti yang melibatkan latihan kepimpinan esq ini digantungkan buat sementara waktu di seluruh negara. Dan dalam masa yang tersebut, pihak yang berkuasa agama haruslah mengambil tindakan bagi menyelesaikan beberapa isu dan ciri yang berhubung dengan akidahdan syariah seperti yang dikemukakan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan itu”.

    -Dr. Ismail

    Cadangan ini lebih baik daripada membenarkan dilaksanakan tetapi pada masa sama panel syariah esq perlu melaporkan dari masa ke masa kepada muzakarah.

     
  2. Fuzi

    03/08/2010 at 5:09 pm

    assalamualaikum wrt. wbt.

    Saya amat menyokong tulisan Prof. Dr. Ismail ini. Sememangnya, dalam kekeliruan yang timbul pada hari ini, sepatutnya Latihan Kepimpinan ESQ itu DIGANTUNG SEMENTARA WAKTU. Pihak ESQ sepatutnya mengambil masa untuk meneliti komen-komen yang dibuat oleh Majlis Fatwa dan Mufti Wilayah Persekutuan dan membuat segala pembetulan yang dikehendaki di dalam laporan Majlis Fatwa dengan bantuan Panel Syariah ESQ Berelaunnya. rasanya, tidaklah satu kerugian untuk Latihan ESQ untuk menangguhkan kegiatannya buat sementara waktu demi kebaikan bersama masyarakat dan Islam. Janganlah nilai ekonomi menjadi penentu kerana perkara yang terlibat adalah berkaitan dengan agama, yang sudah barang tentu bukan bahan atau benda mainan.

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: