RSS

Aidilfitri – Kembali Kepada Fitrah

07 Sep

Kita kini berada di penghujung Ramadhan, penghujung bulan yang penuh barakah dan meniti ambang Syawal. Umat Islam di saat ini sudah pastinya sedang sibuk dengan persiapan Hari Raya Aidilfitri. Bagi pembaca setia yang pulang ke kampung halaman, pandulah dengan berhati-hati dan cermat di jalan raya. Moga pertemuan dengan keluarga terutamanya kedua ibu bapa mengubat kerinduan dan meleraikan segala permasalahan yang ada. Inilah masa untuk bukan sekadar saling bermaafan, tetapi inilah masanya untuk menilai diri dan mengakui kesilapan atau ketelanjuran yang ada.

Buat mereka yang telah pergi, marilah kita hadiahkan al-Fatihah kepadanya di petang Ramadhan.

SJ akan menyambut Aidilfitri dengan cukup sederhana. Sedikit perancangan dari ahli keluarga bagi memenuhi Syawal kali ini dengan berkumpul bersama dan mengadakan bacaan tahlil untuk mereka yang telah pergi.

MAKNA AIDILFITRI YANG PERLU DIFAHAMI

Secara bahasanya, Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah. Ini bertepatan dengan madrasah Ramadhan yang merupakan bulan penyucian diri dan jiwa dengan melaksanakan segala amalan kefardhuan dan sunat serta qiamulail. Kewajipan menunaikan zakat fitrah juga dilaksanakan dalam tempoh sebulan Ramadhan. Lalu, Ramadhan diakhiri dengan kembalinya diri kepada fitrah. Ramadhan menjadikan diri dibasuh bersih agar kembali menjadi ibarat kain putih.

Rasulullah saw bersabda;

“Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua Ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.”

Apakah fitrah yang sebenarnya?

Sebenar-benar fitrah adalah diri yang mentauhidkan ALLAH SWT. Dalam ertikata lain, fitrah bermaksud agama Islam, satu-satunya agama yang benar dan diredhai ALLAH Azza WaJalla.

Firman ALLAH di dalam al-Quran bermaksud;

(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama ALLAH, iaitu agama yang ALLAH menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (ar-Ruum :30)

Fitrah manusia sejak azalinya adalah Islam dan mentauhidkan ALLAH. Ini dijelaskan oleh ALLAH SWT dalam surah al-A’raaf  ayat 172 yang bermaksud :

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNYA): “Bukankah AKU Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (ENGKAU-lah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

PENGHAYATAN RAMADHAN DAN AIDILFITRI

Dengan kembalinya kita kepada fitrah ini, ia sewajarnya menjadi satu kayu ukur atau yardstick untuk kita memulakan langkah baru dan mengekalkan diri agar terus hidup sebagai lembaran kain putih yang suci dan bersih. Ia juga seharusnya menguatkan iltizam untuk memenuhi syarat kehidupan sebagai mukmin sejati yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi bertujuan untuk mengabdikan diri kepada-NYA dan mengakhiri kehidupan sebagai seorang insan kamil.

Inilah penghayatan yang sewajarnya. Manakala hiburan yang melampau di musim perayaan ini seharusnya dijauhi. Bentuk-bentuk hiburan yang keterlaluan akan hanya membawa kepada kelalaian dan akhirnya menghilangkan seri keindahan hasil tarbiyah Ramadhan dan 1 Syawal.

Agenda kita perlu merangkumi agenda besar seperti kemajuan kuantiti dan kualiti amalan agama, pembinaan kekuatan ekonomi, penambahan ilmu pengetahuan, pembinaan kemahiran tertentu, agenda sumbangan kepada agama dan masyarakat setempat dan seterusnya sumbangan kepada bangsa dan negara. Bagi setiap agenda tersebut perlu diwujudkan sasaran pencapaian yang realistik dan mencabar supaya kita dapat maju dan berjaya.

Sebagai langkah asas, kita perlu membina perwatakan diri supaya lahir dalam diri kita sikap, amalan, tabiat dan budaya yang selaras dengan apa yang diamalkan oleh orang-orang berjaya dan cemerlang. Diri kita adalah amanah ALLAH dan pinjaman sementara yang perlu kita jaga dan manfaatkan supaya ia dapat menjana manfaat paling baik untuk diri, keluarga, jiran, masyarakat, agama dan negara. Segala potensi besar jangan pula terbiar membazir sebaliknya perlu di bentuk dan diasah dengan strategi berkesan dan kerajinan yang bersungguh-sungguh supaya setiap orang dari kita dapat merealisasikan segala potensi dan kebaikan yang ada padanya.

Minal ‘aideen wal faaizeen adalah suatu ungkapan yang besar. Kita mengucapkan tahniah atas kejayaan kita untuk memenuhi tuntutan Ramadhan, melepasi proses tarbiyahnya dan akhirnya, kita melambai senja Ramadhan yang menyinsing dengan suatu diri yang tinggi kerana telah menundukkan hawa nafsu, kita telah menghidupkan hati dan kita telah meringankan tubuh badan untuk beribadah. Malah kita juga telah mengubah sikap kepada yang lebih baik, sesuai dengan ciri-ciri asal yang telah dikurniakan ALLAH kepada kita. Ya, kita telah kembali kepada Fitrah, ‘kembali ke jalan ALLAH’. Inilah pengertian ‘Aideen iaitu orang yang kembali. Inilah manusia yang berjaya.

Renungi firman-NYA yang bermaksud :

“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya dari belenggu nafsu” (Asy-Syams 91: 9)

Inilah erti al-Faa’izeen yang kita sebutkan. Maka cerminlah ke dalam diri kita. Apakah kita telah kembali kepada fitrah diri yang sebenar selepas Ramadhan ini? Apakah apabila al-Quran menyebut ciri-ciri orang mukmin, di dalam ayat yang banyak dan pelbagai, kita menepati ciri tersebut? Dan benarkah kita telah berjaya?

Akhirul kalam, semoga Aidilfitri ini benar-benar mengembalikan kita kepada fitrah yang hakiki, iaitu menjadi mukmin yang mentauhidkan diri kepada ALLAH SWT. Ayuh, kita penuhi dengan takbir tasbih, tahmid dan kesyukuran. Di kesempatan ini juga, SJ ingin mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca.

 

7 responses to “Aidilfitri – Kembali Kepada Fitrah

  1. Edenla

    08/09/2010 at 9:43 am

    salam.. sekadar bertanya.. mana lebih afdal.. solat terawih @ solat sunat aid fitri??

     
    • suarajagat

      08/09/2010 at 8:33 pm

      kedua-dua ibadah tersebut hukumnya adalah sunat. Maka tidak timbul soal mana lebih afdal. Yang penting ialah kita menunaikannya kerana ALLAH SWT.

       
  2. Akela

    12/09/2010 at 7:38 pm

    Salam… Sry lewat sket..
    Slamat hari raya utk SJ..

     
    • suarajagat

      13/09/2010 at 8:28 pm

      terima kasih akela🙂

       
  3. Anuat

    22/09/2010 at 1:20 pm

    Asslm dan Salam Eid mubarak. Selain MZB seperti lazimnya org memberi ucapan, saya sekali memohon maaf atas terlewat memberi salam ucap selamat. Seharusnya saya patut lebih pro aktif

    Di samping itu, ingin saya maklumkan saya sangat senang dan suka dengan tuan dan laman ini yg banyak membantu. Teruskan usaha murni ini dan saya terus berdoa untuk kebaikan dan kesejateraan tuan dan sungguh mengharap laman ini terus hidup, memakmurkan minda anak2 alam semua. InsyaALLAH.

    Sekali lg Terima Kasih

     
    • abu adib

      10/07/2013 at 12:47 pm

      mohon share artikel ini.

       
      • suarajagat

        10/07/2013 at 3:44 pm

        silakan

         

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: