RSS

Hari Arafah : Usah Pertikai Perbezaan

14 Nov

Isu berkaitan tarikh 9 Zulhijjah dan Aidiladha (10 Zulhijjah ) seringkali dipertikaikan oleh segelintir masyarakat muslim di Malaysia. Lebih menyulitkan apabila perkara kecil ini telah diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak sehingga mewujudkan kekeliruan fahaman umat Islam. Kurangnya kefahaman menyebabkan umat Islam terkeliru tentang bilakah sewajarnya melaksanakan ibadah puasa sunat sama ada pada 9 Zulhijjah yang telah ditetapkan oleh Malaysia atau perlu mengikut Arab Saudi.

Sidang pembaca yang saya hormati.. Perbezaan tarikh 9 Zulhijjah atau Hari Arafah sewajarnya tidak dijadikan hal yang membebankan kita dalam melaksanakan tuntutan Islam. Apatah lagi apabila ibadah tersebut hukumnya adalah sunat dan bukannya wajib. Persoalan tentang perbezaan tarikh asbab kedudukan geografi ini juga sebenarnya telah lama diselesaikan dan diputuskan oleh para ulama terdahulu.

Pertamanya, harus diingati bahawa penetapan tarikh dalam Tahun Hijrah adalah berdasarkan pada peredaran bulan yang ditentukan menurut kaedah ilmu falak, juga disebut sebagai rukyah (melihat anak bulan ) dan hisab ( kiraan falak ) didasarkan kepada imkanur-rukyah (kebolehnampakan anak bulan). Kaedah ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah s.a.w.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Ahmad menerangkan tentang kepentingan rukyah. Hadis tersebut adalah seperti berikut :

Daripada Ibni Umar r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. “Satu bulan mengandungi 29 hari, oleh itu jangan kamu berpuasa (di bulan Ramadhan) hingga kamu melihat anak bulan (Ramadhan) dan jangan kamu berbuka (berhari raya) hingga kamu melihat anak bulan (Syawal). Jika terlindung hilal daripada pandangan kamu, sempurnakan bilangan anak bulan itu (30) hari”.

Hadis di atas menjelaskan tentang kepentingan melihat anak bulan dan turut menyatakan tentang penyelesaian sekiranya hilal tidak kelihatan. Bagaimanapun bukanlah wajib bagi setiap individu melihat anak bulan tersebut. Cukuplah sekadar bagi beberapa individu yang memang mempunyai pengetahuan ilmu falak serta dipertanggungjawabkan oleh pemerintah untuk melaksanakannya. Manakala bagi kita masyarakat awam wajib pula mengikuti mereka itu.

Kisah perbezaan berhubung penetapan tarikh kerana kedudukan geografi berbeza juga telah berlaku sejak zaman para sahabat, contohnya berdasarkan hadis di bawah :

Kuraib menceritakan bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Syam. Kuraib berkata, “Aku tiba di Syam dan menunaikan hajatnya sedangkan pemberitahuan dan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah al-Munawwarah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan”.

Katanya, “Bilakah kamu melihat anak bulan?” Aku menjawab, “Kami melihat pada malam Jumaat!”.

Ibnu Abbas bertanya lagi katanya, “Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?”. Aku menjawab, “Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa”.

Ibnu Abbas berkata, “Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal”.

Aku bertanya, “Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?”. Ibnu Abbas menjawab, “Tidak! Beginilah caranya Rasulullah s.a.w. menyuruh kami”.
(Riwayat Imam Muslim)

Jelas di sini bahawa adalah tidak menjadi wajib bagi penduduk di negara lain mengikut rukyah yang berlaku di negara lain sekalipun negara tersebut adalah Arab Saudi atau atas alasan di sana Mekah dan Madinah. Oleh yang demikian, polemik yang cuba ditimbulkan oleh sesetengah pihak yang mengaku kononnya menegakkan sunnah dan dalam masa yang sama cuba memburuk-burukkan pihak berkuasa agama kononnya kaedah rukyah dan hisab yang dilaksanakan di Malaysia ini bukan sunnah Rasulullah s.a.w serta mempertikaikan penetapan tarikh-tarikh penting Islam di negara ini, boleh dianggap sebagai satu fitnah ke atas umat Islam.

Yang menghairankan ialah golongan ini tidak pernah mempertikaikan perkara-perkara berikut :

  1. Apabila Arab Saudi berpuasa lebih awal dari Malaysia, mereka tidak pertikaikan kita tidak mengikut Arab Saudi.
  2. Bilamana Malaysia menyambut Hari Raya lebih awal dari Arab Saudi, tiada pula yang mempertikaikannya.

Mencengangkan, kerana dalam 2 keadaan di atas, boleh pula faham perbezaan rukyah. Tetapi bila Arab Saudi berhari raya awal dari Malaysia, cuba pula timbulkan kekecohan. Lantas, di mana letaknya keikhlasan dalam beribadah dan mengikuti takdir TUHAN?

Oleh yang demikian, saya nasihatkan pembaca untuk berpuasa sunat pada tarikh 9 Zulhijjah sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Malaysia dan rantau Asia Tenggara berdasarkan rukyah dan hisab yang telah dilakukan. Bukan mengikut hari apa wukuf dilakukan di sana (Isnin,Selasa,Rabu, Khamis…?). Bagaimana jika suatu hari kelak ALLAH takdirkan kita melihat anak bulan Zulhijjah, 1 @ 2 hari lebih awal dari Arab Saudi? Mana yang hendak diikuti? Arab Saudi atau takdir ALLAH? Mana yang lebih utama?

Dalam situasi pada tahun ini apabila tarikh Zulhijjah(dan pelaksanaan wukuf di Arafah) di Mekah mendahului Malaysia, penjelasan Syeikh Syihabuddin di dalam Kitab Umairah elok untuk dijadikan panduan :

“(Dan hari Arafah) dan sekiranya berlaku syak berkenaan hilal Zulhijjah maka tiada haram dan tiada makruh berpuasa pada hari Arafah sebagaimana berpuasa pada hari yang ke-30 Ramadhan setelah syak pada kedudukan hilal awal Ramadhan”.

Tambah Al-Syeikh Zainuddin Abdul Aziz al-Malibari lagi;

“Dan lebih cermat lagi berhati-hati, berpuasalah pada 8 dan 9 Zulhijjah”.

Ingatlah juga bahawa takrifan sebenar Aidiladha adalah Hari Raya Korban dan bukannya Hari Raya Haji sebagaimana yang sering kita ungkapkan. Salam Aidiladha. Semoga kita terus berkorban demi ALLAH.

Sekian, wassalam.

 
 

8 responses to “Hari Arafah : Usah Pertikai Perbezaan

  1. kht

    15/11/2010 at 1:15 am

    Terima kasih atas info. Mohon share🙂 dan selamat menyambut hari raya eid adha.🙂

     
    • suarajagat

      15/11/2010 at 9:35 am

      silakan saudara kht.
      anda boleh share artikel2 di SJ, asalkan saja diletakkan link kepada blog ini.🙂

       
  2. Azira Eiji

    15/11/2010 at 7:21 pm

    Saya juga share di facebook saya, sebab kelihatannya ramai yang cenderung fenin2 termasuklah saya..sebelum menemui laman ini.. Terima Kasih..🙂

     
    • suarajagat

      16/11/2010 at 9:56 am

      terima kasih atas perkongsian🙂

       
  3. Polan Abdullah

    16/11/2010 at 10:02 am

    Assalamu’alaikom,

    Mohon budi baik tuan sudi beri penjelasan – penentuan Hari Raya Qurban pada 10 Zulhijjah, apakah ada hadisnya ? Atau mengikut adat orang-orang dahulu ?

    Sekian terimakasih

     
    • suarajagat

      16/11/2010 at 12:19 pm

      Assalamualaikum wbt. buat saudara polan abdullah.
      terdapat beberapa hadis dan firman ALLAH yang menjadi antara dalil kepada Aidiladha.

      Disebutkan oleh Nabi SAW : “Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu” (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

      Allah SWT pula berfirman : وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ “Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh” ( Al-Fajr : 1).

      Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma’ad, Ibn Qayyim). Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain : “Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini” (Riwayat Al-Bukhari).

      Allah SWT juga menyebut ertinya : “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu..” (Al-Hajj : 28). Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

      Mungkin kekeliruan yang timbul di kalangan kita adalah kerana perbezaan hari yang berlaku dan tidak memahami kaedah rukyah dan hisab. Tambahan pula ada segelintir yang sengaja mempertikaikan hal-hal sedemikian.

      Pertama sekali, jika kita benar-benar memerhatikan rukyah yang telah diputuskan oleh pemerintah di negara2 Asia Tenggara (ini matla’/ rantau/ region kita) berdasarkan rukyah dan hisab, kita akan dapati bahawa tarikh 1 Zulhijjah, 9 Zulhijjah dan 10 Zulhijjah di sini sebenarnya sama dengan 1 Zulhijjah, 9 Zulhijjah dan 10 Zulhijjah di Arab Saudi kerana kita melihat pada bulan yang sama. Cuma sahaja berbeza sedikit kerana waktu maghrib kita lebih awal beberapa jam sahaja dari sana asbab dari bentuk bumi yang bulat maka asia tenggara mengalami kejadian siang dan malam lebih awal dari Timur Tengah. hal ini adalah sunnatullah.

      Demikian juga ada ketikanya negara Arab Saudi atau matla’nya dapat melihat anak bulan, tetapi di asia tenggara tidak. Hal ini berlaku kerana anak bulan pada ketika wak tu maghrib di Asia Tenggara masih terlalu muda. Ini menjadikan ia sukar kelihatan. Tetapi apabila waktu maghrib di Arab Saudi tiba, bulan pada waktu itu sudah mula matang, maka lebih mudah utk melihat anak bulan di sana. Semua ini adalah sunnatullah.

      Kerana itu, jika kita benar2 memahami perkara tersebut, kita dapati sebenarnya jika mengikut kiraan rukyah tarikh hijriah kita sama sahaja dengan rukyah Arab Saudi.

      Perbezaan yang timbul seperti kita hari selasa, mereka(Arab Saudi) hari Isnin adalah kerana, kiraan ahad isnin selasa rabu khamis jumaat dan sabtu adalah berdasarkan pergerakan terbit dan terbenam matahari serta kalender Masihi.

      Atas asbab itulah, maka para ulama, menyatakan keperluan mengikut tarikh hijriah.

      mengapa penentuan tarikh 10 Zulhijjah perlu mengikut cerapan anak bulan 1 Zulhijjah?
      Hadis2 berkaitan penentuan Ramadhan dan Syawal adalah seiring dengan keadaan ini.
      Hanya selepas mendapatkan tarikh penentuan 1 haribulan, barulah kita boleh mengira 2,3,4,5,6,7,8,9 dan 10.

      Hadis2 berkaitan ibadah korban :

      “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

      Disunnahkan untuk melakukan penyembelihan di tanah lapang tempat solat Aidiladha. Ibnu ‘Umar r.a berkata, “Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW menyembelih haiwan korban di musala, iaitu kawasan lapang tempat menunaikan solat Aidiladha.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

      sekian terima kasih.

       
  4. Jabaal Nur Hakim

    16/11/2010 at 3:07 pm

    Ini hayalan semata, seandainya ada khalifah saat ini pasti tidak ada perbedaan. Umat kristiani selalu serempak dalam hari raya mereka dan tunduk pada paus paulus…

     
    • suarajagat

      16/11/2010 at 3:38 pm

      terima kasih atas komen.
      sebenarnya saudara, sekalipun jika sistem khalifah terlaksana, perbezaan waktu/ masa akan tetap berlaku kerana Bumi itu bulat dan berputar di atas paksi mengelilingi matahari manakala bulan juga berputar mengelilingi bumi. Sunnatullah ini bergerak bukan atas kehendak mana2 khalifah, tetapi bergerak atas kehendak ALLAH.

      Lihat sahaja hadis berkaitan perbezaan Ramadhan dalam artikel di atas. Ianya berlaku dalam zaman sahabat r.a. Dan para sahabat ketika itu adalah khalifah pada saat itu, namun perbezaan tetap berlaku.🙂

      Sedikit penjelasan yang perlu dinyatakan ialah :

      1. Kalender Gregory (January-December) yang diamalkan sebagai civil calender adalah tetap kerana berpandukan bumi mengelilingi matahari. Hal ini berlaku kerana hanya bumi yang bergerak manakala matahari tidak bergerak. Jumlah hari pada setiap bulan Januari-December juga telah ditetapkan. Namun Calender ini (yang asalnya adalah Julius Calender/Calender Yunani) mempunyai ralat tersendiri. Kerana itulah maka diwujudkan tahun lompat di mana bulan Februari diganda menjadi 29 hari pada setiap 4 tahun.

      2. Kalender hijriah pula berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi bumi. Ditegaskan di sini bahawa, di saat bulan berputar mengelilingi bumi, bumi juga pada masa yang sama berputar di atas paksi sendiri. Justeru kerana itulah bulan hijriah sebanyak 29 hari dan adakalanya menjadi 30 hari.
      Pengiraan tahun hijriah adalah menepati hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

      Daripada Ibni Umar r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. “Satu bulan mengandungi 29 hari, oleh itu jangan kamu berpuasa (di bulan Ramadhan) hingga kamu melihat anak bulan (Ramadhan) dan jangan kamu berbuka (berhari raya) hingga kamu melihat anak bulan (Syawal). Jika terlindung hilal daripada pandangan kamu, sempurnakan bilangan anak bulan itu (30) hari”.
      (Riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad)

      sekadar untuk menambah pengetahuan berkaitan Aidiladha, ambil iktibar dari ayat di bawah :

      Korban bermaksud haiwan yang disembelih kerana ibadah pada Hari Raya Adha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Dzulhijjah dengan tujuan untuk mendampingkan diri kepada ALLAH Ta’ala
      (Syeikh Daud al-Fathoni, Furu’ al-Masail, Juz 1: 259).

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: