RSS

ESQ 165 : Kaedah Pentakwilan Liberal

26 Jan

Sudah lama kita tidak membicarakan tentang isu ESQ 165 yang begitu hangat diperkatakan pada tahun lalu. Biarpun kisah penyelewengan akidah oleh pihak ESQ tidak lagi berada dalam liputan media-media cetak dan elektronik, tidaklah bermakna ianya telah berubah dan benar. Apa yang pasti, keadaan yang kian senyap ini perlu diberi perhatian agar gerakan penyesatan secara diam-diam dapat dibanteras.

Penyelewengan ke atas maksud ayat-ayat al-Quran dikatakan banyak berlaku di dalam training ESQ 165. Mungkin bagi kebanyakkan peserta, mereka tidak menyedari hal ini kerana majoritinya bukanlah di kalangan mereka yang menguasai ilmu wahyu. Pun demikian, bagi mereka yang seringkali mempelajari tafsir al-Quran, insya’ALLAH akan menyedari akan kesilapan pentafsiran atau pentakwilan yang ada dalam perlatihan ESQ ini.

Malah, penyelewengan dan penyalah tafsiran ayat-ayat al-Quran telah juga dilakukan oleh pihak pentadbir ESQ 165 dalam cubaan mereka menolak fatwa SS Mufti Wilayah yang mengharamkan perlatihan ESQ 165. Mereka yang mempertahankan ESQ mungkin lupa bahawa mereka hanya mempertahankan sebuah syarikat latihan pembangunan sumber manusia yang menggabungkan idea seorang Nabi Palsu dengan rukun Islam,Iman dan Ihsan. (rujuk : ESQ 165 : SQ dan Nabi Palsu dan The Prophets Conference).

Walhal di pihak pro-fatwa pula bertujuan mempertahankan agama Islam dan akidah umat.

Antara hujah-hujah pihak ESQ 165 yang telah menyelewengkan al-Quran ketika berhujah menentang Fatwa SS Mufti Wilayah dan Pegawai Agama JAKIM ialah seperti berikut :

PENYELEWENGAN 1 : Tulisan Sharifah Huda

Jawapan-jawapan dari suara hati tersebut kelihatan punya perkaitan dengan sifat-sifat Allah yang terdapat di dalam Al Quran (Asmaul Husna) seperti Maha Penolong, Maha Pengasih dan Penyayang, Maha Berilmu, Maha Mengetahui, Maha Suci, Maha Memelihara, Maha Menghitung, dan Maha Melindungi. Merujuk kepada Surah As Sajadah ayat ke 9, bermaksud, “Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya (manusia) dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya…” Ertinya sifat-sifat mulia itu juga ditiupkan ke dalam jiwa manusia. Contoh-contoh yang dikemukakan di atas adalah bertujuan untuk menyedarkan semua manusia bahawa sebenarnya mereka memiliki suara hati yang sama; suara hati universal yang diciptakan Allah untuk manusia. Inilah yang disebut conscience yang terakam di dalam God Spot. Inilah yang disebut kesedaran spiritual atau kesedaran fitrah.

(rujuk : Penjelasan Kekeliruan 4 di http://tanyajawabesq.blogspot.com/2010/09/siapa-aizam-masoud.html )

Ulasan SJ : Menurut Puan Sharifah Huda, ayat ke 9 surah as-Sajadah tersebut bererti sifat-sifat mulia (beliau memaksudkan sifat-sifat yang ada pada asma ulhusna) ditiupkan ke dalam jiwa manusia bersama-sama peniupan roh.

Saya telah cuba mencari dari pelbagai kitab tafsir dan tidak ada satupun tafsiran ulama yang saya temui sebagaimana tafsiran Pn.Sharifah Huda. Entah dari mana pula beliau dapatkan tafsiran ini, atau mungkin sekali ia adalah pentakwilan  beliau semata-mata, tanpa merujuk kepada tafsiran ulama muktabar.

Jika benar demikian, soalan yang timbul ialah : Apakah beliau (Pn. Sharifah Huda) layak untuk membuat pentafsiran/ pentakwilan sendiri? Adakah beliau telah mencapai tahap sebagaimana para imam tafsir terdahulu?

PENYELEWENGAN 2 : Kenyataan Media Dr. Ary Ginanjar

Sebagaimana kita ketahui bahawa umumnya ilmuwan Barat tidak mengakui keberadaan Tuhan sebagai Pencipta. Penemuan VS Ramachandran seorang pakar neurologi, Pengarah Center for Brain and Cognition, Professor neurosains di Universiti California dan dikenal jugasebagai Marcopolo of Neurology, menemukan secara ilmiah bahawa manusia selalu mencari dan ingin bertuhan. Penemuan tersebut menjadi asas Danah Zohar untuk merumuskan SQ atau kecerdasan spiritual pada diri manusia. Kedua hal itu membuktikan secara tersirat bahawa Al-Quran itu benar bahawa manusia senantiasa mengabdi pada Allah, sebagaimana yang dikatakan dalam surah Adz-Dzariyat: 56, “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi kepada-Ku.”

(sumber : Majalah i, hlm.22, Bil.94 Ogos 2010)

Ulasan SJ : Terdapat beberapa perkara yang sangat merosakkan di dalam kata-kata Dr. Ary di atas.

Pertama, beliau menjadikan penemuan oleh VS Ramachandran yang sebenarnya dipengaruhi oleh fahaman Hinduisme berkaitan Ajna Chakra dan rumusan yang dibuat oleh Danah Zohar sebagai ‘sains’ untuk mentafsirkan al-Quran. Ini adalah amat merosakkan! Rumusan Danah Zohar tersebut tidak mempunyai asas yang kukuh untuk dijadikan bahan sains dalam memberi penafsiran ke atas al-Quran.

Kedua…Merujuk kepada kitab-kitab tafsir para ulama mufassirin, ayat 56 Surah Adz-Dzariyat adalah satu bentuk penegasan dan peringatan oleh ALLAH s.w.t bahawa sesungguhnya tidaklah ALLAH menciptakan jin dan manusia selain untuk beribadah/ menghambakan/ mengabdikan/ menyerah diri kepada-NYA.

Pengertiannya ialah manusia wajib menyembah ALLAH, bukan bermaksud manusia ‘senantiasa’ mengabdikan diri kepada ALLAH sebagaimana yang disebut oleh Ary Ginanjar Agustian.

Jika kita menerima pentakwilan beliau (Ary Ginanjar), maka;
1) Apakah George W. Bush, Danah Zohar serta sekalian Yahudi, Nasrani, Hindu, Buddha dan atheis senantiasa mengabdikan diri kepada ALLAH walhal mereka tidak pernah mengucapkan 2 kalimah syahadah..jauh sekali untuk melaksanakan ibadah kepada-NYA?

2) segala kebaikkan yang dilakukan oleh golongan kafir tidak mendapat pahala..berbeza dengan orang Islam yang mendapat pahala bila berniat dan melaksanakan kebaikkan..malah kebaikkan itu di kira sebagai satu ibadah…bukankah ini jelas menunjukkan bahawa ALLAH swt dan Rasul-NYA tidak mengiktiraf golongan bukan Islam sebagai ‘senantiasa’ mengabdikan diri kepada-NYA?

Kalaulah benar manusia senantiasa mengabdikan diri kepada ALLAH swt, maka tiadalah hikmahnya nubuwwah kerana Rasulullah s.a.w menyeru manusia kepada Islam adalah agar manusia mengabdikan diri kepada ALLAH. Bermakna Abu Jahal dan mereka yang bukan Islam dari dahulu hingga hari kiamat tidak mengabdikan diri kepada ALLAH. Justeru, hanya muslim dan mukmin yang mengabdikan diri kepada ALLAH, bukannya semua manusia.

Lantaran itu… Bukankah statement Pak Ary di atas menampakkan unsur pluralisme yang halus dan mempergunakan ayat al-Quran selain membuat tafsiran yang sangat bercanggah serta hanya berdasarkan akal sendiri tanpa rujukan muktabar? Kaedah pentafsiran sendiri yang dilakukan oleh Ary Ginanjar adalah mengikut kemerdekaan berfikir seperti yang dicanang Ary, dan itulah sebenarnya sebahagian cara berhujah golongan liberalis agama.

Ini menunjukkan wujudnya idea pluralisme dalam cara berfikir Ary Ginanjar apabila beliau mengatakan semua manusia secara tabiienya sentiasa mengabdi kepada Allah. Andai manusia senantiasa mengabdi pada ALLAH sebagaimana pentakwilan Ary Ginanjar, maka tiadalah bezanya di antara Mekah dan Vatican City! Tiada berbeza antara ibadah seorang muslim dengan ritual non-muslim (kafir)! Tidak juga berbeza antara Aidilfitri, Christmas dan Thaipusam!

Takwilan buta beliau ini jika diterima pakai, tanpa disedari boleh memansuhkan firman ALLAH dalam surah al-Kafirun serta menafikan hikmah kenabian Nabi Muhammad s.a.w.

Sekali lagi ingin saya tanyakan : Apakah beliau (Ary Ginanjar) layak untuk membuat pentafsiran/ pentakwilan sendiri? Adakah beliau telah mencapai tahap sebagaimana para imam tafsir terdahulu?

Akhirnya, kita dengan jelas dapat melihat bagaimana agama Islam dan firman ALLAH dijadikan alat/ diperalatkan bagi mengaburi mata masyarakat tentang kejelekan ESQ 165. Demikianlah sebahagian kesesatan ESQ 165. Sanggupkah anda membiarkannya?

 
7 Comments

Posted by on 26/01/2011 in ESQ 165 sesat?

 

7 responses to “ESQ 165 : Kaedah Pentakwilan Liberal

  1. Ismael

    02/02/2011 at 2:36 pm

    Saudara SJ teruskan pendedahan-pendedahan ilmiah anda. Moga kami yang buta hati ini akan mengetahui hakikat sebenar. Sememangnya mereka terus mencari peluang tanpa henti untuk meraih keuntungan dari kita.

     
    • suarajagat

      02/02/2011 at 9:50 pm

      terima kasih saudara Ismael.🙂
      moga ALLAH mengurniakan taufik hidayah-NYA kepada kita.

       
  2. Amany

    14/02/2011 at 10:43 pm

    Assalamualaikum Ustaz,

    Ini artikel terbaru yang ditulis oleh Pengurus Besar ESQ. Saya dapat di blog dia.
    Ustaz, mohon penjelasan ustaz. Kenapa ESQ ni tak serik2 lagi ni ustaz? Betul ke apa yg dia tulis ni? Ini dah lebih ustaz. Saya harap ustaz dapat memberi penjelasan terhadap penulisan Pengurus Besar ESQ ini. Semoga segala kekeliruan ini akan terungkai. Mungkin juga ustaz boleh bagi komen di blog Pengurus Besae ESQ ni biar org2 yang baca blog dia tahu perkara sebenar. Ini linknya http://marhainiyusoff.blogspot.com
    Berkaitan yang 23 Feb 2011 ni, boleh tak ustaz bagi detail? Saya berminat untuk ikut sekali.

    Mengapa penjelasan fatwa melepasi sempadan negeri?

    Lama saya berhenti menulis di blog, berharap segala kekusutan akan berhenti, berdoa ada jalan damai, namun tulisan demi tulisan di laman web Mufti Wilayah tidak pernah berhenti, sehebat tulisan di Suara Jagat yang terus menyatakan bahawa ESQ adalah gerakan penyesatan secara senyap.

    Terkini, 23 Februari sebuah seminar bakal diadakan lagi anjuran Jabatan Mufti WP. Untuk menjelaskan fatwa Wilayah Persekutuan, seluruh agensi Kerajaan, badan-badan korporat dari semua negeri di Malaysia bakal dikumpulkan di Dewan Muktamar Pusat Islam. Mengikut catatan, ini sudah entah kali ke 3 atau ke 4 seminar seperti ini diadakan. Sudah berapa banyak wang yang dihabiskan bagi menjelaskan fatwa ESQ Sesat di Wilayah Persekutuan? Mengapa begitu keterlaluan sehingga dipanggil syarikat luar dari WP bagi melakukan Penjelasan Fatwa yang sepatutnya berlaku hanya untuk Wilayah Persekutuan?

    Setelah ESQ di gazet haram di Wilayah Persekutuan, kami akur dan segera menghentikan semua ESQ Training di WP. Venue yang telah kami booking untuk training, semuanya kami cancel walau ada wang deposit yang telah kami dahulukan. Biarlah. Keputusan pengharaman di WP perlu kami patuhi dan hormati.

    Namun, rupanya pengharaman tidak berhenti di situ. ESQ terus menerima ’serangan’ tanpa henti oleh Jabatan Mufti WP. Di dalam ’memerangi’ ESQ, berapa banyak wang yang telah digunakan untuk menyediakan buku-buku seminar, flyers, tempat, makan, menerbangkan individu dari Indonesia (tanpa merujuk kepada badan dakwah yang di iktiraf oleh Kerajaan Indonesia)…. dan berapa banyak man hour yang telah dihabiskan untuk travel dan meninggalkan agensi dan syarikat-syarikat agar faham ”ESQ Haram” di Wilayah Persekutuan? Kenapa penjelasan fatwa tidak terhad kepada agensi dan syarikat di dalam WP sahaja? Walhal keputusan muzakarah Islam tertinggi di Malaysia yang dianggotai oleh semua mufti semua negeri dan beberapa yang dilantik adalah berbeza dengan Wilayah Persekutuan.

    Memanggil jabatan yang bukan berada di Wilayah Persekutuan seperti di Perak, Johor, Kedah, Penang, Selangor dan lain-lain apakah maksudnya?

    Kenapa usaha untuk menjelaskan fatwa ini agak keterlaluan?

    Walhal sejak Fatwa Kebangsaan membenarkan ESQ terus dilaksanakan, kami terus akur dan melaporkan semua perkembangan ESQ kepada Fatwa Kebangsaan, di mana Mufti WP salah satu ahlinya. Terbaru, saya telah menyampaikan surat dan certificate Patuh Shariah kepada JK Fatwa Kebangsaan dari Majelis Ulama’ Indonesia (MUI). Sijil Patuh Shariah yang telah dikeluarkan oleh majlis Musyawarah Islam tertinggi di Indonesia itu, yang juga bertanggungjawab mengeluarkan fatwa di Republik Indonesia telah dikeluarkan pada 25 Januari lalu setelah kajian terperinci dijalankan ke atas ESQ.

    Kenapa begitu keterlaluan menjelaskan fatwa sehingga melampaui batas Wilayah Persekutuan?

    Surat rasmi di tulis oleh Mufti WP kepada badan agama sehingga melepasi sempadan negara Malaysia, iaitu hingga ke Singapura dan Brunei. Hanya hairannya, di Indonesia tidak ditulis kepada badan agama, tetapi kepada individu yang boleh saja ada kepentingan peribadi.

    Mungkin mereka merasakan inilah sebuah perjuangan yang suci, sehingga perlu diperangi ESQ secara habis-habisan. Menyerang sesama Islam, melabelkan Yahudi sesama Islam, meyakinkan orang lain bahawa saudara seIslam ini sesat, berfahaman liberalisme, pluralisme dan secularisme… kalaulah segala apa yang dilakukan ini disalurkan tenaga dan wangnya untuk menyebarkan dakwah atau memerangi sesuatu yang lebih jelas haramnya atau yang lebih jelas keruntuhan akhlaknya… alangkah! Namun apa yang sedang berlaku setelah ke training, hasil pemerhatian, semakin ramai yang dahagakan ilmu agama dan mula mencari kelas-kelas pengajian, semakin ramai yang solat dan menutup aurat… semakin ramai yang ingin meneguhkan Tauhid dihati dan mencari cinta Allah. Itukah yang diperangi?

    Kalau ESQ gerakan penyesatan secara senyap, pasti kami tidak encourage pengajian-pengajian di luar, dengan para ulamak dan ustaz yang ada, kerana perkara haq tidak mungkin boleh bercampur aduk dengan perkara batil…. Wallahua’lam.

    Selama ini, terlalu banyak yang ingin dijaga oleh kami. ESQ berjuang sendiri dan dengan apa adanya. Tanpa kuasa, tanpa kedudukan, tanpa wang yang banyak, tanpa networking, kami mengetuk semua pintu. Di institusi agama sehingga ke istana. Berharap ada yang mendengar dengan adil dan Alhamdulillah ramai yang faham dan ada yang simpati, apalagi setelah mengikuti dan memahami apa yang ESQ bawa iaitu solution Islam ke dalam Human Resources yang selama ini dikuasai oleh solution Barat yang tiada Al Quran dan As Sunnah.

    Mengikut catatan, inilah langkah-langkah yang telah dilakukan sebelum dan selepas ESQ di Gazet Haram di WP pada 17 hb Jun 2010, walhal malam 16 hb Jun 2010, Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang diwakili oleh SS Mufti semua negeri, Pengerusi yang dilantik dan beberapa panel yang dilantik telah bersetuju ESQ diteruskan di Malaysia. Siapa yang tidak akan percaya, jika ini antara usahanya (setakat yang kami tahu)? Menggunakan segala saluran, kuasa dan networking seperti dibawah, ini belum lagi perjumpaan dengan tokoh-tokoh di beberapa majlis yang kami tahu:

    Setelah JK Fatwa Kebangsaan benarkan ESQ dilaksanakan dan ESQ Di Gazet Haram di WP (setelah 17 Jun 2010 hingga sekarang)
    -Forum ESQ Way Satu Penjelasan anjuran Jab Mufti WP
    -Artikel di Laman Web Rasmi Mufti WP: Tembelang ESQ Pecah
    -Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: Warkah dari Bandung
    -Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: Konsep ESQ Bermasalah
    -Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: ESQ Di Sana Sini
    -Seminar Pemurnian Akidah 2010 (Topik ESQ) anjuran Jab Mufti WP
    -Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: Siapa Dia Nasaruddin Umar dan Din Syamsuddin
    -Forum: Wajarkah ESQ Diharamkan
    -Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: Apabila Yahudi Reda Dengan Islam
    -Surat Rasmi berserta dokumen kepada Tokoh-Tokoh di Malaysia, Singapura dan Brunei tentang ESQ dan Yahudi
    -Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP :Siapakah Said Aqiel Siradj
    -Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: Penghinaan terhadap Asmaul Husna
    -Seminar Penjelasan Fatwa 2011 (Topik khusus ESQ)

    Sejak Mei 2009 hingga Mac 2010, sebelum Gazet ESQ haram di WP

    -Kebocoran Kertas Sulit Panel Kajian Akidah (PKA) yang di Pengerusi kan oleh Mufti WP. Tersebar dengan meluas di blog ESQ Sesat
    -Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: Kertas Gerakan Islam Liberal Di Indonesia Dan Kaitannya Dengan ESQ
    -Penayangan Buku ESQ (Versi Inggeris) di program : Bicara Ad Din TV 1 oleh Mufti WP
    -Taklimat Penyelewengan ESQ kepada kakitangan Jab. Hal. Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEINS) oleh Mufti WP
    -Sidang Akhbar Penyelewengan ESQ oleh Mufti WP
    -Muatan Artikel Mengenai ESQ di Majalah Al Islam, maklumat dari jab Mufti WP
    -Email Penyelewengan ESQ serta surat tersebar meluas kepada klien dan orang ramai, sumber dari Jab Mufti WP

    Mungkin kerana betapa intense nya usaha tersebut, sehingga ramai yang beranggapan ESQ sememangnya sesat. Sehingga ramai yang terlupa dan keliru bahawa musyawarah dan muzakarah Islam yang tertinggi di Malaysia telah membenarkan ESQ diteruskan, tanpa halangan, sehingga saat ini.

    Betapa powerful nya sesuatu apabila dilakukan secara intense. Yang haq boleh terlihat batil. Masyarakat akan terus keliru, apa lagi yang kurang memahami urusan agama. Seperti saya, yang pastinya akan menyerahkan urusan agama kepada orang agama. Walau majoriti SS Mufti menyokong pelaksanaan ESQ di negeri masing-masing dan di dalam negara Malaysia, Muzakarah Fatwa Kebangsaan membenarkan ESQ, dan walaupun badan tertinggi yang dirujuk di Indonesia, MUI telahpun mengeluarkan Certificate Patuh Shariah kepada ESQ, tetapi kerana usaha yang tak kenal lelah oleh seorang minoriti, ia boleh berjaya. Masyarakat akan percaya. Keliru halal dan haramnya.

    Kami serahkan perjalanan ESQ di Malaysia ini kepada Allah SWT sepenuhnya. Sebagai hamba, kami menerima dengan ikhlas perjalanan qada’ dan qadar ini, pasti hikmahnya terlalu banyak untuk kami. Kami menerimanya sebagai cara Allah SWT memberi anugerah, menajamkan lagi inti, metod dan cara training ini dilaksanakan kerana setiap hari adalah proses pembelajaran dan pendidikan yang berterusan. Moga Allah jaga semua hati yang di dalam GenggamanNya, moga Allah lindungi kita semua, umat nabi Muhammad saw, dari tipuan syaitan yang direjam. Moga Allah satukan hati-hati kita di jalanNya yang benar… dan kita tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

     
    • suarajagat

      15/02/2011 at 10:31 pm

      Assalamualaikum wbt..
      terima kasih saudari Amany..

      Pertama sekali, saya lebih senang jika tidak dipanggil ustaz. Panggilan ‘saudara’ atau ‘tuan’ sudah mencukupi.
      Terlalu kerdil rasa diri ini untuk digelar ustaz kerana masih terlalu ramai individu dengan background Islamic yang jauh lebih tinggi keilmuan mereka yang melayakkan untuk gelaran tersebut.

      Tentang program pada 23hb Februari 2011, saya sendiri belum mendapat apa-apa butiran setakat ini. Melihat pada kalender, tarikh tersebut jatuh pada hari rabu, hari bekerja. Maka belum tentu saya dapat menghadirkan diri.

      Melihat kepada artikel Puan Marhaini, ia sekadar luahan perasaan beliau sahaja. Tiada apa yang penting, jauh sekali ilmiahnya.
      Cuma saya fikir, sebagai sebuah syarikat (ESQ) TIDAK BERHAK UNTUK MEMPERTIKAIKAN apa-apa program dan pelaksanaan termasuk juga bajet yang digunakan oleh pihak berkuasa (dalam konteks ini PMWP) bagi melaksanakan segala urusan, tugasan serta tanggungjawab mereka. Apatah lagi dalam soal bajet kerajaan yang sememangnya termaktub dalam Perbentangan Bajet Jabatan setiap tahun.

      PMWP bertindak sebagai sebuah Jabatan Kerajaan yang menjalankan tugas menjaga akidah umat dan ia adalah tugas yang bersifat NON-PROFITABLE. Tiada keuntungan diterima dari setiap tugas serta usaha mereka mematangkan kefahaman ummah.. Benar bahawa Pewartaan Fatwa meliputi Wilayah Persekutuan sahaja. Bagaimanapun pemberitahuan, penerangan dan penjelasan fatwa tidak terikat dengan persempadanan itu.
      Jika merujuk kepada program-program penjelasan fatwa, pemurnian akidah dan seumpamanya, sebagai contoh ketika keluarnya fatwa pengharaman pengkid dan yoga, program-program tersebut turut menjemput pelbagai pihak melepasi sempadan Wilayah Persekutuan. Dan hal ini tidak bercanggah dengan bidang tugas serta tanggungjawab PMWP. Maka tidak ada apa yang perlu dipertikaikan.

      Tentang sijil yang dikeluarkan oleh pihak Majelis Ulama Indonesia (MUI), saya dapati pengeluaran sijil tersebut masih dipertikaikan di Indonesia.
      sila baca di sini : http://www.voa-islam.com/news/citizens-jurnalism/2011/02/10/13246/esq-tidak-menyimpang/
      Tambahan pula, sebagaimana penguatkuasaan Fatwa Pengharaman ESQ 165 di Wilayah Persekutuan tidak melangkaui persempadanan negeri dan negara, maka demikian jugalah sijil tersebut tidak terpakai atau lebih tepat invalid di seluruh negara Malaysia.

      “kata Pn. Marhaini :

      tetapi kerana usaha yang tak kenal lelah oleh seorang minoriti, ia boleh berjaya. Masyarakat akan percaya. Keliru halal dan haramnya.”

      Jika sepertimana statement Puan Marhaini di atas,
      maka bermakna SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan telah mencontohi Nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah dan umat Islam sendiri pada awalnya (di Mekah) ketika memperjuangkan agama Islam dan akidah tauhid merupakan golongan minoriti yang tak kenal lelah. Rasulullah s.a.w dan para sahabat akhirnya berjaya membina ummah dan menegakkan kebenaran tauhid.
      Demikian juga usaha pemurnian akidah oleh PMWP, dan insya’ALLAH ia akan berjaya. Masyarakat akhirnya akan meyakini kebenaran serta memahami kesucian agama Islam, lantas meninggalkan percampuran hak & batil yang dilakukan oleh ESQ 165.

      Semoga ALLAH terus memberi kekuatan kepada PMWP untuk melaksanakan amanah mereka. Alhamdulillah. Amin.

      Akhir kata, artikel pihak ESQ ini hanyalah permainan ‘suara hati’ bagi meraih simpati pembaca.
      Islam tidak tertegak dengan pujuk rayu deraian air mata permainan jiwa.
      Tetapi tertegaknya Islam atas kebenaran hujah, kemurnian akidah dan tauhid.

      Contohilah jejak langkah Rasulullah s.a.w dan Imam Abu Hasan As-Sya’ri dalam menegakkan akidah.
      Bukan mencontohi SQ Nabi Palsu Danah Zohar dan deraian airmata runtunan hati Paderi Valentine.

      Sekian, terima kasih.

       
  3. Iranis

    16/02/2011 at 10:56 am

    Panjang lebar tulisan Pn. Marhaini, namun tidak ada satu pun hujah yang dapat menjawab balik keraguan-keraguan terhadap ESQ yang dibangkitkan sebelum ini. Adalah baik Pn. Marhaini berhati-hati ketika menulis kerana ia boleh dilihat sebagai kecenderungan menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama.

    Telah termaktub peruntukan undang-undang melalui Akta Kesalahan Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 di bawah Seksyen 9 mengenai kesalahan menghina pihak berkuasa agama. Sila rujuk :

    http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Original.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/3734ed672e1938574825707c0004ad82?OpenDocument

     
  4. Lobak

    16/02/2011 at 5:34 pm

    Kenapa tidak dengar saja penjelasan Ulama’2 yg pro kepada ESQ? Mufti2 Malaysia, Panel Syariah ESQ, Ulama’2 dr Majelis Ulama Indonesia? Lebih bnyk percambahan ilmu.

    Seolah2 kita lebih tinggi ilmunya dr mereka sampai tertutup pintu hati utk melihat keilmuan org lain.

     
    • suarajagat

      17/02/2011 at 11:29 am

      assalamualaikum wbt…
      Lobak,
      Tidakkah menjadi persoalan mengapa kita tidak menerima hasil kajian pihak yang dipertanggungjawabkan oleh JAKIM yang telah membuat penyelidikan selama 2 tahun berkaitan ESQ (2008-2010) ? Untuk apa pihak berkuasa dan ahli agama kita tubuhkan jawatankuasa kajian tetapi menolak hasil kajian mereka? Malah pihak Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) juga kemudiannya diberi amanah membuat kajian, dan hasil yang didapati juga sama. Mengapa tidak terima dan menafikan penat lelah selama 24 bulan para penyelidik yang bersungguh ingin menjaga akidah umat walhal mereka tidak pun menyebelahi mana-mana pihak. Semata-mata kerana menjaga kebenaran agama tauhid ini.

      Berbeza dengan Panel Syariah ESQ yang hanya pada tahun 2009 ditubuhkan sedangkan ESQ telah wujud sejak tahun 2000. Kenapa tahun 2009 baru nak tubuh? Ini adalah kerana ESQ terdesak untuk menubuhkan sebuah Panel Syariah setelah mengetahui bahawa perlatihan mereka mula dipertikaikan oleh ramai pihak.
      Namanya pun Panel Syariah ESQ, sudah pastilah akan berpihak kepada ESQ. Demikian juga mereka yang sejak beberapa tahun lalu diminta-minta oleh ESQ untuk memberi testimoni.

      Lihat sahaja bagaimana sijil ikut syariah MUI.. dikatakan bahawa pihak MUI membuat kajian selama 6 bulan bermula Ogos 2010. Fatwa Datuk Mufti Wilayah telah diwartakan lebih awal dari itu dan jika kita ambil kira tempoh 2 tahun tugas kajian oleh Jawatankuasa Kajian JAKIM, sudah pastilah tempoh itu melebihi tempoh 6 bulan yang dilakukan oleh MUI. Pastinya lebih banyak bahan bukti yang dikumpul dalam tempoh 730 hari berbanding 182.5 hari.

      Malah, jika benar MUI membuat kajian sejak Ogos 2010, mengapa Ustaz Amin Jamaluddin yang hadir pada Wacana Diskusi Ilmiah pada28 Ogos 2010 menyatakan dengan jelas ESQ sebagai aliran sesat?
      Untuk pengetahuan pembaca, Ustaz Amin Jamaludin ialah Pengurus MUI Pusat. Beliau juga adalah Ketua Lembaga Penelitian dan Pengkajian Islam (LPPI), pakar dan peneliti aliran dan kefahaman sesat di Indonesia. Kiai Amin Jamaludin pernah menjadi Pembantu Khas kepada Allahyarham Pak Natsir, seorang ulama terkenal di Indonesia pada sekitar tahun 70-an sezaman dengan Pak Hamka.
      Perlu kita beri perhatian khusus apabila pakar akidah seperti Pak Amin Jamaludin dan Ustaz Farid Okbah yang menjadi rujukan dalam pelbagai kes ajaran sesat di Indonesia juga berpendirian bahawa ESQ adalah aliran sesat. Tidakkah menghairankan apabila pandangan golongan pakar akidah ini seolah-olah cuba diketepikan oleh pihak tertentu?

      Ketika Ustaz Zaharudin menulis tentang ESQ pada 2009 dalam artikel bertajuk “Ulasan, Komentar & Cadangan Berkenaan Kursus Latihan ESQ 165”, artikel tersebut mendapat sambutan hangat dari pihak ESQ serta digembar-gemburkan.
      Selepas pewartaan fatwa SS Datuk Mufti Wilayah, Ustaz Zaharudin telah sekali lagi menulis satu artikel bertajuk “Keserabutan Fatwa Atau ESQ Yang Serabut?”. Bagaimanapun artikel ini tidak pula disambut oleh ESQ. Malah ESQ mula membuat ‘pekak telinga’ dengan artikel itu; seolah-olah ianya tidak wujud.

      Apatah lagi, di dalam “Keserabutan Fatwa Atau ESQ Yang Serabut”, Ustaz Zaharudin memecahkan TEMBELANG ESQ :

      Ulasan saya itu diambil perhatian seketika oleh pihak ESQ di ketika mereka diserang oleh JAKIM. Apabila mereka berjaya mendapat tapak sokongan melalui Mufti Perak, Menteri dan lain-lain tokoh. Ada yang melaporkan kepada saya, bahawa cadangan dan teguran saya hampir semuanya dibakul sampahkan sahaja. Malah di satu ketika, saya difahamkan pengurusan tertinggi ESQ cuba memperbaiki modul mereka dengan membuang mana-mana bahagian yang dikira boleh mendatangkan masalah sama ada berkaitan hal pokok atau cabang dalam kursus mereka, namun sebahagian penyokong kuat ESQ membantah sehingga membuat petition rasmi. Sebagai contoh mudah, mereka tidak mahu ‘joget dan lagu matahari’ mereka ditiadakan, dan macam-macam lagi tuntutan mereka. Pengurusan berbelah bahagi. Akhirnya lagu matahari dan joget itu dilaporkan telah diluluskan oleh seorang mufti yang kuat menyokong ESQ, katanya sesuai untuk anak muda. lalu cased is closed, no need to change. Begitu juga banyak lagi hal lain yang tidak lagi dalam ingatan saya.

      Pembongkaran di atas menjelaskan KETIDAKJUJURAN pihak ESQ 165. Beliau turut menyebut di akhir artikel itu sebagai berikut :

      Pihak ESQ pula, tidak boleh mendabik dada dengan sokongan ulama Indonesia dan senarai panjang mereka. Jika mereka ingin terus bertapak kukuh, mereka perlu memberi respon baik dan ilmiah kepada inti warta itu, bukan hanya sekadar menyatakan “kami ada penasihat Syariah”, “kami ada senarai ulama Indonesia yang menyokong”, “ulama singapura” dan sebagainya. Penasihat Syariah ESQ perlu bekerja kuat untuk menulis bahan ilmiah ini dengan bijak dan tidak hanya duduk berehat sekadar menunggu wartawan datang, membiarkan pengurusan ESQ kelam kabut menangani masalah ini.

      Jika perubahan didapati perlu, perlubahan mestilah satu perubahan asas dikuti cabang-cabangnya, bukan hanya tempelan di sana sini seolah ‘menampal lubang bocor di siling parlimen’ yang akhirnya tetap membahayakan. Apa yang menarik perhatian saya, saya pernah bertanya kepada seorang trainer ESQ tahun lalu,

      “Adakah jika perubahan dibuat maka ia akan dibuat bagi seluruh modul ESQ atau hanya bagi modul tertentu dan di malaysia sahaja, kerana ia memasuki pasaran Malaysia?”

      Saya kurang ingat jawapannya, namun ia tidak begitu positif sehingga memberikan saya kefahaman dan kesimpulan berikut :

      “Modul akan diubah mengikut permintaan dan restriction tempat sasaran masing-masing. namun yang asal belum pasti tertakluk kepada pelbagai aspek lain..”

      Jika demikian, saya bimbang perubahannya adalah hanya form dan bukan susbstance.

      Kita juga ketahui SQ pada asalnya diperkenalkan oleh Danah Zohar, dan ESQ sendiri terangkat darinya.
      Danah Zohar adalah salah seorang nabi palsu
      kerana beliau menjadi ahli, speaker bagi The Prophets Conferance, sebuah pertubuhan New Age Movement di Amerika Syarikat.
      Jika anda hendak menafikan perkara ini, sila nafikan dahulu perkataan prophets bermaksud nabi.

      Akhir bicara, SJ berpendirian untuk menyokong, menerima dan mengikuti fatwa SS Mufti Wilayah.

      Sekiranya terdapat apa juga penyelewengan yang pernah berlaku, sedang berlaku dan mungkin akan berlaku secara sedar ataupun secara tidak sedar bertitik tolak dari ESQ 165 ini.. maka saya berlepas diri darinya.

      sabda Baginda SAW: “Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan”.

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: