RSS

Tawassul Hanya Khilaf Fiqhi Dalam ASWJ

18 Feb

Ketika soal jawab selepas membentang isu khurafat di Melaka baru-baru ini, penulis ditanya oleh salah seorang hadirin tentang persoalan tawassul. Bagaimana hukumnya bertawassul  dengan Nabi SAW dan orang saleh yang telah meninggal dunia? Sebenarnya soalan ini tidak berkaitan dengan apa yang penulis bentangkan kerana isu yang dibentangkan adalah persoalan khurafat termasuklah khurafat memohon kepada ahli kubur seperti yang berlaku di Pulau Besar. 

Sesetengah orang menjadikan kubur-kubur itu sebagai keramat yang boleh memberi manfaat dan menolak mudarat. Mereka tidak lagi menganggap Allah SWT yang berkuasa atas manfaat dan mudarat tetapi kubur-kubur itu, lalu mereka bernazar, menyembelih haiwan, membuat pemujaan dan pelbagai lagi perkara bid’ah dan khurafat.

Tetapi apabila persoalan tawassul dibangkitkan, penulis katakan ia adalah perkara khilaf fiqhi, ia bukan perkara aqidah. Tidak perlu kita berbalah dalam soal tawassul. Apa yang penting semua yang berdoa sambil bertawassul itu memohon kepada Allah SWT dan beri’tiqad hanya Allah SWT yang mengabulkan permintaannya, bukan ‘fulan’ yang dijadikan perantara itu termasuklah Nabi SAW sekalipun. Kerana itu, Imam al-Syahid Hasan al-Banna memasukkan dalam Usul al-‘Isyrin bahawa doa kepada Allah sambil bertawassul dengan mana-mana di kalangan makhluk-Nya adalah khilaf far’i (perselisihan perkara cabang fiqh) tentang kaedah berdoa, dan bukan termasuk dalam masalah aqidah. (Lihat Majmu’at al-Rasa’il).

Bagi penulis sesiapa yang ingin bertawassul dengan Nabi SAW, orang saleh yang sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia, maka dia berhak berbuat sedemikian tetapi dengan syarat dia tidak boleh taksub dan fanatik sehingga menyesat atau mengeluarkan orang yang menolak tawassul seperti itu daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Bagi yang menolak tawassul pula, mereka jangan semudah itu untuk menuduh orang yang bertawassul dengan Nabi SAW sebagai bid’ah kerana itu adalah pandangan jumhur mazhab yang empat.

Kesimpulannya, kita harus tahu membezakan antara perkara usul dan furu’, walaupun kita berhak untuk mentarjih pendapat kita berdasarkan hujjah dan dalil tetapi itu tidak bermakna pendapat yang lemah itu dianggap bid’ah atau sesat atau terkeluar daripada ASWJ malah terkeluar daripada Islam. Dalam perkara furu’, kaedah menyebut
La yanqudh al-ijtihad bil-ijtihad bermakna “ijtihad tidak boleh membatalkan ijtihad”. Apa yang penting adalah kita memerangi perkara yang jelas-jelas khurafat dan bid’ah seperti menyembah dan memuja kubur, berdoa dan bernazar kepada kubur keramat dan sebagainya. Wallahu a’lam.
 

2 responses to “Tawassul Hanya Khilaf Fiqhi Dalam ASWJ

  1. Shah

    06/03/2011 at 10:18 am

    BismillahirRahmanirRahim.

    Segala Pujian hanya bagi Allah swt.

    Saudara SJ, maafkan sy krn sy kurang bersetuju dgn penulisan saudara ini.

    Allah swt, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. semoga Allah mengurniakan hidayah petunjuk kepada kita semua.

    Sy bersetuju, kita wajib memerangi perkara yang jelas-jelas khurafat dan bid’ah seperti menyembah dan memuja kubur, berdoa dan bernazar kepada kubur keramat dan sebagainya.

    Tetapi dalam perkara bertawasul dengan makhluk ketika meminta kepada Allah swt, yg Maha Pemurah; lebih molek kiranya kita mengambil jalan; mencegah lebih baik dari mengubati.

    pendapat saudara, “Bagi penulis sesiapa yang ingin bertawassul dengan Nabi SAW, orang saleh yang sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia, maka dia berhak berbuat sedemikian tetapi dengan syarat dia tidak boleh taksub dan fanatik sehingga menyesat atau mengeluarkan orang yang menolak tawassul seperti itu daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Bagi yang menolak tawassul pula, mereka jangan semudah itu untuk menuduh orang yang bertawassul dengan Nabi SAW sebagai bid’ah kerana itu adalah pandangan jumhur mazhab yang empat.”

    1. Pada sangkaan sy, kedengaran saudara mengharuskan atau mengalakkan bertawassul dgn Nabi Muhammad saw, org soleh dll,(makhluk). Maafkan sy jika sy silap.

    2. Pada pendapat sy, Perkara bertawassul ini boleh menjuruskan kita kpd syirik dgn mudahnya mungkin tanpa kita sedari terutamanya org yg lemah atau kurang memahami hakikat Tauhid.

    *Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).” (31:25)

    Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).”[29:63]

    3. Kenapa kita perlukan makhluk2 sedangkan Allah swt itu Maha Pemurah dan Maha Mendengar doa kita. Tanpa makhluk pn Allah swt tetap akan mendengar doa kita kerana Dia suka kita berdoa kpdNya. Bertwassul lah shj dgn Asma’ dan sifat2 Allah swt, bukan dgn makhluk2. Kepada Allah semata2 hendaklah kita Berserah. Firman allah swt;

    Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.(40:60)

    “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya
    Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa
    kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi-Ku, dan hendaklah mereka
    beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (2:186)

    6. Memang Jelas niatnya dgn bertawassul baik, tetapi bukankah penyembah2 berhala di zaman dahulu juga berniat baik? Bukankah Org Beriman yg dihormati dan dipuja, setelah mati dibuat patung untuk memperingati mereka, akhirnya dgn hasutan syaitan dan hawa nafsu, mereka2 yg beriman ini telah dijadikan sekutu bagi Allah swt. Muhammad saw maksudny: “Doa adalah Ibadah”. [Ashabus Sunan-sahih-]. Allah berfirman;

    “dan sembahlah (beribadatlah) kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun (dalam ibadah kepada-Nya)…” [4: 36].

    Sedangkan org Musyrik itu menerima Hakikat Allah swt Pentadbir sekelian alam, Tauhid Rububiyah tetapi culas dalam beribadat, mengingkari Uluhiyyah Allah swt. Firman Allah:

    Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).(39:3)

    7. Nabi Muhammad saw sendiri tentulah tidak bertawassul dgn mana2 makhluk dan saya rasa Muhammad saw sendiri masa kehidupan Baginda tidak mengizinkan orang bertawassul dgn makhluk walaupun dgn kedudukan baginda sendiri. Firman Allah wt;

    Katakanlah lagi (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya;
    “Dan aku diperintahkan supaya menjadi orang yang awal pertama berserah diri bulat-bulat (kepada Allah)”. [39:11-12]

    8. Kenapa kita nak bertawassul dgn makhluk. Apakah kita ingat dgn makhluk2 itu memberi kita syafaat atau apa2 kebaikan. Syafaat itu adalah milik Allah semata, jadi berdoalah kepada Allah swt terus, sy rasa tidak lansung kita perlu bertawassul dgn makhluk. Ingatlah, sesunguhnya Syaitan itu suka utk menyesatkan kita dgn kesesatan yg jauh. Mulanya niat mmg betul, tapi lama kelamaan mcm syaitan akan menghasut kita, apatah lagi jika yg bertawassul itu tidak tidak kuat iman dan lemah hatinya. Cukuplah Allah bagi kita, hatta Muhammad saw sendiri juga tidak mampu beri syaffat atau kebaikan tanpa izin Allah swt. FirmanNya;

    Engkau(Muhammad) tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (35:23)

    Patutkah mereka (yang musyrik) mengambil yang lain dari Allah menjadi pemberi syafaat? Bertanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang lain dari Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak pula mengerti ?”
    Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepadaNya (untuk menerima balasan).” (39:43-44)

    Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu). (43:86)

    9. Sy mengagumi usaha saudara dlm blog ini, teruskanlah. Cuma sy rasa elok kiranya saudara tidak mengalakkan org utk bertawassul dgn makhluk, kerana dikhuatiri akan menjerumus ke arah kesesatan, maklumlah kita ni manusia iman pn boleh bertambah berkurangkan. jadi mencegah lbh baik dari mengubati.

    10. Allah Maha Penyayang terhadap hambanya. Cukuplah bagi kita Allah sbg penolong dan pelindung.

    Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.10:44

    11. Segala yg baik hanyalah dari Allahswt semata2, kalau ada slh silap itu adalah kelemahan dan sifat sy sbg manusia. Kesempurnaan hanya milik Allah yg Maha Mengetahui.

    Wuallahualam.

     
    • suarajagat

      06/03/2011 at 8:25 pm

      Assalamualaikum wbt…
      Terima kasih saudara Shah atas pandangan yang anda berikan di blog ini..

      Untuk pengetahuan saudara, artikel di atas bukannya tulisan SJ. Sila lihat ayat terakhir saya catatkan sumbernya dari blog ustaz aizam mas’od, salah seorang pegawai agama di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Saya sekadar berkongsi artikel tersebut untuk bacaan bersama.

      SJ menghormati pandangan saudara yang mungkin tidak mengemari tawassul atas kekhuatiran ianya membawa kepada syirik. Bagaimanapun, saya menerima pandangan para ulama yang mengharuskan bertawassul.

      Sebagaimana yang kita sedia maklum, Tawassul berasal dari bahasa Arab yakni dari perkataan wasilah yang bermaksud kedudukan (al-manzilah) di sisi raja. Wasilah juga bermaksud darajah (pangkat) dan al-qurbah (hampir). Seseorang yang melakukan tawassul kepada ALLAH dengan wasilah bermaksud melakukan amalan yang menghampirkan dirinya kepada ALLAH. Maka al-wasil (pelaku tawassul) ialah orang yang minat (al-raghib) kepada ALLAH.

      Menurut hukum syara’, hukum bertawassul adalah diharuskan dengan para Nabi-Nabi terutamanya Nabi Ulul Azmi, dan yang paling utama ialah Nabi Muhammad s.a.w. Tawassul yang dilakukan dengan para wali-wali yang baik-baik (al-abrar) adalah boleh diterima (maqbul), harus (jaiz) dan tidak dihukum haram atau makruh dari segi naqal mahupun akal kerana ianya bersumberkan Kalam ALLAH, Rasul-NYA s.a.w dan juga Athar. Tidak ada sebarang khilaf sama sekali tentang keharusan ini ( yaqta’ dabir al-khilaf ). [rujuk : Abdus Salam al-‘Umrani al-Khalidi, Ar-Risalah al-Muhammadiyah al-Shamilah Khilal Arba’ at Ahraya Qarnan Kamilah (Taqdim al-‘Allamah Saiyidi ‘Abdullah Ghanun al-Husaini dan ‘Allamah Saiyidi Muhammad bin Ajibah) Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut. hal.168]

      Mungkin sekalipun dengan para al-anbiya boleh diterima tetapi persoalannya ialah dengan para wali-wali yang personaliti mereka mungkin agak sukar ditentukan terutamanya di zaman moden ini jika ada dakwaan. Bahkan adakah tokoh-tokoh sufi terdahulu boleh dianggap sebagai wali-wali Allah yang mempunyai pelbagai kelebihan mereka hasil dari ketakwaan, peribadatan, kezuhudan dan kewarakan mereka. Syeikh Abu al-Fadl Sayyidi Abdullah bin Muhammad al-Siddiq al-Hasani dalam kitabnya “Ithaf al-Azkiya’ bi Jawaz al-Tawassul bi al-Anbiya’ wa al-Awliya” menegaskan keharusan perkara ini.

      Antara firman ALLAH yang dijadikan sandaran oleh para ulama ialah(maksudnya): “Mereka semua yang berdoa dan gemarkan TUHAN mereka dengan wasilah, merekalah orang-orang yang paling hampir yang mengharap rahmat-NYA dan mereka takutkan azab-NYA sesungguhnya azab TUHAN-mu adalah diawasi” (al-Isra’: 57)

      Mengikut pandangan Syeikh Dr Ali Jum’ah, Mufti al-Diyar al-Misriyyah bahawa “Semua empat mazhab bersetuju atas keharusan (jawaz) bertawassul dengan Nabi SAW bahkan digalakkan (istihbab), serta ianya tidak membezakan di antara semasa hidup Baginda SAW atau selepas kewafatannya SAW. Ibn Taimiyyah sahaja yang pelik (syazz) justeru beliau cuba memisahkan tawassul dengan Nabi selepas kewafatannya. Tidak perlu diambilkira (‘ibrah) kepelikan ini. Kami menyeru umat Islam berpeganglah dengan yang telah dipersetujui oleh para ulama’ yang terkenal (al-a’immah al-a’lam).”

      Malahan terdapat juga hadis-hadis sahih berkenaan dengan tawassul. Demikian juga dengan kisah Saidina Umar al-Khattab berdoa kepada ALLAH secara bertawassul dengan Ibn. Abbas r.a. Perkara ini berlaku semasa musim kemarau di zaman kekhalifahan beliau.

      Syeikh Ramadhan al-Buti, menyebutkan bahawa persoalan tawassul tidak pernah menjadi isu dalam masyarakat sehinggalah Imam Ibn. Taimiyyah membuat klasifikasi antara tawassul dengan Rasul dan orang-orang soleh semasa hidup mereka dan selepas kematian mereka. Bagi ibn.Taimiyyah, tawassul semasa hidup mereka adalah harus manakala selepas kematian mereka adalah haram.
      Menurut al-Buti, pengklasifikasian ini sebenarnya tidak pernah berlaku di kalangan ulama salaf dan bagi beliau ia tidak timbul kerana dalam bertawassul, apa yang dilakukan ialah dengan wasilah pangkat atau kedudukan Rasul dan orang-orang soleh, dan bukannya dengan jasad atau kekuatan fizikal mereka.

      Penjelasan di atas saya fikir sudah mencukupi untuk kita memahami bahawa para ulama bersetuju berdoa secara tawassul adalah diharuskan di dalam Islam selagimana berada dalam konteks disiplinnya.
      SJ berlapang dada menerima perbezaan pandangan antara saya dan anda.
      Terima kasih🙂 Wallahualam.

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: