RSS

Tazkirah SJ : Peranan Guru Sepanjang Zaman (Sempena Hari Guru)

16 May

Hari ini tanggal 16 Mei.. Tarikh yang pastinya diingati oleh kebanyakkan kita sebagai hari guru. Tugas seorang guru merupakan satu tugas murni kerana merekalah antara individu yang paling bertanggungjawab memberi ilmu kepada masyarakat. Dalam mengecapi kemerdekaan Tanah Melayu, ramai kalangan guru yang terlibat secara langsung sebagai pejuang bangsa. Tidak ada sesiapapun dapat menafikan jasa dan bakti para guru kepada muridnya. Kerana itu, saya sering mengingati sajak ‘Guru oh Guru’ karya Allahyarham Usman Awang;

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Islam memandang tinggi terhadap peranan yang dimainkan oleh para guru. Guru berperanan sebagai muaddib (pendidik). Namun dalam era semasa, kita seringkali melihat segelintir guru hari ini lebih bertindak sebagai pengajar semata dan kurang di kalangan mereka yang bertindak sebagai pendidik. Ini mungkin berlaku kerana ada di antara mereka yang memasuki profesyen perguruan bukan kerana minat dan rasa tanggungjawab, tetapi kerana menjadikan bidang ini sebagai tempat cari makan sahaja akibat tidak mendapat pekerjaan berdasarkan kelulusan yang ada di luar perguruan.

Berbalik kepada muaddib, penulis berpandangan bahawa muaddib adalah suatu tugas yang sangat penting. Pendidikan dalam Islam bukan sekadar mengajar menulis, membaca dan mengira, tetapi lebih dari itu, seorang muaddib adalah seorang yang seharusnya beradab dan dapat membentuk adab muridnya. Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, seorang tokoh pemikir Islam telah menekankan tentang kepentingan adab. Malah sejak 30 tahun lalu, al-Attas telah menyebutkan bahawa umat Islam kini menghadapi masalah ‘the lost of adab’.

Muslim yang beradab adalah muslim yang berakhlak. Perlu difahami di sini bahawa adab dan akhlak adalah berbeza dengan moral value. Ini kerana, moral value sekadar memperkatakan tentang nilai-nilai universal seperti kasih sayang, adil, saksama dan hormat menghormati. Moral value sekadar membentuk tamadun, kemajuan manusia bersama law and contitution ciptaan sendiri.

Berbeza dengan adab, ia membentuk sebuah peradaban yang mana di dalamnya diisi oleh masyarakat yang bersikap matang dan bersifat akhlakul karim. Akhlak ini mestilah berdasarkan acuan Islam yang dicontohi dari akhlak Rasulullah s.a.w iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatonah. Selain itu dalam konteks peradaban beserta akhlakul karim, ianya tidak diukur dengan kepesatan teknologi tetapi diukur melalui kemakmuran/ kesejahteraan umat yang wujud dalam peradaban tersebut. Untuk itu justifikasi penting dalam peradaban yang dimaksudkan ini ialah pelaksanaan syariah Islam yang meliputi segala aspek kehidupan manusia termasuklah sistem pendidikan, ekonomi, perundangan dan pentadbiran.

Berdasarkan perenggan di atas, kita dapat melihat betapa besarnya tugas seorang guru. Kisah penaklukan Constantinople (Istanbul) oleh Sultan Muhammad al-Fateh adalah antara contoh kejayaan pembentukkan insan oleh Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba’q Shamsuddin. Beliau adalah seorang ulama yang bertanggungjawab membentuk keperibadian luhur Sultan Muhammad dan memberi keazaman kepadanya untuk menakluk Constantinople.

Ketika memasuki kota tersebut, Sultan Muhammad al-Fateh telah memberi penghormatan kepada Sheikh Shamsudin dengan meminta gurunya menaiki kuda tungangan beliau, sedangkan al-Fateh sendiri berjalan kaki. Ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada guru beliau itu. Sudah pasti, tanpa pembentukan dan penerapan akhlak oleh Sheikh Shamsudin, tidak mungkin usaha membebaskan Constantinople dari cengkaman golongon kufar akan berjaya.

Demikianlah besarnya impak dari tunjuk ajar seorang guru. Pun begitu, janganlah tugas mendidik ini diserahkan bulat-bulat oleh ibu bapa kepada mereka. Ini disebabkan, pembentukan akhlak seorang insan bermula dari rumah. Justeru, tanggungjawab ibu bapa adalah sangat penting kerana setiap anak itu dipertanggungjawabkan oleh ALLAH s.w.t kepada mereka.

Menghormati guru tetap juga ada batasannya. Seorang yang berpura-pura alim bukanlah guru yang sebenar-benarnya. Amat tidak wajar bagi sesetengah individu yang menggelarkan diri sebagai Syeikh untuk dilihat hebat atau berpakaian Islami untuk kelihatan alim, apatah lagi jika kelihatan seolah dirinya sahaja yang betul dan mengetahui semua perkara. Seorang yang hidup dalam timbunan kontroversi seperti pecah amanah juga terkeluar dari ciri-ciri guru dalam konteks Islam. (untuk bacaan lanjut klik di sini).

Adalah amat penting untuk institusi perguruan membentuk nilai akhlakul karim di kalangan guru-guru di Malaysia kerana kejayaan membentuk peribadi mereka antara penentu yang mencorakkan peradaban umat kini dan masa depan.

Guru adalah untuk dihormati bukan untuk ditaksubi. Akhir kata, jadilah pendidik yang memberi ta’dib dan tarbiyyah kepada insan bergelar murid. Jadilah pembimbing ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Selamat hari guru buat semua guru di Malaysia.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: