RSS

Blog Hina Sahabat Nabi

18 Jul

Beberapa minggu lalu,  ketika saya membuat pencarian di google berkaitan sahabat Rasulullah s.a.w, secara tidak sengaja saya temui sebuah blog (klik di sini) yang telah menghina sahabat baginda iaitu Amru bin al-Ash dan Muawiyah bin Abu Sufian. Ketika beliau menceritakan tentang Majlis Tahkim yang berlangsung di antara pihak Saidina Ali bin Abi Talib k.r.w  dengan pihak Muawiyah, moderator blog terbabit telah menulis :

“Daripada sejarah ringkas Perjanjian Tahkim ini, dengan jelas dapat kita lihat peranan AMRU BIN AASH seorang Islam yang MUNAFIK.”

Beliau seterusnya menyebut dalam perenggan yang sama :

“Sebutan AASH dalam Bahasa Inggeris, bila ditafsir didalam Bahasa Malaysia maknanya punggung.”

Saya sangat tersentak dengan artikel tersebut. Apatah lagi apabila membaca komen balas terhadap teguran dari para komentar lain, penulis blog bernama Amin Zainul berkenaan mendakwa bahawa beliau menulis berdasarkan sumber ahli sunnah wal jamaah. Malahan menyatakan bahawa menurut pengajian beliau, Saidina Muawiyah yang merancang pembunuhan ke atas Saidina Uthman r.a.Jika benarlah demikian, sila nyatakan kitab-kitab sirah muktabar dari kalangan ulama sunni yang menjadi rujukannya. Atau paling tidak sumber-sumber terpecaya dari kalangan ulama sunni kontemporer.Menerusi artikel ini, SJ akan cuba menjawab kekeliruan masyarakat tentang hal di atas bagi menjernihkan pemahaman kita dari segala macam fitnah yang melanda.

Prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah Berkaitan Para Sahabat Rasulullah s.a.w.

Ahlusunnah mencintai dan mendukung sahabat Rasul, ahlul bait, dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w dan meyakini tiada sesiapa yang maksum kecuali Nabi Muhammad s.a.w. Termasuk pokok ahli sunnah waljamaah adalah menjaga keselamatan lisan dan hati dari tuduhan terhadap sahabat Rasulullah s.a.w. Para imam dan kalangan ahlusunnah sependapat menetapkan keadilan bagi para sahabat, sama ada dari kalangan generasi pertama mahupun generasi kemudian, sahabat besar mahupun sahabat kecil, dari kalangan merdeka mahupun hamba sahaya, tanpa mengira Arab mahupun Ajam, yang lama bersahabat dengan Nabi Muhammad s.a.w mahupun beberapa ketika, yang terlibat dalam fitnah mahupun yang mengelak darinya. Mereka juga menetapkan bahawa para sahabat itu harus dicintai dan diredhai oleh kaum muslimin, serta tidak boleh menyakiti atau mencela mereka sebagaimana hadis berikut :

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

“Dari Abu Sa’id Al Khudri Radhiyallahu ‘ahnu, beliau berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda,”Janganlah kalian mencela sahabat-sahabatku. Seandainya salah seorang dari kalian berinfaq emas sebesar Uhud, tidak akan menyamai satu mud (infaq) salah seorang dari mereka dan tidak pula setengahnya.”

Hadis di atas diriwayatkan dari –

Imam Al Bukhari dalam Shahih-nya, kitab Al Manaqib, Bab Qauluhu Lau Itakhadztu Khalilan, no. 3397 dan lafaz ini adalah lafaz Al Bukhari.
Imam Muslim dalam Shahih-nya, kitab Fadhail Al Sahabat, Bab Tahrim Sabbi Ash Shahabat, no. 4610 dan 4611.
Imam At Tirmidzi dalam Sunan-nya, kitab Al Manaqib ‘An An Nabi, Bab Fiman Sabba Ashabi An Nabi, no. 3796.

Amr bin al-Ash  dan Muawiyah adalah di antara sahabat Nabi yang telah meriwayatkan beberapa hadis Baginda s.a.w. Justeru, tidak mungkin para ulama hadis seperti al-Bukhari dan Muslim serta lainnya akan menerima hadis dari mereka andai mereka ini adalah munafik. Barang perlu diingat, dalam kaedah menentukan kesahihan hadis, para ulama sangat memerhatikan sanad dan rantaian individu yang terdapat dalam sanad tersebut.

Amr bin al-Ash pernah diamanahkan oleh Rasulullah untuk menjadi panglima dalam perang Dzatus Salasil dan bersama-sama Baginda dalam peristiwa Futuh Mekah. Beliau juga antara individu yang diamanahkan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq untuk memerangi golongan murtad manakala di zaman kekhalifahan Umar al-Khattab, beliau telah berjaya menakluki Baitulmaqdis (Palestin) dan Mesir, dan seterusnya dilantik sebagai Gabenor Mesir oleh Umar al-Khattab. Adalah mustahil Rasulullah s.a.w  akan melantik Amr sebagai panglima tentera Islam seandainya beliau seorang munafik, dan sesungguhnya tidak ada seorang pun kalangan munafik yang beserta Rasulullah s.a.w  ketika Futuh Mekah.

Muawiyah bin Abu Sufian merupakan di antara sahabat yang pernah didoakan oleh Nabi s.a.w. Beliau salah seorang penulis wahyu, panglima pasukan muslim dan seorang pejuang yang gagah berani. Rasulullah s.a.w sendiri pernah memujinya dan mendoakan Muawiyah, yang bermaksud “Ya ALLAH, jadikanlah dia orang yang mendapat petunjuk, dan tunjukilah orang lain melaluinya”.

Tidak hanya Rasulullah s.a.w, bahkan para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin turut memujinya. Saidina Ali dan Muawiyah tidak pernah saling membenci antara satu sama lain. Dalam satu hadis riwayat Muslim sebagaimana tercatat dalam kitab al-Birr wa sl-Shilah, Ibn. Abbas r.a berkata “Sesungguhnya Muawiyah adalah penulis Rasulullah s.a.w sejak ia masuk Islam.”

Soalan saya, apakah Rasulullah akan memberikan satu tugas khas kepada Muawiyah seandainya beliau seorang munafik? Tuduhan munafik ke atas Muawiyah menandakan ketidakyakinan seseorang pada kemakbulan doa Nabi Muhammad s.a.w, menunjukkan bahawa orang itu tidak meyakini mukjizat Baginda dan keistimewaan Baginda di sisi ALLAH s.w.t.

Ingin saya tegaskan bahawa tidak ada seorang pun di kalangan ulama salaf mahupun khalaf yang melabelkan kedua-dua sahabat Rasulullah s.a.w itu sebagai munafik. Saidina Ali r.a pun tidak pernah menyatakan Muawiyah bin Abu Sufian dan Amr bin al-Ash sebagai golongan munafik.

Harus juga diketahui tentang keistimewaan para sahabat yang mampu berijtihad secara mutlak. Suatu kelebihan yang memang ada pada kalangan sahabat r.a  kerana mereka mendapat didikan secara langsung dari Rasulullah s.a.w.

Kini timbul pertanyaan : Siapakah yang membunuh Saidina Uthman ibn. Affan dan apakah yang sebenarnya berlaku dalam Majlis Tahkim?

Pembunuhan Saidina Uthman ibn Affan r.a.

Saidina Uthman al-Affan r.a dilahirkan 5 tahun selepas kelahiran Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Beliau seorang bangsawan Quraisy dari keturunan Bani Ummayah. Beliau juga adalah sepupu kepada Saidina Muawiyah bin Abu Sufian. Selepas kematian Khalifah Umar al-Khattab yang syahid dibunuh oleh seorang hamba majusi bernama Abu Lu’lu’ah, Saidina Uthman dibai’at sebagai khalifah umat Islam dan memimpin umat selama 12 tahun (23H-25H / 644M-656M).

Abdullah ibn Saba’ seorang Yahudi dari Yaman telah memeluk Islam pada penghujung zaman Saidina Uthman r.a dan menjelajah ke kota-kota Islam dalam percubaannya untuk menyesatkan umat Islam. Di sinilah bermulanya bibit-bibit kelahiran fahaman Syiah Saba-iah. Abdullah ibn Saba’ adalah orang yang mula-mula mencaci Abu Bakar, Umar dan Uthman serta menyatakan wajib bagi Ali r.a menjadi Imam.

Pada akhir tahun 34H, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Fitnah yang keji datangnya dari Mesir berupa tuduhan-tuduhan palsu yang dibawa oleh orang-orang yang datang hendak menunaikan umrah pada bulan Rejab.

Saidina Ali bin Abi Talib r.a telah membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan mereka. Saidina Ali menanyakan keluhan dan tuduhan mereka, yang segera dijawab oleh mereka, “Uthman telah membakar mushaf-mushaf, shalat tidak diqasar sewaktu di Makkah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri dan mengangkat pejabat dari kalangan generasi muda. la juga mengutamakan segala fasilitas untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain.”

Pada hari Jumaat, Saidina Uthman berkhutbah dan mengangkat tangannya seraya berkata, “Ya Allah, aku beristighfar dan bertaubat kepadaMu. Aku bertaubat atas perbuatanku. ”

Saidina Ali r.a menjawab, “Mushaf-mushaf yang dibakar ialah yang mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang disepakati bersama kesahihannya. Adapun solat yang tidak diqasar sewaktu di Makkah, adalah kerana dia berkeluarga di Makkah dan dia berniat untuk tinggal di sana. Oleh kerana itu solatnya tidak diqasar. Adapun sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternak sedekah sehingga besar, bukan untuk ternak unta dan domba miliknya sendiri. Umar juga pernah melakukannya sebelum ini. Adapun mengangkat pejabat dari generasi muda, hal ini dilakukan semata-mata kerana mereka mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tersebut. Rasulullah SAW juga pernah melakukan hal yang demikian. Adapun beliau mengutamakan kaumnya, Bani Umayyah, kerana Rasulullah sendiri mendahulukan kaum Quraish daripada bani lainnya. Demi Allah seandainya kunci syurga ada di tanganku, aku akan memasukkan Bani Umayyah ke syurga.”

Mendengar penjelasan Ali ra, umat Islam pulang dengan rasa puas. Tetapi para peniup fitnah terus melancarkan fitnah dan di antara mereka ada yang menyebarkan tulisan dengan tanda tangan palsu, kononnya dari sahabat terkemuka yang menjelek-jelekkan Uthman.

Dek termakan fitnah, para pemberontak kemudian telah mengepung rumah Saidina Uthman selama sebulan. Pada tanggal 8 Zulhijjah tahun 35 Hijriah, Uthman menghembuskan nafas terakhirnya sambil memeluk al-Quran yang dibacanya. Ketua pemberontak bernama Al-Ghiffaki telah memukul Saidina Uthman dan  diiringi pula oleh tetakan dengan pedang daripada salah seorang pemberontak yang lain. Dari peristiwa ini, bermula satu situasi yang dikenali sebagai Fitnah al-Kubra.

Majlis Tahkim.

Amat perlu dijelaskan bahawa,Saidina Ali r.a dan Muawiyah r.a sentiasa inginkan perdamaian. Saidina Muawiyah tidak menentang kekhalifahan Ali. Hal ini dapat dilihat ketika Saidina Ali menghantar utusan untuk berunding kemungkinan dapat diadakan perdamaian (semasa di Shiffin, sebelum berlaku pertempuran). Utusan Saidina Ali menyeru Muawiyah untuk membaiat Ali sebagai khalifah. Muawiyah menolak dan meminta agar Ali menyerahkan orang-orang yang membunuh Saidina Uthman atau pimpinan pemberontak untuk menerima hukuman yang setimpal. Jika Ali memenuhi permintaannya, Muawiyah bersumpah akan berbaiat kepadanya.

Terdapat riwayat yang menyebut bahawa sekelompok orang pernah bertanya kepada MuawiyahApakah kau memerangi Ali kerana merasa sebanding dengannya?” Muawiyah menjawabDemi ALLAH, aku tahu bahawa ia lebih baik dariku, lebih utama dan lebih berhak atas khilafah. Tetapi bukankah kalian tahu bahawa Uthman terbunuh secara zalim dan aku adalah anak bapa saudaranya dan aku menuntut darahnya dan urusan yang ditinggalkannya? Oleh itu, sampaikanlah kepada Ali : serahkan para pembunuh Uthman kepada ku dan aku akan menyerahkan urusan ini kepadanya.”

Berkaitan Majlis Tahkim, beberapa sejarawan menuturkan bahawa Amr bin al-Ash menipu dan memperdaya Abu Musa Asy’ari dalam perundingan itu. Mereka menyatakan episod tahkim bagai satu sandiwara palsu. Mereka telah berdalil dengan sebuah riwayat al-Thabari dari Abu Mukhnif. Abu Mukhnif seorang yang tidak diterima periwayatannya. Riwayat tersebut menjadi rujukan dan pegangan kaum Syiah Rafadiyah dan para orientalis. Riwayat ini tertolak baik dari sisi sanad mahupun matan. Abu Mukhnif adalah perawi yang tertolak dan tidak dipercayai kerana ia banyak membuat riwayat palsu. Semua riwayat dari Abu Mukhnif atau Abu al-Jannab al-Kalbi adalah bohong. Lebih-lebih lagi ia berasal dari kalangan Rafidiyah. Oleh itu riwayat berkenaan adalah tertolak dan batil dari sisi sanad. (Dr. Musthafa Murad; ‘Kisah Hidup Ali ibn Thalib’; Synergy Media; tanpa tarikh;hal. 147-153. Beliau merujuk kepada Tarikh al-Thabari, jld.4 dan Thabaqat Ibn. Saad, jld.4)

Al-Qadhi ibn al-Arabi mengatakan bahawa riwayat yang sahih adalah yang diriwayatkan oleh imam seperti Khalifah ibn Khiyath dan al-Daruquthni yang merujuk kepada Hadhin ibn al-Mundzir.

Diriwayatkan bahawa ketika Amr bin al-Ash melantikkan Muawiyah, Hadhin ibn al-Mundzir mendatangi Amr untuk menanyakan peristiwa tahkim yang berlangsung antara kedua-duanya. Muawiyah yang mendengar bahawa Hadhin telah menemui Amr, segera mengutuskan seseorang kepada Hadhin yang khemahnya berada dekat Muawiyah. Utusan itu berkata kepada Hadhin, “Aku mendengar daripada Amr bin al-Ash mengenai itu dan ini, jadi sampaikanlah kepadaku pendapatmu tentang apa yang kau dengar darinya.”

Hadhin ibn al-Mundzir menuturkan bahawa ia mendatangi Amr dan bertanya kepadanya “Khabarkanlah kepadaku tentang perkara yang diamanatkan kepadamu dan perundingan yang kau lakukan bersama Abu Musa!”

Amr ibn al-Ash berkata, “aku sendiri mendengar orang-orang bertutur tentang apa yang terjadi. Urusan yang dikatakan tidak seperti yang dikatakan oleh orang-orang. Cerita yang sesungguhnya adalah seperti berikut : aku berkata kepada Abu Musa, “Bagaimana pendapatmu mengenai perkara ini?”

Abu Musa berkata “Menurutku, urusan ini menyangkut orang-orang yang ketika Rasulullah s.a.w wafat, Baginda meredhai mereka dan mereka juga meredhai Baginda.”

Aku bertanya lagi “Jadi bagaimana pendapatmu mengenai diriku dan Muawiyah?” Abu Musa berkata “Jika Ali meminta bantuan dari kalian berdua, kalian dapat membantunya. Tetapi jika ia merasa cukup dari kalian berdua, sesungguhnya ALLAH Maha Kaya dari kalian berdua.””

Riwayat Daruqutni di atas didukung oleh al-Thabari mengenai tahkim bahawa al-Zuhri mengatakan bahawa ketika kedua pemimpin itu bertemu, Amr bin al-Ash berkata “Wahai Abu Musa, hal pertama yang mesti kau lakukan untuk merungkai perkara ini dan mewujudkan kedamaian adalah bahawa kau harus menjalankan kebenaran kepada orang-orang yang setia dan memenuhi janji dan menghukum orang yang lalai atas kelalaian mereka.” Abu Musa berkata “Apa maksudmu?”

“Bukankah kau mengetahui bahawa Muawiyah dan penduduk Syria (Sham) telah memenuhi janji dan datang di tempat yang dijanjikan, tepat sesuai dengan keinginan kita?”

“Benar.”

“Tulislah.” Abu Musa menuliskannya.

Amr melanjutkan, “Wahai Abu Musa, apakah kau ada sebuah nama yang menurutmu layak memimpin umat ini? Jika ada sebutkanlah. Jika mungkin, aku akan mengikuti pilihanmu. Jika tidak, kau tidak mesti mengikuti pendapatku.”

Abu Musa berkata “Aku punyai satu nama iaitu Abdullah bin Umar. Selama ini ia tidak pernah melibatkan diri dalam konflik.” Amr berkata “Aku memilih Muawiyah bin Abu Sufian”

Kedua-duanya meninggalkan majlis dan tidak pernah sampai kepada persepakatan akhir. Mereka keluar menemui orang-orang yang berkumpul.

Riwayat ini menunjukkan bahawa Amr tidak menipu Abu Musa al-Asy’ari kerana tidak berkesempatan untuk menyampaikan pandangannya. Kedua-dua Amr dan Abu Musa tidak bersepakat mengenai siapa yang paling layak memimpin umat yang sedang berada dalam kancah fitnah. Mereka tidak pernah bermaksud menetapkan Muawiyah sebagai khalifah. Amr ibn al-Ash bersedia membantu Muawiyah dengan syarat : jika umat bersepakat maka kedua-duanya telah menetapi suatu perkara yang baik. Muawiyah tidak menghendaki Khalifah, tetapi ia menginginkan hukuman ke atas para pembunuh Uthman. (Dr. Musthafa Murad; ‘Kisah Hidup Ali ibn Thalib’; Synergy Media; tanpa tarikh;hal. 153-157. Beliau merujuk kepada Tarikh al-Thabari, jld.5, hal.41-42)

Selepas peristiwa Tahkim, Saidina Ali dan para pengikutnya kembali ke Kufah. Di pertengahan jalan, golongan Khawarij telah memisahkan diri dari mereka. Riwayat mencatatkan jumlah golongan Khawarij ini seramai 12,000 orang dan ada yang menyebutkan seramai 16,000 orang. Sejumlah 8,000 orang dari mereka adalah qari. Kemudian Saidina Ali telah meminta Ibn Abbas menemui mereka dan hasilnya 4,000 orang telah bertaubat.

Khawarij jugalah yang telah merancang pembunuhan Saidina Ali. Beliau kembali ke rahmatullah pada 21 Ramadhan selepas menjadi khalifah selama 4 tahun 9 bulan dan 6 hari. Sesetengah riwayat menyatakan 14 hari dan ada juga yang mengatakan 3 hari.

Ketika Khawarij keluar dari jemaah Islam dan fitnah bermaharajalela, maka kaum muslimin beriltizam untuk memelihara jemaah dan menjauhkan diri dari perpecahan. Ikrar kesepakatan kaum muslimin tercetus pada tahun 41H, ketika mereka mengangkat Muawiyah menjadi khalifah setelah Saidina Hasan mengundur diri. Tahun tersebut dikenali sebagai Tahun Jemaah.

Bagaimana bermulanya penghinaan ke atas Sahabat r.a.?

Abdullah ibn Saba’ seorang Yahudi dari Yaman dan pengasas golongan Syiah Saba’iyah dan merupakan seorang Syiah Pelampau. Dia telah memeluk Islam pada penghujung zaman Saidina Uthman r.a dan menjelajah ke kota-kota Islam dalam percubaannya untuk menyesatkan umat Islam. Bibit-bibit kelahiran fahaman Syiah dan asal usul prinsipnya lahir pada tangan puak-puak Syiah Saba-iah melalui pengakuan buku-buku muktabar Syiah sendiri yang mengatakan bahawa Abdullah ibn Saba’ adalah orang yang pertama menzahirkan cacian ke atas Abu Bakar, Umar dan Uthman  r.a. Ibnu Saba’ juga adalah orang yang mula-mula melahirkan caci cela terhadap para sahabat, menyatakan wajib bagi Ali r.a menjadi imam; dan Ali adalah orang yang diwasiatkan oleh Nabi s.a.w untuk menjadi imam. Ini merupakan asas tasyayyu’ seperti yang dipegang oleh tokoh-tokoh Syiah. (‘Membendung Pengaruh Syiah di Malaysia’; Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Malaysia; 2011; hal. 1-2) 

Golongan Syiah ini mempercayai bahawa selepas wafat Rasulullah s.a.w semua sahabat murtad kecuali Ahlul-Bait dan beberapa orang sahabat termasuk Abu Dzar, Miqdad bin Aswad, Salman al-Farisi dan Ammar. Perkara ini disebutkan dalam kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi juz. 27, hal. 64-66 :

Terjemahannya; Kebanyakan para sahabat adalah munafik, tetapi cahaya nifaq mereka tersembunyi di zaman mereka. Tetapi apabila wafat Nabi s.a.w ternyatalah cahaya nifaq mereka itu melalui wasiat nabi dan mereka itu kembali secara mengundur ke belakang, dan kerana ini Saidina Ali berkata; “Semua manusia murtad selepas kewafatan Nabi s.a.w kecuali empat orang sahaja iaitu Sulaiman, Abu Dzar, Miqdad dan Ammar, dan perkara ini tidak ada masalah lagi”. (Mohd Aizam bin Mas’od; ‘Diskusi Isu Aqidah Dan Pemikiran Semasa Di Malaysia’; 2010; hal.63)

Golongan Syiah juga mengatakan bahawa Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah sebagai 4 berhala Quraisy. Demikian juga dengan Khawarij yang turut menghina serta mengkafirkan para sahabat r.a.

Kesimpulan dan Nasihat.

Berdasarkan catatan ini, kita dapat melihat bahawa ahli sunnah wal jamaah tidak pernah mengatakan atau menuduh mana-mana sahabat Nabi s.a.w sebagai munafik atau sebagainya. Tuduhan serta fitnah tersebut telah dilemparkan oleh golongan yang telah menentang ahlusunnah. Ketahuilah bahawa kedua-dua firqah sesat iaitu Syiah dan Khawarij ini turut diperangi oleh Saidina Ali, para sahabat r.a, tabi’in dan tabi’ tabi’in.

Sikap mereka jelas bertentangan dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Saidina Ali sendiri, kerana Ali tidak pernah membenci Muawiyah mahupun para pengikut dan sahabat-sahabatnya. Berhubung Perang Shiffin, Saidina Ali pernah berkata “Orang yang terbunuh dari pihakku dan pihak Muawiyah berada dalam syurga.” (diriwayatkan dari al-Thabrani dan perawinya tsiqah).

Ketika mendengar khabar wafatnya Ali ibn Abi Talib, Muawiyah menangis tersedu-sedu. Lalu isterinya berkata “Mengapa engkau menangisi pemergiannya sedangkan selama ini engkau memeranginya?” Muawiyah menjawab “Sungguh kau tidak mengetahui bahawa seiring dengan pemergiannya, manusia kehilangan kemulian, pemahaman dan pengetahuan.” (Fadha’il al-Shahabah, jilid 2,hal.737 dengan sanad yang sahih sebagaimana dikatakan oleh pentafsirnya).

Jelaslah bahawa tindakan moderator blog (yang saya nyatakan di awal artikel) melabelkan Muawiyah bin Abu Sufian dan Amr bin al-Ash sebagai munafik adalah suatu fitnah ke atas sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Statement beliau bahawa beliau merujuk kepada sumber sunni adalah suatu yang amat meragukan. Andai benarlah ianya datang dari pembelajaran beliau dan bersumber dari ulama ahli sunnah wal jamaah, maka perlulah beliau menunjukkan buktinya, siapakah guru yang mengajar beliau itu, siapa pula ulama sunni yang dimaksudkan dan apakah kitabnya.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn. Mughaffal r.a, katanya : Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya) :

“Hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir. Takutlah kepada ALLAH, takutlah kepada ALLAH mengenai sahabat-sahabatku. Janganlah kamu menjadikan mereka sasaran sepeninggalanku nanti. Barangsiapa mencintai mereka, kerana mencintai aku, maka aku mencintai mereka. Barangsiapa membenci mereka kerana membenci aku, maka aku membenci mereka. Barangsiapa menyakiti mereka, dia menyakitiku; barangsiapa menyakitiku, dia menyakiti ALLAH. Barangsiapa menyakiti ALLAH, dia akan mendapat hukuman ALLAH. Dan barangsiapa dihukum ALLAH, dia tak akan terlepas.

Ingin sekali saya nasihatkan kepada para pembaca, penulis-penulis blog,majalah, artikel, buku dan sebagainya untuk bersikap cermat dalam penulisan. Jangan sekali-kali menulis dan membuat kesimpulan sendiri tentang sesuatu perkara berhubung agama lantas mendakwa ianya dari ahli sunnah wal jamaah walhal tidak pernah pun membuat rujukan dari mana-mana kitab muktabar dan kepada mereka yang alim dalam perkara tersebut. Ramai di antara kita yang mengaku ahlusunnah, namun tidak pernah mengetahui pegangan ahli sunnah wal jamaah, iktikad dan prinsip-prinsipnya. Hal sedemikian adalah amat memalukan!

Saya mungkin tidak sealim kalian di luar sana. Adapun diri ini hanya seorang yang sentiasa mahu mempertahankan ahli sunnah wal jamaah dari pelbagai fitnah, tomahan dan serangan pemikiran yang kian berleluasa. Apa yang dilakukan, sekadar bertujuan membantu menzahirkan kebenaran disamping membersihkan nama para sahabat r.a dari tuduhan-tuduhan palsu. Sabda Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadisnya yang diriwayatkan Khatib al-Baghdadi yang bermaksud :

“Apabila timbul fitnah, atau bidaah dan sahabat-sahabatku dimaki, maka orang berilmu hendaklah menzahirkan ilmunya, sesiapa yang tidak melakukan demikian, maka ke atasnya laknat ALLAH, malaikat dan manusia seluruhnya. ALLAH tidak akan terima daripadanya amalan fardhu mahupun sunah.”

*****************

Rujukan :

Muhammad Abdul Hadi al-Misyri; Ahlus Sunnah Wal Jamaah Maallilmul Intilaqah al-Kubra; Riyadh. Kitab Terjemahan Bahasa Melayu ‘Ahli Sunnah Wal Jamaah : Petunjuk Jalan Yang Benar; Penerbit Kintan Sdn. Bhd.; Kuala Lumpur 1994.

Dr. Musthafa Murad; Kisah Hidup Ali Ibn Thalib r.a; Synergy Media; tanpa tarikh.

Ibn. Kathir;al-Bidayah wa al-Nihayah.

‘Membendung Pengaruh Syiah di Malaysia’; Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Malaysia; 2011.

Muhammad Arifin bin Ismail, kertas kerja ‘Cabaran Akidah : Antara Khawarij Dan Liberal’, 2008.

Mohd Aizam bin Mas’od; ‘Diskusi Isu Aqidah Dan Pemikiran Semasa Di Malaysia’; 2010.

 

8 responses to “Blog Hina Sahabat Nabi

  1. Sahabat Insaf

    18/07/2011 at 5:41 pm

    Adoiaa ada juga manusia mcm ni yer. Selamba jer cakap sahabat nabi yg 10 dijamin masuk syurga tu munafik. Ini kira riak tahap gaban ni. Susah orang camni.. sesat tapi menyesatkan orang lain pulak. Pastu selambadak jer ngaku ASWJ.

    Hmm saudara;

    Berdasarkan artikel, seolah-olah Saidina Ali seperti mengetahui siapa yang membunuh Saidina Usman tetapi menyembunyikan atas suatu sebab. Kita semua tahu Saidina Ali seorang sahabat yang paling pintar dan berhikmah.. Pasti dia melakukan semua ini atas dasar hikmah yang tidak kita ketahui. Tak silap saya ada baca dulu sebabnya tapi dah lupa di mana.

    Mungkin boleh komen sikit tentang ini dan kongsi ilmu.

     
    • suarajagat

      18/07/2011 at 8:52 pm

      Sahabat Insaf,
      Saidina Ali r.a sememangnya sangat ingin menjatuhkan hukuman ke atas para pembunuh Uthman. Namun beliau menyedari bahawa hukuman itu tidak mungkin dapat dijalankan kerana para perusuh terdiri dari pelbagai kelompok dan kabilah yang jumlahnya sangatlah ramai.
      Setelah dibaiat sebagai khalifah, Saidina Ali pernah meminta para pemberontak untuk menyerahkan ketua mereka dan orang-orang yang membunuh Saidina Uthman.
      Secara tiba-tiba, satu pasukan pemberontak yang jumlahnya melebihi 10,000 orang menemui Ali dan berkata bahawa mereka semua adalah pembunuh Uthman. Mereka dengan angkuhnya berkata Jika kau menghendaki pemimpin pemberontak, tangkaplah kami semua.”

      Ali sedar bahawa keadaan semakin rumit. Saidina Ali telah menjelaskan hal ini dalam banyak kesempatan bahawa beliau tidak mungkin menjalankan hukuman atas para pembunuh Uthman, kerana cara itu akan semakin meruncingkan permasalahan dan menghancurkan kesatuan umat Islam yang kian retak. Ia telah menjelaskan tentang betapa rumitnya persoalan ini kepada para penyokongnya dan juga kepada musuh-musuh yang ada. Beliau juga telah meminta kepada para sahabat untuk menjelaskan persoalan itu, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh utusannya al-Qa’qa’ ibn Amr r.a kepada Talhah dan Zubair. (Tarikh al-Thabari, jilid.3, halaman 311)

      Kita tidak mungkin dapat menggambarkan betapa hebatnya fitnah yang melanda umat Islam ketika itu dan betapa para sahabat telah cuba sedaya upaya untuk memperbaiki kesatuan umat. Namun, percayalah bahawa Ali sangat inginkan para pembunuh Uthman diadili, demikian juga Muawiyah inginkan para pembunuh itu diadili.
      Tetapi suasana yang parah itu tidak memungkinkan hal tersebut untuk terlaksana.

      Moga ALLAH merahmati para sahabat r.a… DIA jugalah yang berhak mengadili serta menghukum pembunuh Saidina Uthman dan golongan pemfitnah itu.

      wallahu’alam.

       
  2. Sahabat Insaf

    19/07/2011 at 12:20 am

    Terima kasih SJ. Betul fitnah itu memang hebat pada ketika itu. Buktinya sampai sekarang ada saja umat Islam yang tidak dapat memahami peristiwa tersebut dengan jelas dan lebih malang lagi enggan berlapang dada. Perkara yang dah berlaku 1000 tahun lebih, tapi ada yang tak malu mengaku sabagai penyokong Saidina Ali atau Muawiyah.. Di akhirat kelak jawablah dengan Sahabat2 nabi ini jika benar anda penyokong mereka.

    Setahu saya sukatan pendidikan Islam dahulu waktu saya sekolah menengah juga ada seolah-olah menggambarkan Saidina Muawiyah sebagai licik dan penipu. Sekarang ini tak taulah dah tukar ke belum.

    Ada juga terbaca peristiwa ketika perang sifin, ramai para sahabat yang berperang ketika itu serba-salah. Nak diceritakan kemuliaan mereka ketika berperang sehingga sanggup menetak pedang ke atas batu sehingga patah agar tidak terbunuh sahabat yang lain. Mereka lebih sanggup dibunuh daripada membunuh.

    Apa-apa pun perang tersebut berlaku dengan kehendak Allah SWT. Ada hikmahnya untuk umat yang terkemudian. Mungkin jika diambil konteks zaman sekarang, kita umat Islam jika berbalah sekalipun biarlah ada sempadannya… Tahu had untuk berhenti.. Jangan sampai berbunuh-bunuhan dan berhati-hati dengan kaum munafikin dan kafir.

    Saya juga amat risau dengan keadaan umat Islam di Malaysia ini.. Kadang-kadang mereka berbalah sampai tak tahu mana nak berhenti.. Kalau boleh kalah jadi abu menang jadi arang.

    Rindu kepada hikmahnya Saidina Ali.

     
    • suarajagat

      19/07/2011 at 1:09 am

      benar saudara…silibus di peringkat sekolah memberi gambaran yang tidak seimbang seolah-olah Muawiyah menentang Ali dan inginkan kedudukan sebagai khalifah.
      Walhal beliau tidak lah seperti yang digambarkan tersebut.
      Kerana itu, ahusunnah tetap menerima Ali sebagai kalangan 4 khulafah ar-Rasyidin, dan menerima Muawiyah sebagai khalifah Islam selepas Ali…

      Saya fikir, para ulama, JAKIM dan Jabatan Agama harus membantu Kementerian Pendidikan memperbetulkan silibus mereka agar bersih dari unsur negatif ini.

      Riwayat yang menggambarkan seolah-olah Muawiyah memerangi Ali atas dasar benci dan keduniaan berasal dari seorang syiah iaitu Abdul Husain al-Musawi.

      Para ulama sunni bersepakat bahawa kedua-dua kelompok Ali dan Muawiyah adalah kelompok muslim dan kelompok Muawiyah tidak terkeluar dari ahlisunnah wal jamaah.
      Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w “Sekelompok orang memisahkan diri dari kaum Muslim dan kemudian kelompok yang paling dekat dengan kebenaran memerangi mereka.”

      Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Muawiyah bukan kelompok batil dan beliau tetap dalam kebenaran. Bezanya hanyalah Saidina Ali lebih dekat dengan kebenaran berbanding beliau. Namun keduanya tetap dalam kebenaran.

       
  3. TMP

    20/07/2011 at 9:44 pm

    salam ada satu lagi masalah dalam tv yang bercorak pendidikan agama dalam tv mana saya lupa (munkin TV9 tak pun Astro Islam tuu).

    secara ringkas lebih kurang begini : katanya ulama yahudi yang menyebut nama Muhammad kepada datuk Nabi semasa beliau di Syam. Lalu nama itu dibawa balik dan setelah lahir seorang bayi daripada Aminah lantas datuknya memberi nama Muhammad.

    Bunyi dan maksud daripada perbualan kanak-kanak yang menceritakan perkara diatas itu membawa makna kepada pemahaman yang mana, pendita yahudi itulah yang memberi nama Muhammad dan datuk Nabi menurutinya kerana menurut pendita yahudi itu Muhammad itu adalah nama yang bakal besar.

    wassalam.

     
    • suarajagat

      21/07/2011 at 3:35 pm

      wa’alaikum salam..

      aduh!!! dari mana lak mereka ni dapat cerita tu…
      kalau dibuka kembali kitab-kitab sirah, diceritakan bahawa pada suatu malam, Aminah bermimpi diberitahu untuk menamakan bayinya dengan nama Muhammad.

       
  4. phantomkid

    23/07/2011 at 1:19 am

    .
    masalah ini mungkin wujud dari suatu pembacaan yg berbeza..
    dan tugas sebagai pendakwah bukannya nye mengaibkan tetapi. memperbetulkan keadaan. dengan penuh hikmah….
    (^_^)

     
    • suarajagat

      23/07/2011 at 6:27 am

      terima kasih phantomkid.
      demikian yang saya lakukan..memberi penjelasan agar dapat manfaat bersama

       

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: