RSS

Murtad : Konspirasi Kristianisasi Dan Tanggungjawab Ahli Sunnah Wal Jamaah

11 Aug

Isu pemurtadan ummah atau kristianisasi terus mendapat liputan dari pelbagai pihak khasnya umat Islam di negara ini. Beberapa hari lalu ketika memasuki laman facebook 1,000,000 Umat Islam Sokong JAIS & Hasan Ali Cegah Murtad saya merasakan ia adalah suatu usaha yang baik bagi menyatukan umat Islam di negara ini dalam ruh kalimah tauhid. Syabas kepada pembina halaman tersebut. Tidak lupa juga kepada mereka yang menyokong tindakan JAIS, kerana walaupun tidak dapat ‘turun padang’ dalam menyelesaikan permasalahan penyelewengan akidah, namun kalian tetap bersatu dalam menegakkan kebenaran.

Kita diberitakan tentang pengedaran Kitab Injil berbahasa Melayu oleh pihak gereja kepada orang-orang Islam sebagai satu langkah untuk memurtadkan mereka. Menilai kembali isu ini, saya yakin ramai menyedari apa yang berlaku kini berkaitan rapat dengan isu kalimah ALLAH dan isu pengedaran kitab Injil berbahasa Melayu yang hangat tidak lama dahulu. Dalam kedua-dua isu berkenaan, kita dapati MP Shah Alam YB Dato’ Khalid Samad dan Prof.Madya Dr. Asri Zainal Abidin (MAZA) di antara individu awal yang berhujah menyokong kedua-dua permohonan pihak gereja. Khalid Samad juga telah mendesak kerajaan untuk membenarkan kemasukan kitab Injil berbahasa Melayu ke negara ini(sila rujuk di sini dan sini). Malah, tanpa merujuk kepada al-Quran dan sunnah, beliau mengeluarkan kenyataan terbaru di Malaysiakini : ‘Dr. Asri : Ada Yang Sengaja Main Isu Gereja’. (sila baca di sini).

Ingin SJ tegaskan bahawa sekalipun perbuatan memasuki gereja belum tentu membawa kepada kemurtadan, namun menjauhi perkara yang boleh membawa kepada murtad atau keraguan iman adalah lebih utama. Menjauhi kemungkaran dan mencegahnya adalah tuntutan Islam. Lagikan pula bukan semua umat Islam mempunyai level keimanan, kefahaman dan kefasihan yang tinggi sehingga mampu berdebat seperti yang dilakukan oleh Ahmad Deedat. Lantas, mungkin juga memasuki gereja itu boleh menjadi haram bagi mereka yang tidak mempunyai kekuatan ilmu dan iman. Kerana itu dalam melakukan amar makruf nahi mungkar mesti melihat pada kemampuan diri individu. Ingin saya bertanya kepada Dr. Asri, apakah memasuki gereja itu satu sunnah ataupun bidaah?

Hari ini, apabila umat Islam dimurtadkan oleh pihak gereja dengan taktik ‘menghadiahkan’ Bible berbahasa Melayu kepada mereka sebagaimana yang terjadi di Dream Center, dimanakah punca bermulanya gerakan terancang ini? Dan Mengapa golongan pendakyah Kristian begitu berani menjalankan aktiviti memurtadkan umat Islam? Sudah pastilah kerana ada orang yang mengaku Islam tetapi secara langsung mahupun tidak langsung menyokong kristianisasi.

Yang menghairankan ialah mereka yang selama ini bertempik teriak mengajak ‘kembali kepada al-Quran dan Sunnah’, tetapi malangnya ia sekadar suatu retorik semata. Secara tiba-tiba, pendirian mereka dalam isu murtad tampak amat kontradik dengan laungan tersebut. Mungkin juga mereka terlupa (atau sengaja tidak merujuk) firman ALLAH s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 120 (bermaksud) :

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka (yang telah terpesong itu).

Demikian juga dalam surah Ali-Imran ayat 85, maksudnya :

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Selain itu, media alternatif semalam melaporkan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao mengecam tindakan JAIS menyerbu ‘gereja’ Dream Center (rujuk di sini). Berdasarkan rekod MPPJ, tiada satupun gereja wujud di kawasan berkenaan dan ini bermakna Dream Center DUMC tersebut wujud secara haram! Saya tidak pasti apakah kewujudannya boleh disamakan dengan kewujudan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat ataupun tidak.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao merupakan pihak yang sejak beberapa tahun lalu mendukung penubuhan Interfaith Commission ringkasnya IFC, di mana antara tuntutan pihak IFC ialah seperti berikut :

  • Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa orang Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
  • Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh Mahkamah Sivil.
  • Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
  • Bible dalam bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

Terlihat sudah, agenda disebalik acara ‘makan malam’ di Dream Center itu dan sokongan oleh beberapa pihak/ individu kepada pihak gereja seakan berkait rapat dengan tuntutan IFC. Demikian juga apabila ada individu (tidak pasti beliau beragama Islam atau tidak) menulis artikel “Of Christians, poor Muslims and kittens” (rujuk : http://www.themalaysianinsider.com/opinion/article/of-christians-poor-muslims-and-kittens/)

‘Serangan’ ke atas Islam berterusan apabila Malaysia Insider mengeluarkan artikel terbaru “Malaysia has ‘very high’ religious restrictions, says report” (rujuk : http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/malaysia-has-very-high-religious-restrictions-says-report/). Nampak seakan ada cita-cita pihak tertentu yang mahu mengenepikan umat Islam di Malaysia.

Justeru, dalam usaha menangani penyelewengan akidah, apakah peranan kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada ahli sunnah wal jamaah?

Abu Said al-Khudri r.a, berkata, aku telah mendengar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda (yang bermaksud) “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah Iman.” [Diriwayatkan oleh Imam Muslim #49]

Para fuqaha sepakat mengatakan bahawa amar makruf nahi mungkar adalah wajib; bermakna ia bukan pilihan dalam melaksanakannya. Kewajipan ini terkena atas semua pihak iaitu kerajaan, masyarakat dan individu (Abdul Qadir Audah, Tasrik Jina’i al-Islami, Muassasah Risalah). Kewajipan di sini merangkumi fardhu ain dan fardhu kifayah.

Mencegah kemungkaran, maksiat, ajaran sesat dan pemurtadan ummah tidak boleh diserah secara bulat-bulat kepada satu pihak sahaja, sebaliknya setiap dari kita mesti bergerak memainkan peranan sesuai dengan kemampuan masing-masing. Kerajaan baik di peringkat pusat mahupun peringkat negeri telah memperuntukkan enakmen dan menjadi kewajipan mereka bertindak selaras dengan enakmen itu. Demikianlah yang Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah laksanakan. Mereka bertindak dengan tangan (kuasa).

Sekalipun kewajipan secara fardhu ain terletak di bahu orang-orang alim bersama-sama para pemerintah/ kerajaan, namun KITA sebagai umat Islam yang berperanan sebagai khalifah di muka bumi ini juga hendaklah melaksanakan tanggungjawab ini sesuai dengan kemampuan, kebolehan dan pengetahuan masing-masing. Pencegahan secara lisan sebagaimana yang terdapat dalam hadis di atas boleh diaplikasi oleh masyarakat awam seperti menegur ketika melihat kemungkaran atau setidaknya menyalurkan maklumat kepada pihak berautoriti. Inilah salah satu tanda menunjukkan Islam sebagai agama yang lengkap.. ada pendekatan dakwah, teguran dan ada juga hukum serta perundangan.

Hadis di atas secara terang menolak kenyataan pihak tertentu yang berkata bahawa “Islam Agama Hujah, Tak Perlu Tindakan Jais” (rujuk di sini). Beliau mungkin tidak mengetahui usaha Saidina Abu Bakar as-Siddiq bersama-sama para sahabat memerangi gejala murtad yang berlaku selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Berkaitan statement beliau ‘sampai bila hendak bergantung kepada undang-undang?’. Jawapan saya, undang-undang diperlukan hingga kiamat, kerana hukum pengharaman murtad dan syirik bermula sejak dahulu hingga kiamat. Maka, pelaksanaan dakwah, penerapan ilmu dan perundangan harus berjalan secara serentak tanpa menafikan kebergantungan atau keperluan setiap satu darinya.

Selain itu, setiap individu muslim berkewajipan dalam menjaga kesatuan ummah. Setiap kali para ulama sunni menyebut perkataan jemaah, maka yang dimaksudkan ialah ahli sunnah wal jamaah yang merupakan as-sawadul A’zham iaitu majoriti umat Muhammad. Ia (perkataan jemaah) tidak sekali-kali bermaksud menjurus kepada satu-satu parti atau pertubuhan sebagaimana yang dimengerti oleh sebahagian masyarakat masa ini. Pengertian ‘jemaah’ yang jumud ke arah parti/ pertubuhan akan menyebabkan lahirnya sifat assabiyah, taksub dan penting diri.

Tahukah anda, di antara ciri-ciri khusus ahli sunnah wal jamaah termasuklah menyeru kepada mencegah kemungkaran dan menyuruh ke arah keutuhan serta memberikan nasihat kepada umat. Mereka beramal dalam kesamaan kalimat. Mereka benar-benar meyakini sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud; “Orang mukmin terhadap mukmin lainnya bagaikan sebuah bangunan, yang sebahagian memperkukuh bahagian lainnya”. Kemudian Baginda mengait-ngaitkan jari-jemarinya sendiri. (al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah juga pernah bersabda menyatakan bahawa para mukminin adalah seumpama satu tubuh, jika satu anggota merasa sakit, seluruh tubuh akan terasa sakitnya juga.

Akhir kata, saya menyeru seluruh umat Islam khasnya di Malaysia, khususnya kepada mereka yang mengaku dirinya sebagai ahli sunnah wal jamaah untuk bersatu di bawah kalimah tauhid, kalimah yang tertinggi dan terutama.

Saya juga dengan rasa rendah diri memohon agar para pemerintah Islam dan pemimpin politik Islam mengenepikan ego dan ideologi politik kepartian demi menyatupadukan rakyat serta membersihkan parti-parti mereka dari unsur-unsur/ individu-individu yang boleh merosakkan kesatuan ummah. Firman ALLAH s.w.t di dalam al-Quran, bermaksud :

Sebab itu, bertakwalah kepada ALLAH dan perbaikilah hubungan di antara sesama kamu.  (al-Anfal : 1)

Tolong juga bersihkan Malaysia dari sebarang fahaman yang bertentangan dengan ahli sunnah wal jamaah! Wallahualam.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: