RSS

Tazkirah SJ : Sempena Maal Hijrah 1433

25 Nov

HIJRAH MEMBINA MASA DEPAN UMMAH

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “HIJRAH MEMBINA MASA DEPAN UMMAH ”.

 Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sedar ataupun tidak, kita sekarang  berada di penghujung bagi tahun 1432H. Pelbagai peristiwa telah berlaku sepanjang tahun yang telah kita lalui, ada yang mengembirakan dan ada juga yang menyedihkan, namun semua itu mengamit memori dan kenangan dalam hidup kita sebagai insan  hamba Allah SWT yang serba kekurangan dan kerdil ini. Dua hari lagi kita akan menyambut kedatangan tahun baru hijrah, pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan tahun baru hijrah ini. Ma’al Hijrah telah mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat RA.  Program hijrah adalah satu langkah Rasulullah SAW yang amat strategik dalam menegakkan dakwah Islamiah. Perlu kita ingat bahawa dengan berjayanya hijrah menjadi jambatan tertegaknya Daulah Islamiah kerana hijrah tersebut dipandu dan didukung oleh keimanan dan ketakwaan yang padu. Kejayaan hijrah ini juga telah mengubah lanskap akidah, ibadah, akhlak dan membina masa depan ummah. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 100:

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Kejayaan Nabi SAW tiba di Madinah al-Munawwarah diteruskan pula dengan agenda membina masa depan ummah yang berteraskan petunjuk al-Quran al- Karim. Dalam masa 10 tahun sahaja umat Islam di  Madinah telah berjaya mengalahkan kuasa besar seperti Rom timur dan Parsi. Pengajaran yang penting kepada kita daripada peristiwa ini ialah perlunya kita mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.  Justeru, kita perlu berusaha menyuburkan iman dan takwa agar ia menjadi panduan kepada kehidupan. Adalah satu hakikat bahawa pemantapan iman amat berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan. Maka, Islam memberi penekanan terhadap penguasaan ilmu dan pendidikan melalui penjelasan yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Dalam membina masa depan ummah, pendidikan adalah matlamat utama melahirkan individu muslim yang berilmu dan membina masa depan sebagai ummah contoh. Peredaran zaman telah memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia itu sendiri termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan yang bersepadu dan menyeluruh yang melibatkan semua bidang perlu dititikberatkan.

          Umat Islam dituntut memperkukuh ilmu fardhu ‘ain dengan mendalami pengetahuan agama seperti dalam bidang tafsir al-Quran, hadith, fiqh, akidah dan sebagainya sebagai benteng kepada keutuhan dan kekuatan iman serta pegangan kepada agama Islam itu sendiri. Bagi memantapkan  ilmu fardu ‘ain ini, kita diseru agar mengikuti kuliah-kuliah agama di masjid dan surau melalui pengajian kelas fardu ‘ain dan takmir yang telah disediakan.

                Namun, persoalan besar timbul ialah sejauh manakah penguasaan umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan di negara ini?. Berdasarkan pemerhatian dalam bidang-bidang tertentu seperti ilmu matematik, sains fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan bidang-bidang sains yang lain, di dapati bahawa umat Islam ketinggalan jauh berbanding pencapaian kaum-kaum lain. Ini merupakan cabaran hebat kepada kita dalam usaha membina masa depan yang cemerlang.

Membina masa depan sebagai ummah yang unggul menutut kebijaksanaan yang amat tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan mestilah ada perubahan iaitu tajdid. Pembaruan ilmu dan pendidikan yang bersifat semasa mampu melepaskan seseorang itu dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Dengan cara ini akan melahirkan ilmuan yang selari dan senafas dengan zaman serta cabaran lingkungan terkini. Umat Islam mestilah diberikan suasana kebebasan dalam membuat pandangan-pandangan yang membina supaya setiap pihak merasa selesa bahawa kritikan yang membina adalah untuk kebaikan kepada semua. Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi seorang tokoh ulama’ semasa yang amat berpengaruh  menyatakan, pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan”.

Umat Islam pada hari ini perlu juga dibangunkan dengan asas-asas kerohanian yang kukuh agar mereka tidak mudah cair dengan pengaruh persekitaran dan himpitan hawa nafsu. Umat Islam yang lemah kerohanian akan menyebabkan berlakunya kepincangan dalam pelbagai perkara seperti krisis moral, akhlak, keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat. Justeru bagi memastikan kedudukan umat Islam terjamin maka kita sebagai umat Islam perlu mengatur segala urusan kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh syarak, disamping itu kita perlu memperkasakan institusi Islam seperti masjid, surau dan sebagainya sebagai medan pengembangan kerohanian.Umat Islam juga hendaklah bersatu dalam semua perkara terutama dalam pembangunan pendidikan demi kebaikan bersama.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Kita semua sedia maklum bahawa pendidikan yang berkesan tidak akan terlaksana jika ia tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kejasama dan sokongan dari semua pihak terutama institusi keluarga. Ibu bapa sebagai ketua keluarga seharusnya peka dan prihatin terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya bersama. Ibu- bapa perlu menyediakan prasarana yang baik di rumah bagi memastikan anak-anak dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran mereka dengan selesa dan sempurna.

                Proses pendidikan rasmi dibangku sekolah merupakan medan terbaik untuk membentuk generasi pelajar yang berilmu dan berakhlak mulia seterusnya membawa mereka kemercu kecemerlangan dan kegemilangan. Akan tetapi usaha ini tidak akan mencapai matlamat yang diharapkan, sekiranya ibu- bapa menyerahkan tugas mendidik anak-anak ini kepada pihak sekolah secara mutlak. Sewajarnya tugas mendidik diteruskan oleh ibu- bapa ketika anak-anak bersama dengan mereka.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, Bersempena dengan kedatangan tahun baru hijrah ini, mimbar menyeru semua umat Islam, marilah kita sama-sama bertindak secara proaktif bagi memastikan masa depan ummah lebih cemerlang dengan mengambil usaha-usaha seperti berikut: Pertama: Melakukan penghijrahan dengan memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara; Kedua: Membuat kajian dan analisis dari masa ke masa tentang kekuatan, kelemahan, cabaran dan ancaman yang dihadapi dalam membina ummah yang cemerlang; dan Ketiga: Merancang dan menyediakan pelan tindakan supaya matlamat membina  masa depan ummah yang cemerlang memenuhi keperluan dunia dan akhirat. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 9:

Maksudnya: Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.”

sumber : http://www.islam.gov.my/khutbah-online

 

 
Leave a comment

Posted by on 25/11/2011 in Khutbah Pilihan

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: