Pengharaman novel ‘Sebongkah Batu Di Kuala Berang‘ karya novelis terkemuka Faisal Tehrani mula hangat diperkatakan di media elektronik menerusi blog, facebook dan twitter. Ramai yang tidak bersetuju dengan pengharaman itu. Sehingga artikel ini di tulis, belum ada kenyataan rasmi dari pihak Keselamatan Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkaitan hal tersebut. Namun cakap-cakap dikalangan orang awam kian tersebar.
Ramai yang mempersoal dan menyalahkan tindakan pengharaman tersebut dengan alasan “Membaca buku tidak boleh menjadi sesat”. Ini adalah satu alasan dangkal kerana banyak ajaran sesat sebenarnya turut disebarkan melalui penulisan buku dan kitab-kitab bagi mendapatkan pengaruh contohnya seperti ajaran Hakikat Insan Hassan Laksamana, al-Arqam, Syiah, fahaman liberal dan Qadiyani. Tindakan pengharaman ke atas sesuatu penulisan juga bertujuan menjaga akidah umat dari sebarang dakyah yang boleh menggugat ketenteraman seterusnya membawa kepada pelbagai perbalahan atau perpecahan. Buku ‘Satanic Verses’ tulisan Salman Rushdie antara bahan cetak yang telah diharamkan di negara-negara Islam.
Sebelum terus menulis, perlu rasanya dikatakan di sini bahawa saya juga pernah membaca/ meminati karya-karya Faisal Tehrani (selepas ini akan ditulis dengan singkatan FT) seperti 1515, Tuhan Manusia, Bila Tuhan Berbicara, Detektif Indigo, Bedar Sukma Bisu dan lain-lain. Paling saya minati pastinya Advencer Si Peniup Ney dan Tuhan Manusia.
Idea FT berkaitan perlunya filem bernafas Islami yang menjadi latar dalam Sebongkah Batu Di Kuala Berang (SBKB) adalah suatu idea yang baik. Benar bahawa kita kekurangan filem bergenre Islam yang benar-benar Islami. Yang ada kebanyakkannya adalah filem cinta atau tahyul yang menjadikan Islam sebagai TEMPELAN semata. Bagaimanapun, meneliti isi novel SBKB, amat wajar jika ianya diharamkan oleh pihak berwajib. Hal ini akan saya tunjukkan pada perenggan-perenggan berikut.
PERKARA 1
Di muka 6, FT telah menulis dialog “Seperti kata Prof. Budriz, orang Islam sudah perlu berhenti membina masjid. Yang perlu kita bina sekarang, meski menggunakan wang zakat sekalipun adalah membikin filem bagi membalas serangan kebudayaan Barat dan juak-juaknya…”
HUJAH
Berhenti membina masjid? Saya hairan bagaimana seorang penulis yang pernah dikenali sebagai novelis Islami berlatar belakang pengajian syariah sanggup mengutarakan dialog sedemikian rupa. Nampaknya jika menuruti saranan FT, masjid dan surau tidak perlu lagi kita bina biarpun kawasan tersebut merupakan bandar baru/ kawasan perumahan baru. Demikian juga dengan pembinaan sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT)/ universiti. Infrastruktur pendidikan kita bina, tetapi masjid dan surau tidak perlu ada.
Kos perfileman bukanlah murah, apatah lagi untuk menggunakan wang zakat bagi membiayai pembikinan sesebuah filem. FT sendiri dalam halaman 3 SBKB memberi contoh sekitar RM700,000. Andai diguna untuk membiayai sesebuah filem, kos sedemikian banyak hanya diguna untuk perfileman dalam konteks bayaran pelakon, pelbagai kos pengambaran termasuk penginapan serta makan minum artis dan krew dan publisiti.
Bayangkan berapa ramai golongan daif dan papa yang boleh dibantu oleh pihak pengurusan zakat dengan wang sebanyak itu. Jumlah sebesar itu juga lebih sesuai digunakan untuk menanggung pengajian pelajar-pelajar miskin yang cemerlang seperti mana yang dilaksanakan pada masa ini.
Apakah wajar puluhan atau ratusan ringgit wang zakat diguna untuk membayar para pelakon? Tidakkah itu suatu kezaliman, bilamana wang zakat diberi pada individu yang tidak berhak apatah lagi menambahkan kemewahan para artis, sedang ramai lagi insan berhak yang memerlukan.
PERKARA 2
Muka surat 22, “Benar. Kehadiran Islam menguatkan aspek sinkretisme sebelum ini malah menjadikannya bertambah rencam. Apa yang terjadi ialah kemasukan Islam di Nusantara tidak mengubah bentuk kebudayaan kita. Ini berlaku kerana sebahagian ajaran Islam yang datang ke sini memang dicampuradukkan dengan doktrin-doktrin lain seperti Jabariah, Hinduisme, unsur-unsur Zarathustra, Budhhisme dan sebagainya. Di pihak lain, Islam Nusantara yang bercampur ini menyesuaikan diri dengan kepercayaan yang sudah lama bertapak di sini.”
HUJAH
Pernyataan di atas jelas menunjukkan novelis ini dipengaruhi pandangan sejarawan orientalis yang sentiasa mahu menutupi kejayaan dakwah Islam. Tuduhan sinkretisme, bahawa Islam yang datang dicampuraduk dengan ajaran Jabariah, Hinduisme, unsur-unsur Zarathustra, Budhhisme dan sebagainya adalah satu fitnah liar ke atas agama Islam, para ulama dan pendakwah Islam silam yang berusaha menyebarkan agama suci ini.
Menerusi SBKB, FT mahu mengangkat Syiah Imam 12 (FT mengguna nama Mazhab Ja’fari) di Iran (Parsi) sebagai kononnya pendakwah Islam sebenar. Namun, lupakah FT hakikat bahawa Zarathustra (zoroastrianisme) itu ialah agama asal penduduk Parsi?
PERKARA (3)
Petikan dialog di halaman 23-24 :
Syarifah terus mencungkil kesegaran ilmu dan idea Prof. Iman, “Tetapi Islam yang mula-mula tiba ialah Islam sufi?”
“Betul. Justeru, sinkretisme ini menjadi bertambah rencam kerana adalah dipercayai kehadiran Islam ke Nusantara dibawa oleh ahli sufi dan ulama tasawuf. Terdapat beberapa persamaan dalam ilmu tasawuf dengan kepercayaan-kepercayaan lampau penghuni rantau ini. Persamaan-persamaan tertentu dalam ilmu tasawuf dengan kepercayaan lampau penghuni rantau ini telah memudahkan penerimaan Islam, juga dalam masa yang sama mengukuhkan sinkretisme.
Beberapa aspek dalam tasawuf yang melampau seperti konsep zuhud turut diamalkan oleh sami-sami Buddha,….”
“Kelemahan Islam yang dibumbui sufisme dan diwarnai sinkretisme ini?”
“Dakwah dan kehadiran Islam menerusi ahli tasawuf ini menyebabkan islam tertumpu kepada hal-hal ubudiyah atau ibadat sahaja serta menyebabkan pengabaian banyak aspek lain. Maka pendakwah Islam kurang berjaya mengubah pandangan hidup dan cara hidup masyarakat Melayu tradisional kepada yang lebih murni yang dikehendaki Islam sebenar…”
HUJAH
Saya berpendapat dialog yang diketengahkan oleh FT ini membawa kepada fitnah ke atas ilmu tasawuf, seterusnya menyebabkan golongan yang tidak memahami tasawuf, menjauhinya. Intipati dan pengamalan tasawuf amat berbeza dengan ajaran Hindu, Buddha, dan lain-lain. Timbul persoalan, apakah FT tidak tahu perbezaan antara tasawuf sebenar (tasawuf sunni) dengan tasawuf falsafi yang merupakan ajaran sesat berbentuk sufi palsu. Atau adakah beliau sengaja tidak mahu membezakannya?
Tasawuf sunni merupakan intipati ajaran Islam yang dihubungkaitkan dengan rukun Islam, Iman dan Ihsan. Ia bukan sekadar ubudiyah seperti yang dicatat FT dalam SBKB, tetapi tasawuf sunni merangkumi ilmu tauhid, adab, dan pembentukan insan berakhlak mulia (akhlakul karim). Tidakkah untuk mengisi politik, ekonomi dan sebagainya memerlukan insan yang sedemikian rupa?
Sheikh Imam Junaid Al-Baghdadi r.a. (wafat 297 H) mengatakan bahawa: “makna tasawuf ialah, menggunakan setiap akhlak yang sunni (bertepatan dengan sunnah) dan meninggalkan setiap akhlak yang danni (rendah dan buruk)” (An-Nasrah An-Nubuwwah, Sheikh Mustofa Al-Madani m/s 22)
Pemikir Islam kontemporer, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menyebut “Tasawuf yang tulen sesungguhnya telah banyak berjasa dalam mengukuhkan iman serta kepercayaan Muslimin sewaktu kekabutan dan kekeliruan dan kezaliman memerangkap Ummah dalam jeratannya. Tasawuf telah menetaskan adab ke dalam jiwa Muslim, dan telah menghiasi tamadun dan diri muslim dengan kesusasteraan ruhani yang luhur murni bagai bingkisan mewah dengan keindahan yang seni-seni tiada bertara.” (‘Risalah Untuk Kaum Muslimin’ halaman 176)
Permasalahan sebenar ialah pada tasawuf falsafi. Golongan sufi palsu inilah yang telah mencemar nama baik tasawuf. Aliran sufi palsu telah mencampuradukkan pelbagai ajaran animisme, hinduisme, Buddha dan zoroastrianisme lantas menghiasinya dengan perkara-perkara berkaitan Islam. Maka membiaklah ajaran-ajaran batiniyah dalam masyarakat.
Artikel ini bersambung di Bahagian 2…. klik di sini.
HAB
19/12/2011 at 5:19 pm
salam.
tauhid ada sa je tauhid uluhiah. yang ni tauhid ubudiah ni mana plak datang? kang tersampuk faham tauhid 3 serangkai plak kang.
noname
19/12/2011 at 5:27 pm
sambungan..
sebenarnya kita nak kena tahu dia ni pakai sejarah mana satu?
“kehadiran Islam ke Nusantara dibawa oleh ahli sufi dan ulama tasawuf. Terdapat beberapa persamaan dalam ilmu tasawuf dengan kepercayaan-kepercayaan lampau penghuni rantau ini. Persamaan-persamaan tertentu dalam ilmu tasawuf dengan kepercayaan lampau penghuni rantau ini”
kita nak tahu jugak mana dulu, Tauhid dulu ke Sufi dulu?
Rasulullah s.a.w bawak kalimah apa? para sahabat?
“Tetapi Islam yang mula-mula tiba ialah Islam sufi?”
Sufism – kalau itu yang dimaksudkan wujud zaman bila?
Selain Islam sufi islam apa lagi yang ada?
Ahmad Danni
suarajagat
20/12/2011 at 10:48 am
saudara,
harap bersabar kerana sy baru menulis bahagian 1 sahaja.. ada byk lagi yg akan sy tulis..
soal sejarah kehadiran melalui tarekat & tasawuf itu saya fikir tidak menjadi masalah..
kerana memang tidak boleh dinafikan sumbangan tasawuf dalam penyebaran Islam di Nusantara…
Artikel di atas akan saya sambung kelak…
Encik Z
20/12/2011 at 12:17 pm
Assalamu’alaikum w.b.t.
Tuan,
Buku ini adalah sebuah novel. Novel cereka. Isi kandungannya tidak boleh dijadikan hujjah ataupun sandaran melainkan isi-isi yg memiliki rujukan seperti di dalam nota hujung ataupun nota kaki.
Jika tuan seorang yg jujur; saya yakin, blog tuan akan dipenuhi dengan pembedahan buku-buku novel yang lambakan isi-isinya dipenuhi dengan kemaksiatan, tahyul, khurafat, kesesatan, dan sebagainya.
sekian,
wassalam.
suarajagat
21/12/2011 at 10:46 am
Wa’alaikumussalam wbt.
Encik Z,
Walaupun buku ini merupakan novel cereka, namun jika dibaca sepenuhnya, akan didapati terdapat kelompangan dalam fakta-fakta yang dikemukakan oleh FT. Benar terdapat isi-isi yang dirujuk oleh beliau, tetapi nota hujung itu sekadar merujuk kepada sepotong dua ayat sahaja. Walhal dalam banyak tulisan berbentuk dialog yang dikemukakannya berbentuk fakta dan beliau menyembunyikan bahan rujukannya.
Sekalipun Novel itu adalah cereka, saya hanya melakukan radd pada perkara-perkara yang dikemukan oleh FT dalam bentuk fakta yang didapati menyeleweng dari kebenaran. Harus di ingat bahawa saya tidak radd bahagian fiksyen buku tersebut seperti Bab 7 yang sememangnya tiada bahan fakta, malahan di awal artikel di atas, saya nyatakan bahawa idea beliau mengetengahkan tentang keperluan filem bernafas islami adalah baik.
Header blog ini tertulis jelas : SUARAJAGAT – membasmi ajaran sesat. “Mempertahankan Akidah Islam Berteras Ahli Sunnah Wal Jamaah, Disamping Membicarakan Isu Pemikiran Semasa”
Blog ini tidak mengkhususkan untuk membedah semua novel. Dan saya fikir, bagi novel yang kita dapat kenalpasti ia berunsur tahyul, maksiat dan kurafat, tiada keperluan untuk di-radd. Kerana ia jelas.
Bagaimanapun bagi novel yang dilihat Islamik tetapi disuntik elemen kesesatan, maka itulah yang perlu di bedah. Apatah lagi bila elemen yang boleh memesongkan kefahaman itu dihiasi dgn bahan-bahan fakta. Cuba lihat pada nota hujung no.4 di muka surat 24 dalam novel tersebut. FT merujuk pada Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, tetapi bahan rujukan itu cuma merujuk pada satu ayat itu sahaja. Fakta yang benar itu tidak dijelaskan secara mendalam, sebaliknya dialog yang bersifat batil (dari muka 22-24) yang di angkat melebihi kebenaran dan FT tidak mengemukakan sumber rujukan beliau.
FT sebenarnya mempergunakan bahan yang benar sebagai hiasan bagi mengaburi mata pembaca tentang unsur-unsur batil yang diketengahkan oleh beliau.
Fakta itu digunakan untuk mengangkat kebatilan agar dilihat hakiki, sedangkan yang hak diperlihatkan sebagai batil..
Secara psikologinya, pembaca akan tertipu dgn dialog berisi batil lantas menganggap kebatilan itu sebagai kebenaran. Paling saya risaukan, bila pembaca terpedaya, mereka mula percaya pula pada kebatilan.
Bahan-bahan rujukan yang dicatatkan FT sekadar mainan beliau atau penambah perisa sahaja. Hakikatnya, novel ‘Sebongkah Batu Di Kuala Berang’ adalah ibarat racun manis tapi berbisa yang mampu membunuh iman pembacanya. Di sebalik kemanisan itu, terkandung bisa yang amat menyakitkan.
Wallahu’alam.. terima kasih.
Muslimah Optimis
21/12/2011 at 2:44 pm
ending novel ni macam mana pula ya??? seperti mahu memiliki buku ini.. sebab tak boleh nak percaya bulat2 dari hanya sesetengah sahaja perenggan.. perlu baca keseluruhan buku sebelum membuat kesimpulan..
suarajagat
21/12/2011 at 3:07 pm
🙂 Muslimah Optimis,
moga bersabar kerana banyak lagi yang akan saya tuliskan berkaitan novel tersebut. Sementara itu, diharap anda membaca Bahagian 2 artikel ini. Sila klik pada link berikut : https://suarajagat.wordpress.com/2011/12/21/unsur-syiah-dalam-novel-sebongkah-batu-di-kuala-berang-bahagian-2/
eieamad
10/01/2012 at 10:52 pm
Bab masjid tu, jangan lah ambil bulat-bulat. Sekali baca pun kita boleh faham maksudnya, kan? Kalau dah tempat baru, tak ada masjid, memanglah kena buat masjid…janganlah lurus sangat ambil superficial saja. Sebiji-biji. Maksud dia dalam dialog tu, sekarang Islam dah tersebar, mana-mana boleh capai Islam. Majoritinya, merata-rata ada masjid. Jadi sekarang ni, masyarakat Islam secara umum perlu naik satu tahap lagi bab dakwah ni, macam mana kita nak mantapkan pula amalan islam tu, misalnya melalui filem. Analoginya begini, satu imam cakap kat anak muridnya, “sekarang kita tak payah belajar bab rukun solat dah, kita belajar macam mana nak khusyuk dan falsafah dalam solat pula”. Ada seorang anak murid, baru join ni, memang tak tahu rukun solat…dah tu, nak terus lompat bab rukun tu? Mestilah tak, kan? Imam tu cakap berdasarkan situasi umum kebanyakan anak muridnya, tapi kalau ada yang tercicir, kenalah mula dari basic.
Soal sinkretisme ni, memang benar orientalis memperbesarkan hal ini bagi memperkecilkan hal kejayaan dakwah islam di nusantara. Tapi mahu atau tidak, ia tetap berlaku. Bukan di tanah Melayu saja, tapi di merata-rata tempat. Apabila Islam datang, masyarakat tempatan ketika itu sudah pun punya kepercayaan dan hidupnya tersendiri. Dan semestinya apabila menyentuh bab budaya dan kepercayaan yang turun temurun ini, ia tak akan disalin sekelip mata dengan kedatangan agama yang baru. Bahkan sampai ke hari ni, kita masih nampak kesan-kesan sinkretisme ini dalam amalan masyarakat kita. Ya, orientalis memperbesarkan bab ini. Kita sebaliknya, perlu memperbesarkan kejayaan dakwah Islam di nusantara. Tapi tak bermakna ia tidak berlaku dan tak ada. Jadi apa yang disebut dalam novel ini tak salah. Dan saya tak nampak pun dia terlalu menekan-nekan sangat bab ini atau memperbesarkannya sampai memperlekeh kejayaan dakwah islam. Dia menyebutkannya secara akademik, bahawa sinkretisme memang berlaku. Kenapa salah?
Soal Tasawuf, saya rasa tentunya penulis novel ini sangat sedar akan beza tasawuf sunni dan falsafi ini. Dan beliau tidak menyalahkan tasawuf sunni pun. Bukankah penulisnya sudah diterangkan golongan tasawauf yang bagaimana yang dirujuk itu, kenapa kita nak kaitkan pula dengan tasauf sunni dsb. Maknanya, kita yang tak faham apa yang kita baca dalam novel ni. Penulisnya dah kata, ‘bola ragbi tu lonjong’. Kita pun marah-marah, ‘tak tahu ke ada banyak jenis bola, bola sepak bulat, pingpong bulat kecil-kecil, bola ice hockey leper, etc etc’. Eh, kan penulis tu cakap pasal bola ragbi?
Tapi satu perkara yang setuju, novel ini bukanlah untuk bacaan umum yang lemah daya analisisnya. Seperti kebanyakan novel FT, seperti Tuhan Manusia, dsb, ia memerlukan pembaca yang matang dan dapat mengadili bahan yang dibaca dengan adil. Kalau orang sebarangan baca, memang susah, sebab tak ada ilmu. Tapi kalau sampai haramkan tu, agak keterlaluan, bahkan merugikan masyarakat dan umat. Buku ini banyak perbahasan-perbahasan yang berguna dan membina. Kita boleh diskusikan kandungannya dalam seminar2, halaqah2, usrah-usrah, untuk diperdebat, dipertengkarkan, mempertajamkan daya fikir kita. Tak semestinya bersetuju, tapi ia sumbu, pintu yang menggalakkan pembaca bertelagah secara ilmiah. Berbincang. Kalau nak tutup pintu itu…silakan. Orang akan pergi ke pintu lain…pintu apa? Ha…URTV, mangga, Gila-Gila, Ujang…dan sebagainya. Banyak pintu menunggu.
Kenapalah pintu-pintu lain tu tak ada orang nak tutup…
suarajagat
16/01/2012 at 7:41 pm
saudara eieamad…
(Maaf kerana lewat menyiarkan komen saudara. Akibat masalah kesihatan sejak seminggu lalu, saya kurang membuka akaun blog ini.)
dari cara komen anda, dpt saya rasakan yg anda seorang yang berada dalan aliran sastera.. mungkin terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penulisan @ penerbitan karya.
Berkaitan dengan masjid itu, sy bukan mahu mengambil cara simplistik..tetapi merasakan ayat sedemikian tidak sesuai untuk diketengahkan oleh FT.
Berkenaan wang zakat, mengapa pihak perfileman memerlukan wang zakat utk berdakwah? sedangkan byk lg keperluan zakat yang boleh digunakan untuk tujuan lain. Penerbitan filem berlangsung dalam dunia perniagaan, maka ada risiko untung rugi dan perkara ini amat tidak sesuai dengan penggunaan wang zakat. Lagikan pula masih banyak keperluan serta masalah masyarakat yang mesti ditangani menerusi pengagihan zakat.
Apakah kalau mahu berdakwah, mesti mengharap wang zakat? kemudian filem akan dikormersialkan dan keuntungan pula diagih kepada produksi dan pelakon. Saya tidak fikir ia idea yang baik. Apakah tanpa zakat, pihak penerbitan filem tidak mahu berdakwah? Sebenarnya jika pihak produksi menunggu wang zakat untuk menerbitkan filem Islami/ dakwah.. ini menandakan mereka tiada jiwa dakwah dalam diri kerana tidak berani mengambil risiko membuat filem Islami dengan wang sendiri walhal selama ini kita ketahui keuntungan yang telah diperolehi jutaan ringgit.
Behubunga tasawwuf… jika beliau tahu terdapat perbezaan, maka mengapa beliau sengaja menuliskan secara umum? mengapa tidak spesifik kepada masalah ajaran sesat dan batiniyah? Justeru, beliau bercakap perihal bola tanpa membuat spesifikasi tentang bola yang mana.
Bukankah para pembaca yang kebanyakkannya terdiri dari orang awam tidak mengetahui tentang wujudnya perbezaan antara tasawuf sunni dengan tasawuf falsafi? Justeru, penulisan secara umum begitu akan mengelirukan masyarakat awam dan remaja. Mereka akan memandang tasawuf dengan rasa curiga tanpa memahami bahawa tasawuflah isi kepada agama Islam.
saya tidak nafikan tentang sinkretisme sebelum kedatangan Islam, tetapi maksud FT berlawanan dengan apa yang anda katakan.. kerana FT mengatakan ISLAM YANG DATANG MELALUI TASAWUF MENAMBAHKAN SINKRETISME..!!!
Saya amat tidak bersetuju kerana jelas sekali tasawuf lah yang bertanggungjawab membersihkan kepercayaan animisme dan sinkretisme dalam masyarakat menuju kepada akidah yang bersih.Lagikan pula Syiah lah antara penyebab sinkretisme masih wujud di dalam masyarakat Islam namun perkara ini langsung tidak disentuh oleh FT. mazhab Jafari yang FT maksudkan juga sebenarnya penuh dengan sinkretisme yang berasal dari kepercayaan jahiliyah Parsi.
berkaitan tasawuf ini, saya fikir adalah elok jika anda membaca sambungan artikel di atas pada Bahagian 2 :
https://suarajagat.wordpress.com/2011/12/21/unsur-syiah-dalam-novel-sebongkah-batu-di-kuala-berang-bahagian-2/
Pintu menggalakkan bertelagah? Apakah membuka pintu kepada pertelagahan itu tuntutan Islam?
Berkaitan pelbagai majalah hiburan yang anda sebutkan itu, nampaknya anda benar-benar lost.. tidak faham ilmu.
jawatankuasa yang membuat pengharaman ke atas beberapa buah buku itu bertidak bagi mengawal BAHAN PENERBITAN BERUNSUR ISLAM.
Soalan saya, adakah URTV, Mangga dan lain-lain itu Majalah berunsur hiburan atau berunsur Islam?
Kalau majalah-majalah sedemikian perlu diperhatikan oleh pihak jawatankuasa, maka saya fikir majalah seperti Golf, Wisel, Photography semua juga perlu dibebankan ke atas Jawatankuasa.
Anda harus ingat bahawa artikel ini akan bersambung hingga ke Bahagian 5 atau 6. Maka bacalah sehingga habis.. bukan terus membuat komen..
Saya akan buktikan segala penyelewengan. putar alam, dan penipuan fakta yang dilakukan oleh Faisal Tehrani.
Faizah
19/01/2012 at 11:17 am
Syiah ini lahir dengan muslihat, apa lagi akhir zaman muslihat yang disusun oleh ahli akademik. Teruskan membongkar sejarah yang digelapkan!!!
awang akash
07/07/2012 at 6:02 am
Syiah byk muslihatnya. Kpd yg luar sana berhati2lah. Kpd yg pernah mengalaminya Dan bersama tidak pernah rasa tenang dikuasainya. Bongkarlah wahai saudaraku.