RSS

Unsur Syiah dalam Novel ‘Sebongkah Batu Di Kuala Berang’ – Bahagian 3

10 Jan

Sambungan dari artikel lalu. Untuk membaca Bahagian 1 klik di sini, dan Bahagian 2 klik di sini.

PERKARA 5 : Sejarah Islam Di Perlak Dan Acheh, Sejauh Mana Kebenarannya?

Di dalam novel Sebongkah Batu di Kuala Berang (SBKB), Faisal Tehrani (FT) telah mengutarakan hujah berkaitan kedatangan Islam ke Nusantara, dan setiap kali menceritakan perihal sejarah ini, beliau berkali-kali mengulangi bahawa Islam yang datang itu dari Parsi dan bermazhab Jafari. Beliau menyamakan Parsi dengan mazhab Jafari kerana Parsi (Iran) pada hari ini merupakan sebuah Negara Syiah aliran Syiah Imamiyah yang juga dikenali sebagai Syiah Imam 12, yang mengagungkan Imam Abu Jaafar as-Sodiq. Namun, hubungan antara Syiah Imamiyah dengan Imam Abu Jaafar as-Sodiq dan Mazhab Jafari yang asli masih boleh dipertikaikan. Dalam mengembangkan aliran Syiah Imamiyah, puak Syiah seringkali berselindung di sebalik nama mazhab Jafari bagi mengaburi mata masyarakat khususnya umat Islam aliran ahli sunnah wal jamaah.

Perlu saya tegaskan bahawa FT berselindung di sebalik nama mazhab Jafari sebagai suatu bentuk taqiyah. Apa yang beliau maksudkan sebagai Mazhab Jafari itu sebenarnya ialah ajaran Syiah Imamiyah dan ini dapat dikesan antaranya ketika FT menyebut tentang Sunan Ampel memakai serban berwarna hitam sebagai tanda beliau golongan ahlul bait (SBKB m/s 122). Untuk pengetahuan pembaca, pengkategorian sebegini hanya terdapat dalam fahaman Syiah, di mana Syiah mengatakan bahawa serban hitam hanya boleh dipakai oleh golongan ahlul bait dan para imam berketurunan ahlul bait, manakala imam yang bukan berketurunan ahlul bait memakai serban berwarna putih.

Harus difahami di sini, saya tidak menyentuh aspek fiksyen mimpi Sofea berkaitan perbualannya dengan Sunan Ampel. Saya hanya menyentuh bagaimana gambaran FT tentang Sunan Ampel menjurus kepada Syiah. Selain itu, saya juga tidak menafikan Sunan Ampel sebagai berketurunan ahlul bait, tetapi tindakan FT mengunapakai formula Parsi = Syiah/ Mazhab Jafari dan ahlul bait/ Alawiyah = Syiah/ Mazhab Jafari; adalah suatu pendekatan simplistik, tidak ilmiah dan mengelirukan pembacanya. Mungkin boleh juga dikatakan sebagai penipuan halus.

Ya, benar Sunan Ampel berketurunan ahlul bait. Nama sebenar beliau ialah Ahmad Rahmat Allah bin Ibrahim Zayn al-Akbar (Sharif Awliya) bin Jamal al-Din al-Husayn (Maulana Jumadil Kubra) dan salasilah ini bersambung kepada Sharif Alawi bin Imam Muhammad Sahib Marbat yang menetap di Hadramaut. Amat jelas sekali Sunan Ampel adalah seorang yang beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan sudah pasti tidak memakai serban hitam seperti yang sengaja digambarkan oleh FT.

Sekarang mari kita lihat sejarah kemasukkan Islam di Perlak dan Aceh mengikut pensejarahan FT.

HALAMAN 52, 53 DAN 86

FT menulis, gelombang besar kedatangan Islam  ke Nusantara adalah antara kurun ke 7-11 masihi. Beliau mengaitkan dengan perpindahan pendukung keluarga Nabi Muhammad s.a.w dari Timur Tengah ke rantau lain selepas berlaku penindasan oleh Bani Umaiyah pada tahun 674 masihi. Beliau seterusnya dengan pantas mengaitkan dengan Mazhab Jafari dan Imam Abu Jaafar as-Sadiq.

Tulisan di halaman 52-53 bersinambungan dengan halaman 86 di mana FT mendakwa pemimpin-pemimpin Jafari yang dimaafkan membawa diri hingga ke Perlak Sumatera dan Ali bin Muhammad bin Jaafar as-Sadiq dinikahkan dengan Puteri Makhdum Tanshuri. Kisah pernikahan inilah yang berkait tulisan FT di halaman 53, perihal pemerintahan pertama Perlak bermula pada 1 Muharram 225H bermula dengan Sultan Maulana Abdul Aziz Syah yang dikatakan bermazhab Jafari.

HUJAH

Saya tidak bersetuju bila FT menyatakan Islam berkembang ke Nusantara akibat penindasan Bani Umaiyah. Kita tahu Saidina Muawiyah bin Abu Sufyan sendiri mempunyai hubungan yang rapat dengan Saidina Hasan dan Hussin. Perlu diingat juga, Khalifah Umar Ibnu Aziz adalah antara khalifah Bani Umaiyah. Justeru, tindakan FT menisbahkan secara umum pada Bani Umaiyah adalah kurang cermat, sebaliknya ia wajar disebut secara rinci. Lagikan pula, tindakan menyamakan Alawiyah dengan Syiah adalah tidak tepat. Ini kerana sejumlah besar Alawiyah dan pengikut mereka tidak bersetuju dengan Syiah. Saidina Ali r.a, Saidina Hasan dan Husayn juga menolak Syiah. (Ini mungkin akan saya jelaskan nanti).

Di mukasurat 76, FT ada menyebut tentang pandangan Habib Alwi Thahir, bekas Mufti Johor yang berpendapat Islam masuk ke Sumatera di zaman pemerintahan Khalifah Uthman Ibnu Affan r.a. Ingin saya terangkan di sini, nama sebenar beliau ialah Syed Alwi Thahir al-Haddad yang juga adalah seorang Alawiyah. Anehnya, mengapa FT menyembunyikan nama ‘Syed’ dan ‘al-Haddad’ yang menandakan beliau juga seorang dari keturunan ahlul bait? Mengapa FT tidak mahu mengangkat pandangan ahlul bait ini? Adakah kerana beliau seorang Sunni dan bukannya Syiah?

Bukankah pendapat Syed Alwi al-Haddad amat signifikan dengan catatan al-Dimasyqi, seorang pakar geografi Arab di dalam kitabnya menyebut pendakwah muslim pertama tiba ke Nusantara ialah pada zaman Khalifah Uthman Ibnu Affan. Malah, pemerintahan Bani Umaiyah pula telah menghantar sekurang-kurangnya 17 misi gerakan dakwah ke Nusantara.

Tulisan FT tentang Islam di Perlak yang masuk melalui Mazhab Jafari menerusi perkahwinan Ali bin Muhammad bin Jaafar as-Sadiq berdasar sumber lokal telah lama dipertikai kesahihannya oleh para sejarahwan. ‘Teori Syiah’ FT ini mungkin sekali kerana beliau merujuk tulisan S.Q Fatimi, Aboe Bakar Atjeh dan Mahyudin Yahya. Namun adalah tindakan yang tidak cermat bilamana mendakwa golongan Alawiyah yang berhijrah dari Hadramaut, Champa dan China sebagai Syiah. Walhal jika dirujuk kepada para Alawiyah yang ada hingga ke hari ini, sudah pasti teori Syiah itu bertentangan dengan hakikat kesahihan yang terdapat pada para Alawiyah.

Pandangan mereka berhubung perkara ini sebenarnya telah dipengaruhi pandangan Snouck Hurgronje, seorang orientalis Belanda yang sangat memusuhi Islam. Hurgronje dan T.W Arnold amat bersungguh membawa teori Islam di Nusantara berasal dari Parsi-India dan puak Syiah. Para orientalis ini berkeras dalam menolak sejarah kedatangan Islam yang dibawa oleh masyarakat Arab dan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Hingga kini, tidak ada bukti kukuh yang dapat dipegang menunjukkan wujudnya kuasa politik Islam di Perlak pada abad ke-3H/ ke-9 Masihi (tahun 200H–299H/ 800M-899M), jauh sekali dikuasai Syiah.

Berhubung perkahwinan Ali bin Muhammad bin Jaafar as-Sadiq dengan Puteri Makhdum Tanshuri, ia adalah cerita dari mulut ke mulut masyarakat lokal, berkemungkinan besar rekaan orang-orang Syiah sendiri. Ceritera tersebut telah dikisahkan turun temurun hingga akhirnya ‘dipercayai’ oleh masyarakat setempat.

Di dalam kitab Umdat al-Talib fi Ansab Ali bin Abi Talib tidak pernah mencatat tentang penghijrahan Ali bin Muhammad ke Perlak selain ke Basrah dan al-Ahwaz, dan beliau juga telah meninggal dunia serta dikebumikan di Baghdad..!!!

Manakala Hasan Muarif Ambary dalam tulisan bertajuk ‘Menemukan Peradaban Jejak Arkeologis dan Historis Islam di Indonesia’ (m/s 56), menafikan kewujudan kerajaan awal Perlak berdasarkan kajian arkeologi beliau mengenai Islamisasi di Indonesia.

HALAMAN 54

Di halaman ini, FT menyatakan bahawa Sultanah Nahsariah yang bermazhab Jafari telah berkahwin dengan Malik Mustafa yang bermazhab Syafie. Perdana Menteri ketika itu ialah Bakui Ahmad Permala, seorang penganut Mazhab Jafari.

FT seterusnya menyebut, Malik Mustafa menggilai anak kandungnya sendiri. Perkara itu ditentang oleh 44 orang ulama. Malik Mustafa dikatakan telah memancung alim ulama dan menyebabkan perbalahan besar dengan Perdana Menteri Bakui Ahmad Permala.

HUJAH

Benarkah dakwaan FT ini? Seolahnya mahu mengangkat Bakui Ahmad Permala sebagai hero pujaan.

Berdasarkan laporan M. Yunus Jamil, Syiah Ismailiyah Batiniyah telah muncul dalam kerajaan Pasai ketika pemerintahan Ratu Nihrasiah Rawangsa Khadiyu, disebabkan beliau melantik Ariya Bakui Ahmad Permala yang merupakan seorang penganut Syiah Ismailiyah sebagai Perdana Menteri (Mangkubumi). Ariya Bakui dikatakan berperwatakan kejam khususnya terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurut A.Hasjmy, Ariya Bakui telah menggunakan kedudukannya untuk mengembangkan ajaran Syiah dan menindas Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan mengeluarkan perintah supaya membunuh kira-kira 40 orang ulama Sunni. Beliau sangat komited menyebarkan fahaman batiniyah/ panteisme yang berasal dari ajaran Syiah.

Ariya Bakui pada waktu itu berhasrat untuk mengahwini anak kandungnya sendiri, dan perkara tersebut dibantah oleh para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Demi untuk menghalalkan nafsu kebinatangannya, beliau mengeluarkan arahan bunuh ke atas ulama-ulama Sunni. Maka tercetus peperangan di antara rakyat Pasai beraliran Sunnah dengan Ariya Bakui (Syiah). Akhirnya Ariya Bakui berjaya dikalahkan dan dibunuh oleh Malik Mustafa, suami kepada Ratu Nihrasiah yang berfahaman Ahli Sunnah. Malik Mustafa juga ialah ketua gerakan rakyat Pasai saat itu. Kerajaan Pasai kemudiannya telah digabungkan dengan kerajaan Aceh semasa pemerintahan Sultan Husein Syah.

Jelas dapat kita lihat, pelbagai fakta sejarah diselewengkan oleh FT bertujuan mengangkat golongan Syiah dan memadam hakikat sejarah serta kebenaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jelas juga FT membawa fahaman Syiah dengan berselindung disebalik nama Mazhab Jafari sepertimana yang sering dilakukan oleh penganut Syiah Imamiyah.

Artikel ini bersambung lagi ke Bahagian 4 yang akan memfokus kepada Batu Bersurat Terengganu.

 
 

3 responses to “Unsur Syiah dalam Novel ‘Sebongkah Batu Di Kuala Berang’ – Bahagian 3

  1. Iranis

    10/01/2012 at 11:32 am

    Wow!!! Syabas SJ!

     
  2. pengkaji teori sastera moden

    04/02/2012 at 7:03 am

    Saya juga telah lama mengikuti penulisan FT. Memang terdapat unsur-unsur untuk menerapkan Syiah dalam penulisannya. Blognya tehranifaisal.blogspot.com telah beliau tutup apabila ternyata banyak gagasan, idea dan sanjungan terhadap Syiah membongkar dirinya. Blog itu telah mendedahkan pegangan akidahnya walaupun dia mengaku hanya sebagai Sunnah yang menyokong Syiah Jafaari kerana ada ciri-ciri Sunnah. Bagi yang kurang memahami natijah drp hasil karya sastera, dan menganggap ia hanya fiksyen- tak mungkin merosakkan org, maka, perlu mengetahui hakikat sebenar fiksyen….. Fiksyen sebagai penghantar idea yang yang digarap dalam bentuk kreatif bersalut pemikiran dan perasaan melalui peranan watak supaya isme penulis diterapkan. Kepada yang mempersoalkan pengharaman novel, perlu faham bahaya kerosakan/tergelincir akidah sangat besar berbanding kerosakan akibat nafsu-nafsi/hiburan. Majalah spt. URTV dan Mangga memang berunsur maksiat dan tidak wajar dibaca (mendekatkan diri ke neraka) tetapi bila akidah tak betul, kita menerjunkan diri terus ke neraka. (Jika akidah tak betul, kita ke neraka selamanya,bro.)

     
  3. Syazwani

    02/03/2012 at 2:12 pm

    x faham sy dgn sesetengah manusia yg berfahaman songsang nih. Apa lah susah sgt, Al-Quran kan ada; bacalah. Lihat sunnah Nabi. Mudah2an mendapat petunjuk Allah. Apakah perbuatan mereka itu diperintah Allah dan dilaksanakan Nabi Muhammad. Tp kalo dh tolak nabi Muhammad/para sahabat mmg susah lah nk dpt petunjuk.
    Sejarah adalh iktibar. Telah berjalan ketetapanNya kepada org2 terdahulu.

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: