RSS

Tazkirah SJ : Mengenal ALLAH dan Beradab Dengan-NYA

06 Jul

Teks Khutbah berikut bersumber dari : http://www.khairaummah.com/v3/?p=1741

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hashr ayat 22-24:
“Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.
Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.”

Sabda Rasulullah saw dalam sebuah Hadith:
إن لله تسعة وتسعين اسما، مائة إلا واحدا، من أحصاها دخل الجنة
“Sesungguhnya bagi Allah terdapat 99 nama, Seratus kecuali satu, sesiapa yang menghitungnya akan masuk Syurga.” (muttafaq ‘alayh)

Penting untuk kita perhatikan di sini bahawa Allah SWT sendiri yang telah menamakan diriNya dengan 99 nama,  ini kerana hanya Allah sahaja yang tahu nama-nama yang selayaknya bagi Allah. Setiap nama ini mengandungi makna yang mendalam yang dapat menyingkap rahasia kewujudan. Manusia juga tidak mampu mengenali Allah jika Allah sendiri tidak memperkenankannya untuk mengenaliNya. Hanya setelah Allah memperkenalkan nama-nama tersebut maka kita dapat mengenali Allah dan orang yang mengenali Allah dengan sesungguhnya akan sentiasa menjaga adabnya dengan Allah, menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Maka kita dapat melihat di sini bahawa mengenal Allah (ma’rifatuLlah) adalah kunci bagi seseorang itu memasuki Syurga.

Setiap manusia yang lahir di dunia ini akan tertanya-tanya tentang tujuan ia dilahirkan di dunia, dari mana ia datang dan kemana ia akan pergi. Manusia juga akan tertanya-tanya siapakah yang menciptakannya. Mungkinkah ia lahir dengan sendirinya tanpa dikehendaki dan dirancang oleh Tuhan. Semua persoalan besar tentang kehidupan ini tidak akan dapat terjawab jika bukan Tuhan sendiri yang memberitahukan manusia tentang hakikat-hakikat tersebut. Manusia juga akan hidup tanpa makna jika tidak mengenal siapa dirinya sebenarnya dan siapakah Tuhannya.

Adalah satu kurnia yang besar jika manusia mengetahui bahawa Tuhan yang menciptakannya adalah Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahawa Tuhan yang menciptakannya adalah juga yang menciptakan segala yang wujud di muka bumi ini dan di alam-alam lain. Segalanya diciptakan oleh Allah kerana kasihNya kepada makhlukNya. Kerana itu antara nama Allah yang paling penting dan sering kita serukan adalah al-Rahman dan al-Rahim yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Manusia perlu mengenal dan mengakui hakikat sebenar Allah barulah ia dapat meletakkan dirinya di tempat sebenar sebagai hamba Allah SWT.

Surah al-Fatihah adalah surah yang mencerminkan hakikat sebenar hubungan manusia dengan Allah. Dalam surah ini kita mengakui dan memuji Allah sebagai Tuhan sekalian alam (Alhamdulillahi rabbil alamin). Tuhan yang telah menciptakan segala makhluk, memberinya kehidupan, mengatur segala sesuatu agar beroperasi tertib dan harmoni, memberi rezki kepada setiap yang bernyawa, menumbuhkan tanam-tanaman, mencantikkan dan mengindahkannya dengan pelbagai rupa dan bentuk yang menakjubkan, mewarnakan dengan pelbagai warna yang cantik. Segala ciptaanNya memukau dan mempesonakan, memberi inspirasi kepada manusia untuk berkarya dan mendapat ilham. Kerana menyedari kehebatan, keagungan dan kasih sayang Allah lah maka kita sebagai manusia yang menyedari dan merasa terhutang atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita, nikmat-nikmat yang tidak terkira banyaknya dan tidak terkira nilainya. Oleh yang demikian wajarlah kita memberi pujian kepadaNya. Segala puji hanya ditujukan kepadaNya kerana segala pemberian sesungguhnya berasal hanya dariNya.

Allah tidak meminta manusia untuk membalas segala pemberianNya, Allah hanya mahu kita memujiNya dan mengakuiNya sebagai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Perkara mudah seperti ini pun seringkali kita lupa dan alpa untuk melakukannya. Manusia sering lupa bahawa di sebalik setiap keindahan dunia yang ada dihadapannya adalah anugerah daripada Allah. Bahawa ia tidak mungkin dapat terlepas sedetik pun dari nikmat yang diberikan oleh Allah. Oleh kerana itu manusia perlu sentiasa ingat akan ketergantungannya terhadap rahmat Allah. Ia perlu sedar bahawa tidak mensyukuri nikmat Allah dan ingkar akan perintahNya adalah satu kesalahan yang besar. Ia dianggap satu dosa yang akan mendatangkan kemurkaan Allah. Dan manusia yang dimurkai Allah balasannya adalah api neraka di akhirat kelak.

Surah al-Fatihah juga mengajarkan kita bagaimana beradab kepada Allah. Manusia yang sedar siapa dirinya akan menjaga adabnya kepada sesiapa pun di dunia ini. Ia tentu akan sangat menjaga adabnya kepada Tuhan yang telah memberikannya nikmat yang tidak terhitung nilainya. Menurut al-Zarkashi antara adab kita dalam surah al-Fatihah adalah kita mengucapkan segala puji bagi Allah bukan segala puji bagimu. Hanya ketika mengucapkan iyyaka na’budu kita menggunakan kata ganti Engkau kerana ia adalah penegasan dan janji kita untuk tidak sesekali menyekutukanNya. Sebagai tanda/ simbol kesedaran hakikat kekerdilan diri inilah maka sewajarnya kita meletakkan dahi kita di atas tanah di hadapan Allah SWT.

Sujud dilakukan oleh seseorang yang beriman bukan sekali sekala, tetapi setiap masa. Untuk beradab kepada Allah manusia perlu sentiasa memuji dan bersyukur kepadaNya. Agar tidak tergolong daripada orang-orang yang lalai. Demikianlah sifat orang yang beriman seperti tertera dalam al-Qur’an Surah al-A’raf: 205:

“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai”.

Oleh kerana itulah kita difardukan mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Solat adalah sarana untuk manusia berkomunikasi dengan Allah. Dengan komunikasi yang kerap dan bermakna yang dilakukan manusia ia akan mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan hidup. Dalam solat ini juga kita menegaskan komitmen kita untuk menghambakan diri kepada Allah sepanjang hidup kita. Kerana kita sedar bahawa kehidupan kita hanya akan bermakna jika kita kekal sebagai hamba Allah yang sentiasa mendapat rahmat dan ampunannya. Dalam solat ini juga kita memohon kepada Allah agar diberikan petunjuk, supaya tidak tergelincir, terpesong dari jalan yang benar. Petunjuk atau hidayah itu sangat kita perlukan kerana akal manusia sahaja tidak mampu mengenal jalan yang lurus yang dapat menyelamatkan kehidupan di dunia dan di akhirat. Petunjuk itulah yang telah membimbing para nabi, awliya, shuhada’ dan al-salihin orang-orang yang soleh.

Seorang Muslim yang mengenal Allah, akan sedar bahawa tiada sesuatu pun yang luput dari pengetahuan dan ilmu Allah. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Yunus: 61:

“Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.Segala sesuatu yang dilakukan oleh manusia diketahui oleh Allah, bahkan bisikan hati sekalipun. Kerana itu seorang Muslim tidak akan dengan sengaja melakukan maksiat, dan jika ia tergelincir sekalipun ia akan cepat-cepat bertaubat kerana ia takut akan kemurkaan Allah”.

Antara adab dengan Allah adalah berbaik sangka terhadapNya. Apabila seseorang itu ditimpa musibah, tidak sewajarnya ia menyalahkan Allah apalagi membenciNya atas datangnya musibah tersebut. Justeru seorang Muslim akan sedar bahawa segala musibah yang menimpanya adalah ujian agar ia bersabar dan kerana kesabarannya itu ia berharap agar dapat tergolong dengan orang-orang yang dikasihi olehNya.

Untuk lebih menghayati nama dan sifat Allah, Imam al-Ghazali dalam bukunya al-Maqsad al-Asna fi Sharh Asma’ Allah al-Husna, memberi keterangan bahawa manusia perlu menghayati dengan memperhatikan dan  meniru kebesaran sifat-sifat Allah dengan semampunya dan menurut kesesuaiannya sebagai makhluk. Berakhlak dengan akhlak Allah seperti pemurah, penyayang, penyabar, melakukan yang terbaik, berilmu dan lain sebagainya.
Al-Qur’an menegaskan bahawa segala sesuatu di dunia bertasbih dan bertahmid kepadaNya. Mengagungkan dan memuji kebesaranNya. Apabila kita memperhatikan segala ciptaan Allah kita akan dapat melihat bahawa nama-nama Allah SWT itu terzahir dan dalam setiap ciptaanNya. Menyedari hal ini maka kita juga perlu sentiasa bertasbih dan bertahmid kepadaNya, benar-benar menghambakan diri kepadaNya. Semoga dengan itu kita akan tergolong dalam orang-orang yang mengenal Allah dengan sebenar-benarnya.

Dalam sebuah hadith Rasulullah saw bersabda:
” لَوْ عَرَفْتُمُ اللَّهَ حَقَّ مَعْرِفَتِهِ لَعَلِمْتُمُ الْعِلْمَ الَّذِي لَيْسَ مَعَهُ بِهِ جَهْلٌ ، وَلَوْ عَرَفْتُمُ اللَّهَ حَقَّ مَعْرِفَتِهِ لَزَالَتِ الْجِبَالُ بِدُعَائِكُمْ , وَمَا أُوتِي أَحَدٌ مِنَ الْيَقِينِ شَيْئًا إِلا مَا لَمْ يُؤْتَ مِنْهُ أَكْثَرَ مِمَّا أُوتِي ”
“Jika kamu mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenar maka kamu akan mendapat ilmu yang tiada bersamanya kejahilan, dan jika kamu mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenar akan berubah gunung dengan do’a do’a kamu, dan tiada seseorang yang diberikan keyakinan kecuali apa yang tidak diberikan kepadanya adalah lebih banyak dari apa yang telah diberikan”.

Atas dasar menjaga adab kita dengan Allah jugalah kita tidak sewajarnya menganggap dan menyebut Tuhan-Tuhan lain sebagai Allah, atau membenarkan orang bukan Islam di Negara ini menggunakan nama Allah bagi merujuk Tuhan dalam agama mereka. Nama Allah adalah nama yang paling istimewa dan paling agung. Ia adalah nama khas yang hanya merujuk kepada Tuhan sebenar umat manusia. Masyarakat Melayu yang telah menggunakan nama Allah sekian lama dengan makna yang betul sesuai dengan prinsip-prinsip Islam. Perkataan ini telah diislamisasikan sehingga tidak mengandungi maksud yang tidak dikehendaki oleh Islam.

Marilah kita menghayati nama-nama Allah agar kita tergolong dalam orang-orang yang bersyukur dan mengenal Allah dengan sesungguhnya serta beradab dengan adab yang sepatutnya. Mengenal Allah bukan perkara yang susah dan bukan juga perkara yang mudah. Ramai di kalangan kita mungkin sedar siapa Allah sebenarnya, namun kita sering lupa dan alpa dari mengingatiNya. Orang yang sering lupa dari mengingati Allah bukanlah orang yang benar-benar mengenal Allah. Kerana itu kita digalakkan sentiasa berzikir untuk mengingatiNya, solat juga merupakan satu zikir agar kita ingat Allah dalam kesibukan harian kita. Dalam berzikir kita menyebut nama-nama Allah.

*Teks Khutbah disampaikan oleh PM Dr Khalif Muammar pada 30 Disember 2011 di UTM Kampus Antarabangsa, Kuala Lumpur.

 
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: