RSS

Dari Sembelihan ke Cadbury : Suatu Pengajaran

26 May

Beberapa hari lalu kita dikejutkan dengan kenyataan rasmi hasil kajian makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan terdapatnya DNA babi di dalam beberapa produk coklat susu Cadbury. Di atas penemuan itu pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara serta merta mengambil langkah proaktif menarik balik pensijilan halal ke atas produk-produk Cadbury terbabit.

Adalah tidak wajar jika ada pihak yang mempersoalkan mengapa sebelum ini status halal diberikan oleh JAKIM ke atas produk terbabit. Harus difahami bahawa ujian makmal yang dilakukan ke atas sampel sebelum ini, yakni sebelum diberi pensijilan halal dahulu, tiada DNA babi dikesan. Pencemaran tersebut berlaku setelah sijil diberikan. Oleh demikian, jika apa yang berlaku disengajakan oleh pihak syarikat, ianya boleh dianggap sebagai suatu tindakan khianat ke atas umat Islam.

Beberapa bulan lalu, kita juga telah mendengar berita serbuan pihak JAKIM ke pusat sembelihan ayam yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan. Demikian juga dengan sektor penghotelan yang mana bahagian dapur tidak mematuhi ketetapan JAKIM.

Isu pemakanan halal dan haram tidak boleh diserah bulat-bulat kepada pihak JAKIM dan jabatan agama Islam sahaja, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam. Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai Hub Halal Antarabangsa, dan seruan ini sewajarnya disahut oleh umat Islam yang mempunyai minat dalam perniagaan. Malangnya umat Islam masani lebih suka bergiat dalam perniagaan berbentuk jualan langsung (MLM) dan berniaga untuk menambah pendapatan sendiri sahaja.

Selain itu ramai dikalangan peniaga Islam yang merupakan pengusaha produk makanan seperti kerepek, keropok, kuih muih yang tidak mementingkan pensijilan halal. Justifikasi halalan toyyibah bukan ditentukan kerana produk makanan itu diusahakan oleh seorang muslim, sebaliknya adalah berdasarkan kepada soal punca kewangan, bahan asas pembuatan, kebersihan, penyimpanan termasuk juga jarak tempat pemprosesan dengan tandas.

Jika ditanya, “kenapa berniaga?” atau “kenapa buat bisnes?”, ramai yang akan menjawab “sebab bisnes ini sunnah Nabi”, “business is sunnah” atau “sebab Islam kan suruh kita jadi kaya”. Jawapan-jawapan demikian sebenarnya adalah jawapan yang menunjukkan ketidakfahaman tentang tuntutan fardhu kifayah. Akhirnya kita dapati disamping mahu mengikut sunnah, ramai umat Islam yang berniaga turut melakukan riba’ dan tak kurang yang pandai menipu ketika melakukan marketing bagi melariskan jualan.

Isu sembelihan dan DNA babi dalam coklat Cadbury sepatutnya menjadi pengajaran buat umat Islam untuk bukan sekadar lebih berhati-hati membeli bahan makanan, tetapi seharusnya membuka minda untuk menguasai industri halal dunia. Di Malaysia kita dapati kebanyakan produk makanan masih dikuasai oleh masyarakat bukan Islam. Kita masih kekurangan peniaga muslim yang menguasai industri halal dalam pengeluaran produk seperti biskut, coklat, serta bahan-bahan asas pembuatan seperti gula, minyak, tepung dan lain-lain. Demikian juga dengan ladang ternakan ayam serta pusat penyembelihan dan ternakan lembu yang sehingga kini masyarakat Malaysia masih memerlukan bekalan daging import. Bukan tidak ada yang mengusahakan industri ini, tetapi masih belum mencukupi dan ramai juga yang belum dapat menandingi kualiti produk halal keluaran bukan Islam.

Tak lupa juga dalam sektor binaan, industri berat seperti batu batan, besi, wayar dan lain-lain yang mesti dikuasai oleh orang Islam seterusnya menjadi pemain utama industri tersebut. Penguasaan umat Islam terhadap perkara-perkara asas ekonomi secara tidak langsung dapat mengawal harga bahan mentah dari sektor makanan, runcit, elektronik hinggalah kepada binaan rumah dan sebagainya.

Justeru itu umat Islam yang mempunyai minat dalam perniagaan hendaklah membetulkan niat dan kefahaman terlebih dahulu sebelum melaksanakan fardhu kifayah ini. Mendahulukan akhlak siddiq dan amanah mendahului keinginan berniaga kerana jika benar mahukan rezeki yang halal, sudah pasti penipuan dalam marketing dan business strategy membawa rezeki yang haram.

Maka dengan itu, seseorang yang beragama Islam hendaklah tahu bahawa berniaga itu satu kefardhuan demi memenuhi keperluan umat Islam. Inilah niat utama bisnes seorang Muslim.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: