RSS

Konsep Pengasingan Kuasa dalam Pemerintahan Umar al-Khattab

10 Feb

Oleh : Prof. Madya Dr. Shamrahayu And Aziz.

Sekiranya Faham Perlembagaan yang menetapkan prinsip pentadbiran atau dasar kenegaraan  yang dianggap sebagai hasil atau sumbangan Barat dalam memartabatkan kemuliaan manusia, ia sebenarnya telah lama mendapat tempat dalam sistem pentadbiran Islam.

Sesungguhnya teori Faham Perlembagaan yang dikatakan diperkenal di Barat itu bukanlah suatu yang baharu dalam sistem pentadbiran Islam. Saya menyebut hal ini dalam bentuk perbandingan bukan untuk memenangkan sistem pentadbiran kenegaraan yang telah diamalkan dalam pemerintahan Islam, tetapi saya mahu menjelaskan bahawa terdapat prinsip-prinsip yang diagongkan di Barat itu sebenarnya tidak asing daripada prinsip Islam. Ia juga bagi menolak pandangan sinis dan serong kepada sistem pentadbiran Islam.

Minggu lepas saya telah menyentuh tentang prinsip Faham Perlembagaan dan pada minggu ini saya mahu menjuruskan perbincangan kepada elemen utama dalam konsep Faham Perlembgaaan, iaitu prinsip Pengasingan Kuasa.

Walaupun tiada pengasingan kuasa pada awal permulaan pemerintahan Islam atau semasa pemerintahan Rasulullah SAW, tetapi ini tidak bermakna sistem pengasingan kuasa itu ditolak dalam sistem pentadbiran Islam.  Sekiranya dirujuk kepada sistem pentadbiran Rasulullah SAW, sebagaimana juga dikehendaki dalam teori Faham Perlembagaan, tidak pernah meminggirkan kepentingan atau merendahkan maruah manusia. Ini kerana pentadbiran Islam itu meletakkan keadilan dan penghormatan kepada semua manusia sebagaimana prinsip Islam sebagai rahmat seluruh isi alam cakerawala; Islam bukan hanya untuk orang Islam semata-mata  kerana Islam adalah rahmatan lil-‘Alamin.

Tiadanya pengasingan kuasa semasa pemerintahan Rasulullah SAW adalah kerana kerasulan baginda serta sifat amanah Baginda SAW yang tiada tolak bandingnya. Konsep Pengasingan Kuasa telah mula diperkenal semasa pemerintahan Umar Al-Khattab RA. Pengasingan Kuasa perlu dilakukan semasa pemerintahan Khalifah Umar kerana berkembangnya geografi pemerintahan Islam dan penyeliaannya tidak mudah. Ia juga bagi mempastikan pentadbiran yang licin dan sempurna serta, sebagaimana juga tujuan konsep itu diperkenal di Barat, bagi mengelak penyalahgunaan kuasa.

Sebagaimana terbukti dalam sejarah, Khalifah Umar RA banyak membuat pembaharuan pentadbiran. Ini  yang dikenali sebagai Awliat-i- Umar atau permulaan, dengan erti pembaharuan yang dilakukan Khalifah Umar RA. Pemerintahan Khalifah Umar RA yang juga dikenali sebagai Golden Age itu antara lain telah membuat perubahan besar kepada sistem kehakiman. Badan Kehakiman dalam struktur pengasingan kuasa menjadi satu badan yang bebas. Dan, kebebasan kehakiman boleh dikatakan sebagai intipati kepada konsep Pengasingan Kuasa.

Dalam konteks perbincangan teori Faham Perlembagaan sebagaimana faham Barat, Badan Kehakiman semasa pemerintahan Umar RA telah dipisahkan daripada pihak eksekutif dan legislatif. Ini menjadikan Badan Kehakiman itu bebas daripada pengaruh kedua-dua pihak.

Bukan itu sahaja, Badan Kehakiman semasa pemerintahan Khalifah Umar RA telah terbukti bebas dengan tindakan Umar RA sendiri yang mengarahkan para hakim supaya menjalankan tugas mereka tanpa membezakan mana-mana pihak, hatta khalifah, iaitu Saidina Umar sendiri. Seringkali disebut dalam buku-buku sejarah dan perbahasan berkaitan pentadbiran serta perundangan Islam, Khalifah Umar RA pernah menegur hakim yang memberikan perhatian istimewa kepadanya kerana statusnya sebagai Khalifah.

Walaupun adakalanya Saidina Umar sendiri bertindak sebagai hakim, garis panduan mengenai keadilan sangat jelas. Antara bukti yang paling jelas ialah surat yang telah ditulis oleh Khalifah Umar RA bagi memberi garis panduan kehakiman, termasuk juga prinsip kebebasan kehakiman, kepada Abu Musa al-Ashari ketika melaksanakan tugasnya sebagai hakim.

Kebebasan Badan Kehakiman semasa pemerintahan Umar RA juga sangat jelas dengan sediaan gaji yang tinggi kepada para hakim. Gaji yang tinggi juga merupakan antara elemen penting di bawah konsep kebebasan kehakiman dalam Faham Perlembagaan. Ini bagi mengelak penerimaan rasuah oleh kerana kedudukan tinggi dan kuasa yang besar para hakim.

Sekiranya kita begitu ghairah dengan konsep Faham Perlembagaan acuan Barat, adalah amat elok untuk kita kembali meneliti dalam sejarah pemerintahan Umar al-Khattab RA, pencetus kepada sistem pemerintahan moden yang juga mengetengahkan prinsip Faham Perlembagaan.

Cuma, mungkin yang membezakan sistem pemerintahan Islam dan Faham Perlembagaan ialah teori dalam nilai-nilai politik Islam yang meletakkan tiga tonggak, iaitu, prinsip ketuhanan, kerasulan dan pewaziran atau khilafah.

– Sumber : http://ikimfm.my/konsep-pengasingan-kuasa-dalam-permerintahan-umar-al-khattab/#sthash.QubTfKya.dpuf

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: