RSS

Category Archives: Khutbah Pilihan

Tazkirah SJ : Mengenal ALLAH dan Beradab Dengan-NYA

Teks Khutbah berikut bersumber dari : http://www.khairaummah.com/v3/?p=1741

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hashr ayat 22-24:
“Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.
Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.”

Sabda Rasulullah saw dalam sebuah Hadith:
إن لله تسعة وتسعين اسما، مائة إلا واحدا، من أحصاها دخل الجنة
“Sesungguhnya bagi Allah terdapat 99 nama, Seratus kecuali satu, sesiapa yang menghitungnya akan masuk Syurga.” (muttafaq ‘alayh)

Penting untuk kita perhatikan di sini bahawa Allah SWT sendiri yang telah menamakan diriNya dengan 99 nama,  ini kerana hanya Allah sahaja yang tahu nama-nama yang selayaknya bagi Allah. Setiap nama ini mengandungi makna yang mendalam yang dapat menyingkap rahasia kewujudan. Manusia juga tidak mampu mengenali Allah jika Allah sendiri tidak memperkenankannya untuk mengenaliNya. Hanya setelah Allah memperkenalkan nama-nama tersebut maka kita dapat mengenali Allah dan orang yang mengenali Allah dengan sesungguhnya akan sentiasa menjaga adabnya dengan Allah, menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Maka kita dapat melihat di sini bahawa mengenal Allah (ma’rifatuLlah) adalah kunci bagi seseorang itu memasuki Syurga.

Setiap manusia yang lahir di dunia ini akan tertanya-tanya tentang tujuan ia dilahirkan di dunia, dari mana ia datang dan kemana ia akan pergi. Manusia juga akan tertanya-tanya siapakah yang menciptakannya. Mungkinkah ia lahir dengan sendirinya tanpa dikehendaki dan dirancang oleh Tuhan. Semua persoalan besar tentang kehidupan ini tidak akan dapat terjawab jika bukan Tuhan sendiri yang memberitahukan manusia tentang hakikat-hakikat tersebut. Manusia juga akan hidup tanpa makna jika tidak mengenal siapa dirinya sebenarnya dan siapakah Tuhannya.

Adalah satu kurnia yang besar jika manusia mengetahui bahawa Tuhan yang menciptakannya adalah Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahawa Tuhan yang menciptakannya adalah juga yang menciptakan segala yang wujud di muka bumi ini dan di alam-alam lain. Segalanya diciptakan oleh Allah kerana kasihNya kepada makhlukNya. Kerana itu antara nama Allah yang paling penting dan sering kita serukan adalah al-Rahman dan al-Rahim yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Manusia perlu mengenal dan mengakui hakikat sebenar Allah barulah ia dapat meletakkan dirinya di tempat sebenar sebagai hamba Allah SWT.

Surah al-Fatihah adalah surah yang mencerminkan hakikat sebenar hubungan manusia dengan Allah. Dalam surah ini kita mengakui dan memuji Allah sebagai Tuhan sekalian alam (Alhamdulillahi rabbil alamin). Tuhan yang telah menciptakan segala makhluk, memberinya kehidupan, mengatur segala sesuatu agar beroperasi tertib dan harmoni, memberi rezki kepada setiap yang bernyawa, menumbuhkan tanam-tanaman, mencantikkan dan mengindahkannya dengan pelbagai rupa dan bentuk yang menakjubkan, mewarnakan dengan pelbagai warna yang cantik. Segala ciptaanNya memukau dan mempesonakan, memberi inspirasi kepada manusia untuk berkarya dan mendapat ilham. Kerana menyedari kehebatan, keagungan dan kasih sayang Allah lah maka kita sebagai manusia yang menyedari dan merasa terhutang atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita, nikmat-nikmat yang tidak terkira banyaknya dan tidak terkira nilainya. Oleh yang demikian wajarlah kita memberi pujian kepadaNya. Segala puji hanya ditujukan kepadaNya kerana segala pemberian sesungguhnya berasal hanya dariNya.

Allah tidak meminta manusia untuk membalas segala pemberianNya, Allah hanya mahu kita memujiNya dan mengakuiNya sebagai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Perkara mudah seperti ini pun seringkali kita lupa dan alpa untuk melakukannya. Manusia sering lupa bahawa di sebalik setiap keindahan dunia yang ada dihadapannya adalah anugerah daripada Allah. Bahawa ia tidak mungkin dapat terlepas sedetik pun dari nikmat yang diberikan oleh Allah. Oleh kerana itu manusia perlu sentiasa ingat akan ketergantungannya terhadap rahmat Allah. Ia perlu sedar bahawa tidak mensyukuri nikmat Allah dan ingkar akan perintahNya adalah satu kesalahan yang besar. Ia dianggap satu dosa yang akan mendatangkan kemurkaan Allah. Dan manusia yang dimurkai Allah balasannya adalah api neraka di akhirat kelak.

Surah al-Fatihah juga mengajarkan kita bagaimana beradab kepada Allah. Manusia yang sedar siapa dirinya akan menjaga adabnya kepada sesiapa pun di dunia ini. Ia tentu akan sangat menjaga adabnya kepada Tuhan yang telah memberikannya nikmat yang tidak terhitung nilainya. Menurut al-Zarkashi antara adab kita dalam surah al-Fatihah adalah kita mengucapkan segala puji bagi Allah bukan segala puji bagimu. Hanya ketika mengucapkan iyyaka na’budu kita menggunakan kata ganti Engkau kerana ia adalah penegasan dan janji kita untuk tidak sesekali menyekutukanNya. Sebagai tanda/ simbol kesedaran hakikat kekerdilan diri inilah maka sewajarnya kita meletakkan dahi kita di atas tanah di hadapan Allah SWT.

Sujud dilakukan oleh seseorang yang beriman bukan sekali sekala, tetapi setiap masa. Untuk beradab kepada Allah manusia perlu sentiasa memuji dan bersyukur kepadaNya. Agar tidak tergolong daripada orang-orang yang lalai. Demikianlah sifat orang yang beriman seperti tertera dalam al-Qur’an Surah al-A’raf: 205:

“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai”.

Oleh kerana itulah kita difardukan mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Solat adalah sarana untuk manusia berkomunikasi dengan Allah. Dengan komunikasi yang kerap dan bermakna yang dilakukan manusia ia akan mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan hidup. Dalam solat ini juga kita menegaskan komitmen kita untuk menghambakan diri kepada Allah sepanjang hidup kita. Kerana kita sedar bahawa kehidupan kita hanya akan bermakna jika kita kekal sebagai hamba Allah yang sentiasa mendapat rahmat dan ampunannya. Dalam solat ini juga kita memohon kepada Allah agar diberikan petunjuk, supaya tidak tergelincir, terpesong dari jalan yang benar. Petunjuk atau hidayah itu sangat kita perlukan kerana akal manusia sahaja tidak mampu mengenal jalan yang lurus yang dapat menyelamatkan kehidupan di dunia dan di akhirat. Petunjuk itulah yang telah membimbing para nabi, awliya, shuhada’ dan al-salihin orang-orang yang soleh.

Seorang Muslim yang mengenal Allah, akan sedar bahawa tiada sesuatu pun yang luput dari pengetahuan dan ilmu Allah. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Yunus: 61:

“Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.Segala sesuatu yang dilakukan oleh manusia diketahui oleh Allah, bahkan bisikan hati sekalipun. Kerana itu seorang Muslim tidak akan dengan sengaja melakukan maksiat, dan jika ia tergelincir sekalipun ia akan cepat-cepat bertaubat kerana ia takut akan kemurkaan Allah”.

Antara adab dengan Allah adalah berbaik sangka terhadapNya. Apabila seseorang itu ditimpa musibah, tidak sewajarnya ia menyalahkan Allah apalagi membenciNya atas datangnya musibah tersebut. Justeru seorang Muslim akan sedar bahawa segala musibah yang menimpanya adalah ujian agar ia bersabar dan kerana kesabarannya itu ia berharap agar dapat tergolong dengan orang-orang yang dikasihi olehNya.

Untuk lebih menghayati nama dan sifat Allah, Imam al-Ghazali dalam bukunya al-Maqsad al-Asna fi Sharh Asma’ Allah al-Husna, memberi keterangan bahawa manusia perlu menghayati dengan memperhatikan dan  meniru kebesaran sifat-sifat Allah dengan semampunya dan menurut kesesuaiannya sebagai makhluk. Berakhlak dengan akhlak Allah seperti pemurah, penyayang, penyabar, melakukan yang terbaik, berilmu dan lain sebagainya.
Al-Qur’an menegaskan bahawa segala sesuatu di dunia bertasbih dan bertahmid kepadaNya. Mengagungkan dan memuji kebesaranNya. Apabila kita memperhatikan segala ciptaan Allah kita akan dapat melihat bahawa nama-nama Allah SWT itu terzahir dan dalam setiap ciptaanNya. Menyedari hal ini maka kita juga perlu sentiasa bertasbih dan bertahmid kepadaNya, benar-benar menghambakan diri kepadaNya. Semoga dengan itu kita akan tergolong dalam orang-orang yang mengenal Allah dengan sebenar-benarnya.

Dalam sebuah hadith Rasulullah saw bersabda:
” لَوْ عَرَفْتُمُ اللَّهَ حَقَّ مَعْرِفَتِهِ لَعَلِمْتُمُ الْعِلْمَ الَّذِي لَيْسَ مَعَهُ بِهِ جَهْلٌ ، وَلَوْ عَرَفْتُمُ اللَّهَ حَقَّ مَعْرِفَتِهِ لَزَالَتِ الْجِبَالُ بِدُعَائِكُمْ , وَمَا أُوتِي أَحَدٌ مِنَ الْيَقِينِ شَيْئًا إِلا مَا لَمْ يُؤْتَ مِنْهُ أَكْثَرَ مِمَّا أُوتِي ”
“Jika kamu mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenar maka kamu akan mendapat ilmu yang tiada bersamanya kejahilan, dan jika kamu mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenar akan berubah gunung dengan do’a do’a kamu, dan tiada seseorang yang diberikan keyakinan kecuali apa yang tidak diberikan kepadanya adalah lebih banyak dari apa yang telah diberikan”.

Atas dasar menjaga adab kita dengan Allah jugalah kita tidak sewajarnya menganggap dan menyebut Tuhan-Tuhan lain sebagai Allah, atau membenarkan orang bukan Islam di Negara ini menggunakan nama Allah bagi merujuk Tuhan dalam agama mereka. Nama Allah adalah nama yang paling istimewa dan paling agung. Ia adalah nama khas yang hanya merujuk kepada Tuhan sebenar umat manusia. Masyarakat Melayu yang telah menggunakan nama Allah sekian lama dengan makna yang betul sesuai dengan prinsip-prinsip Islam. Perkataan ini telah diislamisasikan sehingga tidak mengandungi maksud yang tidak dikehendaki oleh Islam.

Marilah kita menghayati nama-nama Allah agar kita tergolong dalam orang-orang yang bersyukur dan mengenal Allah dengan sesungguhnya serta beradab dengan adab yang sepatutnya. Mengenal Allah bukan perkara yang susah dan bukan juga perkara yang mudah. Ramai di kalangan kita mungkin sedar siapa Allah sebenarnya, namun kita sering lupa dan alpa dari mengingatiNya. Orang yang sering lupa dari mengingati Allah bukanlah orang yang benar-benar mengenal Allah. Kerana itu kita digalakkan sentiasa berzikir untuk mengingatiNya, solat juga merupakan satu zikir agar kita ingat Allah dalam kesibukan harian kita. Dalam berzikir kita menyebut nama-nama Allah.

*Teks Khutbah disampaikan oleh PM Dr Khalif Muammar pada 30 Disember 2011 di UTM Kampus Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Advertisements
 
 

Tazkirah SJ : Sempena Maal Hijrah 1433

HIJRAH MEMBINA MASA DEPAN UMMAH

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “HIJRAH MEMBINA MASA DEPAN UMMAH ”.

 Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sedar ataupun tidak, kita sekarang  berada di penghujung bagi tahun 1432H. Pelbagai peristiwa telah berlaku sepanjang tahun yang telah kita lalui, ada yang mengembirakan dan ada juga yang menyedihkan, namun semua itu mengamit memori dan kenangan dalam hidup kita sebagai insan  hamba Allah SWT yang serba kekurangan dan kerdil ini. Dua hari lagi kita akan menyambut kedatangan tahun baru hijrah, pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan tahun baru hijrah ini. Ma’al Hijrah telah mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat RA.  Program hijrah adalah satu langkah Rasulullah SAW yang amat strategik dalam menegakkan dakwah Islamiah. Perlu kita ingat bahawa dengan berjayanya hijrah menjadi jambatan tertegaknya Daulah Islamiah kerana hijrah tersebut dipandu dan didukung oleh keimanan dan ketakwaan yang padu. Kejayaan hijrah ini juga telah mengubah lanskap akidah, ibadah, akhlak dan membina masa depan ummah. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 100:

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Kejayaan Nabi SAW tiba di Madinah al-Munawwarah diteruskan pula dengan agenda membina masa depan ummah yang berteraskan petunjuk al-Quran al- Karim. Dalam masa 10 tahun sahaja umat Islam di  Madinah telah berjaya mengalahkan kuasa besar seperti Rom timur dan Parsi. Pengajaran yang penting kepada kita daripada peristiwa ini ialah perlunya kita mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.  Justeru, kita perlu berusaha menyuburkan iman dan takwa agar ia menjadi panduan kepada kehidupan. Adalah satu hakikat bahawa pemantapan iman amat berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan. Maka, Islam memberi penekanan terhadap penguasaan ilmu dan pendidikan melalui penjelasan yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Dalam membina masa depan ummah, pendidikan adalah matlamat utama melahirkan individu muslim yang berilmu dan membina masa depan sebagai ummah contoh. Peredaran zaman telah memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia itu sendiri termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan yang bersepadu dan menyeluruh yang melibatkan semua bidang perlu dititikberatkan.

          Umat Islam dituntut memperkukuh ilmu fardhu ‘ain dengan mendalami pengetahuan agama seperti dalam bidang tafsir al-Quran, hadith, fiqh, akidah dan sebagainya sebagai benteng kepada keutuhan dan kekuatan iman serta pegangan kepada agama Islam itu sendiri. Bagi memantapkan  ilmu fardu ‘ain ini, kita diseru agar mengikuti kuliah-kuliah agama di masjid dan surau melalui pengajian kelas fardu ‘ain dan takmir yang telah disediakan.

                Namun, persoalan besar timbul ialah sejauh manakah penguasaan umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan di negara ini?. Berdasarkan pemerhatian dalam bidang-bidang tertentu seperti ilmu matematik, sains fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan bidang-bidang sains yang lain, di dapati bahawa umat Islam ketinggalan jauh berbanding pencapaian kaum-kaum lain. Ini merupakan cabaran hebat kepada kita dalam usaha membina masa depan yang cemerlang.

Membina masa depan sebagai ummah yang unggul menutut kebijaksanaan yang amat tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan mestilah ada perubahan iaitu tajdid. Pembaruan ilmu dan pendidikan yang bersifat semasa mampu melepaskan seseorang itu dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Dengan cara ini akan melahirkan ilmuan yang selari dan senafas dengan zaman serta cabaran lingkungan terkini. Umat Islam mestilah diberikan suasana kebebasan dalam membuat pandangan-pandangan yang membina supaya setiap pihak merasa selesa bahawa kritikan yang membina adalah untuk kebaikan kepada semua. Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi seorang tokoh ulama’ semasa yang amat berpengaruh  menyatakan, pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan”.

Umat Islam pada hari ini perlu juga dibangunkan dengan asas-asas kerohanian yang kukuh agar mereka tidak mudah cair dengan pengaruh persekitaran dan himpitan hawa nafsu. Umat Islam yang lemah kerohanian akan menyebabkan berlakunya kepincangan dalam pelbagai perkara seperti krisis moral, akhlak, keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat. Justeru bagi memastikan kedudukan umat Islam terjamin maka kita sebagai umat Islam perlu mengatur segala urusan kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh syarak, disamping itu kita perlu memperkasakan institusi Islam seperti masjid, surau dan sebagainya sebagai medan pengembangan kerohanian.Umat Islam juga hendaklah bersatu dalam semua perkara terutama dalam pembangunan pendidikan demi kebaikan bersama.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Kita semua sedia maklum bahawa pendidikan yang berkesan tidak akan terlaksana jika ia tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kejasama dan sokongan dari semua pihak terutama institusi keluarga. Ibu bapa sebagai ketua keluarga seharusnya peka dan prihatin terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya bersama. Ibu- bapa perlu menyediakan prasarana yang baik di rumah bagi memastikan anak-anak dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran mereka dengan selesa dan sempurna.

                Proses pendidikan rasmi dibangku sekolah merupakan medan terbaik untuk membentuk generasi pelajar yang berilmu dan berakhlak mulia seterusnya membawa mereka kemercu kecemerlangan dan kegemilangan. Akan tetapi usaha ini tidak akan mencapai matlamat yang diharapkan, sekiranya ibu- bapa menyerahkan tugas mendidik anak-anak ini kepada pihak sekolah secara mutlak. Sewajarnya tugas mendidik diteruskan oleh ibu- bapa ketika anak-anak bersama dengan mereka.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, Bersempena dengan kedatangan tahun baru hijrah ini, mimbar menyeru semua umat Islam, marilah kita sama-sama bertindak secara proaktif bagi memastikan masa depan ummah lebih cemerlang dengan mengambil usaha-usaha seperti berikut: Pertama: Melakukan penghijrahan dengan memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara; Kedua: Membuat kajian dan analisis dari masa ke masa tentang kekuatan, kelemahan, cabaran dan ancaman yang dihadapi dalam membina ummah yang cemerlang; dan Ketiga: Merancang dan menyediakan pelan tindakan supaya matlamat membina  masa depan ummah yang cemerlang memenuhi keperluan dunia dan akhirat. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 9:

Maksudnya: Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.”

sumber : http://www.islam.gov.my/khutbah-online

 

 
Leave a comment

Posted by on 25/11/2011 in Khutbah Pilihan

 

Khutbah Pilihan : Ar-Raqib – ALLAH The Watchful One

Khutbah pada kali ini SJ petik dari website Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Saya memilih untuk meletakkan khutbah berbahasa inggeris sebagai menambahkan lagi skop dakwah. Selamat membaca.

Dear blessed congregation,

Let us remain truly conscious of Allah through taqwa. Do all that He has required from us. Refrain from all that He has prohibited. Know that Allah s.w.t. is always conscious and aware of our actions, wherever we may be. We must therefore ensure that we remain faithful and conscious of Allah, whether in the open or when we are on our own.

My dear brothers,

Let us use this moment to reflect on our relationship with our Creator, Allah s.w.t. Put aside all other concerns, whether it is our work, our problems or others.

Following from last week’s sermon, I would like to invite everyone to reflect on another glorious name of Allah, among His many beautiful names, the al-Asma’ al-Husna, which is Ar-Raqib, which means: The Watchful One. Allah s.w.t. says in surah Al-An’aam verse 59:

Which means: “With Him are the keys of the unseen, the treasures that none knows but He. He knows whatever there is on the earth and in the sea. Not a leaf does fall but with His knowledge: there is not a grain in the darkness (or depths) of the earth, nor anything fresh or dry (green or withered), but is (inscribed) in a record clear (to those who can read).”

My dear brothers,

This verse explains the thoroughness and completeness of Allah’s knowledge and observation. Allah s.w.t. knows the movement of each leaf as it falls from the tree. Allah knows, every day, how many leaves wither away, from which tree, and for what reason. This is from the first day the world was created, until the day of judgement.

If this is the extent to which Allah knows the movement of a leaf, imagine His knowledge of our actions as human beings, our good as well as bad deeds. This is particularly because He appointed humankind as His vicegerent (khalifah) on earth to take care and manage this world.

Know that Allah s.w.t. is aware of all our actions and movements, every second of our lives. He is always with His servant, and He knows what we do and what we have not done. Allah s.w.t. says in surah Al-Mulk verse 13:

Which means: And whether you hide your word or make it known, He certainly has (full) knowledge, of the secrets of (all) hearts.”

My dear brothers,

Let us listen to the story of Nabi Yunus a.s. The Holy Quran recounts that when he found himself in a whale, Nabi Yunus a.s. had a fervent belief and faith in Allah s.w.t. the All-Hearing and All-Watchful, that Allah knows the conditions of His servants, regardless of where they are.

Allah s.w.t. says in surah Al-Anbiya’ verses 87-88:

Which means: .…..But he cried through the depths of darkness, “There is no god but You: glory to You: I was indeed wrong! Then we heard his prayer and saved him from the anguish. Thus we save believers.”

Imagine for a minute the condition of Nabi Yunus a.s., as he found himself in the belly of a big fish, in the middle of the vast ocean. Certainly, no one would know of his condition and his whereabouts, except Allah s.w.t.

However, Nabi Yunus a.s. had a firm belief in Allah’s knowledge and observation, and thus, asked from Allah s.w.t. with all hope and faith. He did not only ask for a way out from his predicament, but also forgiveness for any wrongdoing.

We must emulate his resilient faith in Allah s.w.t. He remembered Allah s.w.t. at all times, and he had a strong faith in Allah’s knowledge of all his actions. These are the attributes of the believers and the faithful.

My dear brothers,

When we understand and internalise the meaning of Allah’s name, Ar-Raqib, we will remind ourselves that we are constantly being monitored and observed by Allah s.w.t.

For example, as a Muslim worker, we will always be responsible and dutiful at work. We will perform our duties at work as expected.

As a husband or wife, we will remain trustworthy and truthful towards the other, despite the possibility of not being so, especially when we are on our own.

As a child, you will say the truth and will not lie to your parents, even though your parents are not able to see what you do when you are out of their sight.

This is because, you remind yourself that Allah s.w.t. will always see and observe your actions, good or bad. Our beloved Prophet s.a.w. said in a hadith:

Which means: “You should worship Allah as if you can see Him, and when you are not able to do so, then know that Allah s.w.t. observes you.” Hadith narrated by Imam Tirmizi.

Dear brothers,

It is clear to us, therefore, that by internalising this attribute of Allah, Ar-Raqib, we will gain the following benefits in our lives as Muslims:

First, we will become those who are truly conscious of Allah s.w.t. and we are always reminded that He observes us all the time.

Second, we will be sincere in all our deeds. We do good only because we hope for Allah’s rewards, not because we want to be praised or in the pursuit of other worldly benefits. It suffices that Allah s.w.t. knows what we have done.

Third, we will strive to do good, even if it is a very small act of kindness that we can afford. Because what matters is that Allah observes and knows what we have done.

Allah s.w.t. says in surah al-Zalzalah verses 7-8:

Which means: “So, he who has done good as small as an atom, shall see it. And he who has done bad, as small as an atom, shall see it.”

Fourth, we must strive at all times to improve the quality of our deeds, and therefore ensure what we do today, is better than our deeds of yesterday.

We must remind ourselves that there is nothing in this life that escapes the knowledge and scrutiny of Allah s.w.t. May Allah s.w.t. grant us His guidance and help for us to be those who are truly conscious to Him, and make us among those who are blessed with His pleasure and blessings Amin Ya Rabbal ’Alamin.

 
Leave a comment

Posted by on 21/05/2010 in Khutbah Pilihan

 

Khutbah Pilihan : Ketinggian Akhlak Asas Keteguhan Iman

petikan dari laman web JAKIM. Khutbah ini disampaikan pada 7 April 2006.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Dan ketahuilah bahawa orang-orang yang bertakwa itu, pasti mendapat kemenangan di dunia dan juga di akhirat .

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Islam telah mengingatkan kepada umatnya mengenai pentingnya memelihara akhlak  dan mengamalkan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian kita dan sebagai hamba yang taat kepada perintah Allah s.w.t., sama sekali kita tidak dibenarkan melakukan sebarang kemungkaran, kemaksiatan, kekejian dan seumpamanya kerana ia merupakan satu tegahan yang nyata. Oleh itu,  membar Jumaat pada hari ini akan  memperkatakan  ketinggian akhlak asas keteguhan iman .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Alhamdullilah, pada tanggal 11 April 2006 bersamaan dengan 12 Rabiulawwal yang akan datang,  kita akan menyambut hari bersejarah memperingati  lahirnya junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Semua umat Islam diseluruh dunia mengakui dan mempercayai bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah utusan Allah s.w.t. yang diutuskan untuk membawa kerahmatan kepada seluruh umat di dunia sehingga akhir zaman. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran surah al-Anbiyaa’ ayat 107 iaitu :

Maksudnya : ” Dan tidaklah kami mengutuskan engkau( wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat bagi sekalian alam ” .

Bahkan keimanan kepada Baginda adalah termasuk dalam kesempurnaan rukun iman .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Mengapa Rasulullah s.a.w  dipilh oleh Allah s.w.t.  untuk membawa misi  kesejahteraan ini kepada semua umat di dunia ? dan bagaimana baginda berjaya di dalam misi ini ? .

Salah satu kunci kejayaan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan risalah dakwah ialah dengan memiliki ketinggian akhlak dan mengamalkan dalam kehidupan Baginda seperti hubungan dengan keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, bahkan dengan kaum kafir juga Baginda sering menunjukkan akhlak mulia ini . Ummul Mu’minin Saidatina Aisyah r.a. pernah ditanya, mengenai akhlak Baginda s.a.w, maka Saidatina Aisyah menjawab dengan katanya : Maksudnya :  akhlak Baginda adalah Al-Quran  . Gambaran ketinggian akhlak Baginda s.a.w.  juga dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam surah Al-Qalam ayat  4 yang berbunyi :

Maksudnya : ” Dan bahawa sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia ” .

Para ulama menyatakan bahawa Baginda tercipta di dalam keaslian fitrahnya melalui tarbiah Ilahaiyat.  Dan ini adalah anugerah Allah s.w.t. ke atas kekasihnya Rasul utusan terakhir junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Keistimewaan yang tiada taranya menjadikan Baginda dipilh dan dilantik oleh Allah s.w.t. sebagai penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul . Dan kita umat Islam turut menumpang keistimewaan Baginda, kerana Allah menjadikan umat Muhammad  sebagai umat terbaik diantara umat Nabi dan Rasul terdahulu .

Saudara Kaum Muslimim Yang Dirahmati Allah Sekalian

Akhlak dan sirah perjalanan yang ditunjukkan oleh Rasul s.a.w  adalah sebagai contoh teladan yang dapat mendidik diri dan peribadi Muslim agar sentiasa beriman dan bertakwa,  Ini kerana setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan tingkah laku Baginda mengandungi hikmat dan sebagai huraian kepada prinsip-prinsip yang terkandung didalam Al-Quran . maka sudah tentu, setiap perkataan dan tindakan kita yang berpandukan akhlak dan sirah perjalanan Baginda, tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat .

Sejarah mencatatkan bahawa akhlak Rasulullah s.a.w  adalah modal utama yang dapat menarik minat golongan bukan Islam kepada Islam . contohnya, Kesah tauladan seorang Badawi membuang air kecil di dalam masjid, melihat kejadian ini maka para sahabat yang berada di situ,  naik berang dan hendak memukul Badawi tadi . Bagaimanapun  tindakan mereka dihalang oleh Rasulullah s.a.w, sebaliknya Baginda membiarkan Badawi itu selesai membuang air kecil . kemudian Baginda meminta sebekas air lalu disiramkan ditempat kencing tersebut . Rasulullah s.a.w  bertanya kepada para sahabat, apakah  yang akan terjadi jika mereka mengejar dan memukul Badawi itu semasa sedang membuang air kecil . maka jawab sahabat, seluruh kawasan masjid akan terkena najis air kencingnya . kisah ini menjadikan Badawi yang menyaksikan tindakan Rasulullah itu, merasa kagum dengan ketinggian akhlak Baginda, lalu beliau pun menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam .

Saudara-Saudara Yang Dirahmati Allah Sekalian

Suasana masyarakat kita pada hari ini berhadapan  krisis nilai,  begitu banyak budaya luar dan fahaman atau idealogi yang tidak sehat, telah mempengaruhi cara kehidupan seperti percakapan, gaya berpakaian dan pergaulan, dan apa yang lebih membimbangkan terdapat segelintir masyarakat yang mula terpengaruh dan terjebak dengan aliran Islam liberal, dan lebih dasyat lagi pengaruh Black Metal, dan sebagainya yang mencemarkan nama baik serta identiti umat Islam, dan ini membawa gambaran negatif kepada imej Islam .

Anasir-anasir yang tidak sehat ini dengan mudah menyelinap masuk serta menjajah pemikiran, seterusnya mempengaruhi kehidupan kita, sekiranya benteng iman kita tipis, cetek pengetahuan tentang Agama, meremehkan nasihat para ulama mengabaikan suruhan agama dan tidak berpegang dengan tuntutan syariat . Mereka yang diresapi dengan fahaman atau aliran yang merbahaya ini, akan mudah meminggirkan akhlak dan nilai-nilai murni sebagaimana yang dituntut oleh Allah dan RasulNya . Ingatlah, bahawa Islam sentiasa diperhatikan, dan kelemahan-kelemahan serta kecelaruan yang sedang dialami oleh umat Islam akan dijadikan sebagai asas dan modal untuk musuh-musuh Islam membina seribu satu alasan untuk memburuk-burukkan Islam. Tidak mustahil mereka akan memperalatkan saudara-saudara kita sendiri seperti yang pernah berlaku di abad lalu, khususnya ketika negara-negara umat  Islam dijajah oleh kuasa penjajah .

Sidang Jumaat Yang Berbahagia

Ini semua menandakan Islam sedang diuji . Dan ia merupakan satu peringatan kepada kita . Cara terbaik malah wajib dilakukan oleh kita ialah kembali mencontohi akhlak Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Adalah wajar bagi kita memperingati kelahiran  Baginda s.a.w sebagai tanda rasa kecintaan terhadap perjuangan Baginda. Dengan sentiasa mengingati Rasulullah s.a.w  khususnya sejarah kelahiran Baginda setiap tahun sekaligus akan memberikan kita kekuatan, pengajaran dan pendidikan  yang tidak secara langsung kepada masyarakat kita terutama sekali generasi muda yang bakal memimpin negara yang kini sedang berhadapan dengan zaman canggih, teknologi  cyber  dan penuh dengan godaan dan ancaman aqidah songsang .

Bersempena dengan sambutan memperingati kelahiran junjungan besar Baginda  s.a.w,  eloklah kita menanam keazaman untuk mencontohi akhlak dan sirah perjalanan hidup Baginda Rasulullah s.a.w . Mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan terbilang.  Di antara akhlak Baginda Rasulullah s.a.w  yang perlu dicontohi :

  1. Baginda sentiasa memberi salam kepada sesiapa yang ditemui .
  2. Baginda sangat menghormati orang-orang tua, mengasihani orang-orang muda dan kanak-kanak .
  3. Baginda bercakap dengan lemah lembut dan sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya .
  4. Baginda tidak pernah menghina orang miskin dan tidak merasa terhina bergaul dengan Mereka .
  5. Baginda sentiasa membantu orang lain, walaupun Baginda sendiri dalam kesusahan .
  6. Baginda sangat berlemah lembut dengan isteri, anak-anak dan ahli keluarganya .
  7. Baginda tersangat sabar dan tabah apabila mengahadapi setiap cabaran dan kesusahan .

Bersamalah  kita menyambut dan meraikan tarikh bersejarah ini dengan mengadakan ceramah-ceramah agama dan majlis-majlis ilmu serta program-program kemasyarakatan samada diperingkat kampong, daerah, negeri ataupun kebangsaan. Sesungguhnya tradisi ini, telah lama kita lakukan sebagai rasa tanda kasih dan sayang kepada Baginda Rasulullah s.a.w. yang telah banyak berjasa kepada kita semua .

Sidang Jumaat Yang Berbahagia

Oleh itu, dikesempatan ini marilah sama-sama kita mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w  dan mengamalkannya, kita juga dituntut melakukan muhasabah diri dan mengambil iktibar untuk dihayati . Dan dalam masa yang sama,  tanya diri kita,  apakah dengan setiap kali meraikan sambutan Maulidurasul, roh kehidupan, akhlak dan perjuangan Rasulullah s.a.w telah kita hayati dan perjuangkan? atau apakah sebaliknya kita telah hanyut oleh arus kehidupan duniawi sehingga mengabaikan nilai agama Amat rugi sekali sekiranya kita mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan amalan dan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah s.a.w  .

( surah Al-Ahzab : 21 )

Maksudnya : ” Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,  iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredaan ) Allah dan   ( balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak ( dalam masa susah dan senang )” .

 
2 Comments

Posted by on 02/04/2010 in Khutbah Pilihan