RSS

Penyebaran Risalah Isu Guru Utama Silat Cekak Malaysia (PSSCM)

image

Pagi ini SJ telah menerima email yang bertanyakan tentang satu risalah edaran/ flyers berkaitan isu masalah lafaz syahadah Guru Utama, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).

Di kesempatan ini, SUARAJAGAT (SJ) menegaskan bahawa pihak kami TIDAK TERBABIT dalam sebarang bentuk cetakan dan edaran risalah berkenaan.

Artikel SJ di blog ini berhubung kesalahan ucapan syahadah Datuk Maideen, Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) adalah sebagai teguran dan nasihat kepada pihak yang terlibat. Disamping supaya umat Islam berhati-hati dengan masalah/ perkara yang boleh merosakkan akidah mereka.

Sebarang isu dalaman tentang pengurusan atau persilatan PSSCM adalah di luar bidang kuasa kami. Moga segala kekusutan/ kekalutan dapat diselesaikan secara baik oleh mereka.

SJ juga percaya artikel-artikel kami telah memberi manfaat kepada pelbagai pihak dalam usaha memahami persoalan akidah, syariat dan tasawuf dengan betul.

Sekian, terima kasih.

 

Pengikut Wahabi Ditangkap Khalwat

Akhbar hari ini melaporkan tentang seorang Datin ditangkap khalwat dengan pasangan skandalnya di Bandar Sri Damansara, Selangor.

Datin tersebut telah menganggap suaminya umpama najis kerana mengamalkan yang dianggap olehnya sebagai bidaah seperti bacaan tahlil, zikir selepas solat dan doa Qunut.

Anehnya, jika amalan suaminya dianggap bidaah, manakala pasangan kekasih gelapnya dianggap warak, mengapa mesti melakukan maksiat?

Jika zikir, tahlil dan Qunut dikatakan bidaah, sesat dan tidak mengikut sunnah Rasulullah s.a.w, bagaimana pula dengan dirinya yang ditangkap khalwat dalam keadaan hanya berseluar dalam dan singlet, sambil pasangan khalwatnya dalam keadaan zip seluar terbuka hingga menampakkan kemaluan. Apakah perbuatan itu amalan sunnah Baginda?

Jelas, wanita ini dan pasangan khalwatnya adalah berfahaman Wahabi. SJ tidak hairan bila ada pengikut Wahabi yang begini, kerana Muhammad bin Abdul Wahab (pengasas Wahabi) juga pernah melakukan amalan sesat nikah muta’ah. Untuk maklumat lanjut, rujuk memoir Mr. Hamper.

Berita penuh tentang penangkapan Datin tersebut adalah seperti berikut :-

Datin ditangkap khalwat dalam kereta bersama lelaki ‘warak’

SELASA, 24 FEBRUARI 2015 – 7:47AM 
OLEH HASPAIZI MOHD ZAIN
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Akibat taksub dengan fahaman songsang dipelajarinya sehingga sanggup melabelkan suami sebagai najis, seorang wanita bergelar Datin sanggup menjalinkan hubungan dengan lelaki lain yang dianggap lebih ‘warak’ sebelum ditangkap berkhalwat.

Dalam serbuan jam 11.50 pagi semalam, wanita terbabit bersama pasangannya ditahan ketika sedang ‘berasmara’ di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Bandar Sri Damansara oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas mendapat aduan orang ramai.

Hasil siasatan mendapati wanita terbabit sudah menjalinkan cinta terlarang dengan pasangannya hampir dua tahun kerana mendakwa suaminya bukan tidak mengikuti syariat Islam sebenarnya kerana sering melakukan perbuatan bidaah.

Difahamkan wanita sering mengikuti pengajian agama di sekitar Kayu Ara, Petaling Jaya dan di kawasan Bukit Kiara sebelum menjalinkan hubungan sulit dengan teman lelaki yang dianggap sealiran dengannya.

Menurut sumber, wanita berusia 40-an itu sudah mempunyai tiga anak berusia 10 hingga 15 tahun, selalu bersikap dingin bersama suaminya dan sanggup menyewa rumah semata-mata untuk melempiaskan nafsu bersama pasangannya yang juga suami orang.

“Beliau anggap suaminya najis kerana mendakwa banyak melakukan perbuatan bidaah seperti tahlil, zikir, solat tidak menepati sunnah Rasulullah SAW, doa Qunut dan sebagainya.

“Wanita berkenaan sanggup menjalinkan hubungan sulit dengan teman lelaki kononnya sealiran fikrah dengannya kerana dilihat berperwatakan warak dan alim, akhirnya dicekup berkhalwat dan cubaan melakukan persetubuhan luar nikah dengan lelaki itu di dalam sebuah kereta tengah hari semalam,” katanya.

Bukan itu saja, wanita terbabit yang terpengaruh dengan fahaman songsang itu turut mempengaruhi anaknya supaya membenci ayahnya dengan pelbagai tuduhan seperti tidak mengamalkan sunnah dan mempunyai perempuan simpanan.

Katanya, akibat cinta sudah menguasai mereka di samping ajaran yang diamalkan, wanita terbabit sengaja mencari alasan untuk memburukkan suaminya dengan menuduh lelaki itu terkeluar daripada Islam selain mengamalkan ajaran bercanggah serta sesat.

“Hampir dua tahun wanita tersebut tidak bersekedudukan dengan suaminya, beliau juga turut memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam, namun kerana sayangkan perkahwinan dan anak-anak, si suami tetap mempertahankan rumah tangganya.

“Ketika pasangan itu ditahan di dalam sebuah kereta bercermin gelap mereka sedang berpelukan dengan zip seluar lelaki terbuka sehingga menampakkan kemaluannya, manakala wanita itu dalam keadaan berseluar dalam dengan singlet.

Sementara itu Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim mengesahkan penahanan pasangan itu dan disiasat mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

 

Konsep Pengasingan Kuasa dalam Pemerintahan Umar al-Khattab

Oleh : Prof. Madya Dr. Shamrahayu And Aziz.

Sekiranya Faham Perlembagaan yang menetapkan prinsip pentadbiran atau dasar kenegaraan  yang dianggap sebagai hasil atau sumbangan Barat dalam memartabatkan kemuliaan manusia, ia sebenarnya telah lama mendapat tempat dalam sistem pentadbiran Islam.

Sesungguhnya teori Faham Perlembagaan yang dikatakan diperkenal di Barat itu bukanlah suatu yang baharu dalam sistem pentadbiran Islam. Saya menyebut hal ini dalam bentuk perbandingan bukan untuk memenangkan sistem pentadbiran kenegaraan yang telah diamalkan dalam pemerintahan Islam, tetapi saya mahu menjelaskan bahawa terdapat prinsip-prinsip yang diagongkan di Barat itu sebenarnya tidak asing daripada prinsip Islam. Ia juga bagi menolak pandangan sinis dan serong kepada sistem pentadbiran Islam.

Minggu lepas saya telah menyentuh tentang prinsip Faham Perlembagaan dan pada minggu ini saya mahu menjuruskan perbincangan kepada elemen utama dalam konsep Faham Perlembgaaan, iaitu prinsip Pengasingan Kuasa.

Walaupun tiada pengasingan kuasa pada awal permulaan pemerintahan Islam atau semasa pemerintahan Rasulullah SAW, tetapi ini tidak bermakna sistem pengasingan kuasa itu ditolak dalam sistem pentadbiran Islam.  Sekiranya dirujuk kepada sistem pentadbiran Rasulullah SAW, sebagaimana juga dikehendaki dalam teori Faham Perlembagaan, tidak pernah meminggirkan kepentingan atau merendahkan maruah manusia. Ini kerana pentadbiran Islam itu meletakkan keadilan dan penghormatan kepada semua manusia sebagaimana prinsip Islam sebagai rahmat seluruh isi alam cakerawala; Islam bukan hanya untuk orang Islam semata-mata  kerana Islam adalah rahmatan lil-‘Alamin.

Tiadanya pengasingan kuasa semasa pemerintahan Rasulullah SAW adalah kerana kerasulan baginda serta sifat amanah Baginda SAW yang tiada tolak bandingnya. Konsep Pengasingan Kuasa telah mula diperkenal semasa pemerintahan Umar Al-Khattab RA. Pengasingan Kuasa perlu dilakukan semasa pemerintahan Khalifah Umar kerana berkembangnya geografi pemerintahan Islam dan penyeliaannya tidak mudah. Ia juga bagi mempastikan pentadbiran yang licin dan sempurna serta, sebagaimana juga tujuan konsep itu diperkenal di Barat, bagi mengelak penyalahgunaan kuasa.

Sebagaimana terbukti dalam sejarah, Khalifah Umar RA banyak membuat pembaharuan pentadbiran. Ini  yang dikenali sebagai Awliat-i- Umar atau permulaan, dengan erti pembaharuan yang dilakukan Khalifah Umar RA. Pemerintahan Khalifah Umar RA yang juga dikenali sebagai Golden Age itu antara lain telah membuat perubahan besar kepada sistem kehakiman. Badan Kehakiman dalam struktur pengasingan kuasa menjadi satu badan yang bebas. Dan, kebebasan kehakiman boleh dikatakan sebagai intipati kepada konsep Pengasingan Kuasa.

Dalam konteks perbincangan teori Faham Perlembagaan sebagaimana faham Barat, Badan Kehakiman semasa pemerintahan Umar RA telah dipisahkan daripada pihak eksekutif dan legislatif. Ini menjadikan Badan Kehakiman itu bebas daripada pengaruh kedua-dua pihak.

Bukan itu sahaja, Badan Kehakiman semasa pemerintahan Khalifah Umar RA telah terbukti bebas dengan tindakan Umar RA sendiri yang mengarahkan para hakim supaya menjalankan tugas mereka tanpa membezakan mana-mana pihak, hatta khalifah, iaitu Saidina Umar sendiri. Seringkali disebut dalam buku-buku sejarah dan perbahasan berkaitan pentadbiran serta perundangan Islam, Khalifah Umar RA pernah menegur hakim yang memberikan perhatian istimewa kepadanya kerana statusnya sebagai Khalifah.

Walaupun adakalanya Saidina Umar sendiri bertindak sebagai hakim, garis panduan mengenai keadilan sangat jelas. Antara bukti yang paling jelas ialah surat yang telah ditulis oleh Khalifah Umar RA bagi memberi garis panduan kehakiman, termasuk juga prinsip kebebasan kehakiman, kepada Abu Musa al-Ashari ketika melaksanakan tugasnya sebagai hakim.

Kebebasan Badan Kehakiman semasa pemerintahan Umar RA juga sangat jelas dengan sediaan gaji yang tinggi kepada para hakim. Gaji yang tinggi juga merupakan antara elemen penting di bawah konsep kebebasan kehakiman dalam Faham Perlembagaan. Ini bagi mengelak penerimaan rasuah oleh kerana kedudukan tinggi dan kuasa yang besar para hakim.

Sekiranya kita begitu ghairah dengan konsep Faham Perlembagaan acuan Barat, adalah amat elok untuk kita kembali meneliti dalam sejarah pemerintahan Umar al-Khattab RA, pencetus kepada sistem pemerintahan moden yang juga mengetengahkan prinsip Faham Perlembagaan.

Cuma, mungkin yang membezakan sistem pemerintahan Islam dan Faham Perlembagaan ialah teori dalam nilai-nilai politik Islam yang meletakkan tiga tonggak, iaitu, prinsip ketuhanan, kerasulan dan pewaziran atau khilafah.

– Sumber : http://ikimfm.my/konsep-pengasingan-kuasa-dalam-permerintahan-umar-al-khattab/#sthash.QubTfKya.dpuf

 

Jangan Pandang Ringan Kegiatan Ajaran Sesat, Titah Sultan Selangor

Titah Sultan SelangorKUALA SELANGOR, 5 Dis (Bernama) — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan seluruh lapisan umat Islam di negeri itu, supaya sentiasa peka dan tidak memandang ringan kegiatan ajaran sesat kerana dikhuatiri akan memecah belahkan keharmonian sejagat.

Baginda bertitah jika semua pihak tidak bekerjasama memberikan maklumat mengenai penyebaran ajaran sesat, pengaruhnya yang bergerak secara kecil-kecilan pada mulanya dibimbangi mampu berkembang hingga sukar dibendung.

“Perkembangan ajaran sesat boleh mengelirukan serta memesongkan akidah umat Islam di negeri ini. Akibatnya, umat Islam akan berpecah belah, hidup dalam suasana persengketaan dan tidak dihormati oleh masyarakat lain,” titah baginda sebelum merasmikan Masjid Ar-Ridhuan, Simpang Empat, Jeram di sini.

Baginda turut menegaskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pula perlu memastikan penceramah dan tenaga pengajar berkenaan agama Islam mempunyai tauliah yang diiktiraf, selain mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

Titah baginda, Jais juga perlu mengawasi semua aktiviti yang dijalankan di masjid dan surau supaya penyebaran ajaran sesat dapat dipantau dan diambil tindakan serta merta, sebelum gejala itu semakin berleluasa.

“Beta ingin mengingatkan sekali lagi kepada pegawai dan anggota jawatankuasa masjid serta umat Islam di daerah ini, supaya sentiasa berwaspada terhadap mereka yang cuba mempengaruhi umat Islam untuk mengembangkan fahaman atau ajaran Islam yang sesat seperti difatwakan Jabatan Mufti dan Jais.

Laporan atau aduan bolehlah dikemukakan kepada pegawai dan anggota jawatankuasa masjid untuk dikemukakan kepada Jais atau berurusan terus dengan Jais,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menyeru umat Islam di negeri itu supaya menggunakan masjid dan surau sebagai tempat kondusif untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat.

Sumber : BERNAMA